Friday, 21 January 2011

Melaka Maju tetapi 6,000 penduduk dihantui bau busuk


MELAKA 19 Jan. - Masalah bau busuk yang menghantui lebih 6,000 penduduk sekitar Taman Datuk Thamby Chik Karim, Batu Berendam di sini sejak lebih setahun lalu bukan sahaja berpunca daripada air kumbahan dari sebuah loji rawatan di situ.

Siapa sangka, bau busuk itu juga rupa-rupanya terhasil daripada pelbagai sisa buangan kilang yang turut disalurkan ke loji rawatan tersebut.

Keadaan itu menyebabkan loji tersebut tidak dapat melakukan proses rawatan kumbahan dengan sempurna, sekali gus mengeluarkan bau busuk kepada penduduk sekitarnya.

Pengarah Wilayah Selatan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Abdull Sukor Ismail berkata, pihaknya mengesan ada segelintir pengusaha kilang di kawasan perindustrian Taman Thamby Chik Karim mengambil jalan mudah untuk melupuskan sisa industri mereka.

"Selain kumbahan, ada kesan pembuangan sisa-sisa terlarang seperti lemak haiwan di dalam sistem paip kumbahan yang dipercayai dilakukan oleh segelintir pengusaha kilang di sini.

"Keadaan ini mengakibatkan kadar kepekatan air yang tinggi di loji rawatan kumbahan menyebabkan proses rawatan tidak dapat dilakukan dengan baik sekali gus mengeluarkan bau busuk," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau masalah tersebut dan menyerbu beberapa buah kilang di taman perindustrian itu di sini hari ini.

Turut menyertai operasi itu ialah beberapa wakil daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd.

Mengulas lanjut Abdull Sukor berkata, loji rawatan kumbahan itu direka untuk menampung keperluan hampir 7,000 penduduk tetapi ketika ini kawasan itu hanya dihuni kira-kira 4,435 penduduk.

"Ini bermakna, ia masih boleh menampung keperluan rawatan kumbahan bagi kira-kira 2,500 penduduk lagi.

"Kami juga telah mengambil sampel air kumbahan daripada beberapa buah kilang bagi memastikan sama ada mereka terlibat atau tidak dalam kegiatan membuang sisa kilang ke loji tersebut," tegasnya.

Beliau menjelaskan, pembuangan sisa kilang telah menyebabkan kadar kepekatan air di loji rawatan kumbahan itu meningkat antara 100 peratus hingga 200 peratus daripada kadar sepatutnya.

"Sebagai contoh, kadar Biological Oxygen Demand (BOD) di loji tersebut adalah 250, tetapi BOD itu telah meningkat sehingga 815 sejak beberapa bulan lalu," katanya.

BOD merupakan ukuran untuk menentukan kandungan bahan organik di dalam air. Semakin tinggi kandungan bahan organik dalam sampel air, semakin tinggi nilai BOD itu.

Abdull Sukor dalam pada itu turut menegur sikap segelintir pengusaha kilang yang mengambil jalan mudah melupuskan sisa buangan mereka dengan membuangnya ke dalam sistem paip kumbahan.

Sumber UM

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59