Wednesday, 23 February 2011

Apabila Ali Rustam sedia jadi "Tukang Karut"


PAKATAN Rakyat, khususnya PAS dijangka tidak mendapat laluan mudah pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau, Melaka, bulan depan. Selain kawasan itu secara tradisi menjadi kubu Barisan Nasional (BN), pengalaman politik dilalui pembangkang di negeri itu juga membuktikan betapa parti pemerintah negeri tersebut antara yang paling tidak “bertamadun” dalam tindak-tanduk politiknya.

Justeru, PAS bakal berdepan suasana kempen yang tegang dan amat tidak selesa, sama sekali berbeza dengan “ketenangan” dilaluinya sewaktu PRK Dun Tenang, dua minggu lalu. Isyarat itu bagaikan terbayang menerusi kesediaan Pengerusi BN negeri merangkap Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam berdebat dengan parti lawan sepanjang tempoh kempen nanti.

“Saya sanggup, saya berani menjawab semua isu dibangkitkan pembangkang mengenai negeri ini, termasuk isu Melaka Maju, Sekolah Harapan dan isu lain yang mengutuk tindakan kerajaan negeri.” Media cetak pada Sabtu, 12 Februari lalu, memetik katanya yang telah pun “turun padang” ke Merlimau. PRK berkenaan bakal diadakan ekoran kematian penyandangnya, Dato’ Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari.

Dun Merlimau mempunyai 10,471 pemilih berdaftar dengan komposisi 64.69 peratus pengundi Melayu, diikuti Cina (21. 11%) dan India (14.16%). Komposisi pengundi campuran itu sedikit menggarap harapan buat PAS. Biarpun berbekalkan peratusan undi majoriti kekalahan agak tinggi, parti itu sekurang-kurangnya mampu mencongak bahawa BN sebenarnya tidak ada kelompok pengundi khusus yang boleh dijadikan “kubu” kekuatannya.

“Agak menariknya seluruh peti undi di Dun Merlimau mempunyai pengundi campuran, tidak ada pengundi khusus berbanding di Dun Tenang, yang ada peti undi dikuasai Melayu, Cina dan Orang Asli. Bagaimanapun, di Merlimau pengundinya bersifat campuran. Tidak ada kawasan boleh dibanggakan BN yang menjadi kubu kuat mereka.”

Media cetak pada Isnin (14 Februari) memetik ulasan Naib Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man bersandarkan perkiraan itu, beliau yang juga pengarah PRK itu malah menyuarakan keyakinan tidak mustahil PAS berupaya mendapat kerusi pertamanya di Melaka menerusi PRK itu.

Memang tidak ada yang mustahil dalam politik. Namun, mengambil kira realiti dan latar politik setempat, secara jujur wajar diakui bahawa keyakinan itu agak ambitiousbuat PAS.

Jangan lupa bahawa BN Melaka diterajui seorang yang terkenal dengan perwatakan keras dan sukar berdiplomasi apabila berdepan pihak lawan. Selain Umno Terengganu di bawah pimpinan Dato’ Seri Idris Jusoh yang ada rekod menghalau pelajar-pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) dari bangunan sekolah mereka, kerja terkutuk seumpama itu dilaporkan turut berlaku di Melaka.

Sebab itu apabila siang-siang lagi Ali Rustam telah melaungkan akan “mengiringi” majlis ceramah PAS dengan hujah balasnya, itu bukan perkara main-main. Pemimpin yang pernah dilucutkan kelayakan bertanding jawatan utama Umno itu tidak sekadar bercakap apabila menyatakan kesediaannya “berdebat” mengikut caranya tersendiri.

“Lebih baik jika program itu (debat dengan pembangkang) dilakukan dalam satu kawasan, bukan di pentas sama. Cuma saya di sebelah kiri, dia (pembangkang) di sebelah kanan dan setiap kali dia bertanya, saya akan menjawab masa itu juga,” kata Ali Rustam.

Harus diingat pemimpin ini pernah mempraktikkan cara beliau maksudkan itu beberapa tahun lalu. Sebilangan kita barangkali masih ingat insiden di mana beliau seakan seorang yang hilang akal tergamak mewujudkan kacau-ganggu sedemikian pada ceramah Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Melaka.

BN sengaja mengadakan ceramah di seberang jalan bersetentang pentas ceramah PAS yang telah dirancang lebih awal. Lalu pada malam itu Ali Rustam tampil di pentas seumpama seorang “tukang karut” dalam persembahan dikir barat.

Setiap kali Tuan Guru Abdul Hadi menyatakan hujahnya, kedengaran suara pemimpin Umno itu mengulas dari seberang jalan, dalam nada menyergah dan mempersenda. Kita percaya tindakan sebegitulah yang dimaksudkan untuk diulanginya di Merlimau nanti.

“Tidak kisah siapa akan berada di pentas sebelah kanan, sama ada Nik Aziz (Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat), Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng atau Lim Kit Siang. Semua saya sanggup berdepan,”katanya.

Kita bimbang jika hasrat itu diteruskan atau Ali Rustam dibenarkan oleh pihak keselamatan untuk menjadi “tukang karut” lagi, ia akan mengundang suasana tegang dan tidak terkawal. Suhu sepanjang tempoh kempen PRK tidak sama dengan hari-hari biasa. Waktu itu penyokong dan jentera pilihan raya Pakatan Rakyat, khususnya PAS yang hadir bukan sahaja orang Melaka.

Mereka dari serata negara. Kita bimbang tidak semua mereka mampu mengawal perasaan, terutama apabila majlis parti mereka diejek dan dikacau ganggu secara berterusan. Justeru, semua pihak yang mahu melihat kempen PRK Dun Merlimau berjalan secara budiman harus memandang serius hasrat pemimpin Umno itu.

HARAKAH 15 - 17 RABIULAWAL 1432 / 18 - 20 FEBRUARI 2011

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59