Monday, 13 September 2010

Kes Jenayah Kecurian Makin Menjadi - Jadi


Jaga – jaga, rumah anda mungkin akan dimasuki pencuri! Sejak kebelakangan ini kejadian pecah rumah semakin menjadi – jadi terutamanya di taman – taman perumahan baru sekitar Bandar Melaka. Terbaru berlaku di Taman Mutiara Bukit Piatu, di dalam Dun Bachang, Parlimen Bukit Katil. Dalam bulan lepas sahaja, 2 buah rumah telah dipecah masuk oleh pencuri, melibatkan kecurian barangan dan kehilangan wang tunai berpuluh ribu ringgit.

Pakatan Rakyat yang diketuai oleh YB Lim Jak Wong telah melakukan lawatan ke rumah mangsa – mangsa kecurian yang terbabit pada 31 Ogos 2010 yang lepas. Menurut seorang mangsa, kejadian pada 6 Ogos 2010 itu berlaku di siang hari, berlaku dalam masa yang sekejap sahaja. Beliau yang pulang ke rumah pada pukul 8 malam setelah keluar pada pukul 7 petang terkejut apabila mendapati gril bahagian belakang rumah beliau pecah diumpil.



Antara barang yang dilaporkan hilang adalah wang tunai, pasport, buku akaun, computer riba, cincin, jam tangan dan kamera digital. Dipercayai kecurian sekelip mata itu dilakukan oleh mereka yang biasa dengan persekitaran taman perumahan terbabit. Ini adalah kerana rumah – rumah yang terbabit dengan kejadian pecah rumah tersebut berdaftar dengan pihak keselamatan swasta yang meronda dan menjaga keselamatan taman perumahan, yang mana pencuri dipercayai mempunyai pengetahuan tentang jadual rondaan pihak keselamatan.

Manakala rumah mangsa yang lain telah dipecah masuk melalui bumbung bilik air. Modus operandi pencuri adalah menyerupai kejadian yang pertama, iaitu memecah masuk dalam keadaan mangsa keluar rumah, iaitu dari pukul 6.30 petang hingga 10.00 malam. Rumah yang diyakini selamat untuk ditinggalkan, setelah dikunci semua pintu dan tingkap telah dimasuki pencuri dalam masa beberapa jam sahaja.


Kawasan perumahan yang baru siap dibina nampaknya menjadi sasaran kepada penyamun ini. Fasa baru Taman Harta Pertama, Bukit Baru juga tidak lepas daripada kejadian curi ini. Tahun lepas, salah satu daripada rumah di sini telah mengalami kecurian motor pada waktu malam, walaupun diletakkan di dalam perkarangan rumah. Walaupun dikunci, pintu pagar diangkat untuk membolehkan motosikal dibawa keluar. Di rumah yang lain pula, pencuri telah masuk melalui loteng ketika penghuninya tiada di rumah.

Dinasihatkan agar warga Melaka, khususnya di DUN – DUN yang terletak di dalam Parlimen Bukit Katil yang tinggal di kawasan-kawasan perumahan yang baru siap dibina agar meningkatkan waspada dan berhati – hati dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan. Laporkan segera kepada pihak berkuasa jika terdapat orang yang mencurigakan berkeliaran di kawasan perumahan.


Laporan dan gambar oleh Pondok Parit Ismail


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59