Thursday, 24 February 2011

Jalan tidak diturap sejak 9 tahun dulu


MERLIMAU: Lebih 20 rumah di Jalan Air Tawar Baruh yang bakal menjadi pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau, 6 Mac ini mendakwa mereka seperti “dianaktiri” kerana dinafikan kemudahan asas.

Menurut Fazizal Sulaiman, 30, jalan tersebut bukan sahaja digunakan oleh penduduk setempat tetapi turut digunakan oleh orang ramai yang ingin pergi ke kawasan pantai seperti mencari siput dan sebagainya.

“Selain itu, jalan ini juga digunakan sebagai jalan alternatif oleh pelajar-pelajar untuk ke sekolah yang berhampiran kerana ianya lebih selamat dan dekat,” katanya.

Menurut Zulkefli Mantan, 52, pada Pilihan Raya Umum lalu, kawasan itu yang terletak di dalam Kampung Air Tawar telah dibahagikan kepada dua Dun iaitu Dun Merlimau dan Dun Sungai Rambai.


“Kami berasa sangat terpinggir kerana di sebalik pelbagai limpahan kemudahan di sekitar Pekan Merlimau, kami di sini tidak mendapat sebarang kemudahan walaupun semua penduduk di sini merupakan pengundi Dun Merlimau.

“Bahkan, jalan yang menjadi penghubung kami penduduk keluar masuk ke jalan besar ini sudah sembilan tahun kami pohon untuk diturap namun sehingga ke hari ini tiada sebarang tindakan diambil.

“Permasalahan jalan tidak berturap sejauh kira-kira dua kilometer ini pernah kami adu pada pihak sepatutnya, namun menyedihkan apabila tiada sebarang tindakan dilakukan,” katanya.

Menurut Azman Ali, 42, jalan yang tidak berturap terbabit bukan sahaja menimbulkan kesukaran kepada pemilik kenderaan yang keluar masuk tetapi turut membahayakan keselamatan mereka.

“Sebelum ini, ada pihak menjanjikan mahu membaiki jalan sebaik projek mereka selesai namun apa yang dilakukan hanya menampal lubang berkenaan dengan batu kasar sahaja,” katanya.

HARAKAH 18-21 RABIUL AWAL 1432 / 21-24 FEBRUARI 2011

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59