Friday, 21 May 2010

Peniaga Bumiputera Melaka Ditindas


MELAKA 18 Mei - Nasib peniaga gerai bumiputera sering dianaktiri oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan lagi perkara baru sebaliknya kerap berlaku. Janji untuk menyediakan penempatan baru sekadar omong kosong apabila peniaga diarah berpindah segera tanpa memberitahu tapak baru kepada peniaga untuk memulakan perniagaan.

Itulah yang terjadi kepada 20 peniaga gerai makanan dan minuman berhampiran kawasan letak kereta di Taman Rempah di sini di mana Bot Melaka Rivercruise beroperasi apabila mereka diarahkan mengosongkan tapak berkenaan. Notis terakhir bertarikh 15 Mei lalu dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kepada peniaga terbabit selewat-lewatnya Rabu ini untuk mengosongkan kawasan tersebut daripada sebarang gerai yang didirikan di situ sejak setahun lalu.

Wakil peniaga Abd. Karim Kassim, 30, berkata, tiga pertemuan dengan MBMB dan Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), pihak terbabit telah bersetuju untuk menyediakan tapak baru jika mereka bersetuju untuk mengosongkan kawasan tersebut.''Berdasarkan janji yang diberikan itu, kami telah bersetuju tetapi sebaliknya baru-baru ini kami mendapat notis arahan untuk berpindah segera tanpa jaminan tapak baru seperti yang dijanjikan berhampiran kawasan tersebut.


''Ini benar-benar mengecewakan kami seluruh peniaga bumiputera di sini. Kenapa melaungkan slogan gagasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan tetapi sebaliknya kami sebagai rakyat ditindas," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam. Katanya, MBMB dan PPSPM tidak mengotakan janji bagi menyediakan tapak baru setelah kesemua peniaga telah memberikan persetujuan untuk berpindah dari tapak yang didiami sejak setahun lalu.

"Selepas menerima notis tersebut kami telah mengemukakan surat rayuan tetapi tidak ada maklum balas daripada MBMB tetapi sebaliknya mereka mendapat notis daripada PPSPM meminta tapak itu dikosongkan untuk kerja penambahbaikan akan dilaksanakan di tapak itu," katanya.

Seorang lagi peniaga, Abd. Rahman Kassim, 34, pula berkata, belum sempat diadakan perbincangan lanjut berkenaan notis kedua itu, peniaga dikenakan kompaun bernilai RM250 pula oleh pihak MBMB pada tarikh 9 Mei lalu.Katanya, kompaun itu dikenakan kepada mereka dengan alasan mereka berniaga tanpa lesen di tapak berkenaan.

Mengulas perkara itu, Abd. Rahman berkata, beberapa peniaga telah tamat lesen perniagaan namun mereka tidak memperbaharui lesen itu kerana belum ada penyelesaian berkenaan dua notis terdahulu.

"Kami bukan tak nak perbaharui lesen tapi masalah berkenaan dua notis awal belum selesai dan kami tak tahu di mana sebenarnya kami boleh berniaga jadi macam mana nak perbaharui lesen," katanya. Katanya, kompaun itu juga belum dijelaskan kerana mereka masih belum pasti kedudukan mereka walaupun diberi tempoh sehingga 23 Mei untuk berjumpa pegawai MBMB supaya kes kompaun boleh diselesaikan di luar mahkamah.

Seorang lagi peniaga, Moktar Kadir, 58, berkata, sehingga kini tiada pihak tampil untuk berbincang dengan mereka untuk menyelesaikan dilema itu.Katanya, kesemua peniaga bersedia untuk berbincang dan berpindah ke lokasi baru sekiranya diarahkan sekali gus dapat meneruskan perniagaan.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59