Thursday, 3 February 2011

PAS Melaka sedia bertanding di Merlimau


MELAKA: PAS Melaka telah bersedia bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau yang akan diadakan sedikit masa lagi,” kata Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman.

Menurutnya, Dun Merlimau adalah antara Dun berpotensi yang menjadi sasaran PAS untuk dimenangi pada Pilihan Raya Umum nanti dan PAS telah meningkatkan gerak kerja jentera di pelbagai peringkat selepas PRU 2008 berdasarkan sokongan yang memberangsangkan kepada PAS.

“Kebetulan PAS Melaka telah mengadakan ‘Program Mendekati Rakyat’ di ke semua Dun yang PAS bertanding pada 2008 dan Dun Merlimau baharu seminggu kita mengadakan program yang sama di situ di mana sokongan yang diterima begitu menggalakkan.

“Walau bagaimanapun semuanya akan diputuskan oleh kepimpinan Pakatan Rakyat di peringkat pusat yang akan bermesyuarat untuk menentukan keputusannya kerana peningkatan undi Dun Merlimau adalah antara yang tertinggi diterima PAS pada pilihan raya lalu,” katanya.

Malah katanya, Umno- BN akan berdepan dengan tentangan sengit daripada PAS yang kali ini mendapat kerjasama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat seperti DAP serta KeADILan.

“Kita telah mempunyai calon-calon yang sesuai dan berwibawa untuk memenangi PRK Dun Merlimau ini serta disenangi masyarakat setempat,” ujarnya.

Beliau menambah, berdasarkan perkembangan semasa selepas memenangi sembilan daripada tiga belas PRK, kita yakin rakyat Melaka sudah berani melakukan perubahan dan akan memberikan kemenangan kepada PAS.

Dalam Pilihan Raya Umum tiga tahun lalu, calon PAS Mejar (B) Jasme Tompang tewas di tangan Dato’ Mohamad Hidhir Abu Hassan dengan majoriti 2,154 iaitu peningkatan hampir 3,000 undi berbanding calon KeADILan Jayathas yang kalah teruk dengan majoriti 5,087 undi pada 2004.

Daripada 10,471 pengundi di Dun itu, 64.69 peratus adalah Melayu, Cina (21.11 peratus), India (14.16 peratus) dan lain-lain sebanyak 0.04 peratus.

HARAKAH • 27 – 30 SAFAR 1432 / 31 JANUARI – 3 FEBRUARI 2011

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59