Thursday, 7 October 2010

Sembang Santai


Assalamua’laikum w.b.t.

Hari ini seawal jam 8 pagi saya sudah berada di tempat kerja. Saya memulakan tugasan hari ini dengan melakukan lawatan tapak dan melihat perkembangan kerja-kerja di tapak. Sesudah itu, saya bertegur sapa dengan pekerja-pekerja di tapak. Bertanyakan keadaan mereka dan perihal kerja mereka. Selepas semuanya dipastikan dalam keadaan baik saya masuk ke pejabat dan menyudahkan kerja-kerja di pejabat pula. Pagi yang cerah dan ceria

Sekitar jam 10 pagi, awan hitam kelihatan mula berkumpul di dada langit menandakan hari akan hujan. Saya duduk di bawah bangunan dalam kawasan tapak bina. Lebih kurang setengah jam kemudian hujan turun. Hujan ini membawa seribu macam kenangan dan bersamanya ada rahmat dan kasih sayang Allah untuk setiap makhluk ciptaannya. Sedang saya duduk-duduk, datang seorang pekerja indonesia berketurunan jawa. Lelaki yang digelar sebagai Bang Tono ini menyapa saya dan kemudian kami berbual-bual . Bang Tono ini pada saya seorang yang hebat, bukan sahaja ilmunya dalam bidang pembinaan malah pengalaman dalam kehidupan juga cukup banyak.

Bang Tono memberitahu saya dia punya falsafah hidup tersendiri. Kata-katanya membuat saya tertarik untuk mendengar lebih lanjut akan kata-katanya. “kebahagiaan itu bukan terletak pada matlamat, tetapi pada jalan menuju matlamat”, begitu kata Bang Tono. Setiap orang bercita-cita untuk menjadi kaya, tetapi setelah berusaha puluhan tahun dia tetap belum mencapai cita-citanya. Saya bertanya kepadanya, mengapa begitu?. Manakan tidak, manusia tidak akan pernah puas. Walau diberikan segunung emas, namun dia tetap akan meminta untuk ditambahkan segunung emas lagi, begitulah seterusnya.

Justeru, sampai bila kita akan menjadi kaya? Sambung bang tono lagi, orang yang kaya itu adalah orang yang sentiasa bersyukur. Jika hari ini rezkinya segunung emas, dia lalu menadah tangan mensyukuri nikmat Allah, namun walau esok rezkinya hanya secupak beras, dia tetap menadah tangan mensyukuri nikmat tersebut. Saya mengangguk mengiyakan kata-kata Bang Tono. Sambungnya lagi, apa yang penting adalah kita menikmati hidup ini dengan sepuas-puasnya. Kaya itu matlamat dan kehidupan kita sehari-hari adalah jalan menuju matlamat. Mendengarkan kata-kata Bang Tono menjadikan saya teringat kepada firman Allah yang bermaksud “ jika kamu bersyukur nescaya akan aku tambahkan nikmat ku kepada mu, dan jika kamu kufur sesungguhnya azabku amatlah pedih”, begitulah janji Allah. Syukur Allah menjadikan kita kaya dan sentiasa berkecukupan.

Bicara Bang Tono lagi, hidup ini mesti dinikmati sepuasnya. Dengan itu barulah kita merasakan nikmatnya hidup. Matlamat hidup ini jauh di hadapan, susah payah kita dalam menuju kemenangan itu lah yang menukar pahit maung perjuangan ini kepada kemanisan dan kepuasan kelak. Berusrah, bertamrin, berprogram, memberi masa, jiwa, harta dan tenaga, semuanya menjadi rencah penyedap acuan jalan penuh ranjau ini. Di akhir perbualan kami, Bang Tono menasihati saya, katanya “kamu masih muda, masih banyak yang akan kamu pelajari. Belajarlah untuk bersabar dan bersyukur, kerna kehidupan ini tak semudah yang diimpikan. Hanya sabar dan syukur akan menjadi ubat yang mujarab bagi menyembuh luka sepanjang jalan penuh ranjau berduri ini.” Perbualan kami berakhir di sini, kami berpisah sementara untuk meneruskan kerja masing-masing. Terima kasih Bang Tono untuk ilmu yang sangat berguna ini. Ya Allah, jadikan hambamu ini dari kalangan orang-orang yang sabar dan bersyukur. Amin.

{ .: abu uwais :. }


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59