Saturday, 2 April 2011

Peniaga Melayu tidak habis-habis dizalimi - Syabas Melaka Maju


MBMB jangan zalimi kami - Sinar Harian 30 Mac 2011. BANDA HILIR - Bagi memberi laluan kepada sebuah projek pembangunan, 25 peniaga kecil di deretan gerai Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini bakal kehilangan sumber pendapatan.

Bukan kerana risiko kehilangan pelanggan, sebaliknya mereka menerima notis supaya mengosongkan premis masing-masing hanya dalam tempoh tiga minggu. Difahamkan, notis dikeluarkan MBMB itu bagi memberikan laluan projek pembinaan tempat letak bas yang bakal dinamakan Pahlawan City.

Mengikut notis ditandatangi Datuk Bandar MBMB, Zainal Abu, peniaga dikehendaki mengosongkan gerai perniagaan masing-masing dalam tempoh 21 hari. Bagaimanapun, MBMB bersetuju untuk memberikan wang ehsan RM300 sebulan kepada peniaga selama setahun sementara menunggu projek itu siap, selain tawaran lokasi baru dengan sewa separuh lebih murah.

Malah, MBMB juga menjanjikan tawaran untuk menempatkan semula kalangan peniaga terlibat di kawasan tersebut sebaik projek berkenaan siap sepenuhnya dan diserahkan kembali kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Namun, segala tawaran itu tidak disenangi peniaga menyebabkan mereka membantah. “MBMB jangan zalimi kami peniaga kecil.” Itulah antara rintihan 25 peniaga terbabit yang seolah-olah hilang arah tujuan. Peniaga, Siti Normala Ibrahim, 30, berkata, lokasi baru itu belum menjamin sambutan pelanggan seperti tempat lama.

Menurutnya, dengan bebanan hutang yang terpaksa dijelaskan daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) dan beberapa institusi kewangan lain, dia bimbang ia akan menyebabkannya berdepan dengan masalah besar.

“Sekurang-kurangnya kami perlu mencari RM1,000 sebulan bagi membayar semua itu, sedangkan pampasan ditawarkan hanya RM300 sebulan dan jumlah itu jauh daripada yang kami minta sebelum ini iaitu RM150 sehari,” katanya ketika mengadakan perhimpunan bagi membantah tindakan MBMB itu, semalam.

Turut serta, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sedarhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah. Peniaga kraf tangan, Jamuri Khalil, 44, berkata, dia akan kerugian sekurang-kurangnya RM100,000 sekiranya berpindah ke tempat baru berdasarkan nilai barangan di gerainya.

“Mereka tempatkan kami di Dataran Pahlawan sebagai ganti sedangkan peniaga sedia ada kini pun susah untuk mendapatkan pelanggan, inikan pula kami orang baru,” katanya.

Peniaga gerai makanan, Mahmud Seeron, 47, pula bimbang jaminan MBMB kerana setakat ini tiada sebarang perjanjian hitam putih memastikan mereka diletakkan kembali ke tempat asal selepas projek itu siap sepenuhnya kira-kira setahun nanti.

Deretan gerai berkenaan menempatkan tujuh peniaga gerai makanan, manakala 18 lagi peniaga barangan kraf tangan. Sebelum di tempatkan MBMB di kawasan terbabit sejak tiga tahun lalu, mereka dikatakan sudah mengalami tiga kali proses perpindahan atas alasan sama, iaitu pembangunan.

Sumber: Sinar Harian

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59