Sunday, 13 February 2011

PAS tandingi Merlimau, tiada percanggahan


PETALING JAYA: KeADILan menjelaskan keputusan meletakkan calon PAS untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Merlimau adalah muktamad dan ia sekali gus menolak spekulasi percanggahan pendapat antara parti itu dengan PAS untuk bertanding di kerusi tersebut.

Timbalan Presiden KeADILan, Azmin Ali menyifatkan Pakatan Rakyat secara muafakat bersetuju mengekalkan kerusi kepada PAS untuk bertanding di PRK Merlimau 6 Mac nanti. Jelasnya, walaupun terdapat cadangan meletakkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar sebagai calon mewakili parti itu, Azmin berkata ia hanya sebahagian daripada isu perbincangan Pakatan Rakyat, 7 Februari lalu.

“Kita bincang cadangan Shamsul mewakili pandangan KeADILan Cabang Jasin bukan kapasiti beliau sebagai Ketua AMK. Beliau adalah Ketua Cabang Jasin dan merupakan seorang tokoh tempatan dan telah lama berkhidmat dengan masyarakat di kawasan berkenaan,” jelas beliau.

Tambah Azmin, parti itu mengambil kita pandangan semua pihak termasuk PAS dan DAP untuk mengenalpasti kekuatan maksima bagi meletakkan wakil Pakatan Rakyat yang mampu merampas kerusi tersebut yang disandang BN sebelum ini.

“Maka dalam mesyuarat Pakatan Rakyat semalam kita menghormati pandangan dan maklumbalas yang dikemukakan Shamsul, tapi pada masa yang sama dalam perbincangan berkenaan kita telah mengambil kira semua pandangan yang dikemukakan termasuk PAS dan DAP.

“Akhirnya kita membuat keputusan untuk mengekalkan kerusi Dun Merlimau kepada PAS dan ini diterima baik Shamsul Iskandar. Beliau sekadar memberi pandangan untuk erbincangan. Tidak salah bagi kita mendengar dan menghormati pandangan beliau. Akhirnya Pakatan Rakyat telah bermuafakat untuk bersama-sama membantu PAS dalam pilihan raya kecil kali ini,” katanya.

Azmin turut menolak dakwaan bahawa PAS tidak berhasrat untuk bertanding di Dun Merlimau justeru jelasnya Pakatan Rakyat akan memberi sokongan kuat kepada parti itu seperti mana pilihan raya kecil lalu.

Kerusi Dun Merlimau kosong apabila penyandangnya Dato’ Mohd Hidhir Abu Hassan mewakili Umno-BN meninggal dunia akibat serangan jantung 20 Januari lalu di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Putra.

Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon dan 6 Mac bagi pilihan raya kecil kali ke-15 Dun Merlimau.

Sementara itu, PAS akan mengadakan mesyuarat untuk meneliti senarai calon pada PRK itu pada 13 Februari ini. Pada Pilihan Raya Umum 2008, kerusi Merlimau diwakili calon PAS, Jasme Tompang, sebelum itu pada pilihan raya umum 2004 ia diwakili calon KeADILan, S Jayanthas.

Harakah edisi 8 - 10 RABIULAWAL 1432 / 11 - 13 FEBRUARI 2011

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59