Monday, 4 April 2011

Nelayan di Melaka berdemonstrasi


PANTAI PUTERI - Tindakan sebuah syarikat petroleum menjalankan kerja-kerja ujian di atas tapak pembinaan jeti gas asli cecair (LNG) mendapat bantahan daripada lebih 100 nelayan di sini.

Mereka terdiri daripada nelayan dari Pantai Rombang, Pantai Puteri, Pantai Kundur dan Balik Bukit yang mendakwa pembinaan jeti berkenaan akan melibatkan kerja meletup kawasan terumbu karang yang terletak kira-kira tiga batu nautika atau kira-kira 5.5 kilometer dari kawasan pantai.

Bukan itu sahaja, mereka turut mendakwa kerja menanam cerucuk besi di kawasan projek turut membawa kerosakan kepada jaring mereka, sekali gus menyebabkan mereka bakal kehilangan punca pendapatan.

Nelayan terbabit hanya mengetahui mengenai kerja tersebut apabila surat berkenaan diserahkan kepada seorang ahli persatuan nelayan di situ.

Pengerusi Penaja Jawatankuasa Bertindak bagi nelayan terbabit, Mahat Jantan berkata, surat yang dikeluarkan syarikat petroleum itu bagi memaklumkan mengenai kerja letupan yang akan dilaksanakan kontraktornya esok, hanya diserahkan ke pejabat persatuan nelayan dan bukannya kepada nelayan terbabit.

“Mereka sepatutnya mengadakan pertemuan dengan nelayan di sini dan memaklumkan mengenai perkara ini. Ini tidak.

“Bayangkanlah apa yang akan berlaku sekiranya pada hari berkenaan ada nelayan yang pergi ke kawasan terbabit tanpa mengetahui bahawa akan dijalankan kerja letupan itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Mahat berkata, nelayan merasa terkilan kerana kerja letupan di terumbu karang itu hendak dijalankan tanpa mengambil kira kebajikan mereka.

Menurutnya, setakat ini, lebih 63 nelayan sudah menandatangani memorandum bantahan yang bakal diserahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Ab Rahaman Ab Karim.

“Kami bukan membantah pembangunan, tapi berilah perhatian kepada kebajikan kami kerana ini membabitkan mata pencarian kami,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Zaidi Tawil berkata, terumbu karang berkenaan merupakan kawasan lubuk emas nelayan dari empat kawasan ini.

Menurutnya, apa yang mereka bimbang adalah kerja yang hendak dijalankan akan mengugat mata pencarian mereka.

“Sudahlah sekarang ini kami terpaksa berhadapan masalah jaring koyak kerana terkena cerucuk besi. Selepas ini, kalau terumbu karang ini rosak, ke mana lagi kami hendak mencari rezeki,” katanya.

“Kami sudah lama mencari rezeki di sini dan oleh yang demikian, mereka perlu mengambil berat mengenai kebajikan kami di sini,” katanya.

Sinar Harian

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59