Friday, 3 September 2010

Ringkasan Kuliah Subuh 18 Ramadhan 1431


Kita sudahpun masuk ke peringkat ketiga di dalam bulan Ramadhan, yakni 10 hari terakhir yang kita sedia tahu bahawa banyak fadhilatnya. Di dalam bulan Ramadhan itu ada hari – hari yang disebut sebagai Al Ayaamu Mubarakah, hari – hari yang ada berkat. Di antaranya ada suatu hari yang Allah Taala mengurniakan keampunan, di mana hari turunnya Lailatul Qadar.

Di dalam bulan Ramadhan ini juga ada hari – hari yang bersejarah di dalam Islam; di antaranya hari Fathul Makkah pada 10 Ramadhan, peperangan antara umat Islam Mesir dengan Israel juga berlaku dalam bulan Ramadhan, di mana Allah memberi kemenangan kepada tentera Islam juga pada 10 Ramadhan. Peperangan Badar juga berlaku dalam bulan Ramadhan, dan Nuzul Quran juga berlaku dalam bulan yang mulia ini.

Kita lihat pada hari ini orang Islam yang mengaku dirinya beriman dengan Al Quran, berbuat zalim kepada Al Quran, tidak menunaikan hak kitab yang mulia ini. Sedangkan Allah menyebut Al Quran adalah kitab yang membawa petunjuk. Ramai orang Islam hari ini membaca Al – Quran hanya semata – mata untuk mendapat berkat. Hanya memandang Al Quran itu adalah kitab yang perlu dibaca pada orang yang mati. Mereka hanya melihat Al Quran sebagai sebuah kitab yang ayatnya boleh dibuat jampi, yang boleh dibuat pendinding untuk menghalau hantu dan syaitan, yang boleh dibuat ukiran pada dinding masjid atau dijadikan bingkai hiasan untuk diletakkan di kedai ataupun rumah kediaman.

Ada juga yang menjadikan Al Quran itu sebagai bahan pertandingan semata – mata. Lebih daripada itu mereka tidak nampak. Dalam bulan Ramadhan ini kita bertadarus, malah belum tamat bulan Ramadhan lagi ada yang sudah khatam perdana. Jadi persoalannya di manakah nilai Al Quran yang sebenarnya. Kalau Allah Taala hendak menjadikan Al Quran ini sebagai bahan bacaan, Allah akan menurunkan Al Quran ini sekaligus. Tetapi sebaliknya Allah turunkan Al Quran itu sedikit demi sedikit untuk pemahaman umat Rasulullah SAW. Para sahabat RA berkata “ Kami setiap kali hanya akan mengambil 10 ayat Al Quran daripada Nabi SAW, dan tidak akan mengambil ayat yang berikutnya selagi kami tidak beramal dengan 10 ayat tersebut”.

Malahan Nabi menganjurkan jangan khatam Al Quran kurang daripada tempoh 3 hari, menunjukkan tadabbur Al Quran itu lebih penting daripada tadarus Al Quran. Berapa ramai di antara umat Islam hari ini hanya mengejar kepada khatam Quran, berbanding untuk mengamalkan isi kandungan kitab ini. Aisyah isteri Nabi apabila ditanya tentang akhlak Nabi, menyebut “ Akhlak Nabi itu adalah Quran”. Bermaksud Al Quran itu sekadar dibaca oleh Nabi, malahan ia adalah “batang tubuh” Nabi Muhammad SAW. Disebut juga di dalam satu kitab karangan Syeikh Ahmad Al Ghazali bahawa Nabi itu “Quran bergerak”.Setiap pergerakan dan tingkah laku Nabi adalah tafsiran kepada Al Quran.

Imam Syafie dalam kitab beliau Ar-Risalah menyebut bahawa “Sunnah itu adalah kefahaman Nabi Muhammad kepada Al Quranul Karim”. Quran itu bukan sekadar dibaca melalui mulut tetapi sepatutnya sebati dengan kehidupan manusia. Inilah matlamat kita, untuk melahirkan generasi Al Quran, bukan sekadar generasi khatam Quran. Generasi yang menghayati Al Quran, yang beramal dengan Al Quran. Generasi yang menjadi “tentera” Al Quran, yang bercakap menggunakan Al Quran sebagai hujah dan sandaran.

Di dalam kita bertadarus Al Quran di bulan yang mulia ini, marilah kita mengkaji, menghayati tafsirnya. Apabila kita memandang Al Quran itu, kita lihat nilai yang ada di dalamnya. Kita hadirkan di dalam diri bahawa kitab ini adalah kitab Mukjizat. Janganlah kita sekadar menghormati kitab ini, yang mana apabila kitab ini jatuh, dengan segera kita ambil lalu menjunjung dan ‘mencium’ kitab ini. Tetapi hukum yang terkandung di dalamnya kita tidak ambil, menunjukkan betapa palsunya kasih sayang kita terhadap Al Quran.

Kuliah disampaikan oleh Al Fadil Ustaz Musa di Balai Islam Taman Cempaka, mengupas serba sedikit tentang isi kitab karangan Dr. Yusuff Qardawi - “Bagaimana Cara Untuk Berinteraksi Dengan Al Quran”.


Pondok Parit Ismail

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59