Sunday, 23 January 2011

Berhati - hati penduduk Melaka apabila mendapatkan rawatan perubatan


AYER KEROH - Sepasang warga emas rasa tertipu kerana rawatan homeopati yang dijalankan tidak berkesan selepas membuat bayaran sebanyak RM14,000.

Salihah Biran, 54, dan suaminya, Sarip Said, 61, juga terkilan kerana wang itu adalah simpanan mereka untuk menunaikan haji.

Salihah berkata, RM7,000 adalah daripada simpananya, sementara RM5,000 pula :simpa�nan suaminya dan baki RM2,000 pula dipinjam daripada abangnya.

“Abang menyarankan saya mendapatkan rawatan di klinik perubatan homeopati terbabit kerana kakak ipar telah menjalankan rawatan di situ.

“Atas dasar ingin mencuba, kami berjumpa doktor yang melakukan rawatan dan menceritakan masalah serta penyakit yang dihadapi saya, suami serta anak,” katanya pada sidang media di Pejabat Pelindung Pengguna Negeri Melaka, di sini.

Menurutnya, doktor terbabit memberi jaminan penyakit mereka boleh sembuh apabila mendapatkan rawatan daripadanya.

“Saya menghidap penyakit batu karang, buah pinggang dan sakit lutut, sementara suami pula ada kencing manis dan serta kolesterol tinggi.

“Ubat yang diberikan bukan untuk kami berdua sahaja, malah diberikan juga buat anak kami, Faizal, 33, yang mengalami penyakit mental,” katanya.

Salihah berkata, ketika mendapatkan rawa-tan dengan doktor terbabit, mereka tidak dibenarkan mengambil sebarang ubat-ubatan daripada hospital.

“Disebabkan anak meninggalkan pengambilan ubat hospital seperti biasa, keadaannya semakin teruk dan tidak terkawal.

“Lebih mendukacitakan, tahap kesihatan saya dan suami tidak berubah walaupun memakan bekalan ubat yang diberikan selama sebulan,” katanya.

Menurutnya, dia telah menghubungi doktor terbabit dan kali ini meminta mereka makan semula ubat hospital.

“Tidak puas hati dengan kata-katanya, kami menelefonnya semula dan tiada jawapan diterima.

“Kami pergi ke cawangan di Taman Merak di Bukit Katil tetapi telah ditutup dan kami terus mencarinya di cawangan yang dibuka di Kuala Lumpur namun hampa kerana ia juga sudah tidak beroperasi,”katanya.

Sebelum ini, Salihah dan Sarip telah membuat laporan polis mengenai kejadian yang menimpa mereka tetapi pihak berkenaan tidak dapat mengambil tindakan kerana ia adalah di luar bidang kuasa mereka.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Pelindung Pengguna negeri Melaka, Datuk Saharuddin Awang Yahya berkata, beliau difahamkan ubat yang diterima mangsa tidak mendapat pengiktirafan dan tiada label MAL (Malaysia).

“Saya percaya berlaku penipuan. Bayaran RM14,000 ini sangat tinggi sekiranya dikenakan bagi ubatan yang dibekalkan mereka.

“Mereka juga diminta untuk membayarnya sekali gus, sedangkan kos rawatan biasanya dibayar mengikut tahap rawatan yang dilakukan secara berperingkat,” katanya.

Menurutnya, biasanya pesakit juga terlebih dahulu akan dimaklumkan pihak hospital mahupun klinik mengenai kos rawatan yang perlu ditanggung mereka.

“Saya harap kejadian ini dijadikan pengajaran kepada pengguna lain,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59