Monday, 21 March 2011

Melaka maju : Jambatan uzur tidak diganti berpuluh tahun


JASIN – Penduduk Kampung Bukit Tembakau tidak berputus asa mengharapkan pihak berkenaan supaya segera membina jambatan baru menggantikan jambatan usang berusia 30 tahun.

Difahamkan, walaupun sudah bertahun-tahun membuat permohonan membaiki jambatan uzur berkenaan, namun aduan hanya tinggal aduan tanpa dijanjikan sebarang maklum balas positif.

Bukan itu sahaja, jambatan yang menjadi jalan utama penduduk untuk tiga keluarga terbabit bagaikan menanti nyawa diragut berikutan keadaan kayu reput dan boleh roboh pada bila-bila masa sahaja.

Lebih menyedihkan, ada keluarga yang terpaksa menggunakan batang kelapa bagi tujuan melintas tetapi kemudahan yang digunakan sejak 10 tahun lalu itu sememangnya tidak bersesuaian dan berbahaya, terutama kepada kanak-kanak.

Bukan setakat masalah itu, parit pula dipenuhi semak-samun dan keadaan itu jelas menunjukkan ia tidak diselenggarakan pihak berkenaan, sekali gus boleh mendatangkan bahaya sekiranya terdapat binatang berbisa.

Difahamkan, penduduk hanya dimaklumkan permohonan dalam proses walaupun sudah lama membuat aduan.

Penduduk, Azlia Ahmad, 44, berkata, sudah puas pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Tembakau bersama wakil rakyat kawasan memanjangkan permohonan berkenaan.

“Tetapi inilah hasilnya. Kami terpaksa mempertaruhkan nyawa apabila melalui jambatan uzur ini.

“Pernah kanak-kanak yang mahu ke sekolah terjatuh ke dalam parit dan tidak kurang juga, penunggang motosikal tercedera apabila papan jambatan tiba-tiba patah,” katanya.

Sementara itu, Kamaruzzaman Abdullah, 50, pula berkata, Melaka sudah diiktiraf sebagai negeri maju dan tidak sepa­tutnya keadaan seperti itu masih berlaku serta lambat diatasi.

“Harap kerajaan bantulah kami dengan segera. Jambatan yang kukuh boleh digunakan sehingga anak cucu kami.

“Negara kita sudah maju tetapi apabila datang ke kampung ini, kita dapat lihat masalah bertahun-tahun yang sudah dirayu tidak diambil apa-apa tindakan,” katanya.

Ariffin Abdullah, 65, berkata, mereka tidak mahu berlaku kejadian yang tidak diingini berikutan masih menggunakan jambatan uzur.

“Jangan ada yang melayang nyawa, baru mahu ambil tindakan. Pandanglah sikit kepada kami dan segeralah bina jambatan baru.

“Kami tidak menyalahkan pihak JKKK kerana mereka sudah puas memohon dan kami dimaklumkan permohonan dalam proses,” katanya.

Menurutnya, sepanjang pengetahuannya, sudah tiga kali pengerusi JKKK bertukar tetapi permohonan masih begitu juga.

“Maklumkan kepada kami sebenar-benarnya bila jambatan baru boleh dibuat.

“Kami sudah bosan menunggu. Kami hanya mahukan jawapan pasti mengenai status permohonan,” katanya.

Sinar Harian

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59