Monday, 9 August 2010

Sembang Santai


Hari yang sungguh memenatkan, saban hari kerja-kerja di tempat saya bekerja semakin bertambah lantaran tarikh akhir bagi projek yang dijalankan oleh syarikat kami semakin hampir. Maka seluruh tenaga kerja di syarikat kami berhempas pulas menyiapkan tugasan masing-masing. Walaupun penat, melihat keletah sahabat-sahabat dan rakan sekerja yang lain menjadikan saya gembira hingga terlupa pada kepenatan bekerja.

Teringat saya kepada satu ungkapan kata-kata inggeris yang pernah diucapkan oleh seorang sahabat pimpinan ketika di kampus dahulu, “actions speaks louder than talks”. Pernah anda dengar kata-kata ini? Ayat ini menyatakan bahawa biarlah tindakan kita didengar lebih jelas daripada kata-kata kita. Saya melihat, sesetengah pendakwah tidak mengamalkan intipati ayat ini. Sebagai seorang daie, di antara elemen penting yang perlu dimiliki adalah ilmu, kebijaksanaan dalam menyampaikan ilmu dan akhlak daie itu sendiri. Berapa banyak kisah-kisah yang boleh kita ambil iktibar daripada sirah Rasulullah SAW, berapa ramai sahabat-sahabat yang tertarik kepada islam dengan hanya melihat kepada keperibadian yang ditonjolkan oleh baginda rasul. Bahkan dalam banyak situasi mereka dengan rela hati mengucapkan syahadah dengan hanya melihat kepada kemuliaan akhlak Rasulullah tanpa perlu Rasulullah menyakinkan mereka akan kebenaran islam. Jika dilihat dari sudut persediaan, sejak kecil Allah telah mendidik dan mempersiapkan Rasulullah dengan akhlak yang mulia sebelum baginda dilantik menjadi rasul.

Allah juga mengajarkan kepada kita bagaimana perlunya kita berdakwah secara berhikmah dan menunjukkan contoh tauladan yang baik. Memangnya, secara fitrah manusia lebih mudah diajar jika si pengajar yang lebih dahulu menunjukkan contoh yang baik. Kita akan lebih tertarik kepada orang yang melakukan apa yang diucapkannya berbanding mereka yang tidak berbuat apa yang diucapkannya, atau biasa kita dengar cakap tak serupa bikin. Seringkali kedengaran cerita berkaitan individu-individu yang niat mereka mulia iaitu mahu memperbaiki keadaan ummat hari ini dan menyampaikan risalah islam. Namun, apa yang diucapkan oleh mereka tidak selari dengan apa yang mereka tunjukkan. Amatlah ditakuti jika mereka ini menjadi sumber fitnah kepada agama islam tercinta.

Justeru, kepada para daie diluar sana ayuh kita sama-sama berusaha untuk memperelokkan akhlak kita. Mudah-mudahan, dengan baiknya akhlak kita bisa menjadi asbab hidayah bagi mereka yang melihat kepada kita. Bersama-sama kita meneladani contoh teladan Rasulullah sebagai idola kita dan mengamalkan apa yang diajarkan Allah kepada kita untuk mengajak ummat manusia kepada Allah dengan menunjukkan contoh akhlak yang baik.


{.: abu uwais :.}


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59