Friday, 26 November 2010

Lagi projek membazir di dalam Parlimen Bukit Katil, Dun Ayer Keroh


Melaka: Pembinaan jalan empat lorong yang berharga RM10.93 juta dipersoalkan oleh DAP Melaka kerana ianya tiada keperluan dan langsung tidak digunakan berhampiran Kolej Yayasan Saad (KYS), Ayer Keroh, di sini.

Menurut Adun Ayer Keroh (DAP), Khoo Poay Tiong beliau tidak melihat mengapa jalan sepanjang 2.6 kilometer itu perlu dibina sedangkan selama ini tiada pembangunan atau sebarang aktiviti di kawasan tersebut. Tambahnya, pembinaan jalan berkenaan tidak masuk akal kerana pembangunan di kawasan berkenaan mungkin hanya akan dijalankan lima atau 10 tahun dari sekarang dan kosnya begitu tinggi.

“Sebagaimana yang dikatakan Ketua Menteri, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam iaitu kerajaan negeri menggunakan pendekatan penawaran sebelum permintaan dalam sidang Dun baru-baru ini tetapi ianya tak logik.

“Malahan, saya merasakan adalah lebih baik kerajaan memberikan keutamaan kepada membina jalan lebih penting atau yang diperlukan rakyat, bukannya membina jalan yang sehingga kini tidak digunakan. Sehingga kini, masih tidak ada sebarang tanda pembangunan di sini dan saya risau kerana sejumlah besar wang rakyat sudah dibelanjakan untuk membina jalan ini,” katanya.

Di samping itu, Poay Tiong turut mempersoalkan mengenai kualiti pembinaan jalan berkenaan yang menurutnya tidak memuaskan.

“Kita sendiri dapat melihat permukaan jalan yang agak tidak rata, seterusnya menunjukkan kualiti pembinaan jalan ini tidak baik serta meragukan,” katanya. Selain tidak digunakan, jalan yang dibina itu juga merupakan jalan mati yang tidak dihubungkan dengan mana-mana jalan utama dan tiada sebarang tanda-tanda akan wujudnya pembangunan di sekitar jalan yang terletak berhampiran KYS itu dalam masa terdekat ini.

Sumber : Harakah keluaran 15 – 18 ZULHIJAH 1431 / 22 – 25 NOVEMBER 2010

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59