Saturday, 15 January 2011

Siapa bersama Ali Rustam ketika ditahan TNI?


Nasib baik ada berita yang tersiar mengatakan Tentera Nasional Indonesia (TNI) menahan pesawat Heritage Air yang membawa rombongan kerajaan negeri Melaka di Lapangan Terbang Djuanda, Surabaya – jika tidak, tiada siapa yang tahu ke mana perginya Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam beberapa hari sebelum itu.

Maknanya, Ketua Menteri Melaka ini tidak pernah belajar dari sejarah kejatuhan kawan-kawannya dalam Umno, bagai mana isu ‘pesawat’ juga telah menyebabkan Dato’ Seri Mhdzir Khalid hilang kuasa di Kedah dan Dato’ Seri Dr. Jamaluddin Jarjis tidak lagi dilantik menganggotai kabinet.

Walaupun tiada apa-apa bukti kejatuhan Mhdzir dan Jamaluddin kerana isu pesawat, tetapi di kalangan pemimpin Umno, mereka tahu bahawa pemimpin Umno memang suka ‘terbang tinggi’ hingga lupa betapa sakitnya apabila terjatuh kelak.

Di Kuala Lumpur, sudah heboh cerita sebuah pesawat persendirian ditahan di Lapangan Terbang Djuanda, Surabaya yang dikhabarkan membawa seorang menteri tetapi desas-desus itu akhirnya termati dengan sendirinya apabila ada pengesahan dari Ketua Menteri Melaka, bahawa beliaulah yang berada di dalam pesawat tersebut.

Seramai 82 (menurut Utusan Malaysia) penumpang yang bersama-sama Mohd Ali itu. Bolehkah disenaraikan nama mereka supaya Lembaga Disiplin Umno yang hanya memakai kot tebal di Ibu Pejabat Umno boleh melihat-lihat (baca: meninjauninjau), kalau-kalau ada yang boleh diadukan, untuk tindakan disiplin?

Maklumlah, Mohd Ali pernah dikenakan hukuman kerana terlibat dengan politik wang ketika mahu bertanding kerusi Timbalan Presiden Umno, dengan hukuman hilang hak bertanding.

Seramai 82 orang yang mengiringi Mohd Ali ke Indonesia, khabarnya sebelum itu ke Timor Leste tentunya bukan semuanya pegawai kerajaan negeri. Jadi, siapa yang mengiringi Mohd Ali itu?

Apakah usahawan-usahawan yang selama ini banyak membantu Mohd Ali dalam kerjaya politiknya?

Mohd Ali meminta Kedutaan Malaysia di Indonesia menyiasat punca yang mendorong TNI menahan pesawat tersebut. Dalam masa yang sama, Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak pula perlulah menyiasat siapa kawan-kawan Mohd Ali yang sama-sama berada di dalam pesawat tersebut.


Najib jangan mengarahkan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri menyiasat siapa kawan-kawan Mohd Ali itu, kerana Muhyiddin tentunya akan terkejut kelak jika beliau mengetahui siapa yang bersama-sama Mohd Ali dalam pesawat itu.

Nasib menyebelahi Mohd Ali kerana dengan bantuan Kedutaan Malaysia di Indonesia, beliau bersama lima yang lain dapat pulang sementara yang lain, terpaksa pulang lewat.

Jika tidak, kemungkinan kedatangan Perdana Menteri ke Melaka, Rabu 15 Disember lalu, tidak disambut Ketua Menteri, sebagai mana kelazimannya. Rakyat juga perlu diberitahu, berapa kerap sebenarnya Ketua Menteri Melaka ke luar negara, menyewa pesawat persendirian seperti ini dan ke mana arah tujuan mereka?

Mungkin selama ini, tiada berita pesawat persendirian seperti ini ditahan pihak berkuasa, menyebabkan berita pemergian mereka, jarang diketahui umum, kecuali anggota rombongan terpilih sahaja.

Umno tentunya tidak suka jika ada tuduhan orang-orang tertentu boleh membawa wang yang banyak ke luar negara. Jika cerita ini tersebar, rakyat akan dinasihatkan supaya jangan terpedaya dengan tuduhan seperti ini.

Tetapi, jika ada pemimpin-pemimpin negeri dan orang yang dipercayai berstatus menteri, boleh menyewa pesawat sendiri, dengan membawa seramai 82 orang menganggotai rombongannya, perkara membawa sejumlah wang yang banyak, sukar untuk dinafikan.

Walaupun, juruterbang pesawat boleh dipersalahkan kerana gagal mendapat kebenaran mendarat tetapi, mungkin ada sangkaan yang tidak wajar menjadi alasan mengapa pesawat ini tidak dibenarkan mendarat. Semua syak wasangka ini perlu diperjelaskan, kerana Mohd Ali sebagai Ketua Menteri Melaka, Ahli MT Umno yang dilantik dan Ketua Umno Bahagian Bukit Katil perlu telus berdepan dengan isu syak wasangka seperti ini.

Sebagai seorang Ketua Menteri, apakah rugi jika beliau pergi dengan pesawat MAS kerana dengan pesawat MAS, Mohd Ali boleh menemui rakyat dan penumpang lain yang sehaluan dengannya, untuk ke Surabaya. Mohd Ali juga sepatutnya tidak membenarkan dirinya menjadi mangsa keadaan seperti ini, hingga ia boleh menyusahkan hubungan dua hala antara Malaysia- Indonesia.

“Saya juga tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku tetapi juruterbang pesawat memaklumkan dia sudah mendapat kebenaran pihak lapangan terbang untuk mendarat di situ bagi mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan balik ke Kuala Lumpur,” Mohd Ali dipetik sebagai berkata.

Serentak dengan itu, Ketua Menteri Melaka ini berkata, makluman awal yang diterima oleh pihaknya menyatakan, TNI bertindak demikian ekoran juruterbang pesawat tidak mendapat kebenaran mendarat di lapangan terbang itu. Sementara itu, dalam satu laporan portal yang berpusat di Jakarta mendakwa, TNI mengesahkan menahan pesawat sewa khas jenis BAE 146-200 yang dinaiki sejumlah rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Djuanda, Surabaya.

Kata beliau, pesawat tersebut dinaiki 82 penumpang dengan 20 daripadanya termasuk Mohd Ali; isterinya Datin Seri Asmah Abdul Rahman dan seorang anak lelakinya serta pegawai kerajaan negeri dalam perjalanan dari lawatan kerja selama dua hari di Timor Laste.

Menurutnya, setelah dua jam ditahan oleh TNI, beliau terpaksa mendapatkan bantuan pihak kedutaan Malaysia di negara itu bagi membolehkan beliau segera pulang bagi membuat persiapan terakhir lawatan Perdana Menteri di Melaka.

“Mujurlah melalui bantuan pihak kedutaan, enam daripada kami dibenarkan pulang ke tanah air dan tiba kira-kira pukul 12 tengah malam tadi manakala penumpang lain dibenarkan pulang kira-kira tiga jam selepas itu (pukul 2.30 pagi),” katanya.

Menurut Mohd Ali, pihaknya merasakan insiden tersebut berkemungkinan berlaku disebabkan salah faham yang mungkin timbul antara juruterbang dan pihak keselamatan lapangan terbang terbabit. Ini kerana, katanya, tiada masalah berlaku ketika pesawat mula mendarat di lapangan terbang namun insiden itu mula timbul setelah juruterbang membenarkan penumpang keluar dari pesawat.

Bagaimanapun, ujar Mohd Ali insiden yang berlaku tidak akan menjejaskan hubungan satu rumpun antara Malaysia dan Indonesia malah menjadi pengalaman berguna kepada kerajaan negeri dalam membuat persediaan menggunakan pesawat khas penerbangan pada masa depan.

Sumber : Harakah keluaran 25 - 27 MUHARAM 1432 / 31 DISEMBER 2010 - 2 JANUARI 2011

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59