Thursday, 18 November 2010

Penindasan terhadap peniaga di Heritage Bazar, Dataran Pahlawan Megamall, Melaka


MELAKA: Bayaran pampasan yang rendah daripada kerugian sebenar yang ditanggung menyebabkan lebih 70 peniaga di Heritage Bazar, Dataran Pahlawan Megamall, di sini, membantah dan menuntut pemaju menunaikan janjinya.

Bayaran pampasan tersebut dijanjikan oleh pihak pemaju pusat perniagaan berkenaan berikutan kejadian banjir kilat yang berlaku kira-kira empat bulan lalu sehingga mengakibatkan peniaga kerugian mencecah RM200,000.

Menurut Pengerusi Kraftangan dan Makanan Tradisional, Dataran Pahlawan Megamall, Aziz Embi, pihak berkenaan telah berjanji menafsirkan segala kerugian yang dialami peniaga pada mesyuarat dua bulan lalu yang turut disertai wakil Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

“Pada 28 Oktober lalu kami telah dipanggil bagi pembayaran pampasan dan saya telah melakukan tuntutan berjumlah RM16,089 tetapi malangnya hanya memperolehi bayaran pampasan kerugian berjumlah RM1,161.40. Alasan mereka jumlah yang dinilai adalah urusan pihak insurans sedangkan apa yang kami tafsirkan adalah nilai barangan yang sebenar malah kami juga mengambil gambar sebagai bukti seperti yang dimahukan oleh insurans. Kami sungguh kecewa dan kesal dengan cara mereka melayan kami yang seolaholah mengambil sikap acuh tidak acuh dengan masalah yang kami hadapi,” katanya.

Menurut seorang peniaga, Joanna Choon, 45, pihaknya telah menuntut jumlah pampasan berjumlah RM15,379.30 tetapi hanya menerima kira-kira RM3,300 sahaja.

“Mengapakah kali ini pampasannya rendah sedangkan kejadian kali ini adalah yang terburuk pernah dialami, malah apa yang berlaku seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena terhadap pihak terbabit. Bagi kami jumlah berkenaan terlalu bernilai kerana banyak perkara yang boleh dimanfaatkan daripada jumlah tersebut,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Norliah Acob, 44, mendakwa, dia telah membuat tuntutan berjumlah RM3,000 tetapi malangnya dia hanya sekadar memperolehi bayaran ihsan berjumlah RM300 daripada kerajaan negeri.

“Bila saya tuntut, nilai kerugian yang dialami, pihak pemaju telah menyatakan
saya telah terhutang sebanyak RM23 kononnya telah terlebih bayar pada tuntutan yang lalu. Saya sungguh kesal kerana yang dibayarnya adalah wang ihsan bukannya pampasan daripada insurans yang sepatutnya,” katanya.

*Dipetik daripada HARAKAH keluaran 5 - 7 ZULHIJAH 1431 / 12 - 14 NOVEMBER 2010

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59