Friday, 18 March 2011

Sembang Santai


Assalamua’laikum wbt…

Segala puji dan syukur atas tiap kurniaan nikmat yang dikecapi saat ini. Alangkah ruginya mereka yang tidak bersyukur dan tidak menghargai limpahan nikmat yang mereka miliki. Di antara tanda orang yang tidak bersyukur adalah mereka sentiasa berasa tidak berkecukupan dengan apa sahaja yang mereka peroleh dan tidak menggunakan segenap kelebihan pada diri mereka untuk mengabdi diri kepada Allah tuhan pemilik segala nikmat ini.

Berbicara soal syukur ini, saya teringat kepada seorang kenalan semasa di universiti. Ketika itu kami sama-sama bergerak aktif dalam persatuan dakwah di kampus. Sahabat saya ini seringkali mengelak jika mahu diberikan jawatan atau tugasan yang memerlukan dia untuk berucap dan menjadi ketua. Alasannya, “alah, aku tak layak untuk jatawan tu. Berikan kepada orang yang lebih layak..” atau “ takpela.., bagi tugas tu kat sahabat ni, die lebih layak. Bia aku jadi ajk biase je..”. Kerap kali sahabat saya ini memberikan alasan yang sama dan menyatakan bahawa dia tidak layak. Sedangkan kami melihat bahawa dia berkelayakan dan mampu untuk memikul tugasan yang diamanahkan.

Apa kaitannya kisah ini dengan rasa bersyukur? Seorang mukmin akan bergerak dengan segala kemampuan dan sifat positif yang ada pada dirinya tanpa dibatasi oleh sifat negatif atau kelemahan yang ada pada dirinya. Seorang yang bersyukur akan sentiasa melihat setiap perkara dari sudut positif dan berdiri di atas nilai-nilai positif pada dirinya. Sedang orang yang tidak bersyukur pula tidak pernah menghargai kelebihan yang ada pada dirinya dan meletakkan nilai negatif yang ada pada dirinya sebagai alasan dan halangan untuk dia bergerak.

Justeru itu, mengapa kita perlu sentiasa merendah diri dengan berasa serba kekurangan? Merendah diri itu bagus, tapi biarlah bertempat dan pada situasi yang tepat. Ingat, sifat orang yang berjaya adalah orang yang maju kedepan dengan segala kelebihan yang ada pada dirinya. Biarpun kelebihan ini kecil, namun jika dibina dan diasah kelak ia akan berkembang dan menjadikan kita hebat dengannya. Yakin dengan kemampuan diri adalah tanda seseorang itu akan berjaya. Mengapa perlu kita hidup dengan menjadikan kelemahan dan sifat negatif yang ada pada kita sebagai tapak untuk kita berdiri? Berfikirlah secara hebat dengan hidup dan menjadikan sifat positif dalam diri kita dominan, sekaligus menjadikannya sebagai modal untuk kita terus hidup dan maju ke depan.

Maka, saya menyeru anda semua untuk merasakan diri kita semua layak. Layak untuk memimpin, layak untuk kehadapan, dan layak untuk melakukan apa sahaja. Namun jangan lupa, ukurlah baju dibadan sendiri. Bersyukur dengan sekecil-kecil kelebihan yang Allah kurniakan kepada kita seterusnya mengoptimumkan penggunaan kelebihan tersebut dalam kehidupan sehari-hari. Segala puji selayaknya untuk Allah tuhan sekalian alam. Selamat maju jaya.

{ .: abu uwais:. }

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59