Tuesday, 14 December 2010

Masalah Longkang di Bukit Baru


Melaka : Kekhuatiran penduduk di Taman Harta Pertama, Bukit Baru mengenai kejadian banjir di kawasan perumahan tersebut mempunyai asasnya apabila longkang besar yang terletak di belakang taman tidak mengalir dengan sempurna. Tinjauan wakil Harakah bersama dengan Penyelia DUN Bukit Baru, Cikgu Yusof Wahab pada minggu lepas mendapati saliran longkang yang dimaksudkan tersebut sememangnya tidak lancar, bertakung pada aras yang tinggi dan kotor.


Longkang yang bermasalah

Penyelia DUN Bukit Baru ( kiri ) meninjau kawasan yang bermasalah

Seorang penduduk tempatan, Wong Choy Foong, 53 berkata aduan telah beberapa dibuat kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah ( MBMB ) dan Jabatan Parit dan Saliran namun hasilnya adalah mendukacitakan. Beliau mengadu nyamuk semakin banyak akibat takungan air longkang dan ada bahagian tembok simen yang sudah retak akibat daripada hakisan tanah.

Mendengar masalah penduduk

Menurut beliau, longkang tersebut telah dikorek sebelum ini oleh Jabatan Parit dan Saliran tetapi ia hanya menyebabkan longkang tersebut menjadi besar dan air bertakung. Saliran air menjadi lambat kerana di bahagian hujung longkang telah ditambak oleh penduduk tempatan dan hanya satu saliran kecil dibuat bagi mengalirkan air dari longkang tersebut. Akibatnya paras air longkang menjadi tinggi sehingga pernah satu ketika airnya melimpah ke kebun beliau sehingga menyebabkan tanaman mati.

Tembok simen yang sudah retak menanti belah


AJK PAS Unit Peti Undi Kg. Ku Sayang telah mengambil inisiatif untuk mengutip tandatangan daripada penduduk – penduduk terutamanya yang pernah terlibat dengan bencana banjir sebelum ini untuk diserahkan kepada Pusat Aduan Rakyat MTD Bukit Baru. Ada penduduk yang mengadu bahawa masalah ini sudah berlarutan sekian lama, malah ada yang telah membuat tembok dan menambak sendiri rumah dengan simen namun kebimbangan masih lagi menyelubungi disebabkan masalah longkang yang tidak sempurna ini.

Pernah padang permainan di dalam taman perumahan ini tenggelam sepenuhnya ketika hujan lebat, malah pernah melimpah sehingga ke jalan raya berhadapan dengan rumah penduduk yang mendiami kawasan perumahan fasa baru yang telah siap dibina 2 tahun lepas.

Taman Harta Pertama sebelum ini merupakan antara kawasan yang sering dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat. Difahamkan pada tahun lalu sahaja kawasan ini telah dilanda banjir kilat sebanyak tiga kali. Walaupun projek longkang di dalam kawasan perumahan telah dilaksanakan, namun dibimbangi tindakan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri seolah – olah tidak berkesan akibat daripada longkang besar yang terletak di bahagian belakang taman tidak dapat mengalirkan air dengan sempurna.

Sampah sarap yang berkumpul di laluan longkang.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59