Tuesday, 1 February 2011

Utusan Melayu semarakkan isu perkauman


MELAKA: Pengamal media perlu bertanggungjawab dalam memaparkan isu-isu yang berkaitan dengan perkauman di negara ini kerana media mampu menyemarakkan lagi isu perkauman, kata penulis, Lee Ban Chen yang merupakan panelis pada ‘Forum Rakyat’ baru-baru ini.

Forum yang bertajuk ‘Hubungan Etnik Satu Halangan Politik Atau Tidak’ itu dianjurkan oleh Dewan Perhimpunan Cina Melaka di Sekolah Menengah Pay Fong, di sini dan turut dibarisi panelis mantan Presiden MCA, Dato’ Seri Ong Kee Teat; Naib Presiden KeADILan, Nurul Izzah Anwar; Pensyarah Universiti Malaya, Dr Azmi Shahrom dan moderatornya Chia Cheng Hui.

“Isu ini dilihat berbeza oleh ahli politik, umpamanya mereka yang suka politik perkauman suka jika hubungan etnik itu tidak baik kerana mereka dapat peralatkan sentimen perkauman itu, justeru kalau mereka tak mahu politik perkauman memang tak suka.

“Ia akan jadi halangan kepada pendemokrasian negara kita dan kalau kita nak politik berasaskan keadilan bahawa politik perkauman itu satu halangan yang patut dimansuhkan, kalau tidak politik baru akan gagal.

“Media seperti Utusan Melayu menyemarakkan lagi isu perkauman kerana kalau kes peribadi jangan jadikan ianya isu kaum, kalau media nak lapor mesti ada tanggungjawab dan jangan sampai menghangatkan hati kaum lain kerana ianya tak bertanggungjawab,” ujar Lee Ban Chen.


Sementara Dato’ Seri Ong Tee Keat menyatakan budaya politik perkauman dicorakkan oleh ahli politik dan penyokongnya kerana jika tiada pasaran siapa yang akan sokong serta rakyat telah lama terbelenggu di dalam takuk minda di mana jika satu kaum berjaya maka kaum lain akan rasa rugi.

Menurut Nurul Izzah, dasar kerajaan yang adil kepada semua akan mengurangkan kadar ketegangan antara kaum di negara ini dan polisinya perlu dimulakan oleh pemimpin kerana kepimpinan melalui teladan diperlukan untuk memperbaiki polarisasi antara kaum.

Manakala Dr Azmi berpandangan bahawa isu ini tidak ditangani dengan betul disebabkan ahli politik yang malas dan tidak tahu untuk menyelesaikan isu sebenar negara kita seperti adakah negara kita akan bankrap 10 tahun lagi?

“Yang senang ialah isu saya wira bangsa, masa dah tiba sebagai rakyat yang bertanggunjawab negara kita ada macam-macam masalah yang lebih dalam daripada kulit kita dan apa yang saya risau bukan tegang tapi tak ada perhubungan di antara kaum,” katanya.

Di samping itu, Lee Ban Chen turut membuat perumpamaan yang menarik ketika menjawab soalan peserta yang bertanyakan apakah beza BN dan Pakatan Rakyat, iaitu kalau di kampung kita ada dua kedai dan satu daripadanya menjual barang dengan harga yang murah sudah tentu kita pergi ke kedai itu.

Harakah 16-18 SAFAR 1432 / 21-23 JANUARI 2011

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59