Sunday, 17 April 2011

PAS hormati keputusan rakyat



KUCHING, 16 April: PAS menghormati keputusan yang telah diumumkan dan akur dengan keputusan itu, walaupun gagal untuk memenangi sebarang kerusi pada PRN Sarawak Ke-10 tahun ini, termasuk di kawasan-kawasan yang dijangka akan melahirkan anak sulungnya.

Namun PAS sedar dan berbangga dengan pencapaian yang telah diperolehi yang jelas memperlihatkan peningkatan sokongan rakyat Sarawak secara keseluruhan terhadap PAS, sekali gus memberikan petanda masa depan PAS yang cukup baik di Sarawak.

Timbalan Presiden PAS yang juga Pengarah pilihan raya ini, Ustaz Nasharudin Mat Isa berkata, peningkatan baik yang diterima oleh PAS amat ketara di Dun Beting Maro yang terletak dalam kawasan Parlimen Batang Lupar, apabila hanya kalah dengan majoriti sekitar 400 undi kepada BN, berbanding PRN Sarawak tahun 2006 sebanyak 800 undi.

Menurut beliau, begitu juga di Dun Tanjung Datu yang terletak dalam kawasan Parlimen Santubung dan Dun Muara Tuang yang terletak dalam kawasan Parlimen Kota Samarahan yang baru pertama kali ditandingi, tetapi turut memperlihatkan sokongan yang amat baik di kalangan pengundi di kawasan itu terhadap PAS.

Katanya, namun PAS amat kesal dengan laporan dan analisis yang dibuat oleh Astro Awani awal malam ini yang amat jauh menyimpang dari kebenaran dengan mengatakan PAS mengalami kekalahan sebanyak 2,000 undi di Beting Maro.

"Laporan dan analisis Astro Awani itu ternyata tak betul. Malah sebenarnya sokongan para pengundi di Beting Maro terhadap PAS ternyata semakin meningkat sehingga hanya kalah dengan majoriti undi yang amat kecil sebanyak 391 undi sahaja," katanya ketika dihubungi, malam ini.

Walaupun kalah bagi kesemua kawasan yang ditandingi, menurut beliau, perkembangan dari PRN Sarawak Ke-10 ternyata semakin memberikan sinar kepada PAS untuk menempa kejayaan lebih gemilang pada masa akan datang.

"Dengan perkembangan yang baik ini, PAS tidak akan patah semangat untuk melakukan gerak kerja yang lebih baik di Sarawak sama ada dari sudut politik dan sudut-sudut lain.

"Malah, PAS pasti akan berusaha untuk mempertingkatkan lagi usaha di Sarawak dari semasa ke semasa bagi menghadapi pilihanraya akan datang demi kepentingan rakyat Sarawak termasuk dalam politik dan bidang-bidang lain," tegasnya.

Beliau mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para pengundi di Sarawak yang telah memilih PAS dalam pilihanraya tahun ini.

"Jutaan terima kasih juga saya ucapkan kepada jentera PAS di semua peringkat, sama ada dari kalangan jentera tempatan dan juga jentera-jentera PAS dari luar, yang telah bertungkus lumus berusaha membantu PAS untuk mencapai kemenangan sejak awal kempen hingga hari pengundian.

"Inilah semangat yang PAS mahu dan inilah semangat yang cukup baik yang telah ditunjukkan oleh jentera-jentera PAS dari semua peringkat termasuk dari kalangan jentera tempatan dan jentera-jentera PAS dari luar Sarawak," tegasnya.


Thursday, 7 April 2011

Nelayan Sg. Lereh dilanda masalah lagi


LEREH - Nelayan di Muara Sungai Lereh di sini kecewa berikutan masalah laluan muara yang sempit dan cetek di situ masih belum dapat diatasi pihak berkenaan meskipun pernah berjanji untuk menyelesaikannya secepat mungkin.

Keadaan itu menyebabkan mereka sentiasa dihimpit kebimbangan berikutan risau keselamatan perahu menangkap ikan yang terpaksa diletakkan di luar muara.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pengkalan Lanjut, Lereh, Rasiddin Samaon berkata, masalah itu sudah berlarutan sejak 10 hari lalu tetapi sehingga kini masih tiada tindakan diambil.

Menurutnya, masalah yang wujud itu mengakibatkan nelayan di muara terbabit terpaksa meletakkan perahu menangkap ikan masing-masing di luar muara iaitu di sebalik beting pasir yang ada.

Malah katanya, keadaan itu sekali gus boleh menyebabkan perahu nelayan yang diletakkan di luar muara terdedah bahaya sehingga boleh mengalami kerosakan jika dipukul ombak.

“Nelayan terpaksa meletakkan perahu di situ kerana tidak boleh melepasi laluan sedia ada apabila air surut berikutan air cetek, selain turut berdepan masalah laluan di celah batu yang sempit.

“Sehubungan itu, kami berharap pihak berkenaan dapat mengorek beting pasir yang terkumpul di muara ini dengan segera supaya nelayan dapat menjalankan aktiviti harian mereka seperti sediakala,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam pada itu, Rasiddin berkata, tiada maknanya sekiranya keadaan Sungai Lereh sudah diperindah tetapi laluan perahu terkepung sehingga menimbulkan masalah kepada nelayan yang berpangkalan di muara berkenaan.

“Sekiranya masalah ini tidak dapat diselesaikan dengan segera, JKKK akan merujuk perkara ini kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam untuk mendapatkan bantuannya,” katanya.

Sementara itu, nelayan, Saiful Nizam Othman, 31, berkata, setiap hari nelayan yang keluar masuk di muara berkenaan terpaksa menunggu sehingga air pasang bagi membolehkan mereka menyusur masuk ke muara.

Menurutnya, sejak masalah itu wujud, nelayan turut berdepan masalah rutin harian yang lain.

“Masalah ini berpunca daripada kesulitan membawa perahu dan hasil tangkapan ke darat sebaik pulang dari laut kerana terpaksa menunggu berjam-jam lamanya sebelum air pasang.

“Sebelum ini ada pihak berjanji, satu atau dua hari beting pasir di muara ini akan dikorek, namun sehingga kini masih tiada perubahan berlaku,” katanya.

Sinar Harian


Melaka maju tetapi periuk nasi peniaga terjejas


BANDA HILIR - Lebih 20 peniaga di Heritage Bazaar, Dataran Pahlawan di sini, mempertikaikan tindakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengenakan tindakan kompaun terhadap mereka.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berbuat demikian atas alasan lesen perniagaan tamat tempoh, serta gagal mempamerkan lesen perniagaan masing-masing.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Melaka, Aziz Embi berkata, tindakan itu dianggap tidak wajar kerana kebanyakan peniaga sebelum ini pernah beberapa kali memohon lesen, namun ditolak MBMB.

Menurutnya yang juga Pengerusi Kraf Tangan dan Makanan Tradisional Dataran Pahlawan Megamall, tindakan MBMB itu sebenarnya berpunca daripada kegagalan peniaga di situ menjelaskan kadar tunggakan sewa yang sudah berlarutan sejak beberapa bulan.

“Itulah yang menjadi penyebab MBMB enggan menghidupkan lesen perniagaan kami. Biarpun kami sudah memohon beberapa kali kepada PBT terbabit.

“Lagipun, dengan kadar sewa RM500 sebulan dan sekiranya dicampur dengan bayaran penjagaan RM200 sebulan, ia membebankan, sedangkan perniagaan kami di sini kurang mendapat sambutan,” katanya semasa membuat lawatan di situ, semalam.

Turut serta, Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah.

Aziz berkata, kompaun berkenaan dikeluarkan 29 Mac lalu dan MBMB sewajarnya memberikan amaran terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan tegas diambil.

“Ada juga di kalangan peniaga yang cuba menjelaskan kadar tunggakan sewa berkenaan, namun dibebani pula dengan kadar tunggakan lesen perniagaan yang dikenakan untuk beberapa tahun.

“Ini amat membebankan peniaga yang berniaga hanya mengharapkan musim tertentu sahaja untuk meraih pendapatan lebih,” katanya.

Menurut Aziz, sebelum ini, peniaga pernah dikenakan tindakan serupa, namun dipertimbangkan semula Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar sebelum ini, Datuk Latiff Tamby Chik.

Dalam perkembangan sama, peniaga menasihatkan MBMB mengambil tindakan terhadap peniaga menjalankan peniagaan di sekitar A Farmosa, Bukit St Paul dan beberapa kawasan yang ternyata tidak memiliki lesen perniagaan yang sah.

Sinar Harian


Monday, 4 April 2011

Malam Kesenian Islam PAS Bukit Katil pada 2 April 2011




Sedutan video persembahan Juara Akademi Nasyid NTV9, Azhan Atan



Sedutan video persembahan Pak Long


Nelayan di Melaka berdemonstrasi


PANTAI PUTERI - Tindakan sebuah syarikat petroleum menjalankan kerja-kerja ujian di atas tapak pembinaan jeti gas asli cecair (LNG) mendapat bantahan daripada lebih 100 nelayan di sini.

Mereka terdiri daripada nelayan dari Pantai Rombang, Pantai Puteri, Pantai Kundur dan Balik Bukit yang mendakwa pembinaan jeti berkenaan akan melibatkan kerja meletup kawasan terumbu karang yang terletak kira-kira tiga batu nautika atau kira-kira 5.5 kilometer dari kawasan pantai.

Bukan itu sahaja, mereka turut mendakwa kerja menanam cerucuk besi di kawasan projek turut membawa kerosakan kepada jaring mereka, sekali gus menyebabkan mereka bakal kehilangan punca pendapatan.

Nelayan terbabit hanya mengetahui mengenai kerja tersebut apabila surat berkenaan diserahkan kepada seorang ahli persatuan nelayan di situ.

Pengerusi Penaja Jawatankuasa Bertindak bagi nelayan terbabit, Mahat Jantan berkata, surat yang dikeluarkan syarikat petroleum itu bagi memaklumkan mengenai kerja letupan yang akan dilaksanakan kontraktornya esok, hanya diserahkan ke pejabat persatuan nelayan dan bukannya kepada nelayan terbabit.

“Mereka sepatutnya mengadakan pertemuan dengan nelayan di sini dan memaklumkan mengenai perkara ini. Ini tidak.

“Bayangkanlah apa yang akan berlaku sekiranya pada hari berkenaan ada nelayan yang pergi ke kawasan terbabit tanpa mengetahui bahawa akan dijalankan kerja letupan itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Mahat berkata, nelayan merasa terkilan kerana kerja letupan di terumbu karang itu hendak dijalankan tanpa mengambil kira kebajikan mereka.

Menurutnya, setakat ini, lebih 63 nelayan sudah menandatangani memorandum bantahan yang bakal diserahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Ab Rahaman Ab Karim.

“Kami bukan membantah pembangunan, tapi berilah perhatian kepada kebajikan kami kerana ini membabitkan mata pencarian kami,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Zaidi Tawil berkata, terumbu karang berkenaan merupakan kawasan lubuk emas nelayan dari empat kawasan ini.

Menurutnya, apa yang mereka bimbang adalah kerja yang hendak dijalankan akan mengugat mata pencarian mereka.

“Sudahlah sekarang ini kami terpaksa berhadapan masalah jaring koyak kerana terkena cerucuk besi. Selepas ini, kalau terumbu karang ini rosak, ke mana lagi kami hendak mencari rezeki,” katanya.

“Kami sudah lama mencari rezeki di sini dan oleh yang demikian, mereka perlu mengambil berat mengenai kebajikan kami di sini,” katanya.

Sinar Harian


Sunday, 3 April 2011

Penduduk Durian Tunggal minta bonggol jalan


MELAKA: Penduduk di sekitar Taman Desa Idaman, Durian Tunggal, di sini meminta pihak berkuasa membina segera bonggol di jalan utama Taman Desa Idaman 1 dan 2 kerana sering berlaku kemalangan.

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah, Adly Zahari, alasan yang diberikan iaitu tiada peruntukan tidak boleh diterima kerana masalah itu membabitkan nyawa orang ramai.

“Walaupun telah beberapa kali berlaku kemalangan dan terbaru seorang penunggang motosikal cedera parah tetapi tiada tindakan diambil bagi memastikan jalan ini selamat kepada orang ramai. Masalah ini perlu diambil perhatian serius oleh pihak yang berkenaan dan tindakan segera membina bonggol perlu dilaksanakan.

“Memang tak patut alasan tiada peruntukan dan semakin hari penduduk semakin bertambah kenderaan juga bertambah, jangan nanti bila berlaku yang tidak diingini kita menuding jari di antara satu sama lain,” kata beliau.


Menurut seorang Penduduk, K Samy Nanthan, 26, bahawa penduduk sudah beberapa kali mengajukan masalah itu kepada pihak berwajib termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan wakil rakyat kawasan itu namun alasan diterima adalah tiada peruntukan untuk membina tiga bonggol berkenaan.

Tambahnya, sejak jalan sepanjang 500 meter itu dibina lebih lima bulan lalu ianya sering berlaku kemalangan.

“Permintaan bagi membina bonggol itu bukan untuk kepentingan individu tetapi keselamatan orang ramai yang risau terutama ketika waktu puncak memandangkan jalan itu lurus dan berbukit.

“Saya risau sekiranya bonggol masih tidak dibina kerana kenderaan terutama motosikal laju di jalan ini dan adakah mereka ingin menunggu sehingga berlaku kemalangan maut,” katanya.

“Selain itu, jalan itu juga digunakan kanak-kanak untuk menyeberangi jalan untuk ke taman permainan berhampiran menyebabkan keselamatan nyawa mereka terancam setiap masa.

HARAKAH • 27 – 29 RABIULAKHIR 1432 / 1 – 3 APRIL 2011


Saturday, 2 April 2011

Peniaga Melayu tidak habis-habis dizalimi - Syabas Melaka Maju


MBMB jangan zalimi kami - Sinar Harian 30 Mac 2011. BANDA HILIR - Bagi memberi laluan kepada sebuah projek pembangunan, 25 peniaga kecil di deretan gerai Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini bakal kehilangan sumber pendapatan.

Bukan kerana risiko kehilangan pelanggan, sebaliknya mereka menerima notis supaya mengosongkan premis masing-masing hanya dalam tempoh tiga minggu. Difahamkan, notis dikeluarkan MBMB itu bagi memberikan laluan projek pembinaan tempat letak bas yang bakal dinamakan Pahlawan City.

Mengikut notis ditandatangi Datuk Bandar MBMB, Zainal Abu, peniaga dikehendaki mengosongkan gerai perniagaan masing-masing dalam tempoh 21 hari. Bagaimanapun, MBMB bersetuju untuk memberikan wang ehsan RM300 sebulan kepada peniaga selama setahun sementara menunggu projek itu siap, selain tawaran lokasi baru dengan sewa separuh lebih murah.

Malah, MBMB juga menjanjikan tawaran untuk menempatkan semula kalangan peniaga terlibat di kawasan tersebut sebaik projek berkenaan siap sepenuhnya dan diserahkan kembali kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Namun, segala tawaran itu tidak disenangi peniaga menyebabkan mereka membantah. “MBMB jangan zalimi kami peniaga kecil.” Itulah antara rintihan 25 peniaga terbabit yang seolah-olah hilang arah tujuan. Peniaga, Siti Normala Ibrahim, 30, berkata, lokasi baru itu belum menjamin sambutan pelanggan seperti tempat lama.

Menurutnya, dengan bebanan hutang yang terpaksa dijelaskan daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) dan beberapa institusi kewangan lain, dia bimbang ia akan menyebabkannya berdepan dengan masalah besar.

“Sekurang-kurangnya kami perlu mencari RM1,000 sebulan bagi membayar semua itu, sedangkan pampasan ditawarkan hanya RM300 sebulan dan jumlah itu jauh daripada yang kami minta sebelum ini iaitu RM150 sehari,” katanya ketika mengadakan perhimpunan bagi membantah tindakan MBMB itu, semalam.

Turut serta, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sedarhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah. Peniaga kraf tangan, Jamuri Khalil, 44, berkata, dia akan kerugian sekurang-kurangnya RM100,000 sekiranya berpindah ke tempat baru berdasarkan nilai barangan di gerainya.

“Mereka tempatkan kami di Dataran Pahlawan sebagai ganti sedangkan peniaga sedia ada kini pun susah untuk mendapatkan pelanggan, inikan pula kami orang baru,” katanya.

Peniaga gerai makanan, Mahmud Seeron, 47, pula bimbang jaminan MBMB kerana setakat ini tiada sebarang perjanjian hitam putih memastikan mereka diletakkan kembali ke tempat asal selepas projek itu siap sepenuhnya kira-kira setahun nanti.

Deretan gerai berkenaan menempatkan tujuh peniaga gerai makanan, manakala 18 lagi peniaga barangan kraf tangan. Sebelum di tempatkan MBMB di kawasan terbabit sejak tiga tahun lalu, mereka dikatakan sudah mengalami tiga kali proses perpindahan atas alasan sama, iaitu pembangunan.

Sumber: Sinar Harian


Friday, 1 April 2011




Aktiviti Terdekat



Klik di imej untuk paparan lebih jelas


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59