Tuesday, 9 November 2010

Sembang Santai


Assalamua’laikum w.b.t.

Genap sebulan saya bekerja di tempat baru, banyak ilmu dan pengalaman baru yang diperoleh. Sungguh, ilmu Allah itu maha luas dan jika air di lautan dijadikan dakwat sedang pohon-pohon di bumi dijadikan pena, kemudian dengannya dituliskan ilmu Allah nescaya tidak akan habis ilmu Allah walaupun air di lautan ditambah dengan kuantiti yang sebanyak atau lebih dari air laut sebelumnya. Namun, harus kita sentiasa sedar bahwa ilmu yang dimiliki kita adalah milik Allah secara mutlak. Justeru, hiduplah untuk memberi kerana dengannya hidup akan lebih bererti.

Orang yang memberi itu orang yang kaya. Mana mungkin kita akan mampu untuk memberi jika kita tidak memiliki apa-apa. Siapa yang lebih pintar, dia akan lebih banyak memberi. Sedang orang yang tidak memberi, petanda dia tidak memiliki apa-apa. Ilmu itu semakin diajarkan semakin ia bertambah, berlawanan pula dengan harta yang jika diberi lebih-lebih lagi jika bukan kerana Allah nescaya ia akan berkurang. Teringat saya kepada ungkapan Saidina Ali karamallahu wajahah, jika kita memiliki harta, kita yang akan menjaganya, sedang jika memiliki ilmu, ilmu akan menjaga kita.

Di tempat kerja, saya bergaul dengan rakan dan pekerja dari latar belakang yang berbeza. Kebanyakan dari mereka tidak bersekolah atau hanya menamatkan pelajaran di peringkat sekolah menengah. Namun, ada juga seorang dua dari pekerja ini yang berpelajaran tinggi. Apa yang menarik tentang mereka adalah mereka kaya dengan ilmu yang mereka pelajari melalui pengalaman dan pemerhatian sehari-hari. Bahkan boleh saya katakan ilmu dan kemahiran mereka setanding golongan profesional. Lebih menarik lagi, tidak seorang pun dari kalangan mereka yang kedekut untuk berkongsi ilmu mereka. Tanyakan apa sahaja, segala yang mereka ketahui akan dikongsikan. Sambil kami bekerja, mereka akan mengajarkan kepada saya itu dan ini, begitu dan begini berkaitan kerja yang sedang kami lakukan. Apabila tiba waktu rehat dan kami berehat bersama-sama, mereka akan berkongsi pula ilmu tentang hidup. Bagaimana suasana masyarakat mereka, pengalaman hidup meraka dan banyak lagi. Sememangnya erti hidup ini pada memberi. Semakin banyak yang kita berikan semakin indah dan bermakna hidup kita.

Sebagai orang baru, sudah tentu banyak yang perlu saya pelajari untuk memahami selok-belok di tempat kerja. Mereka ini sekalipun hanya tukang kayu, tukang ikat batu bata atau tukang besi, mereka adalah guru terbaik bagi saya kerana mereka mengajar dengan ikhlas dan nilai kualiti ilmu yang mereka peroleh dari pengalaman kerja puluhan tahun. Teringat pula saya kepada kisah Imam Al-Ghazali yang sanggup merendah diri pergi menuntut ilmu kepada penjual daging di pasar. Sememangnya sifat ilmu itu dicari bukan ia yang mencari. Yang memiliki wajib memberi, yang tiada wajib mencari.

Begitulah hidup, orang yang berilmu akan sentiasa diterima masyarakat, orang yang berilmu sentiasa dekat dengan penciptanya. Jika mampu, jadilah kita orang alim yang kaya dengan ilmu dan mampu pula mengajarkan ilmunya. Atau jika tidak, jadilah seorang penuntut ilmu yang istiqamah belajar dan melaksanakan ilmunya. Atau jika tidak, jadilah kita seorang pendengar ilmu yang setia. Atau jika masih tidak mampu, cukuplah kita menjadi pencinta ilmu. Semoga dengan ilmu ini akan lebih mengangkat wibawa kita sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini.

Wallahu a’lam.

.: abu uwais :.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59