Sunday, 30 January 2011

PAS berperanan besar kekalkan perpaduan


MELAKA: PAS memainkan peranan yang besar dalam mengekalkan perpaduan kaum di dalam negara ini sejak sekian lama kerana ianya adalah perintah Allah di dalam al-Quran yang menjadi tunjang utama perjuangan PAS, tegas Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata demikian, ketika berucap sebagai panelis pada forum ‘PR Sedia Memimpin Melaka’ di Dewan Rakyat, Pejabat DAP Melaka, Jalan Pandan, di sini dan antara panelis yang lain adalah Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him dan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching.

“Islam bagitahu mesti hormat manusia tak kira Melayu, Cina, India atau orang putih dan bukan kerana parti bagitahu tapi al-Quran yang bagitahu akan tetapi malangnya Umno tak faham.

“PAS sedia berdialog dan PAS banyak bantu kekalkan perpaduan kaum malah saya sudah masuk 10 gereja berdialog hingga mereka sekarang sudah faham dan boleh fikir, Melayu, Cina serta India ini negara kita Malaysia.

“Itu sebab kita mesti tolak BN kalau tidak negara ini akan kacau kerana kita semua mahu hidup aman damai, kita bukan parti perkauman tapi Umno rasis dan perkauman sempit, PAS tak ganggu agama lain tapi sama-sama hormat-menghormati,” katanya.

Beliau turut menyelar sikap hipokrit Umno-BN yang mengajak kepada perpaduan 1Malaysia tetapi pada masa sama berterusan memainkan sentimen perkauman dari masa ke semasa bagi meraih sokongan rakyat dan bertujuan memecahkan kesatuan Pakatan Rakyat.

“Isu agama tak jadi kerana mereka cuba ajak PAS tapi kita tak layan dan mereka kata PAS tunggangan DAP tapi sebenarnya PAS bukan tunggangan DAP akan tetapi memandu DAP mengenai Islam yang syumul,” ujarnya.

Selain itu menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikesan sedang menjalankan pelbagai srategi untuk memenangkan Umno-BN pada pilihan raya akan datang seperti memperbanyakkan undi pos, beri kad pengenalan kepada warga asing di Sabah dan Sarawak serta persempadanan semula kawasan pilihan raya.

“Amaran pada SPR kalau tak berubah nanti 500 ribu rakyat akan turun tuntut pilihan raya yang bersih dan kalau tak ubah kita akan ubah mereka, itu sebabnya kita minta celup jari dengan dakwat selepas mengundi bagi elakkan penipuan,” jelasnya.

HARAKAH 17 - 19 SAFAR 1432 / 21 - 23 JANUARI 2011


Saturday, 29 January 2011

Kerajaan mungkir janji tidak naikkan harga minyak


MELAKA: Kerajaan Umno-BN didakwa mungkir janji apabila sekali lagi menaikkan harga minyak petrol baru-baru ini yang jelas membebankan golongan berpendapatan rendah walaupun sebelum ini kerajaan telah berjanji tiada kenaikan harga minyak petrol dalam masa terdekat.

Menurut Selamat Aman, pekerja swasta, 40, kerajaan sebelum ini telah mengumumkan yang harga minyak petrol tidak akan dinaikan tetapi malangnya kenaikan tetap juga berlaku dengan alasan harga minyak dunia yang diapungkan sejak Julai lalu.

“Rakyat yang sudah begitu terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barang disebabkan kenaikan harga minyak petrol sebelum ini semakin tertekan kerana kenaikan harga yang terbaru ini pasti diikuti dengan kenaikan harga barang dan sebagainya,” katanya.

Seorang suri rumah, Santhi A/P Vellasamy, 43, berkata, kerajaan tidak patut menaikkan lagi harga minyak petrol kerana dengan kenaikan pelbagai kos kehidupan dan harga barangan keperluan masa kini, bagaimana golongan berpendapatan rendah ingin hidup.

“Suami saya cuma bekerja sebagai pengawal keselamatan yang mana gajinya kecil iaitu cuma cukup untuk menampung sewa rumah, makan minum yang ala kadar, belanja persekolahan anak-anak dan bil api serta air. Kalau harga barang naik lagi sedangkan gaji tidak naik masih di takuk lama juga bagaimana kita nak teruskan kehidupan ini, kerajaan kena memikirkan nasib golongan yang susah seperti kami bukannya hanya nak menguntungkan golongan kaya sahaja,” ujar beliau.

Menurut Zainol Abidin Mohd Alwi, bekerja sendiri, 35, Kerajaan BN tidak prihatin dengan kesempitan hidup yang dihadapi rakyat setelah menaikkan harga minyak petrol sebelum ini dan ini amat bercanggah sekali dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan’ di dalam 1Malaysia.

“Saya yang masih bujang turut terkesan dengan kenaikan pelbagai kos dan harga barangan masa kini apatah lagi bagi mereka yang sudah berkeluarga serta mempunyai tanggungan yang besar, yang sudah tentu menjadikan kehidupan mereka semakin terhimpit,” tambahnya.

Sementara bagi Abdul Aziz Mohamad, 49, kerajaan melakukan penipuan kerana telah berjanji tidak menaikkan harga minyak petrol dan perkara sebegini tidak sewajarnya berlaku di dalam negara pengeluar minyak seperti Malaysia.

“Dengan pendapatan yang masih sama tetapi harga minyak telah beberapa kali naik bagaimana orang seperti saya nak mengharungi keperitan bergelut dengan kenaikan pelbagai kos dan harga barang, malah kini saya terpaksa berbasikal ke tempat kerja bagi menjimatkan belanja,” jelasnya.

HARAKAH 10 - 12 SAFAR 1432 / 14 - 1 6 JANUARI 2011


Thursday, 27 January 2011

Sistem saliran teruk di Merlimau mencemarkan Melaka Negeri Maju 2010


Melaka: Penduduk di sekitar Tadika Jabatan Agama Islam (Jaim) Merlimau Pasir, di sini kesal dengan tindakan jabatan berkenaan yang mengabaikan sistem perparitannya sehingga mendatangkan pelbagai masalah yang mengganggu keselesaan hidup mereka selama ini.

Tadika Jaim yang baru beberapa tahun disiapkan itu tidak membina saluran longkangnya dengan sempurna menyebabkan salirannya tersumbat dan menimbulkan bau busuk di
kawasan sekitarnya.

Menurut Rosli Abu, 43, perkara berkenaan telah beberapa kali diadukan kepada pihak yang berkaitan sejak sekian lama tetapi tiada tindakan diambil untuk mengatasinya.

“Saya menelefon Jabatan Kerja Raya Jasin kerana membuat aduan terhadap permasalahan longkang yang menghantui kami tetapi dijawab oleh mereka bahawa Jaim tiada peruntukan untuk membuat longkang tersebut.



“Saya pertikaikan bagaimana mereka boleh membina bangunan tadika itu tanpa mengambil kira atau merangka pelan salirannya sekali kerana biasanya ia termasuk di dalam bajet yang diberikan.” katanya.

Beliau menambah, antara masalah yang dihadapi oleh mereka selain daripada pencemaran bau, mereka juga berdepan dengan masalah nyamuk dan dibimbangi boleh menyebabkan berlakunya serangan denggi terutama kepada kanak-kanak di tadika itu.

Malah katanya, permasalahan saliran yang tidak sempurna itu juga menyebabkan berlakunya banjir kilat apabila setiap kali hujan lebat melanda kawasan itu sehingga mendatangkan kerugian kepada harta-benda penduduk terbabit.

Sebelum ini, projek pembinaan bangunan tadika itu telah terbengkalai hampir lima tahun dan sehingga kawasannya dipenuhi dengan semak-samun tetapi apabila didedahkan oleh pihak media baharulah projek tersebut dijalankan dengan tergesa-gesa sampai mengabaikan sistem salirannya.

Sumber berita: HARAKAH • 6 – 9 SAFAR 1432 / 10 – 13 JANUARI 2011


Wednesday, 26 January 2011

Pantun PRK DUN Tenang - PRK DUN Merlimau


Barang yang lepas jangan dikenang,
Kalau dikenang hati pun kacau,
Pergi ke Labis bawa bertenang,
Lepas DUN Tenang, menyusul Merlimau.

Tajam kapak dari beliung,
Pokok limau dipanjat petola,
PRK Tenang habuan 1.6 bilion,
Di Merlimau banyak mana pula?

Anak rimau berenang-renang,
Pergi Merlimau selepas Tenang,
Sebelum berjaya kita mesti 'berperang',
Biar Barisan duduk tak senang.

Daun sireh berpintal ganja,
Daun ganja mahal harganya,
Pakatan di Tenang membawa wanita,
Nanti di Merlimau siapa agaknya?


* Pantun diubahsuai daripada sms Setiausaha PAS Cawangan Taman Cempaka dan posting "SB PAS" di Facebook Sahabat Pemuda PAS Bukit Katil. Kredit untuk Hj. Md Nor dan 'Umno Suke Masjid'.


Tuesday, 25 January 2011

Kerajaan BN Melaka gagal kawal pengambilan pasir


KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara 2009 bagi negeri Melaka mendedahkan kerja-kerja pengambilan pasir di Pulau Sebang berhampiran struktur hidraulik landasan jambatan keretapi telah mengakibatkan kesan hakisan yang serius.

Hakisan itu dikesan berlaku akibat pengambilan pasir setelah syarikat yang diberikan projek mendalam dan melebar Sungai Batang Tampin, Mukim Pulau Sebang Daerah Alor Gajah.

Projek tersebut adalah merupakan projek yang diluluskan oleh Jawatankuasa Penswastaan Negeri Melaka pada bulan April 2008. Projek bernilai RM12.75 juta ini telah diberikan kepada sebuah syarikat untuk dilaksanakan dalam tempoh dua tahun meliputi kawasan sungai sepanjang 13.35 kilometer dari Pengkalan ke Pulau Sebang.

Sebagai balasan syarikat dibenarkan mengambil pasir yang dikeluarkan selain perlu membina tebing, landskap dan penanda aras sungai.

Bagi Ketua Audit Negara, secara keseluruhannya pengurusan projek ini adalah tidak memuaskan kerana mengakibatkan gangguan kestabilan tebing dan rejim sungai serta menjejaskan kualiti air sungai. Antara kelemahan yang dikenal pasti ialah kelewatan penyediaan dokumen perjanjian, ketidakpatuhan kepada Akta Kualiti Alam Sekitar mengenai syarat pengeluaran pasir kepada syarikat yang diberikan konsesi.

Selain itu Ketua Audit Negara juga mengesan kegagalan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) mengambil tindakan terhadap syarikat kerana tidak mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Malah lebih mendukacitakan syarikat terbabit dibiarkan beroperasi selama lapan bulan tanpa perjanjian. Jabatan yang mewakili kerajaan negeri tidak dinyatakan dengan jelas dalam perjanjian manakala spesifikasi projek tidak disediakan oleh syarikat yang telah menjejaskan kelancaran projek, kata Laporan Ketua Audit Negara 2009.

Syarat JPS mengenai penyediaan Kajian Hidraulik dan Hidrologi sebelum pasir sungai dikeluarkan juga tidak dipatuhi oleh syarikat, sementara pelebaran sungai dan kecerunan tebing sungai telah melebihi keluasan yang ditetapkan oleh JPS. Pengauditan yang dijalankan pada bulan September hingga Disember 2009 mendapati pada keseluruhan pelaksanaan projek mendalam dan melebarkan kawasan Sungai Batang Tampin, Pulau Sebang, Alor Gajah adalah tidak memuaskan kerana mengakibatkan gangguan kestabilan tebing dan rejim sungai serta menjejaskan kualiti air sungai.

Syarikat Raflesia (M) Sdn. Bhd. sepatutnya menyiapkan projek sepanjang 13.35 kilometer dalam tempoh dua tahun berakhir Ogos 2010 dengan kos RM12.75 juta ditanggung oleh syarikat ini.

Bagaimanapun sehingga Mac 2010, syarikat ini hanya menyiapkan kerja pembinaan tebing sejauh dua kilometer sahaja. Syarikat ini juga didapati masih belum memulakan kerja landskap dan penanda aras sungai seperti perjanjian, kata laporan itu.

Audit juga mendapati, projek itu memberi kesan kepada kualiti air sungai berdasarkan keputusan ujian kualiti air oleh JAS, didapati bacaan bagi pelepasan pepejal terampai adalah tinggi di bahagian hilir sungai (Kunci Air Padang Sebang).

Pelepasan berlebihan akan menyebabkan sungai menjadi keruh dan tercemar, dan pada pendapat Audit, berdasarkan ujian kualiti air yang telah dijalankan oleh JAS didapati kerja mengorek pasir telah menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai.

Audit juga berpendirian syarikat tersebut tidak mematuhi nisbah kecerunan tebing sungai dan ini memberi kesan kepada kestabilan tebing dan rejim sungai. Audit melaporkan, aktiviti pengambilan pasir memberi kesan kepada tebing sungai.Ini kerana garis panduan JPS menetapkan bahawa pasir tidak boleh diambil dalam lingkungan 100 meter dari sebarang struktur hidraulik.

Pasir juga tidak boleh diambil di mana hakisan terjadi atau dijangka berlaku umpamanya di liku tebing yang cekung (concave bank). Semakan Audit mendapati syarikat ini tidak menyediakan dan menyerahkan kajian hidraulik dan hidrologi tersebut kepada JPS.

Akibatnya kawasan pengambilan pasir tidak dapat ditentukan dengan tepat bagi engelakkan kerosakan kepada struktur hidraulik berdekatan. Semakan lanjut ke atas laporan pemantauan JPS mendapati Syarikat ini telah melaksanakan kerja pengambilan pasir di kawasan tebing sungai yang cekung dan dalam jarak 150 meter daripada struktur hidraulik iaitu landasan jambatan keretapi milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

JPS telah melaporkan kesan hakisan yang teruk walaupun kerja pengambilan pasir dilakukan di luar dari lingkungan 100 meter dari jambatan kerana Syarikat ini tidak menjalankan kajian hidraulik dan hidrologi. Kesan kerosakan tebing yang dilaporkan oleh KTMB dan JPS.

Pada pendapat Audit, Syarikat ini tidak mematuhi syarat JPS supaya menyediakan kajian hidraulik dan hidrologi. Kerja-kerja pengambilan pasir berhampiran struktur hidraulik landasan jambatan keretapi telah mengakibatkan kesan hakisan yang serius.

Surat JPS pada 5 Februari 2009 memaklumkan bahawa kelebaran sungai yang dibenarkan ialah 20 meter sahaja dan bakinya 10 meter rizab kiri dan kanan tebing sungai untuk kerja penyelenggaraan.

Lawatan Audit pada 5 November 2009 mendapati sungai telah dilebarkan melebihi ukuran yang dicadangkan. Pada keseluruhannya pengurusan projek mendalam dan melebarkan kawasan Sungai Batang Tampin, Sebang, Alor Gajah,dilaksanakan dengan tidak memuaskan.

“Projek ini juga didapati memberi impak negatif kepada alam sekitar. Bagi memperbaiki kelemahan yang dibangkitkan dalam laporan ini dan juga memastikan perkara yang sama tidak berulang dalam pelaksanaan projek yang lain,” kata Laporan Ketua Audit negara 2009.

Sumber : Harakah 6 - 9 SAFAR 1432 / 10 - 13 JANUARI 2011


Monday, 24 January 2011

Masalah parit : kali ini di Bukit Pulau


Baru sahaja berita tentang masalah longkang di Taman Harta Pertama, Bukit Baru dipaparkan di Harakahdaily.com dan laman blog ini pada bulan lepas, kini isu yang hampir serupa melanda Kampung Bukit Pulau yang terletak bersebelahan dengan taman perumahan tersebut. Bezanya, parit di Bukit Pulau sedang menjalani proses menaik taraf namun apa yang berlaku adalah terdapat sesuatu yang ‘tidak kena' pada projek tersebut.

Projek parit di Bukit Pulau dikatakan tidak menepati piawaian yang ditetapkan apabila benteng batu yang dibina di tepi parit telah membuatkan laluan parit menjadi kecil. Ia dipercayai disebabkan oleh struktur tebing parit yang tidak cukup kuat untuk menampung benteng batu lalu menyebabkan sebahagian daripada benteng batu yang dibina ‘melorot’ ke bahagian tengah parit.

Tinjauan wakil Dewan Pemuda PAS Bukit Katil bersama dengan Penyelia DUN Bukit Katil, Cikgu Yusof Wahab baru – baru ini mendapati bongkah – bongkah batu yang sepatutnya menjadi benteng untuk menyokong tebing parit telah beralih kedudukan ke bahagian tengah parit. Ia telah menyebabkan laluan air menjadi sempit dan dikhuatiri akan menyebabkan perjalanan air menjadi tidak lancar apabila hujan lebat.


Tebing batu yang mengecilkan laluan parit

Cikgu Yusof Wahab dalam ulasan beliau mempertikaikan perlaksanaan projek ini yang mana sepatutnya perancangan dan kajian rapi tentang struktur tanah dilakukan dengan sempurna sebelum projek dijalankan.

“ Adakah pemilihan kontraktor yang diamanahkan untuk melaksanakan projek ini dibuat dengan telus dan berdasarkan kelayakan yang sewajarnya? Kita tidak mahu kos projek akan meningkat dengan kadar yang tidak munasabah akibat daripada kecuaian dan ketidakcekapan kontraktor yang terlibat “, ujar beliau.

Mat Zin, 45, yang merupakan salah seorang daripada ratusan penduduk tempatan yang sering berulang – alik menggunakan laluan jalan di tepi parit tersebut juga melahirkan kekhuatiran beliau tentang masalah banjir yang mungkin berlaku akibat daripada masalah ini.

“ Sebelum ini di beberapa tempat di kampung ini telah berlaku kejadian air parit melimpah ke tengah jalan di bahagian lain parit besar ini. Kita khuatir masalah banjir ini akan berlarutan malah merebak pula ke bahagian parit yang tidak dinaik-taraf dengan betul, akibat daripada kecuaian pihak yang berwajib terhadap projek ini”, kata beliau.

Laporan oleh Musab Umair

Penyelia Dun Bukit Baru menunjukkan saliran parit yang mengecil

Saliran asal parit yang lebar


Susulan Penahanan AJK Pemuda PAS Kawasan Jasin : Pemuda PAS Melaka buat bantahan


MELAKA: Pemuda PAS Melaka membantah penahanan tiga Ahli Jawatankuasanya pada malam tahun baru ketika program ‘Ekspedisi Dakwah’ mengedarkan risalah penerangan kepada orang ramai di Dataran Sejarah, Ayer Keroh, di sini.

Menurut Ketua Pemuda PAS Melaka, Ustaz Kamaruddin Sedik bahawa Pemuda PAS membantah keras serta kecewa dengan penahanan tersebut dan mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

“Mereka ditahan kira-kira jam 12.00 tengah malam dan hanya dibebaskan sekitar tengah hari keesokan harinya malah langsung tidak diberikan sebarang makanan. Lebih menyedihkan mereka juga cuba dinafikan hak untuk bersolat subuh sehingga tinggal lima minit lagi habis waktu baru dibenarkan solat setelah didesak berkali-kali,” ujarnya.

Tambah beliau, mereka yang ditahan itu adalah sebahagian daripada 30 Pemuda PAS yang mengedarkan risalah sempena Sambutan Tahun Baru pada 31 Disember lalu yang dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu di Dataran Sejarah, Ayer Keroh dan Dataran Pahlawan Banda Hilir.

“Ekspedisi Dakwah ini adalah aktiviti tahunan yang kita adakan pada setiap kali Sambutan Hari Kemerdekaan dan Tahun Baru tetapi pada kali ini pihak penguatkuasa Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menghalang usaha murni kami sehingga berlaku pertikaman lidah yang membawa kepada penahanan mereka bertiga.

“Sepatutnya perkara seperti ini tidak berlaku dan kita harap pihak keselamatan berlaku adil terhadap kami di dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pegawai keselamatan bukannya bertindak atas dasar kepentingan politik Umno-BN.

“Tindakan seperti tidak akan mematahkan semangat kami untuk meneruskan penyampaian maklumat kepada rakyat khususnya di Melaka ini agar mereka melakukan perubahan demi kesejahteraan hidup semua masyarakat,” katanya.



Sumber : Harakah keluaran 3 – 5 SAFAR 1432 / 7 – 9 JANUARI 2011


Sunday, 23 January 2011

Berhati - hati penduduk Melaka apabila mendapatkan rawatan perubatan


AYER KEROH - Sepasang warga emas rasa tertipu kerana rawatan homeopati yang dijalankan tidak berkesan selepas membuat bayaran sebanyak RM14,000.

Salihah Biran, 54, dan suaminya, Sarip Said, 61, juga terkilan kerana wang itu adalah simpanan mereka untuk menunaikan haji.

Salihah berkata, RM7,000 adalah daripada simpananya, sementara RM5,000 pula :simpa�nan suaminya dan baki RM2,000 pula dipinjam daripada abangnya.

“Abang menyarankan saya mendapatkan rawatan di klinik perubatan homeopati terbabit kerana kakak ipar telah menjalankan rawatan di situ.

“Atas dasar ingin mencuba, kami berjumpa doktor yang melakukan rawatan dan menceritakan masalah serta penyakit yang dihadapi saya, suami serta anak,” katanya pada sidang media di Pejabat Pelindung Pengguna Negeri Melaka, di sini.

Menurutnya, doktor terbabit memberi jaminan penyakit mereka boleh sembuh apabila mendapatkan rawatan daripadanya.

“Saya menghidap penyakit batu karang, buah pinggang dan sakit lutut, sementara suami pula ada kencing manis dan serta kolesterol tinggi.

“Ubat yang diberikan bukan untuk kami berdua sahaja, malah diberikan juga buat anak kami, Faizal, 33, yang mengalami penyakit mental,” katanya.

Salihah berkata, ketika mendapatkan rawa-tan dengan doktor terbabit, mereka tidak dibenarkan mengambil sebarang ubat-ubatan daripada hospital.

“Disebabkan anak meninggalkan pengambilan ubat hospital seperti biasa, keadaannya semakin teruk dan tidak terkawal.

“Lebih mendukacitakan, tahap kesihatan saya dan suami tidak berubah walaupun memakan bekalan ubat yang diberikan selama sebulan,” katanya.

Menurutnya, dia telah menghubungi doktor terbabit dan kali ini meminta mereka makan semula ubat hospital.

“Tidak puas hati dengan kata-katanya, kami menelefonnya semula dan tiada jawapan diterima.

“Kami pergi ke cawangan di Taman Merak di Bukit Katil tetapi telah ditutup dan kami terus mencarinya di cawangan yang dibuka di Kuala Lumpur namun hampa kerana ia juga sudah tidak beroperasi,”katanya.

Sebelum ini, Salihah dan Sarip telah membuat laporan polis mengenai kejadian yang menimpa mereka tetapi pihak berkenaan tidak dapat mengambil tindakan kerana ia adalah di luar bidang kuasa mereka.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Pelindung Pengguna negeri Melaka, Datuk Saharuddin Awang Yahya berkata, beliau difahamkan ubat yang diterima mangsa tidak mendapat pengiktirafan dan tiada label MAL (Malaysia).

“Saya percaya berlaku penipuan. Bayaran RM14,000 ini sangat tinggi sekiranya dikenakan bagi ubatan yang dibekalkan mereka.

“Mereka juga diminta untuk membayarnya sekali gus, sedangkan kos rawatan biasanya dibayar mengikut tahap rawatan yang dilakukan secara berperingkat,” katanya.

Menurutnya, biasanya pesakit juga terlebih dahulu akan dimaklumkan pihak hospital mahupun klinik mengenai kos rawatan yang perlu ditanggung mereka.

“Saya harap kejadian ini dijadikan pengajaran kepada pengguna lain,” katanya.

Sumber : Sinar Harian


Saturday, 22 January 2011

SPR mungkin boleh halang PRK Pelabuhan Kelang, tapi tak boleh nak halang PRK Merlimau


Pemergian Allahyarham Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, ADUN Merlimau yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka memang tidak diduga oleh sesiapa sekalipun beliau telah dimasukkan ke hospital sejak minggu lepas selepas mengadu sakit dada.

Kekosongan kerusi berkenaan menyaksikan satu lagi pilihan raya kecil bakal diadakan iaitu yang ke-15 selepas pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor yang jatuh pada 30 Januari ini.

Hasrat SPR yang mengharapkan pilihanraya kecil DUN Tenang akan menjadi pilihanraya yang terakhir sebelum negara melangkah ke pilihan raya umum nampaknya tidak kesampaian.



Ia sebagai bukti bahawa kuasa dan perancangan Allah sentiasa mengatasi kuasa dan perancangan manusia.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada sidang akhbar yang diadakan untuk mengumumkan tarikh pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang beberapa hari lalu menyatakan bahawa SPR telah membelanjakan lebih RM10 juta untuk mengendalikan 13 pilihan raya kecil setakat ini berharap pilihan raya kecil ke-14, di Johor, akan menjadi yang terakhir sebelum negara melangkah ke pilihan raya umum.

Setakat ini SPR telah mengendalikan 13 pilihan raya kecil dengan yang pertama pada Ogos 2008 membabitkan kerusi Parlimen Permatang Pauh dan yang terakhir kerusi DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi awal bulan lalu. PRK Tenang adalah yang ke 14 sementara Merlimau nanti adalah yang ke 15.

Namun, pilihan raya kecil sepanjang tempoh selepas Mac 2008 hingga sekarang bukan kali pertama negara menyaksikan pilihan raya kecil yang banyak jumlahnya.

Yang paling banyak iala sebanyak 16 pilihan raya kecil telah diadakan sepanjang tempoh antara 1995 dan 1998 iaitu sebelum pilihan raya umum 1999.

Merlimau adalah sebuah pekan yang terletak di tengah perjalanan antara Bandaraya Melaka dan Bandar Muar, Johor. Jaraknya adalah kira-kira 23 km dari Bandaraya Melaka dan Muar serta 22 km selatan dari bandar Jasin.

Fakta:

Jumlah Pengundi: 10,471
Peratusan Kaum: M:64.69% C:21.11% I:14.16% L:0.04%

N27 Merlimau, di dalam pilihanraya umum yang lepas menyaksikan pertandingan dua penjuru diantara BN dan PAS. Di dalam pilihanraya sebelumnya (2004) Allahyarham Datuk Mohd. Hidhir Abu Hassan (BN) telah memenanginya dengan majoriti 5,087 undi. Pada PRU 2008, majoriti BN merosot dan hanya menang dengan 2,154.

Ini bermakna PAS hanya perlukan peralihan undi sekitar seribu lebih sahaja lagi untuk merampas kerusi DUN Merlimau selain mengekalkan jumlah undi pada PRU12 yang lalu.

Dari Tenang kita ke Merlimau pula nanti./PASPB

Artikel asal : Selatan Online


Friday, 21 January 2011

Melaka Maju tetapi 6,000 penduduk dihantui bau busuk


MELAKA 19 Jan. - Masalah bau busuk yang menghantui lebih 6,000 penduduk sekitar Taman Datuk Thamby Chik Karim, Batu Berendam di sini sejak lebih setahun lalu bukan sahaja berpunca daripada air kumbahan dari sebuah loji rawatan di situ.

Siapa sangka, bau busuk itu juga rupa-rupanya terhasil daripada pelbagai sisa buangan kilang yang turut disalurkan ke loji rawatan tersebut.

Keadaan itu menyebabkan loji tersebut tidak dapat melakukan proses rawatan kumbahan dengan sempurna, sekali gus mengeluarkan bau busuk kepada penduduk sekitarnya.

Pengarah Wilayah Selatan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Abdull Sukor Ismail berkata, pihaknya mengesan ada segelintir pengusaha kilang di kawasan perindustrian Taman Thamby Chik Karim mengambil jalan mudah untuk melupuskan sisa industri mereka.

"Selain kumbahan, ada kesan pembuangan sisa-sisa terlarang seperti lemak haiwan di dalam sistem paip kumbahan yang dipercayai dilakukan oleh segelintir pengusaha kilang di sini.

"Keadaan ini mengakibatkan kadar kepekatan air yang tinggi di loji rawatan kumbahan menyebabkan proses rawatan tidak dapat dilakukan dengan baik sekali gus mengeluarkan bau busuk," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau masalah tersebut dan menyerbu beberapa buah kilang di taman perindustrian itu di sini hari ini.

Turut menyertai operasi itu ialah beberapa wakil daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd.

Mengulas lanjut Abdull Sukor berkata, loji rawatan kumbahan itu direka untuk menampung keperluan hampir 7,000 penduduk tetapi ketika ini kawasan itu hanya dihuni kira-kira 4,435 penduduk.

"Ini bermakna, ia masih boleh menampung keperluan rawatan kumbahan bagi kira-kira 2,500 penduduk lagi.

"Kami juga telah mengambil sampel air kumbahan daripada beberapa buah kilang bagi memastikan sama ada mereka terlibat atau tidak dalam kegiatan membuang sisa kilang ke loji tersebut," tegasnya.

Beliau menjelaskan, pembuangan sisa kilang telah menyebabkan kadar kepekatan air di loji rawatan kumbahan itu meningkat antara 100 peratus hingga 200 peratus daripada kadar sepatutnya.

"Sebagai contoh, kadar Biological Oxygen Demand (BOD) di loji tersebut adalah 250, tetapi BOD itu telah meningkat sehingga 815 sejak beberapa bulan lalu," katanya.

BOD merupakan ukuran untuk menentukan kandungan bahan organik di dalam air. Semakin tinggi kandungan bahan organik dalam sampel air, semakin tinggi nilai BOD itu.

Abdull Sukor dalam pada itu turut menegur sikap segelintir pengusaha kilang yang mengambil jalan mudah melupuskan sisa buangan mereka dengan membuangnya ke dalam sistem paip kumbahan.

Sumber UM


Thursday, 20 January 2011

Program Terdekat


Ceramah Politik

Penceramah Utama : YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam
Wakil DAP dan Keadilan
Tarikh : 21 Januari 2011 ( Jumaat )
Tempat : Markas PAS Bukit Beruang
Masa : 9.00 malam

Semua dijemput hadir.


Ucapan Takziah di atas kematian Adun Merlimau


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 8.10 malam pada hari Khamis, 20 Januari 2011.

Beberapa portal berita sejak petang tadi sedang mengikuti rapat perkembangan kesihatan Allahyarham selepas ada laporan mendakwa beliau telah meninggal dunia petang tadi.

Mohamad Hidhir dilaporkan dimasukkan ke hospital itu pada minggu lepas bagi menjalani pembedahan membersihkan arteri yang tersumbat pada 13 Jan lalu.

Beliau pada mulanya ke hospital itu untuk mendapat rawatan mengenai ketidakselesaan perutnya sejak kembali dari Taiwan pada 10 Januari lepas, dan ujian mendapati arterinya tersumbat.

Ekoran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka bermesyuarat bagi menentukan satu lagi Pilihan Raya Kecil dalam masa terdekat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12 Mac 2008, Mohamad Hidhir yang mewakili BN menewaskan calon PAS, Mejar (B) Jasme Tompang dengan Majoriti 2,154 undi.

Mohamad Hidhir mendapat 4,981 manakala Jasme Tompang mendapat 2,827.


Wednesday, 19 January 2011

Gelanggang Futsal Hak Milik Umno?



Adakah dengan tergantungnya bendera Umno di pagar Gelanggang Futsal Taman Bahagia, Bukit Baru ini bermakna gelanggang ini ‘milik’ Umno Bukit Baru? Jika jawapannya tidak, adakah PAS akan dibenarkan untuk menggantung benderanya atau menggunakan kemudahan gelanggang tersebut? Jika jawapannya ya, mengapa di papan tanda tidak terdapat langsung perkataan Umno atau lambang Umno sebagai tanda ianya milik Umno?



Berapa banyak pula wang yang dikeluarkan oleh Umno untuk membina gelanggang futsal ini sehinggakan Umno boleh ‘mengaku’ ia adalah ‘miliknya’ dengan menggantung bendera di pagar gelanggang tersebut? Tanpa rasa segan silu, prasarana yang dibina dengan wang rakyat ‘diambil milik’ oleh Umno dengan cara menggantung bendera dan mengawal penggunaan kemudahan tersebut terhad kepada yang ‘sebulu’ dengan Umno semata-mata.

Untuk makluman, gelanggang futsal Taman Bahagia Bukit Baru ini hanya terletak lebih kurang 200 meter daripada bangunan yang 'dirampas' oleh Umno Bukit Baru daripada PAS Cawangan Bukit Baru pada akhir tahun lepas. Di DUN Bukit Baru inilah juga, Umno tanpa malu dan segan menggantung benderanya di Masjid Saidina Ali, Bukit Katil ketika program politiknya bersama Dato' Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia yang berlangsung pada bulan lepas.

* Gambar diambil pada hari Sabtu, 15 Januari 2011 ketika program MANTAP Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka yang berlangsung di beberapa taman perumahan di bawah UPU ( Unit Peti Undi ) Bukit Baru Dalam dan UPU Padang Jambu, dengan kerjasama MTD ( Majlis Tindakan DUN ) Bukit Baru dan Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil.

Laporan oleh : Musab Umair


Tuesday, 18 January 2011

Pas serius bangunkan pendidikan pra-sekolah



MELAKA: Kerajaan BN tidak serius dalam memajukan pendidikan prasekolah di negara ini, kata Pengarah Pasti Pusat, Azrin Ab Majid ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Guru Pasti Melaka dan Negeri Sembilan 2010 bertempat D’ Village Ayer Keroh, dekat sini, baru-baru ini.

“Kerajaan BN yang menerajui kepimpinan negara hari ini tidak serius dalam memajukan pendidikan pra-sekolah di dalam negara ini dan kalau kita lihat usaha kerajaan untuk tujuan tersebut cuma sekitar 65 peratus sahaja.

“Kerajaan hanya jadikan agenda besar kepada pendidikan prasekolah ini hanya pada tahun 2003 berbeza dengan PAS yang meletakkan Pasti sebagai pembentukan asas individu Muslim sejati sejak di awal usia.

“Untuk itu kita mempunyai ruang dakwah yang sangat besar di depan mata kita dalam mengisi kekosongan atau kelompangan ini. Ia satu peluang untuk memberi sumbangan besar Kerjanya juga tentulah besar serta memerlukan komitmen yang tinggi dari pada semua pihak,” ujar beliau.


Tambah beliau, PAS telah berjaya meletakkan program prasekolah hanya di bawah satu organisasi iaitu Jabatan Pasti berbanding pihak kerajaan yang terbahagi kepada beberapa kementerian hingga menyebabkan kecelaruan seperti Kemas, Jaim, prasekolah dan terbaru di bawah Permata Negara.

“Ini menunjukkan bahawa mereka tak serius untuk memajukan anak bangsa kerana di situ adanya berbagai kepentingan untuk diri mahupun kroni melalui peruntukan yang disalurkan, bukannya melihat atas kepentingan masa depan kanak-kanak tersebut. Syukur walaupun dihimpit dan ditekan kita masih boleh menambah cawangan dan pelajar pada setiap tahun. Kita mahu Pasti terus maju melalui komitmen semua pihak agar generasi yang dididik dengan asas Islam ini mampu memimpin negara kelak,” katanya.

Penganugerahan tauliah Sijil Perakuan Pasti Malaysia ini diberikan kepada guru-guru yang berjaya menamatkan kursus asas perguruan dan lanjutan Pasti. Seramai 30 orang guru dari Melaka dan 29 guru dari Negeri Sembilan berjaya menamatkan kursus.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Pemuda PAS Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek; Ketua Muslimat PAS Melaka, Dr Khatijah Jumangat; Pengarah Pasti Melaka, Abdul Kadir Dewa dan Pengarah Pasti Negeri Sembilan, Ustaz Nazri Zainuddin.

Sumber : Harakah keluaran 28 Muharam - 2 Safar 1432 / 3 - 6 Januari 2011


Monday, 17 January 2011

Saman tiada tanda amaran


MELAKA - Tindakan kakitangan penguatkuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang secara tiba-tiba mengenakan tindakan saman terhadap kenderaan diletakkan di kawasan persendirian bersebelahan sebuah gereja di Jalan Bendahara, dekat sini menimbulkan tanda tanya pemilik kenderaan terbabit.

Ini kerana, sebelum ini, tiada sebarang tanda ama-ran diletakkan atau gari-san kuning yang memberi ingatan melarang sebarang kenderaan awam diletakkan di kawasan itu.

Pemilik kenderaan yang melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan itu, Norlidawati Ghazali, 26, berkata, dia kesal apabila pihak terbabit menyamannya pada 11 Januari lalu dan masa dicatatkan adalah 11.18 pagi atas alasan meletakan kenderaan di luar petak dibenarkan.

Menurutnya, sejak meletakkan kenderaan di situ hampir setahun lalu, tiada sebarang masalah atau amaran daripada pihak berkuasa mengenai kesalahan terbabit.

“Tetapi mengapakah pada hari itu sahaja mereka bertindak menyaman kenderaan di sini. Tambah mengecewakan saya, hanya beberapa kenderaan sahaja disaman sedangkan terdapat lebih seratus kenderaan lain diletakkan di sini.

“Musykil dengan apa yang dialami, saya terus ke pejabat MBMB untuk mendapatkan penjelasan, namun sekali lagi saya kesal dengan cara kakitangan yang bertugas melayan saya,” katanya.

Norlidawati berkata, bagaimanapun, dia sudah pun menjelaskan saman berkenaan yang berjumlah RM50 pada hari terbabit iaitu setelah kakitangan terbabit gagal memberikan jawapan yang pasti.

Menurutnya, atas rasa tidak puas hati, memaksa dia merujuk beberapa agensi termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta kenalan yang bertugas di beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Jawapan yang saya terima menyatakan pihak berkenaan tidak patut mengenakan tindakan saman terhadap saya atas sebab tiada garisan kuning atau sebarang papan tanda menyatakan larangan meletakkan kenderaan di kawasan terbabit.

“Sekiranya pihak berkenaan melarang sebarang kenderaan diletakkan di situ perlu ada notis amaran supaya tidak menyusahkan rakyat,” katanya ketika ditemui di sini.

Norlidawati berkata, dia menagih jawapan pasti daripada pihak MBMB mengenai apa yang dialami pada 11 Januari lalu.

Pautan : Sinar Harian Edisi Melaka


Sajak : Yang degil bukan hanya Israel


Yang degil bukan hanya Israel
tapi kita juga degil
kerana sejak dahulu
kita enggan bersatu.

Malah selalu tak sekata
sama sendiri bersengketa
maka seramai mana pun kita
tidak akan berdaya melawannya.

Menjadikan kekejaman terus berleluasa
dengan kita tidak bisa berbuat apa-apa
selain mengutuk berdemonstrasi
yang tetap tidak dipeduli.

Sampai bilakah kita mahu menjadi begini
seperti sebatang lidi
yang dipatah-patahkan mudah sekali
atau bersatu menjadi sebuah penyapu
yang kuat dan padu
mematahnya tidak siapa pun mampu.

EHSAN JAMILY
Melaka

Harakah 25 - 27 MUHARAM 1432 / 31 DISEMBER 2010 - 2 JANUARI 2011


Saturday, 15 January 2011

Siapa bersama Ali Rustam ketika ditahan TNI?


Nasib baik ada berita yang tersiar mengatakan Tentera Nasional Indonesia (TNI) menahan pesawat Heritage Air yang membawa rombongan kerajaan negeri Melaka di Lapangan Terbang Djuanda, Surabaya – jika tidak, tiada siapa yang tahu ke mana perginya Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam beberapa hari sebelum itu.

Maknanya, Ketua Menteri Melaka ini tidak pernah belajar dari sejarah kejatuhan kawan-kawannya dalam Umno, bagai mana isu ‘pesawat’ juga telah menyebabkan Dato’ Seri Mhdzir Khalid hilang kuasa di Kedah dan Dato’ Seri Dr. Jamaluddin Jarjis tidak lagi dilantik menganggotai kabinet.

Walaupun tiada apa-apa bukti kejatuhan Mhdzir dan Jamaluddin kerana isu pesawat, tetapi di kalangan pemimpin Umno, mereka tahu bahawa pemimpin Umno memang suka ‘terbang tinggi’ hingga lupa betapa sakitnya apabila terjatuh kelak.

Di Kuala Lumpur, sudah heboh cerita sebuah pesawat persendirian ditahan di Lapangan Terbang Djuanda, Surabaya yang dikhabarkan membawa seorang menteri tetapi desas-desus itu akhirnya termati dengan sendirinya apabila ada pengesahan dari Ketua Menteri Melaka, bahawa beliaulah yang berada di dalam pesawat tersebut.

Seramai 82 (menurut Utusan Malaysia) penumpang yang bersama-sama Mohd Ali itu. Bolehkah disenaraikan nama mereka supaya Lembaga Disiplin Umno yang hanya memakai kot tebal di Ibu Pejabat Umno boleh melihat-lihat (baca: meninjauninjau), kalau-kalau ada yang boleh diadukan, untuk tindakan disiplin?

Maklumlah, Mohd Ali pernah dikenakan hukuman kerana terlibat dengan politik wang ketika mahu bertanding kerusi Timbalan Presiden Umno, dengan hukuman hilang hak bertanding.

Seramai 82 orang yang mengiringi Mohd Ali ke Indonesia, khabarnya sebelum itu ke Timor Leste tentunya bukan semuanya pegawai kerajaan negeri. Jadi, siapa yang mengiringi Mohd Ali itu?

Apakah usahawan-usahawan yang selama ini banyak membantu Mohd Ali dalam kerjaya politiknya?

Mohd Ali meminta Kedutaan Malaysia di Indonesia menyiasat punca yang mendorong TNI menahan pesawat tersebut. Dalam masa yang sama, Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak pula perlulah menyiasat siapa kawan-kawan Mohd Ali yang sama-sama berada di dalam pesawat tersebut.


Najib jangan mengarahkan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri menyiasat siapa kawan-kawan Mohd Ali itu, kerana Muhyiddin tentunya akan terkejut kelak jika beliau mengetahui siapa yang bersama-sama Mohd Ali dalam pesawat itu.

Nasib menyebelahi Mohd Ali kerana dengan bantuan Kedutaan Malaysia di Indonesia, beliau bersama lima yang lain dapat pulang sementara yang lain, terpaksa pulang lewat.

Jika tidak, kemungkinan kedatangan Perdana Menteri ke Melaka, Rabu 15 Disember lalu, tidak disambut Ketua Menteri, sebagai mana kelazimannya. Rakyat juga perlu diberitahu, berapa kerap sebenarnya Ketua Menteri Melaka ke luar negara, menyewa pesawat persendirian seperti ini dan ke mana arah tujuan mereka?

Mungkin selama ini, tiada berita pesawat persendirian seperti ini ditahan pihak berkuasa, menyebabkan berita pemergian mereka, jarang diketahui umum, kecuali anggota rombongan terpilih sahaja.

Umno tentunya tidak suka jika ada tuduhan orang-orang tertentu boleh membawa wang yang banyak ke luar negara. Jika cerita ini tersebar, rakyat akan dinasihatkan supaya jangan terpedaya dengan tuduhan seperti ini.

Tetapi, jika ada pemimpin-pemimpin negeri dan orang yang dipercayai berstatus menteri, boleh menyewa pesawat sendiri, dengan membawa seramai 82 orang menganggotai rombongannya, perkara membawa sejumlah wang yang banyak, sukar untuk dinafikan.

Walaupun, juruterbang pesawat boleh dipersalahkan kerana gagal mendapat kebenaran mendarat tetapi, mungkin ada sangkaan yang tidak wajar menjadi alasan mengapa pesawat ini tidak dibenarkan mendarat. Semua syak wasangka ini perlu diperjelaskan, kerana Mohd Ali sebagai Ketua Menteri Melaka, Ahli MT Umno yang dilantik dan Ketua Umno Bahagian Bukit Katil perlu telus berdepan dengan isu syak wasangka seperti ini.

Sebagai seorang Ketua Menteri, apakah rugi jika beliau pergi dengan pesawat MAS kerana dengan pesawat MAS, Mohd Ali boleh menemui rakyat dan penumpang lain yang sehaluan dengannya, untuk ke Surabaya. Mohd Ali juga sepatutnya tidak membenarkan dirinya menjadi mangsa keadaan seperti ini, hingga ia boleh menyusahkan hubungan dua hala antara Malaysia- Indonesia.

“Saya juga tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku tetapi juruterbang pesawat memaklumkan dia sudah mendapat kebenaran pihak lapangan terbang untuk mendarat di situ bagi mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan balik ke Kuala Lumpur,” Mohd Ali dipetik sebagai berkata.

Serentak dengan itu, Ketua Menteri Melaka ini berkata, makluman awal yang diterima oleh pihaknya menyatakan, TNI bertindak demikian ekoran juruterbang pesawat tidak mendapat kebenaran mendarat di lapangan terbang itu. Sementara itu, dalam satu laporan portal yang berpusat di Jakarta mendakwa, TNI mengesahkan menahan pesawat sewa khas jenis BAE 146-200 yang dinaiki sejumlah rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Djuanda, Surabaya.

Kata beliau, pesawat tersebut dinaiki 82 penumpang dengan 20 daripadanya termasuk Mohd Ali; isterinya Datin Seri Asmah Abdul Rahman dan seorang anak lelakinya serta pegawai kerajaan negeri dalam perjalanan dari lawatan kerja selama dua hari di Timor Laste.

Menurutnya, setelah dua jam ditahan oleh TNI, beliau terpaksa mendapatkan bantuan pihak kedutaan Malaysia di negara itu bagi membolehkan beliau segera pulang bagi membuat persiapan terakhir lawatan Perdana Menteri di Melaka.

“Mujurlah melalui bantuan pihak kedutaan, enam daripada kami dibenarkan pulang ke tanah air dan tiba kira-kira pukul 12 tengah malam tadi manakala penumpang lain dibenarkan pulang kira-kira tiga jam selepas itu (pukul 2.30 pagi),” katanya.

Menurut Mohd Ali, pihaknya merasakan insiden tersebut berkemungkinan berlaku disebabkan salah faham yang mungkin timbul antara juruterbang dan pihak keselamatan lapangan terbang terbabit. Ini kerana, katanya, tiada masalah berlaku ketika pesawat mula mendarat di lapangan terbang namun insiden itu mula timbul setelah juruterbang membenarkan penumpang keluar dari pesawat.

Bagaimanapun, ujar Mohd Ali insiden yang berlaku tidak akan menjejaskan hubungan satu rumpun antara Malaysia dan Indonesia malah menjadi pengalaman berguna kepada kerajaan negeri dalam membuat persediaan menggunakan pesawat khas penerbangan pada masa depan.

Sumber : Harakah keluaran 25 - 27 MUHARAM 1432 / 31 DISEMBER 2010 - 2 JANUARI 2011


Friday, 14 January 2011

Penduduk taman bantah pembinaan jalan


MELAKA: Belum pun reda isu perobohan surau dan markas PAS Kawasan Bukit Katil atas alasan pembinaan jalan raya dari jalan Bukit Katil-Duyong ke persimpangan jalan Bukit Bruang kini timbul pula bantahan daripada penduduk taman yang terlibat.

Penduduk Taman Merak Mas yang terbabit dengan pembinaan itu membantah cadangan laluan jalan utama melalui taman perumahan yang mereka duduki sejak lebih 10 tahun itu kerana ianya akan mengganggu ketenteraman dan keselamatan mereka selama ini.

Menurut Salleh Ahmad, 49, bekerja sendiri, bahawa sebelum ini mereka sudah terganggu dengan kesibukan lalu lintas di dalam taman perumahan itu dan jika ianya dilaksanakan bakal meningkatkan kesibukan yang sedia ada.

“Ianya akan mengganggu kententeraman kami, bising dengan bunyi kenderaan, kalau tak buat pun tak apa bukannya ada keperluan sebab laluan keluar ke jalan utama yang sedia ada dalam taman ini sudah cukup,” katanya.

Seorang pesara, Kasim Abd Samad, 67, berkata bahawa beliau sangat tidak bersetuju kerana laluan tersebut akan membahayakan keselamatan kanak-kanak di dalam kawasan perumahan itu.

“Masa buat taman dulu mereka tak kata pun akan dibuat jalan raya utama merentangi kawasan taman ini dan kita bersetuju beli kerana merasakan kawasan ini sesuai untuk tinggal sebab jauh dari hiruk-pikuk jalan raya,” ujar beliau.

Menurut Md Jas Abd Rahman, 63, pesara, penduduk membantah cadangan ini kerana ianya tidak sesuai dan praktikal memandangkan banyak kawasan perumahan yang terdapat di dalam laluan itu berbanding kawasan lain yang kosong serta lebih sesuai dibina jalan raya.

“Kita sangat tak setuju bina jalan raya dua lorong di dalam kawasan taman ini kerana bukannya banyak sangat kenderaan yang nak lalu sini,” tegasnya.

Pelan terbaru yang diterima oleh pemilik tanah bagi cadangan pembinaan jalan utama dari persimpangan Jalan Bukit Beruang- Jalan Tun Razak Ayer Keroh ke persimpangan Kampung Bukit Bayan dan persimpangan Jalan Bukit Katil Duyong ini adalah pelan ketiga di mana Markas PAS Bukit Katil bakal dirobohkan.

Sumber : HARAKAH Keluaran 3 - 5 SAFAR 1432 / 7 - 9 JANUARI 2011


Thursday, 13 January 2011

Tingkatkan program kebajikan kepada masyarakat – Ustaz Ghani


MELAKA: Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman meminta ahli PAS di semua peringkat meningkatkan program kebajikan kepada masyarakat sebagai salah satu cara untuk mempromosikan Islam khususnya kepada golongan bukan Islam.

“Program sebegini mampu mempromosikan pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS kerana mereka selama ini telah dikelirukan Umno-BN yang tidak mahu orang bukan Islam mendapat maklumat yang sebenar tentang Islam termasuk PAS,” kata beliau ketika turun padang bertemu masyarakat Tionghua di Taboh Naning, baru-baru ini.

Menurutnya, Islam memperjuangkan keadilan dan membela nasib semua bangsa di dalam negara ini termasuk golongan bukan Islam yang dinafikan haknya oleh Umno-BN walaupun berlainan kaum atau agama kerana Islam rahmat untuk seluruh alam ini.



“Jadi walaupun yang susah atau miskin itu bukan orang Melayu, bukan orang Islam, sebagai pemimpin yang berkuasa atau pemerintah di dalam sesebuah negara perlu membantu mereka agar mereka juga dapat hidup bahagia seperti orang lain. Tapi Umno-BN hari ini tak kira apa bangsa, apa agama sekalipun kalau tak sokong mereka, tak undi mereka dalam pilihan raya nanti bantuan atau sumbangan walaupun berhak akan disekat dan dinafikan,” katanya.

Beliau turut kesal dengan kegagalan kerajaan negeri Melaka meningkatkan keselesaan hidup kepada rakyat Melaka kerana masih ramai lagi golongan susah yang tidak mendapat pembelaan sedangkan kononnya Melaka telah diisytiharkan sebagai negeri maju.

Tambahnya, sepatutnya kerajaan menghentikan segera pembaziran yang dilakukan menerusi pelbagai projek mega yang dilaksanakan di Melaka kerana ianya langsung tidak membantu meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat sebaliknya hanya menguntungkan kroni Ketua Menteri sahaja.

“Lihatlah apa dah terjadi pada ‘Eye On Malaysia’ rugi jutaan ringgit, air terjun buatan di Bukit Sebukor menelan kos RM1.7 juta duit rakyat dan belum termasuk kos penyelenggaraannya setiap bulan, bukankah itu satu pembaziran wang rakyat.

“Kalau PAS diberi peluang memerintah pada PRU-13 nanti perkara utama yang akan kita beri perhatian adalah kebajikan kepada semua rakyat sebagai contohnya bantuan sumbangan kepada waris simati yang dilaksanakan di negeri Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Sumber berita : Harakah keluaran 25 - 27 MUHARAM 1432 / 31 DISEMBER 2010 - 2 JANUARI 2011


Wednesday, 12 January 2011

Program Terkini


Forum “ Hubungan Etnik : Suatu Halangan Politik?”

Panelis :

Nurul Izzah Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen KeAdilan Lembah Pantai, Kuala Lumpur
Ong Tee Keat, Ahli Parlimen MCA Pandan, Selangor


Tarikh : 13 Januari 2011, Khamis
Masa : 7:30 malam
Tempat : Sekolah Menengah Pay Fong


Forum “ Pakatan Rakyat Sedia Memimpin “

Panelis :

Dr. Mujahid Rawa, Ahli Parlimen PAS Parit Buntar, Perak
Charles Santiago, Ahli Parlimen DAP Klang, Selangor

Tarikh : 14 Januari 2011, Jumaat
Masa : 8:00 malam
Tempat : Pejabat DAP Negeri Melaka, Lorong Pandan


Sunday, 9 January 2011

Mari Kita Tengok Rempit Negeri Maju



Video ini menunjukkan mat rempit dengan aksi merbahayanya kepada orang ramai ini telah dirakam oleh jurugambar amatur sekitar jam 12.00 tengah malam hingga jam 2.00 pagi 9 Januari 2011 di sekitar Bandar Melaka.

Sekitar Melaka Raya

Sekitar Peringgit

Sekitar Pulau Melaka

Mana perginya polis-polis yang hebat membanteras Pakatan Rakyat? Hari ini mat rempit semakin berkuasa dari pihak berkuasa. Apa bidang kuasa bagi mereka yang membanteras gejala rempit ini? Adakah mereka hanya tahu mengawal ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat berbanding dengan Barisan Nasional?

Sumber: suaramelaka


Laporan Ceramah Di Markas Bukit Katil


Dipetik dari Blogger Pemuda Bukit Katil : Addin77.blogspot

Malam tadi, PAS Kawasan Bukit Katil telah menganjurkan ceramah isu-isu semasa oleh Ustaz Kamal Ashaari. Seperti biasa saya telah meluangkan masa untuk menghadiri ceramah tersebut. Sebenarnya saya dah sampai agak lewat kerana ada hal yang saya perlu bereskan. Semasa sampai, kebetulan penceramah baru memulakan ceramah beliau. Seperti biasa, saya harapkan UMNO tak membuat kacau pada malam ini, tetapi jelas sangkaan saya meleset.

Di Melaka, perlakuan parti UMNO paling pelik dan mungkin tiada di tempat lain. Manakan tidak, UMNO Melaka sering berceramah bersebelahan ceramah yang dianjurkan oleh PAS. Seingat saya, ceramah Mat Sabu dan Dr. Hatta Ramli juga mengalami gangguan oleh UMNO. Ini jelas tindakan paling tak bertamadun pernah saya lihat. Cuba anda bayangkan, ceramah sebelah menyebelah menggunakan pembesar suara. Yang mana satu hendak didengarkan, dan ini berlaku juga di ceramah Ustaz Kamal Ashaari. Sepanjang saya bertugas di merata tempat, saya selalu ikuti program-program ceramah anjuran PAS, jarang berlaku ceramah UMNO bersebelahan ceramah PAS.

Namun negeri Melaka yang diisytiharkan oleh Ali Rustam sebagai negeri maju pada 20.10.2010 amat memalukan apabila UMNO sebagai parti pemerintah mempunyai minda kelas ketiga dan mundur. Gerak gerinya jelas terbelakang dan songsang. Apa perlunya UMNO untuk menganjurkan ceramah-ceramah seperti ini kerana media arus perdana yang mereka kuasai selalu mengeluarkan kempen - kempen memburukkan dan menfitnah Pakatan Rakyat. Adakah itu tidak cukup lagi sehingga ke pentas ceramah terus berlaku gangguan.

Ustaz Kamal Ashaari memberitahu dalam ceramahnya, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak mengganggu ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh UMNO dalam kempen "Selamatkan Selangor" kerana mengiktiraf fungsi parti pembangkang iaitu UMNO. Pakatan Rakyat Selangor akan menjawab isu-isu yang di bangkitkan oleh UMNO melalui ceramah yang akan diadakan pada hari berikutnya. Jelas perlakuan UMNO ini amat terdesak kerana takut akan 'tsunami politik' pada Mac 2008 akan terus berlanjutan pada PRU 13 nanti dan akan terus menguburkan mereka dari landskap politik Malaysia buat selama-lamanya.


Bajet 2011 Melaka meragukan


MELAKA: Adun Kesidang (DAP), Goh Leong San yang juga merupakan Ketua Pembangkang mendakwa bajet 2011 negeri Melaka yang dibentangkan oleh Dato’ Seri Mohd Ali Rustam pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Keduabelas, baru-baru ini adalah meragukan.

“Bajet kali ini menganggarkan hasil susut RM74 juta dan anggaran mengurus juga susut RM74 juta tidak menggambarkan kedudukan kewangan sebenar kerajaan negeri. Lebihan tahun ini ialah sebanyak RM167 ribu berbanding tahun lepas lebihannya RM200 ribu tetapi penambahan peruntukan bagi pembangunan RM91 juta dan belanja mengurus RM74 juta berjumlah RM165 juta jika dibanding dengan RM200 juta jauh daripada anggaran
sebenar bajet,” kata beliau.

Goh menjelaskan bahawa tindakan tersebut tidak adil kepada rakyat kerana rakyat tidak dimaklumkan perkara yang sebenar secara tepat dan ianya tidak merujuk kepada kedudukan kewangan kerajaan negeri yang sebenar.

Tambahnya, kerajaan tidak sepatutnya mempermainkan angka-angka ini sehingga mengelirukan rakyat atau pelabur yang ingin membuat pelaburan di negeri ini tanpa menjelaskan keupayaan sebenar prestasi pelaburan di Melaka.

“Bagi maksud Pembangunan 15 dengan kod projek 39000 di mana diberikan peruntukan RM10.5 juta dengan huraian pelbagai sahaja manakala, bagi P16 dengan huraian pembangunan ekonomi, sosial serta pentadbiran am telah memohon RM12 juta dan bagi P17Projek - Projek Khas Ketua Menteri memohon RM2.5 juta.

“Adakah peruntukan ini menunjukkan persediaan untuk Pilihan Raya Umum ke-13? Kerajaan sentiasa mengambil kesempatan mendapat peruntukan untuk menjaga kepentingan diri dan saya percaya bajet ini juga mempunyai matlamat yang sama,” ujarnya.

Beliau menerangkan bahawa jumlah besar hasil 2009 bagi pendapatan sebenar dan anggaran berkurangan sebanyak RM16 juta dan seterusnya menjadikan bajet lebihan pada tahun tersebut tidak mendatangkan apa-apa makna langsung.

Malah katanya, tahun 2011 juga menunjukkan bajet lebihan sebanyak RM167,060 maka adakah anggaran ini memberikan pendapatan sebenar yang berkurangan seperti 2009 dan sekiranya benar mengapa kerajaan mahu memberikan bajet lebihan?

Berita dipetik daripada Harakah 25 - 27 MUHARAM 1432 / 30 DISEMBER 2010 - 2 JANUARI 2011


Saturday, 8 January 2011

Tabung Haji disaran perbaiki khidmat


MELAKA: Pengurusan Tabung Haji didakwa kurang prihatin dalam menyediakan keperluan jemaah haji ketika berada di tanah suci dan ianya berbeza sekali dengan apa yang dinyatakan ketika bakal jemaah mengikuti kursus haji.

Salah seorang jemaah, Sulaiman Baba, 72, melahirkan rasa terkilan dengan layanan yang diterima daripada sebuah organisasi besar yang menguruskan jemaah haji. Menurutnya, walaupun Tabung Haji telah beroperasi sekian lama, ia masih gagal memberikan perkhidmatan yang baik untuk jemaah.

“Bayangkan masa di Arafah mereka lepaskan kita jam 8 malam tanpa petugas Tabung Haji di padang, tak ada khemah dan pandai pandailah membawa diri dalam keadaan jemaah begitu ramai. Begitu juga di Mudzalifah selama 2 malam saya terpaksa tidur di kaki lima sebab khemah berukuran 15 kaki persegi untuk 14 orang mana muat, sempit sekali nak duduk pun tak boleh.

“Masa kursus bakal haji dulu ustaz kata kalau balik Makkah orang tanya jawab. Alhamdulillah, kalau tidak haji tak mabrur. Sebenarnya mereka tak mahu jemaah komplen kelemahan Tabung Haji,” dakwa beliau.

Sulaiman turut mempersoalkan tahap perkhidmatan Tabung Haji yang didakwa jauh berbeza daripada yang disebut ketika menghadiri kursus haji.

“Saya membuat pendedahan di media ini supaya Tabung Haji buat perubahan agar jemaah yang pergi selepas ini dibela hak mereka dan tidak teraniaya seperti saya, ini bukan rekaan tapi kenyataan,” ujar beliau.

Ainon Omar, 70, turut tidak berpuas hati dengan perkhidmatan Tabung Haji terutamanya dari aspek penyediaan makanan.

“Makanan yang diberikan pun tak boleh makan sehingga saya terpaksa beli sardin untuk dimasak dan ini benar-benar menyukarkan saya. Tukang masak rata-ratanya orang negara jiran, kenapa mereka tidak guna tukang masak dari Malaysia yang memahami dan sama bangsa dengan kita,” katanya.

Sulaiman dan Ainon pergi menunaikan haji pada 13 Oktober lalu dan pulang pada 1 Disember lalu. Mereka ditempatkan di Maktab 76.

Sumber : Harakah Keluaran 28 MUHARAM - 2 SAFAR 1432 / 3 - 6 JANUARI 2011


Program Terkini


Ceramah Perdana

Penceramah : Ustaz Kamal Asshaari
Tarikh : 8 Januari 2011 ( Sabtu )
Tempat : Markas PAS Bukit Katil
Masa : 9.30 malam

Semua dijemput hadir


Friday, 7 January 2011

Lauk Kenduri Basi


AYER KEROH - Sebuah syarikat katering, Razak Catering & Event Servis semalam, diarahkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Melaka membayar ganti rugi RM9,550.

Ia berikutan syarikat berkenaan mengingkari kontrak penyediaan makanan dan menyediakan makanan basi ke atas seorang pelanggan di sebuah majlis perkahwinan, yang berlangsung pada 4 Disember lalu.

Pelanggan, Kamaruddin Husin, 51, ketika ditemui berkata, dia kesal kerana pada hari perkahwinan anak sulungnya, ia dicemari dengan insiden dua makanan disediakan basi, tidak cukup dan beberapa makanan dijanjikan tiada.

“Malah, saya terpaksa mengeluarkan belanja tambahan hampir RM1,000 untuk menampung makanan tidak cukup dan mengupah tukang masak bagi tujuan berkenaan.

“Hanya tiga hidangan disediakan, berbanding lima dalam kontrak bernilai RM13,600 dan dua daripadanya basi sebaik sahaja dihantar ke rumah saya,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa membeli lauk di restoran luar untuk menampung lauk yang habis pada jam 12 tengah hari dan lauk makan beradab pula langsung tidak menepati masakan hotel seperti dijanjikan.

Kamaruddin yang juga Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pinang, Tanjung Keling berkata, nasi putih yang dijanjikan juga tidak disediakan.

Sumber : Sinar Harian


Wednesday, 5 January 2011

Pemuda PAS Melaka anjur Anak Harapan


MELAKA, 4 Jan: Apabila musim persekolahan tiba, ibu bapa merupakan golongan paling sibuk apatah lagi bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka melalui Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan mendepani isu itu dengan menganjurkan program “Anak Harapan”.

Menurut Exco lujnah berkenaan, Ustaz Adnan Sulaiman, program berlangsung pada 30 Disember 2010 hingga 2 Januari lalu di beberapa tempat seluruh negeri.

Katanya, program itu bertujuan memberikan bantuan kepada pelajar-pelajar sekolah yang tidak berkemampuan, terutamanya kepada anak yatim.



(Gambar: Adnan Sulaiman menyampaikan bantuan kepada Noradila Zailan.)

“Program ini melibatkan 15 orang pelajar dari sekolah rendah di beberapa tempat di Melaka seperti di Tangga Batu, Durian Tunggal, Bukit Baru, Telok Mas dan Serkam,” katanya.

Ibu kepada seorang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Serkam menerima sumbangan sebanyak RM150 bagi membiaya yuran persekolahan.

Ibu berkenaan yang kematian suami sejak lima tahun yang lalu kini terpaksa menyara anaknya yang masing-masing masih lagi bersekolah.

Keadaan suami yang mengidap penyakit mental memaksa ibu kepada Mohd Hidayat di Bukit Baru untuk bekerja keras sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Ayer Keroh.

Ibu kepada empat orang anak itu mengakui tidak mampu menanggung kos perbelanjaan isi rumah dengan gaji hanya RM500 sebulan sahaja.

Beliau mengucapkan syukur dan berterima kasih atas keperihatinan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka dalam mendepani isu-isu kebajikan.

Seorang ibu tunggal di Telok Mas terpaksa menyara tiga orang anaknya selepas kematian suaminya pada Mac 2010.

Noriahty Bahari berkata, dengan gaji sebanyak RM430 sebulan, beliau yang bekerja sebagai pembantu kedai makan mengakui agak sukar menyara tiga orang anaknya yang bersekolah, apatah lagi kos hidup kini semakin meningkat.

Sementara itu, di Tangga Batu, Dewan Pemuda PAS negeri juga berkesempatan melawat pelajar cemerlang Noradila Zailan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tanjong, Sungai Udang yang memperoleh 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang lalu.

Beliau yang tinggal bersama keluarga di Pantai Kundur berkata, hidup dalam serba kekurangan membuatkannya tetap gigih dan tidak menjadikan miskin sebagai penghalang untuk berjaya.

Laporan oleh : Shahrin Azam Haji Ismaon

Harakahdaily


Tuesday, 4 January 2011

Penduduk Taman Bantah Bela Ayam


Melaka : Penduduk di Taman Laksamana, Peringgit, di sini membantah tindakan seorang pengusaha ayam yang menjalankan penternakan ayam di belakang taman tersebut sehingga menyebabkan keselesaan hidup mereka selama ini terganggu.

Taman yang mempunyai 20 buah rumah itu mula diganggu dengan pencemaran bau dan lalat apabila pengusaha tersebut mula beroperasi pada bulan Julai lalu dengan menternak 500 ekor anak ayam dan rebannya dibina tidak sampai 1.5 meter daripada belakang taman.

Menurut Penyelia Dun Bukit Baru, Yusof Wahab bahawa tindakan itu tidak seharusnya berlaku kerana walaupun ianya merupakan tanah persendirian tetapi dia perlu mengambil kira kawasan tersebut yang terletak di kawasan taman perumahan dan di belakang Hospital Besar Melaka.



“Selain ianya menimbulkan pencemaran bau dan lalat, kita juga khuatir sekiranya berlaku wabak penyakit dan sebagainya memandangkan lokasinya yang berdekatan dengan hospital serta di dalam kawasan bandar.

“Saya harap pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi memastikan penduduk di taman itu dapat hidup selesa seperti sebelum ini dan memandangkan di taman itu juga ramai terdapat kanak-kanak serta warga emas yang dikhuatiri boleh membahayakan kesihatan mereka,” ujarnya.

Beliau juga hairan bagaimana penternakan itu boleh dijalankan sedangkan lokasinya di dalam kawasan bandar yang padat dengan penduduk serta dikelilingi dengan taman perumahan seperti Taman Harta dan Taman Desa Baru.

Seorang penduduk, Nadzari Md Zain, 55, berkata, bahawa beliau sudah tidak tahan lagi dengan masalah itu memandangkan reban ayam itu cuma jaraknya 1.5 meter daripada belakang rumahnya.

“Saya telah buat aduan kepada Jabatan Kesihatan, Jabatan Veterinar serta Pejabat Tanah dan Daerah Melaka Tengah tetapi tiada tindakan yang diambil sehingga kini, malahan jawapan yang diberikan amat mengecewakan di mana mereka mengatakan bahawa ianya di atas tanah persendirian.

“Kita persoalkan jawapan tersebut kerana jika atas nama tanah persendirian mereka boleh buat sesuka hati maka bagaimana kalau ada yang bela babi tindakan tidak boleh diambil walaupun di kawasan perumahan.

“Kita tidak mahu perkara ini berlarutan sehingga menimbulkan suasana tidak tenteram dan keharmonian hidup di taman ini, saya harap pihak yang terlibat berlaku adil dan jangan krana adanya campur tangan politik pihak tertentu maka tindakan tidak berani dilakukan,” katanya.

Sumber : HARAKAH 25 - 27 MUHARAM 1432 / 31 DISEMBER 2010 - 2 JANUARI 2011


Sunday, 2 January 2011

Lagi penindasan terhadap peniaga bumiputera Melaka


MELAKA: Beberapa peniaga bumiputera kecewa dengan tindakan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang mengarahkan mereka pindah daripada premis yang disewa sejak lebih 10 tahun lalu kerana bangunan tersebut ingin dijadikan hotel.

Mereka adalah di antara penyewa di enam kedai pada bahagian bawah bangunan empat tingkat milik MAIM di Jalan Kee Ann itu dan tapak bangunan tersebut merupakan tanah wakaf Kampung Hulu, sementara di tingkat atasnya dijadikan pejabat bahagian penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka dan kini dikosongkan selepas dipindahkan ke Bukit Baru.

Menurut Setiausaha PAS Melaka, Harun Mohamad bahawa PAS bukannya antipembangunan tetapi persoalannya ialah mengapa setiap kali projek pembangunan yang dibuat di Melaka ianya akan mengorbankan kepentingan atau hak bumiputera.

“Kita tidak anti pembangunan tapi jangan ketepikan peniaga bumiputera dengan sewenangnya tanpa memberikan pembelaan dan layanan yang sewajarnya kerana mereka antara beberapa kerat sahaja peniaga bumiputera yang masih tinggal di kawasan bandar Melaka.

“Kita tak mahu nasib mereka sama seperti nasib 20 peniaga bumiputera di bangunan MARA yang dirobohkan dan dihalau keluar sedikit masa dahulu hanya untuk dijadikan tempat meletak kenderaan yang kini dikenali Padang Nyiru,” kata beliau.

Menurut seorang peniaga buku agama dan pakaian, Abdul Rahman Muhamad, 54, mereka kecewa dan kesal dengan tindakan yang dilakukan oleh MAIM supaya berpindah daripada premis itu tanpa sebarang pampasan dan tidak menyediakan satu tempat perniagaan yang baru bagi peniaga.

“Nak pergi pindah tempat baru, nak mula balik, cari pelanggan baru balik amat menyukarkan kami sedangkan masing-masing ada komitmen nak bayar hutang bank dan sebagainya yang tak boleh ditangguhkan, inikah yang dikatakan rakyat didahulukan.

“Saya nak bertanya kepada kerajaan negeri di manakah pembelaan untuk peniaga Melayu di dalam kawasan bandar kerana hanya tinggal kami ini sahaja dan selepas ini tiada lagilah peniaga bumiputera di dalam bandar Melaka.

“Tempat ini dulunya mati tak ada orang nak sewa tapi kita berjaya majukan dengan berniaga di sini walaupun dalam keadaan rugi kita mampu bertahan tapi kini kenapa MAIM tak hargainya,” ujarnya.

Seorang peniaga kelengkapan pakaian seragam, Syed Mustapha Hassan, 59, berkata, para peniaga ini semuanya berpindah daripada kawasan perniagaan Kampung Jawa yang mengalami kebakaran sedikit masa dahulu.

“Kami kecewa kerana ini bangunan kerajaan di mana kerajaan kata nak galak peniaga Melayu berniaga tapi kita tengah berniaga disuruh keluar begitu sahaja dan pandai sendirilah nak hidup,” katanya.

Sementara itu, Mokhtar Omar, 52, yang berniaga pakaian dan kitab agama meminta kerajaan negeri menyediakan satu tempat yang strategik bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan seperti biasa.

“Peniaga minta kerajaan negeri atau MAIM memikirkan pampasan untuk kami bagi menampung kos perpindahan dan kita harap kerajaan dapat membantu kami,” tambah beliau.

Sumber : Harakah 14 – 17 MUHARAM 1432 / 20 – 23 DISEMBER 2010


Kenyataan Media


Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil ( DPPKBK ) menyelar tindakan pihak polis yang telah menangkap 3 orang pimpinan Dewan Pemuda PAS Kawasan Jasin ketika program XPDC Dakwah anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka pada malam tahun baru 2011 yang lepas di Dataran Ayer Keroh.

DPPKBK memandang berat tentang tangkapan yang jelas mempunyai motif politik, kerana risalah yang diedarkan adalah tidak mempunyai apa - apa niat jahat, fitnah mahupun penipuan. Ianya semata - mata berdasarkan konsep kebebasan media yang mahukan rakyat Melaka peka, rasional dan berpengetahuan.

Tindakan ini adalah bukti kegentaran pihak berkuasa apabila risalah mengenai kepincangan kerajaan negeri Melaka didedahkan kepada masyarakat tempatan. Dengan ini DPPKBK menyokong penuh pengisytiharan yang termaktub di dalam Buku Jingga yang menyarankan pindaan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang nyata telah disalahgunakan oleh pihak berkuasa bagi melindungi kerajaan Umno / Barisan Nasional negeri Melaka.

Bersatu membawa perubahan,

Jauhar Md Dawi,
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil
2 Januari 2011

Harakahdaily


Saturday, 1 January 2011

Tahun Baru Semangat Baru




Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59