Tuesday, 15 February 2011

Merlimau : Gelanggang dakwah ke 15


Majdan Dagang

Pilihan Raya Kecil (PRK) telah berlalu dan Umno berjaya mempertahankan kerusi mereka. PAS kalah dari segi angka, namun hakikat sebenar perjuangan dakwah Islam dianggap berjaya. Harus diingat, PAS bukan sekadar parti politik yang berdaftar secara sah mengikut perlembagaan, tetapi juga sebagai jemaah yang memikul tanggungjawab dakwah kepada orang Islam dan bukan Islam.

Hal ini memang jelas diketahui dan didokongi oleh pimpinan, ahli dan penyokong yang faham akan perjuangan PAS. Oleh sebab itu lah parti Islam ini menyertai pilihan raya umum dan pilihan raya kecil sejak belum merdeka lagi walaupun sedar bahawa pertandingan tersebut tidak memihak kepada mereka.

PRK Dun Tenang, Johor misalnya, walaupun sedar bahawa PAS memasuki gelanggang untuk “kalah”, namun atas dasar dakwah parti itu tetap memberikan cabaran. Terbukti, walaupun kalah dari segi undi, isu calon PAS yang enggan bersalam dengan lelaki ajnabi (kemudiannya calon memakai sarung tangan) telah menyerlahkan sikap hipokrit Umno dalam menyampaikan kefahaman Islam. Umno bukan sahaja tidak menyampaikan etika Islam kepada rakan-rakan bukan Islam bahkan gagal menyatakan perihal Islam yang sebenar kepada ahlinya yang mengaku beragama Islam.

PAS kini bukan sahaja berjaya mentarbiah kebanyakan ahlinya tentang Islam yang syumul bahkan kini berjaya menyampaikan pula penerangan tentang Islam kepada rakan-rakan bukan Islamnya. Dalam isu bersalam tangan, rakan-rakan bukan Islam yang bersama-sama PAS telah memberi penerangan tentang adab dan budaya agama Islam kepada orang ramai dan meminta mereka menghormati pendirian Islam tentang isu tersebut. Bukankah ini salah satu kejayaan PAS dalam menerangkan Islam?

Kini, PRK Dun Merlimau, Melaka sekali lagi memberi peluang kepada PAS untuk bertemu dengan seramai mungkin rakyat dan menyampaikan dakwah Islam. Peluang sebegini luas hanya datang setiap PRU dan PRK. Hakikat dakwah inilah yang tidak ada dalam Umno dan mereka tentunya berasa hairan kenapa PAS bersusah payah bertanding untuk “kalah”.

Umno juga tidak akan faham kenapa ahli-ahli PAS berjuang dan terus berjuang walaupun sedar mereka berada dalam keadaan serba kekurangan sama ada dari segi kewangan, logistik, pentadbiran dan segalanya. Umno perlu sedar bahawa PAS bukan berjuang untuk wang, harta dan pangkat, bukan juga demi individu tertentu atau pemimpin tertentu, tetapi ahlinya berjuang untuk Islam.

Suatu kisah ketika tentera Islam mempertahankan Baitul Muqaddas yang dikepung oleh tentera King Richards the Lionheart. Salahudin al-Ayubi telah menawarkan hadiah kepada sesiapa yang dapat memusnahkan “kereta kebal” musuh yang digunakan untuk menembusi benteng pertahanan Baitul Muqaddas.

Salah seorang, juruteranya berjaya mencipta sejenis alat yang dapat membakar dan seterusnya memusnahkan “kereta kebal” tersebut. Apabila ditanyakan kepada jurutera tersebut apakah hadiah yang dimahukan, dia menjawab dengan tegas, “Ucapan terima kasih pun saya tak perlu, inikan pula hadiah. Saya berjuang bukan untuk tuan, tetapi untuk Allah.”

Semoga, semangat itu dapat diteruskan pula di Merlimau nanti. Mengikut rekod pilihan raya yang lepas-lepas, kawasan ini merupakan kubu kuat Umno. Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir daripada Umno-BN menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi – menyaksikan kekurangan hampir 3,000 undi berbanding PRU 11 pada tahun 2004. Ketika itu Mohamad Hidhir mendapat 6,332 undi menewaskan calon PKR iaitu Jayathas Sirkunavelu dengan majoriti 5,087 undi. Jayathas mendapat 1,245 undi.

PRK ini nanti bakal memberi peluang kepada 10,643 pengundi biasa dan 36 pengundi pos untuk memilih wakil baru mereka di Dun Melaka. Angka tersebut berdasarkan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 bagi bahagian pilihan raya berkenaan yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2010, Suku Tahun Kedua 2010 dan Suku Tahun Ketiga 2010 (bagi bahagian pilihan raya berkenaan) yang telah dikemaskini sehingga 20 Januari 2011.

Di Melaka Umno mempunyai 18 kerusi di Dun, empat kerusi MCA, satu kerusi MIC dan DAP pula lima mendapat kerusi. Sehingga kini PAS masih menantikan anak sulungnya di Melaka setelah kesemua negeri di Semenanjung mempunyai wakil PAS.

Sehingga kini, telah 14 PRK telah berlangsung selepas badai tsunami Pilihan Raya Umum ke-12, 2008 yang lalu. Daripada siri PRK tersebut Pakatan Rakyat (PR) menang di Sibu, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Permatang Pauh, Permatang Pasir, Manek Urai, Penanti dan Bukit Selambau. Manakala Barisan Nasional (BN) pula menang di Tenang, Hulu Selangor, Galas, Tenang, Batu Sapi, Bagan Pinang dan Tenang.

Apakah akan berlaku kejutan di Merlimau pada kali ini? Walaupun secara logiknya, Umno boleh menang walaupun dalam keadaan mata terpejam, namun tidak ada siapa yang tahu kuasa Allah. PAS telah memperoleh anak sulungnya di Johor pada PRU 11 pada 2004 apabila Dr Ramli menang tanpa bertanding akibat calon Umno tersilap mengisi borang.

Tugas PAS hanyalah turun gelanggang untuk bertarung, urusan kalah dan menang terserah kepada Allah SWT.

Sumber : Harakahdaily

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59