Monday, 27 December 2010

PRU 13: PR Melaka yakin buat kejutan


MELAKA, 21 Dis: Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) negeri Melaka optimis akan membuat kejutan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) akan datang.

Bendahari DAP Melaka, Damien Yeo (gambar) berkata berdasarkan kepada keputusan PRU 12 lalu, PAS walaupun kalah tetap memberikan tentangan sengit di lima buah kerusi di mana majoriti di sekitar 1,500 hingga 2,500 undi sahaja.

"Jika ahli dan penyokong PR bekerja dengan lebih kuat tidak mustahil PAS dan PKR akan menang di beberapa kerusi dan DAP menambah beberapa kerusi lain dan seterusnya PR akan membentuk kerajaan baru di Melaka.

"Ini tidak mustahil jika semua ahli dan penyokong komited dan bekerja bersungguh-sungguh memberi penerangan kepada rakyat," kata Damien ketika dihubungi di sini pagi ini.

Timbalan Ketua Penerangan PKR Cabang Bukit Katil, Freddie Lim pula berpendapat bahawa rakyat Melaka akan memberikan sokongan penuh kepada PR.

"Rakyat Melaka sebenarnya sudah lama menantikan sebuah pakatan yang kuat dan tidak mengamalkan dasar perkauman seperti BN, mereka yakin PR jauh lebih baik berbanding BN.

"Pada Piihan raya Umum lalu PR belum dibentuk dan rakyat masih kurang yakin untuk mengundi PAS, PKR dan DAP tetapi kini semua sudah berubah," kata Freddie.

Sementara itu, Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka, Ashraf Sharif pula menjelaskan bahawa peluang PR untuk menang di Melaka tetap ada asalkan semua pihak berusaha keras untuk mencapai kemenangan.

"Semua peringkat baik peti undi, Majlis Tindakan Dun dan kawasan serta negeri mesti berganding bahu merancang dan melaksanakan gerak kerja yang sistematik, terancang dan berfokus.

"Gerak kerja mendaftar pengundi muda, kebajikan dan penerangan mesti digiatkan tanpa mengenal penat, lelah dan jemu" katanya yang juga Setiausaha PAS Kawasan Tangga Batu.

Menurutnya, walaupun kerajaan BN Melaka mengisytiharkan Melaka negeri maju namun ianya tidak memberikan impak yang banyak kepada rakyat.

"Apa yang rakyat dapat dengan status negeri maju sedangkan pada masa yang sama rakyat menghadapi kesempitan hidup disebabkan harga minyak dan barangan yang semakin melonjak.

"Jadi walaupun Melaka dikatakan maju tetapi rakyat Melaka akan berfikir untuk menolak BN pada pilihan raya umum akan datang kerana ianya tidak memberika faedah yang banyak kepada rakyat," tambah Ashraf.

sumber : Harakahdaily

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59