Wednesday, 1 September 2010

Petikan Ucapan YDP PAS Kawasan Bukit Katil Sempena Program Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Kawasan Bukit Katil


Kemerdekaan merupakan suatu perkara yang sangat bernilai di dalam Islam. Itulah sebabnya pada ketika dulu ada beberapa bentuk hukuman yang dikenakan apabila kita melakukan kesalahan, kita hendaklah memerdekakan seorang hamba. Itulah besar nilainya erti kemerdekaan. Sudah 53 tahun negara kita bebas daripada penjajahan British. Tetapi adakah kemerdekaan ini kemerdekaan yang hakiki, yakni kita bebas daripada segala bentuk penjajahan yang ditinggalkan oleh penjajah Inggeris. Sama ada dalam bentuk penjajahan minda, ekonomi dan sebagainya. Apakah pimpinan dan rakyat negara kita bebas mindanya daripada pembelengguan ?


Pada hari kemerdekaan ini, sepatutnya kita tidak berkumpul di tepi jalan ini. Sepatutnya kita diundang untuk merayakan sambutan hari kebangsaan bersama-sama di MITC. Tetapi malangnya oleh kerana semangat penjajahan ini masih ada di dalam minda kerajaan negeri Melaka pada hari ini, kita dipinggirkan walaupun kita rakyat yang merdeka. Tidak ada satu pun pelawaan daripada kerajaan negeri untuk kita PAS peringkat negeri Melaka untuk sama-sama meraikan hari kemerdekaan.

Jika kerajaan negeri benar-benar telah ‘merdeka’ minda mereka, sudah tentu semua parti politik yang berdaftar termasuklah PAS, DAP dan Keadilan dipelawa bersama-sama merayakan hari kebangsaan di MITC. Jangankan bersama untuk merayakan hari kebangsaan, ahli – ahli dan penyokong Pakatan Rakyat dianaktirikan dengan segala bentuk subsidi dan bantuan. Kita dianaktirikan dari segi menjadi AJK masjid, dari memegang apa jua jawatan dalam institusi kemasyarakatan.


Ini semua melambangkan bahawa kita rakyat yang dikatakan merdeka sebenarnya masih tidak merdeka. Minda masih lagi dibelengu dengan dendam kesumat, walaupun PAS adalah parti yang berdaftar tetapi kita dinafikan hak untuk di dalam media arus perdana malahan dinafikan hak untuk mengadakan ceramah di tempat – tempat umum. Inilah dia bentuk kemerdekaan yang ada di dalam negara kita pada hari ini.


Minda rakyat masih lagi belum merdeka kerana dibelenggu dengan kebendaan, di mana kerajaan ‘mendidik’ rakyat dengan mengugut dengan halangan daripada mendapat bantuan jika menyokong pembangkang. Anak- anak tidak akan dapat biasiswa.

Kita menyambut kemerdekaan hari ini sebagai tanda kita adalah rakyat yang berdaulat. Kita juga adalah warganegara yang berhak merayakan hari kebangsaan pada hari ini. PAS Bukit Katil berkumpul di tepi jalan ini semata – mata adalah untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa kita juga adalah rakyat di negara ini yang sama-sama berbesar hati dan berbangga dengan kemerdekaan negara yang tercinta ini.



Kita menyeru kepada kerajaan supaya memerdekakan rakyat dengan erti kata yang sebenarnya. Bebaskan rakyat untuk melakukan apa jua program yang tidak menjejaskan keselamatan negara. Program-program kepartian jangan diganggu, ceramah jangan diganggu. Kita menyeru supaya kerajaan negeri dan pasukan keselamatan supaya mengamalkan undang-undang yang sebenar, yang adil untuk semua pihak. PAS adalah parti yang berdaftar, PAS adalah parti yang sah di sisi undang-undang, jadi mengapa kita tidak ’merdeka’ untuk menjalankan aktiviti kepartian?


PAS komited dalam perjuangan untuk membebaskan masyarakat daripada belenggu kemaksiatan, belenggu hedonisme yang diamalkan oleh kerajaan negeri. Kita lihat pada hari ini rakyat di negeri kita dimomok-momokkan dan dihidangkan dengan hiburan yang melampau. Kita disajikan dengan program – program maksiat. Malahan di dalam bulan Ramadhan, institusi maksiat yang berkembang pesat di Melaka masih berleluasa, tumbuh bagai cendawan. Maka tidak hairanlah anak-anak muda masih tidak merdeka dalam erti kata yang sebenarnya. Anak-anak haram yang lahir akibat daripada maksiat yang berlaku tidak terkawal lagi. Pada tahun 2009 dilaporkan seramai 359 anak luar nikah dilahirkan di negeri Melaka. Ini menunjukkan akibat daripada hidangan program maksiat inilah gejala sosial berleluasa di negeri Melaka ini.



Hayatilah roh kemerdekaan yang sejati, merdekakan minda kita dari penjajahan alaf baru. Marilah kita selaku rakyat negeri Melaka bertekad untuk membebaskan diri kita secara keseluruhannya, bukan sahaja dari segi merdeka dari penjajahan fizikal dan penjajahan negara malah merdeka jiwa raga dan minda kita.

Laporan oleh Pondok Parit Ismail


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59