Tuesday, 25 January 2011

Kerajaan BN Melaka gagal kawal pengambilan pasir


KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara 2009 bagi negeri Melaka mendedahkan kerja-kerja pengambilan pasir di Pulau Sebang berhampiran struktur hidraulik landasan jambatan keretapi telah mengakibatkan kesan hakisan yang serius.

Hakisan itu dikesan berlaku akibat pengambilan pasir setelah syarikat yang diberikan projek mendalam dan melebar Sungai Batang Tampin, Mukim Pulau Sebang Daerah Alor Gajah.

Projek tersebut adalah merupakan projek yang diluluskan oleh Jawatankuasa Penswastaan Negeri Melaka pada bulan April 2008. Projek bernilai RM12.75 juta ini telah diberikan kepada sebuah syarikat untuk dilaksanakan dalam tempoh dua tahun meliputi kawasan sungai sepanjang 13.35 kilometer dari Pengkalan ke Pulau Sebang.

Sebagai balasan syarikat dibenarkan mengambil pasir yang dikeluarkan selain perlu membina tebing, landskap dan penanda aras sungai.

Bagi Ketua Audit Negara, secara keseluruhannya pengurusan projek ini adalah tidak memuaskan kerana mengakibatkan gangguan kestabilan tebing dan rejim sungai serta menjejaskan kualiti air sungai. Antara kelemahan yang dikenal pasti ialah kelewatan penyediaan dokumen perjanjian, ketidakpatuhan kepada Akta Kualiti Alam Sekitar mengenai syarat pengeluaran pasir kepada syarikat yang diberikan konsesi.

Selain itu Ketua Audit Negara juga mengesan kegagalan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) mengambil tindakan terhadap syarikat kerana tidak mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Malah lebih mendukacitakan syarikat terbabit dibiarkan beroperasi selama lapan bulan tanpa perjanjian. Jabatan yang mewakili kerajaan negeri tidak dinyatakan dengan jelas dalam perjanjian manakala spesifikasi projek tidak disediakan oleh syarikat yang telah menjejaskan kelancaran projek, kata Laporan Ketua Audit Negara 2009.

Syarat JPS mengenai penyediaan Kajian Hidraulik dan Hidrologi sebelum pasir sungai dikeluarkan juga tidak dipatuhi oleh syarikat, sementara pelebaran sungai dan kecerunan tebing sungai telah melebihi keluasan yang ditetapkan oleh JPS. Pengauditan yang dijalankan pada bulan September hingga Disember 2009 mendapati pada keseluruhan pelaksanaan projek mendalam dan melebarkan kawasan Sungai Batang Tampin, Pulau Sebang, Alor Gajah adalah tidak memuaskan kerana mengakibatkan gangguan kestabilan tebing dan rejim sungai serta menjejaskan kualiti air sungai.

Syarikat Raflesia (M) Sdn. Bhd. sepatutnya menyiapkan projek sepanjang 13.35 kilometer dalam tempoh dua tahun berakhir Ogos 2010 dengan kos RM12.75 juta ditanggung oleh syarikat ini.

Bagaimanapun sehingga Mac 2010, syarikat ini hanya menyiapkan kerja pembinaan tebing sejauh dua kilometer sahaja. Syarikat ini juga didapati masih belum memulakan kerja landskap dan penanda aras sungai seperti perjanjian, kata laporan itu.

Audit juga mendapati, projek itu memberi kesan kepada kualiti air sungai berdasarkan keputusan ujian kualiti air oleh JAS, didapati bacaan bagi pelepasan pepejal terampai adalah tinggi di bahagian hilir sungai (Kunci Air Padang Sebang).

Pelepasan berlebihan akan menyebabkan sungai menjadi keruh dan tercemar, dan pada pendapat Audit, berdasarkan ujian kualiti air yang telah dijalankan oleh JAS didapati kerja mengorek pasir telah menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai.

Audit juga berpendirian syarikat tersebut tidak mematuhi nisbah kecerunan tebing sungai dan ini memberi kesan kepada kestabilan tebing dan rejim sungai. Audit melaporkan, aktiviti pengambilan pasir memberi kesan kepada tebing sungai.Ini kerana garis panduan JPS menetapkan bahawa pasir tidak boleh diambil dalam lingkungan 100 meter dari sebarang struktur hidraulik.

Pasir juga tidak boleh diambil di mana hakisan terjadi atau dijangka berlaku umpamanya di liku tebing yang cekung (concave bank). Semakan Audit mendapati syarikat ini tidak menyediakan dan menyerahkan kajian hidraulik dan hidrologi tersebut kepada JPS.

Akibatnya kawasan pengambilan pasir tidak dapat ditentukan dengan tepat bagi engelakkan kerosakan kepada struktur hidraulik berdekatan. Semakan lanjut ke atas laporan pemantauan JPS mendapati Syarikat ini telah melaksanakan kerja pengambilan pasir di kawasan tebing sungai yang cekung dan dalam jarak 150 meter daripada struktur hidraulik iaitu landasan jambatan keretapi milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

JPS telah melaporkan kesan hakisan yang teruk walaupun kerja pengambilan pasir dilakukan di luar dari lingkungan 100 meter dari jambatan kerana Syarikat ini tidak menjalankan kajian hidraulik dan hidrologi. Kesan kerosakan tebing yang dilaporkan oleh KTMB dan JPS.

Pada pendapat Audit, Syarikat ini tidak mematuhi syarat JPS supaya menyediakan kajian hidraulik dan hidrologi. Kerja-kerja pengambilan pasir berhampiran struktur hidraulik landasan jambatan keretapi telah mengakibatkan kesan hakisan yang serius.

Surat JPS pada 5 Februari 2009 memaklumkan bahawa kelebaran sungai yang dibenarkan ialah 20 meter sahaja dan bakinya 10 meter rizab kiri dan kanan tebing sungai untuk kerja penyelenggaraan.

Lawatan Audit pada 5 November 2009 mendapati sungai telah dilebarkan melebihi ukuran yang dicadangkan. Pada keseluruhannya pengurusan projek mendalam dan melebarkan kawasan Sungai Batang Tampin, Sebang, Alor Gajah,dilaksanakan dengan tidak memuaskan.

“Projek ini juga didapati memberi impak negatif kepada alam sekitar. Bagi memperbaiki kelemahan yang dibangkitkan dalam laporan ini dan juga memastikan perkara yang sama tidak berulang dalam pelaksanaan projek yang lain,” kata Laporan Ketua Audit negara 2009.

Sumber : Harakah 6 - 9 SAFAR 1432 / 10 - 13 JANUARI 2011

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59