Friday, 10 December 2010

Sembang Santai


Assalamua’laikum wbt…

Moga kalian sentiasa di bawah naungan ramat Allah hendaknya. Baru-baru ini saya berbincang dengan seorang sahabat di tempat kerja berkaitan masalah kurangnya kepekaan kita terhadap keberkatan rezeki yang kita peroleh hasil usaha kita sehari-hari. Sesetengah daripada kita memandang enteng akan masalah ini, mungkin kerana kurangnya sensitiviti kita kepada elemen dosa dan pahala atau mungkin juga akibat daripada ceteknya ilmu di dada. Perbincangan saya bersama sahabat pada hari itu membawa kepada sebuah cerita yang cukup menarik untuk dikongsikan kepada anda semua. Mudah-mudahan cerita ini membuka ruang untuk kita berfikir dan bermuhasabah.

Kisah ini adalah kisah yang benar-benar berlaku di kalangan masyarakat kita, kisah bagaimana di sebuah negeri ada seorang pegawai kerajaan yang saya namakan sebagai Encik R. Encik R adalah seorang yang tidak amanah terhadap kerjanya, suatu hari Encik R telah mengambil rasuah daripada orang awam yang berurusan dengannya. Encik R telah memasukkan duit rasuah itu ke dalam poket sebelah kiri seluarnya dan kemudian apabila dia pulang dari kerja dia telah mengeluarkan sejumlah duit dari mesin ATM untuk perbelanjaan isi rumahnya. Duit yang dikeluarkan dari mesin ATM itu telah dimasukkan ke dalam poket sebelah kanan seluarnya. Encik R dengan sengaja mengasingkan duit rasuah di dalam poket kiri dan duitnya sendiri yang dikeluarkan dari mesin ATM di dalam poket seluar sebelah kanan. Ini kerana dia sedar bahawa duit rasuah itu adalah haram dan dia tidak mahu menggunakan duit itu untuk membesarkan anak-anaknya.

Pada sebelah malamnya selepas pulang dari kerja, Encik R mengajak keluarganya pergi membeli barang-barang keperluan dapur. Selepas itu, dia membelanja isteri dan anak-anaknya makan malam di restoran. Selesai makan encik R pergi ke kaunter untuk menjelaskan bayaran makanannya, masalahnya dia telah menghabiskan duit yang dikeluarkannya dari mesin ATM petang tadi untuk membeli barang keperluan dapur. Lalu dia berkata kepada dirinya, “ Tak pe lah, aku guna dulu duit dari poket kiri ni dan kemudian aku akan ganti semula”. Kemudian dia telah membayar harga makan malam dia dan keluarganya dengan menggunakan duit dari poket sebelah kiri tadi, tuan-tuan masih ingatkah? Bahawa duit dari poket sebelah kiri tadi adalah duit yang diperolehinya hasil daripada rasuah yang dilakukannya.

Persoalan yang hendak saya ketengahkan adalah, apakah duit yang digunakan oleh encik R untuk membelanja keluarganya halal atau haram? Berkat atau tidak? Sungguhpun dia tidak mahu memberi makan keluarganya dengan duit rasuah, namum pada ketika itu dia telah pun melakukannya. Apa pendapat anda? Walaupun itu duit yang diperolehinya dari sumber rasuah dan dia telah berkata kepada dirinya bahawa dia akan menggantikan duit dari poket kiri tadi dengan duit dari poket kanan kemudiannya. Namun begitu, hakikatnya pada malam itu, Encik R telah memberi makanan yang dibeli dengan duit dari sumber yang haram kepada keluarganya. Jawapan ini saya serahkan kepada tuan puan untuk menjawabnya.

Justeru itu, suka untuk saya katakan bahawa yang haram telah jelas dan yang halal juga telah jelas. Tidak mungkin keduanya bercampur aduk atau ditukar ganti. Begitulah ceritanya, moga-moga cerita ini membuatkan kita berfikir dan lebih berhati-hati dalam menjaga yang halal dan yang haram.

{ .: Abu Uwais :. }

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59