Wednesday, 22 September 2010

Sambutan Kuih Bulan dan Tanglung


Bukit Baru, 21 September 2010 – Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka melalui Lujnah Perpaduan Nasional di bawah kepimpinan Ust. Khairul Che Salleh (gambar) berjaya menggerakkan seluruh tenaga pemuda negeri untuk turun bersama-sama Kepimpinan Pemuda Pakatan Rakyat bagi memperingati semangat ‘Perayaan Kuih Bulan’.

“Semangat ini adalah rentetan daripada Revolusi yang muncul ketika rakyat China Dinasti Ming yang bangkit untuk menggulingkan kezaliman dan penindasan yang dilakukan oleh Kerajaan Monggol terhadap orang cina. Semangat inilah yang menjadi aspirasi perjuang rakyat di Melaka khususnya untuk turun ke kawasan kejiranan di sekitar Melaka bagi menyedarkan tentang kezaliman Kerajaan Barisan Nasional dan memenangi hati rakyat untuk bersama-sama menggantikannya dengan Kerajaan Pakatan Rakyat yang sememangnya seiring dengan kehendak rakyat;” ujar Penyelia Majlis Tindakan DUN Bukit Baru, Cikgu Yusof Wahab.

Menurutnya lagi, Bertemakan ‘Rakyat Memimpin Perubahan’ dan berbekalkan 600 biji Kek Bulan, program yang melibatkan 6 DUN iaitu DUN Bukit Baru, DUN Serkam, Dun Merlimau, DUN Sg. Rambai, DUN Ayer Molek dan Dun Kuala Linggi ini telah berjaya merobohkan tembok pemisahan bangsa yang selama ini cuba dibina oleh Kerajaan UMNO Barisan Nasional yang cuba menjuzuk-juzukkan masyarakat mengikut bangsa.

“Kerjasama antara PAS, KeADILan dan DAP ini berjaya menunjukkan kemuafakatan yang terjalin didalam Pakatan Rakyat yang sememangnya wujud walaupun Pesta Tanglong @ Pesta Kuih Bulan ini lebih sinonim dengan masyarakat Tiong Hua,” kata Shamsul Iskandar Mat Akin selaku mantan Ketua AMK Pusat.

“Bentuk bulat pada Kuih Bulan melambangkan meja bulat yang sinonim dengan perbincangan untuk mendapatkan kata sepakat dalam membuat keputusan dan perkara yang sama perlu dibuat sekarang untuk kita bersama-sama meruntuhkan kezaliman Kerajaan Barisan Nasional”, ujar YB Khoo Poay Tiong ADUN Ayer Keroh yang turut serta dalam program tersebut.

Respon yang sangat positif diterima apabila salah seorang daripada penduduk setempat yang lebih selesa dikenali dengan panggilan David berasa terkejut apabila PAS yang selama ini dilihat ekstremis Islam mampu turun ke lapangan bersama masyarakat Tiong Hua yang majoritinya beragama Budha.

Turut sama dalam program tersebut adalah wakil dari Angkatan Muda Keadilan ialah mantan Ketua AMK Melaka sesi lalu ialah Hairiz Nordin, Farhan selaku Ketua AMK Cabang Bukit Katil serta beberapa pimpinan AMK yang lain.

PAS pula diwakili Exco Lajnah Kebajikan DPPNM, Shahril Azam, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Bukit Katil, Jauhar Md Dawi serta jawatankuasa Majlis Tindakan DUN (MTD) Bukit Baru manakala DAP diwakili oleh YB Khoo Paoy Tiong.

Disediakan oleh:
Mohamad Fathi Yusup
Setiausaha
Lajnah Perpaduan Nasional
Dewan Pemuda PAS Melaka


Monday, 20 September 2010

Perutusan Khas buat Kaum Tiong Hua: Sempena dengan Sambutan Perayaan Kuih Bulan 2010


Salam Sejahtera buat semua saudaraku dari kaum Tiong Hua, bersempena dengan Sambutan Perayaan Kuih Bulan pada 22 September 2010, saya Mewakili kepimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka menyeru agar sejarah disebalik sambutan perayaan kuih bulan tersebut dapat menjadi iktibar dan pemangkin kearah untuk kita bersatu dan saling membina kepercayaan dalam sebuah kesatuan kehidupan bermasyarakat tanpa sebarang rasa prejudice dan dapat menghasilkan rasa semangat setia kawan , saling hormat menghormati diantara kita agar cita cita untuk melihat Bumi Malaysia tercinta diurus serta ditadbir oleh golongan manusia yang benar ikhlas serta cintakan keadilan.



Semangat seumopama inilah yang telah menjatuhkan Dinasti Monggol yang telah menyebabkan masyarakat Cina hari ini bebas serta mampu menjadi salah satu kuasa besar dalam pelbagai lapangan kejayaan termasuk dari sektor ekonomi dan kebajikan rakyatnya. Rakyat Cina hari ini benar benar merdeka dengan tanpa sebarang pengaruh "Masonic" dalam struktur masyarakat mereka dan inilah yang kita inginkan agar kita sama sama sebagai rakyat Malaysia dapat mengecapi apa yang kita perjuangkan iaitu keadilan untuk semua. 



Pakatan Rakyat, Harapan Baru Untuk Semua.

Ustaz Khairul Che Salleh

Exco Lajnah Perpaduan Nasioanal

Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka


Thursday, 16 September 2010




Monday, 13 September 2010

Kes Jenayah Kecurian Makin Menjadi - Jadi


Jaga – jaga, rumah anda mungkin akan dimasuki pencuri! Sejak kebelakangan ini kejadian pecah rumah semakin menjadi – jadi terutamanya di taman – taman perumahan baru sekitar Bandar Melaka. Terbaru berlaku di Taman Mutiara Bukit Piatu, di dalam Dun Bachang, Parlimen Bukit Katil. Dalam bulan lepas sahaja, 2 buah rumah telah dipecah masuk oleh pencuri, melibatkan kecurian barangan dan kehilangan wang tunai berpuluh ribu ringgit.

Pakatan Rakyat yang diketuai oleh YB Lim Jak Wong telah melakukan lawatan ke rumah mangsa – mangsa kecurian yang terbabit pada 31 Ogos 2010 yang lepas. Menurut seorang mangsa, kejadian pada 6 Ogos 2010 itu berlaku di siang hari, berlaku dalam masa yang sekejap sahaja. Beliau yang pulang ke rumah pada pukul 8 malam setelah keluar pada pukul 7 petang terkejut apabila mendapati gril bahagian belakang rumah beliau pecah diumpil.



Antara barang yang dilaporkan hilang adalah wang tunai, pasport, buku akaun, computer riba, cincin, jam tangan dan kamera digital. Dipercayai kecurian sekelip mata itu dilakukan oleh mereka yang biasa dengan persekitaran taman perumahan terbabit. Ini adalah kerana rumah – rumah yang terbabit dengan kejadian pecah rumah tersebut berdaftar dengan pihak keselamatan swasta yang meronda dan menjaga keselamatan taman perumahan, yang mana pencuri dipercayai mempunyai pengetahuan tentang jadual rondaan pihak keselamatan.

Manakala rumah mangsa yang lain telah dipecah masuk melalui bumbung bilik air. Modus operandi pencuri adalah menyerupai kejadian yang pertama, iaitu memecah masuk dalam keadaan mangsa keluar rumah, iaitu dari pukul 6.30 petang hingga 10.00 malam. Rumah yang diyakini selamat untuk ditinggalkan, setelah dikunci semua pintu dan tingkap telah dimasuki pencuri dalam masa beberapa jam sahaja.


Kawasan perumahan yang baru siap dibina nampaknya menjadi sasaran kepada penyamun ini. Fasa baru Taman Harta Pertama, Bukit Baru juga tidak lepas daripada kejadian curi ini. Tahun lepas, salah satu daripada rumah di sini telah mengalami kecurian motor pada waktu malam, walaupun diletakkan di dalam perkarangan rumah. Walaupun dikunci, pintu pagar diangkat untuk membolehkan motosikal dibawa keluar. Di rumah yang lain pula, pencuri telah masuk melalui loteng ketika penghuninya tiada di rumah.

Dinasihatkan agar warga Melaka, khususnya di DUN – DUN yang terletak di dalam Parlimen Bukit Katil yang tinggal di kawasan-kawasan perumahan yang baru siap dibina agar meningkatkan waspada dan berhati – hati dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan. Laporkan segera kepada pihak berkuasa jika terdapat orang yang mencurigakan berkeliaran di kawasan perumahan.


Laporan dan gambar oleh Pondok Parit Ismail


Thursday, 9 September 2010

Perutusan Aidul Fitri 1431 Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil


Basmallah, Alhamdulillah syukur dipanjatkan ke hadrat Allah Swt kerana telah pun umat Islam melengkapkan amanah Allah sepanjang di dalam “Universiti Allah” iaitu Ramadhan El Kareem. Sebagai hamba Allah, amatlah terasa benar akan pemergian “ musim kebajikan “ yang disediakan untuk hamba-Nya yang berkualiti yang sentiasa mengharapkan dapat berpeluang untuk bertemu sekali lagi pada tahun depan.

Dengan melangkahnya kita ke bulan Syawal semoga ia menjadi titik permulaan ke arah menjadi manusia yang benar – benar bebas dari sebarang sifat kotor yang bersarang dalam jiwa, lantas melahirkan insan yang tiada pergantungan dengan manusia yang lain diiringi dengan kemuliaan Allah Swt. Inilah erti kemerdekaan sebagai manusia yang telah memperolehi nilai kesamarataan, yang dibebaskan oleh baginda Rasulullah SAW bermula 1431 Hijrah yang lalu.

Kesamarataan yang didedikasikan oleh baginda melalui dakwah baginda untuk umat manusia sekalian alam adalah tidak lain tidak bukan hanyalah untuk tunduk kepada Allah, tuhan pencipta sekalian alam dan juga tuhan yang satu untuk umat manusia.

Maka dengan kesempatan ini, saya Ustaz Che Khairul Che Salleh, Ketua Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil ( DPPKBK ) mewakili seluruh anggota dan Ahli Jawatan Kuasa DPPKBK merakamkan ucapan Salam Idulfitri mohon kemaafan atas sebarang khilaf dan salah. Kepada seluruh amilin gerakan Islam, saat kita memerdekakan manusia kini semakin mencabar, ayuh sahabat sekalian perangilah emosi kita agar kita dapat terus kibarkan panji – panji Islam dan bertemu dengan Pencipta sebagai syuhada’.



Wednesday, 8 September 2010

Gambar - gambar Program Bersama Anak Yatim di Balai Islam Taman Cempaka 8 Sep 2010





































Pusat Aduan Rakyat DUN Bukit Baru Dilancarkan


BUKIT KATIL, 6 Sept: Pusat Aduan Rakyat Dun Bukit Baru telah dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa semalam.

Pusat Aduan Rakyat (PAR) itu yang terletak betul-betul berhadapan dengan Masjid Bukit Katil akan dijadikan pusat kegiatan program-program kebajikan dan khidmat masyarakat bagi membantu rakyat yang menghadapi apa juga masalah dalam kehidupan seharian mereka.
Upacara perasmian ringkas tersebut dilaksanakan sempena kedatangan Ustaz Nasharuddin yang hadir memenuhi undangan PAS Kawasan Bukit Katil untuk program berbuka puasa dan ceramah Badar Al Qubra malam tadi.




Sementara itu Penyelia Dun Bukit Baru, Cikgu Yusof Wahab berkata perasmian PAR itu menyemarakkan lagi kerja-kerja kebajikan PAS kawasan dan Majlis Tindakan Dun sesuai dengan slogan PAS yang mempelopori Negara Berkebajikan.

“Kita akan jadikan pusat aduan ini sebagai ‘One Stop Center’ bagi apa juga program kebajikan dan khidmat masyarakat PAS kawasan dan Dun Bukit Baru.

“Ianya akan dibuka setiap hari dan rakyat boleh membuat aduan atas apa juga masalah yang berkaitan dengan mereka,” tambah Yusof yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS kawasan.

Yusof juga berkata, antara perkhidmatan yang diberikan oleh pusat itu ialah membantu rakyat dalam urusan permohonan apa juga bantuan, menyelesaikan hal-hal berkaitan isu-isu setempat dan mengendalikan program-program kebajikan dan khidmat masyarakat.

Pusat itu boleh dihubungi melalui talian 06-2672239/013-6262823 atau 013-2186886, email: pusataduan@gmail.com atau n17yusofwahab@gmail.com atau laman web: mtdbukitbaru.blogspot.com.

petikan dari harakah daily
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=28532:timbalan-presiden-rasmi-pusat-aduan-bukit-baru&catid=52:negeri-melaka&Itemid=97


Friday, 3 September 2010

Ringkasan Kuliah Subuh 18 Ramadhan 1431


Kita sudahpun masuk ke peringkat ketiga di dalam bulan Ramadhan, yakni 10 hari terakhir yang kita sedia tahu bahawa banyak fadhilatnya. Di dalam bulan Ramadhan itu ada hari – hari yang disebut sebagai Al Ayaamu Mubarakah, hari – hari yang ada berkat. Di antaranya ada suatu hari yang Allah Taala mengurniakan keampunan, di mana hari turunnya Lailatul Qadar.

Di dalam bulan Ramadhan ini juga ada hari – hari yang bersejarah di dalam Islam; di antaranya hari Fathul Makkah pada 10 Ramadhan, peperangan antara umat Islam Mesir dengan Israel juga berlaku dalam bulan Ramadhan, di mana Allah memberi kemenangan kepada tentera Islam juga pada 10 Ramadhan. Peperangan Badar juga berlaku dalam bulan Ramadhan, dan Nuzul Quran juga berlaku dalam bulan yang mulia ini.

Kita lihat pada hari ini orang Islam yang mengaku dirinya beriman dengan Al Quran, berbuat zalim kepada Al Quran, tidak menunaikan hak kitab yang mulia ini. Sedangkan Allah menyebut Al Quran adalah kitab yang membawa petunjuk. Ramai orang Islam hari ini membaca Al – Quran hanya semata – mata untuk mendapat berkat. Hanya memandang Al Quran itu adalah kitab yang perlu dibaca pada orang yang mati. Mereka hanya melihat Al Quran sebagai sebuah kitab yang ayatnya boleh dibuat jampi, yang boleh dibuat pendinding untuk menghalau hantu dan syaitan, yang boleh dibuat ukiran pada dinding masjid atau dijadikan bingkai hiasan untuk diletakkan di kedai ataupun rumah kediaman.

Ada juga yang menjadikan Al Quran itu sebagai bahan pertandingan semata – mata. Lebih daripada itu mereka tidak nampak. Dalam bulan Ramadhan ini kita bertadarus, malah belum tamat bulan Ramadhan lagi ada yang sudah khatam perdana. Jadi persoalannya di manakah nilai Al Quran yang sebenarnya. Kalau Allah Taala hendak menjadikan Al Quran ini sebagai bahan bacaan, Allah akan menurunkan Al Quran ini sekaligus. Tetapi sebaliknya Allah turunkan Al Quran itu sedikit demi sedikit untuk pemahaman umat Rasulullah SAW. Para sahabat RA berkata “ Kami setiap kali hanya akan mengambil 10 ayat Al Quran daripada Nabi SAW, dan tidak akan mengambil ayat yang berikutnya selagi kami tidak beramal dengan 10 ayat tersebut”.

Malahan Nabi menganjurkan jangan khatam Al Quran kurang daripada tempoh 3 hari, menunjukkan tadabbur Al Quran itu lebih penting daripada tadarus Al Quran. Berapa ramai di antara umat Islam hari ini hanya mengejar kepada khatam Quran, berbanding untuk mengamalkan isi kandungan kitab ini. Aisyah isteri Nabi apabila ditanya tentang akhlak Nabi, menyebut “ Akhlak Nabi itu adalah Quran”. Bermaksud Al Quran itu sekadar dibaca oleh Nabi, malahan ia adalah “batang tubuh” Nabi Muhammad SAW. Disebut juga di dalam satu kitab karangan Syeikh Ahmad Al Ghazali bahawa Nabi itu “Quran bergerak”.Setiap pergerakan dan tingkah laku Nabi adalah tafsiran kepada Al Quran.

Imam Syafie dalam kitab beliau Ar-Risalah menyebut bahawa “Sunnah itu adalah kefahaman Nabi Muhammad kepada Al Quranul Karim”. Quran itu bukan sekadar dibaca melalui mulut tetapi sepatutnya sebati dengan kehidupan manusia. Inilah matlamat kita, untuk melahirkan generasi Al Quran, bukan sekadar generasi khatam Quran. Generasi yang menghayati Al Quran, yang beramal dengan Al Quran. Generasi yang menjadi “tentera” Al Quran, yang bercakap menggunakan Al Quran sebagai hujah dan sandaran.

Di dalam kita bertadarus Al Quran di bulan yang mulia ini, marilah kita mengkaji, menghayati tafsirnya. Apabila kita memandang Al Quran itu, kita lihat nilai yang ada di dalamnya. Kita hadirkan di dalam diri bahawa kitab ini adalah kitab Mukjizat. Janganlah kita sekadar menghormati kitab ini, yang mana apabila kitab ini jatuh, dengan segera kita ambil lalu menjunjung dan ‘mencium’ kitab ini. Tetapi hukum yang terkandung di dalamnya kita tidak ambil, menunjukkan betapa palsunya kasih sayang kita terhadap Al Quran.

Kuliah disampaikan oleh Al Fadil Ustaz Musa di Balai Islam Taman Cempaka, mengupas serba sedikit tentang isi kitab karangan Dr. Yusuff Qardawi - “Bagaimana Cara Untuk Berinteraksi Dengan Al Quran”.


Pondok Parit Ismail


Thursday, 2 September 2010



Wednesday, 1 September 2010

Petikan Ucapan YDP PAS Kawasan Bukit Katil Sempena Program Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Kawasan Bukit Katil


Kemerdekaan merupakan suatu perkara yang sangat bernilai di dalam Islam. Itulah sebabnya pada ketika dulu ada beberapa bentuk hukuman yang dikenakan apabila kita melakukan kesalahan, kita hendaklah memerdekakan seorang hamba. Itulah besar nilainya erti kemerdekaan. Sudah 53 tahun negara kita bebas daripada penjajahan British. Tetapi adakah kemerdekaan ini kemerdekaan yang hakiki, yakni kita bebas daripada segala bentuk penjajahan yang ditinggalkan oleh penjajah Inggeris. Sama ada dalam bentuk penjajahan minda, ekonomi dan sebagainya. Apakah pimpinan dan rakyat negara kita bebas mindanya daripada pembelengguan ?


Pada hari kemerdekaan ini, sepatutnya kita tidak berkumpul di tepi jalan ini. Sepatutnya kita diundang untuk merayakan sambutan hari kebangsaan bersama-sama di MITC. Tetapi malangnya oleh kerana semangat penjajahan ini masih ada di dalam minda kerajaan negeri Melaka pada hari ini, kita dipinggirkan walaupun kita rakyat yang merdeka. Tidak ada satu pun pelawaan daripada kerajaan negeri untuk kita PAS peringkat negeri Melaka untuk sama-sama meraikan hari kemerdekaan.

Jika kerajaan negeri benar-benar telah ‘merdeka’ minda mereka, sudah tentu semua parti politik yang berdaftar termasuklah PAS, DAP dan Keadilan dipelawa bersama-sama merayakan hari kebangsaan di MITC. Jangankan bersama untuk merayakan hari kebangsaan, ahli – ahli dan penyokong Pakatan Rakyat dianaktirikan dengan segala bentuk subsidi dan bantuan. Kita dianaktirikan dari segi menjadi AJK masjid, dari memegang apa jua jawatan dalam institusi kemasyarakatan.


Ini semua melambangkan bahawa kita rakyat yang dikatakan merdeka sebenarnya masih tidak merdeka. Minda masih lagi dibelengu dengan dendam kesumat, walaupun PAS adalah parti yang berdaftar tetapi kita dinafikan hak untuk di dalam media arus perdana malahan dinafikan hak untuk mengadakan ceramah di tempat – tempat umum. Inilah dia bentuk kemerdekaan yang ada di dalam negara kita pada hari ini.


Minda rakyat masih lagi belum merdeka kerana dibelenggu dengan kebendaan, di mana kerajaan ‘mendidik’ rakyat dengan mengugut dengan halangan daripada mendapat bantuan jika menyokong pembangkang. Anak- anak tidak akan dapat biasiswa.

Kita menyambut kemerdekaan hari ini sebagai tanda kita adalah rakyat yang berdaulat. Kita juga adalah warganegara yang berhak merayakan hari kebangsaan pada hari ini. PAS Bukit Katil berkumpul di tepi jalan ini semata – mata adalah untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa kita juga adalah rakyat di negara ini yang sama-sama berbesar hati dan berbangga dengan kemerdekaan negara yang tercinta ini.



Kita menyeru kepada kerajaan supaya memerdekakan rakyat dengan erti kata yang sebenarnya. Bebaskan rakyat untuk melakukan apa jua program yang tidak menjejaskan keselamatan negara. Program-program kepartian jangan diganggu, ceramah jangan diganggu. Kita menyeru supaya kerajaan negeri dan pasukan keselamatan supaya mengamalkan undang-undang yang sebenar, yang adil untuk semua pihak. PAS adalah parti yang berdaftar, PAS adalah parti yang sah di sisi undang-undang, jadi mengapa kita tidak ’merdeka’ untuk menjalankan aktiviti kepartian?


PAS komited dalam perjuangan untuk membebaskan masyarakat daripada belenggu kemaksiatan, belenggu hedonisme yang diamalkan oleh kerajaan negeri. Kita lihat pada hari ini rakyat di negeri kita dimomok-momokkan dan dihidangkan dengan hiburan yang melampau. Kita disajikan dengan program – program maksiat. Malahan di dalam bulan Ramadhan, institusi maksiat yang berkembang pesat di Melaka masih berleluasa, tumbuh bagai cendawan. Maka tidak hairanlah anak-anak muda masih tidak merdeka dalam erti kata yang sebenarnya. Anak-anak haram yang lahir akibat daripada maksiat yang berlaku tidak terkawal lagi. Pada tahun 2009 dilaporkan seramai 359 anak luar nikah dilahirkan di negeri Melaka. Ini menunjukkan akibat daripada hidangan program maksiat inilah gejala sosial berleluasa di negeri Melaka ini.



Hayatilah roh kemerdekaan yang sejati, merdekakan minda kita dari penjajahan alaf baru. Marilah kita selaku rakyat negeri Melaka bertekad untuk membebaskan diri kita secara keseluruhannya, bukan sahaja dari segi merdeka dari penjajahan fizikal dan penjajahan negara malah merdeka jiwa raga dan minda kita.

Laporan oleh Pondok Parit Ismail


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59