Saturday, 29 January 2011

Kerajaan mungkir janji tidak naikkan harga minyak


MELAKA: Kerajaan Umno-BN didakwa mungkir janji apabila sekali lagi menaikkan harga minyak petrol baru-baru ini yang jelas membebankan golongan berpendapatan rendah walaupun sebelum ini kerajaan telah berjanji tiada kenaikan harga minyak petrol dalam masa terdekat.

Menurut Selamat Aman, pekerja swasta, 40, kerajaan sebelum ini telah mengumumkan yang harga minyak petrol tidak akan dinaikan tetapi malangnya kenaikan tetap juga berlaku dengan alasan harga minyak dunia yang diapungkan sejak Julai lalu.

“Rakyat yang sudah begitu terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barang disebabkan kenaikan harga minyak petrol sebelum ini semakin tertekan kerana kenaikan harga yang terbaru ini pasti diikuti dengan kenaikan harga barang dan sebagainya,” katanya.

Seorang suri rumah, Santhi A/P Vellasamy, 43, berkata, kerajaan tidak patut menaikkan lagi harga minyak petrol kerana dengan kenaikan pelbagai kos kehidupan dan harga barangan keperluan masa kini, bagaimana golongan berpendapatan rendah ingin hidup.

“Suami saya cuma bekerja sebagai pengawal keselamatan yang mana gajinya kecil iaitu cuma cukup untuk menampung sewa rumah, makan minum yang ala kadar, belanja persekolahan anak-anak dan bil api serta air. Kalau harga barang naik lagi sedangkan gaji tidak naik masih di takuk lama juga bagaimana kita nak teruskan kehidupan ini, kerajaan kena memikirkan nasib golongan yang susah seperti kami bukannya hanya nak menguntungkan golongan kaya sahaja,” ujar beliau.

Menurut Zainol Abidin Mohd Alwi, bekerja sendiri, 35, Kerajaan BN tidak prihatin dengan kesempitan hidup yang dihadapi rakyat setelah menaikkan harga minyak petrol sebelum ini dan ini amat bercanggah sekali dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan’ di dalam 1Malaysia.

“Saya yang masih bujang turut terkesan dengan kenaikan pelbagai kos dan harga barangan masa kini apatah lagi bagi mereka yang sudah berkeluarga serta mempunyai tanggungan yang besar, yang sudah tentu menjadikan kehidupan mereka semakin terhimpit,” tambahnya.

Sementara bagi Abdul Aziz Mohamad, 49, kerajaan melakukan penipuan kerana telah berjanji tidak menaikkan harga minyak petrol dan perkara sebegini tidak sewajarnya berlaku di dalam negara pengeluar minyak seperti Malaysia.

“Dengan pendapatan yang masih sama tetapi harga minyak telah beberapa kali naik bagaimana orang seperti saya nak mengharungi keperitan bergelut dengan kenaikan pelbagai kos dan harga barang, malah kini saya terpaksa berbasikal ke tempat kerja bagi menjimatkan belanja,” jelasnya.

HARAKAH 10 - 12 SAFAR 1432 / 14 - 1 6 JANUARI 2011

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59