Monday, 10 May 2010

USRAH PEMUDA KAWASAN BUKIT KATIL


Tempat : Rumah saudara Jauhar Mohd Dawi
Tarikh : 30 April 2010
Masa : 7.30 malam – 9.30 malam

Pengisian :

Saudara Amin selaku pengerusi majlis memulakan usrah dengan bacaan surah Al-fatihah kemudian disambung dengan bacaan Al-ma’thurat.

Pengisian usrah diteruskan dengan bacaan surah Muhammad ayat ke-14 dan 15 oleh saudara Abu Khir dan kemudian dibacakan pula terjemahan ayat oleh saudara Aizat.

Sesi perbincangan berkaitan ayat yang dibacakan dimulakan oleh saudara Taufik dengan membacakan tafsir ayat berpandukan Kitab Tafsir A-Azhar karangan Prof. Hamka. Ayat ke-14 menjelaskan berkaitan perbandingan yang Allah berikan berkaitan orang-orang yang melakukan sesuatu sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh Allah dan orang –orang yang ingkar dan melakukan sesuatu hanya berpandukan kehendak nafsu mereka. Amalan mereka ini di hiaskan oleh syaitan sehingga dilihat baik oleh mereka yang memandang. Di akhir ayat Allah menyatakan bahawa sudah pasti tidak akan sama amalan kedua-dua orang ini.

Dalam ayat ke-15 pula, Allah memotivasikan orang-orang yang beriman dengan menceritakan perihal kecantikan syurga yang tidak terbayang dan tidak terjangkau dek akal. Bagaimana di syurga kelak akan ada sungai yang mengalir dari tiga jenis air iaitu air yang payau, susu, arak dan madu. Mereka yang tinggal kekal di dalam syurga ini pula diberikan makanan oleh Allah dari buah-buahan yang pelbagai jenisnya. Kemudian ditanyakan oleh Allah keadaan mereka adakah sama seperti keadaan ahli neraka yang diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadi hancur isi perut mereka. Sudah pasti sekali-kali tidak akan sama!.

Perbincangan diteruskan dengan ulasan dari sahabat-sahabat, seterusnya disimpulkan oleh Ustaz Norkhairi. Di antara ulasan penting yang disampaikan oleh Ustaz Norkhairi adalah ;
Setiap niat mesti dibenarkan oleh keazaman dan kesungguhan di dalam hati, seterusnya dibenarkan melalui perbuatan.

Ustaz menambah dengan cerita seorang sahabat yang menyesal kerana tidak menyertai peperangan Badar. Kemudian dia berazam untuk bersama-sama rasulullah dalam peperangan yang berikut. Niat dan keazaman beliau ini kemudiannya telah dibenarkan dan direalisasilkan melalui perang Uhud. Kebenaran azam beliau telah terbukti apabila beliau syahid, dan diceritakan para sahabat tidak dapat mengecam mayatnya kerana tubuhnya yang dipenuhi luka.

Terdapat empat golongan orang yang mati syahid, iaitu;
· Seorang yang soleh kemudian dia pergi berjihad dijalan Allah dengan jiwa yang berani lalu dia syahid
· Seorang yang soleh kemudian dia pergi berjihad dijalan Allah dengan perasaan takut lalu dia syahid
· Seorang yang mencampur-adukkan amalan soleh dan amalan maksiat kemudian dia berjihad dijalan Allah lalu dia syahid
· Seorang yang melakukan maksiat kemudian dia berjihad dijalan Allah lalu dia syahid.

Begitulah keadaan orang yang bersungguh-sungguh dalam usaha melaksanakan syariat Allah. Seterusnya ustaz mengaitkan dengan keadaan semasa ahli jemaah pada hari ini. Kebanyakan kita tidak bersungguh dalam berjuang, sehinggakan belumpun mencapai kemenangan ada sebahagian dari kita yang sudah mula mengejar kedudukan dan harta. Wallahua’lam.

Usrah ditamatkan pada jam 9.30 malam dengan surah Al-Asr dan Tasbih Kafarah. Seterusnya solat isyak secara berjemaah dan jamuan makan.


Laporan oleh : Mohd Taufik Rizal bin Mohd Said


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59