Wednesday, 16 March 2011

Pembaziran projek naik taraf tandas awam di Taman Botanikal, Ayer Keroh


AYER KEROH - Tindakan pihak berkuasa membelanjakan RM199,800 untuk menaik taraf dua tandas awam di Taman Botanikal Melaka mengundang kritikan kerana dilihat sebagai pembaziran.

Ketika mempersoalkan kewajaran kos berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong berkata, jumlah yang dibayar amat tinggi berbanding kerja yang dijalankan terhadap kedua-dua tandas awam berkenaan.

Menurutnya, hasil rujukan dengan kontraktor mendapati, dengan hasil kerja kedua-dua tandas itu, ia dapat dilakukan dengan kos kira-kira RM120,000.

“Daripada apa yang saya perhatikan, kerja naik taraf yang dijalankan juga tidak begitu memuaskan. Sebagai contoh, sebahagian alang kayu yang digunakan untuk menyokong bumbung tandas juga didapati telah retak.

“Sehubungan itu, saya ingin meminta Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Ali Rustam) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menjawab persoalan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan tinjauan di tandas awam terbabit berhampiran Perkampungan Buku di Taman Botanikal Melaka, di sini, semalam.

Poay Tiong berkata, kos RM199,800 untuk menaik taraf kedua-dua tandas berkenaan adalah jawapan yang diberi kerajaan terhadap soalan bertulisnya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, baru-baru ini.

Menurutnya, dalam jawapan berkenaan, beliau dimaklumkan, antara lain kos itu membabitkan kerja dalaman dan luar tandas, termasuk menukar pintu serta kelengkapan sanitari, menukar singki, memperbaiki sistem perpaipan dan kemasan dinding serta mengecat seluruh bangunan tandas berkenaan.

“Harga yang digunakan untuk menaik taraf dua tandas ini sudah cukup untuk membeli sebuah rumah dua tingkat yang biasanya berharga sekitar RM190,000.

“Pembaziran sebegini terlalu kerap berlaku dan ia dibuktikan dengan pendedahan yang pernah dibuat DAP sebelum ini,” katanya.

Sinar Harian

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59