Friday, 20 August 2010

Sembang Santai


Assalamu’laikum w.b.t…

Sebaik sahaja kedengaran laungan azan oleh muezzin, saya bersegera mempersiapkan diri dan menuju ke surau berdekatan untuk menunaikan solat fardu asar secara berjemaah. Dalam perjalanan menuju ke surau tersebut, saya melihat beberapa orang anak muda sedang duduk di taman sambil berbual-bual. Kelihatan asyik mereka berbincang, terlintas di kepala “perkara apa agaknya yang mereka bincangkan sehingga melebihi kepentingan solat berjemaah diawal waktu?”. Salah seorang daripada anak muda tadi berpaling kepada saya sambil tersenyum, lalu saya membalas senyumannya sambil mengangkat tangan kepadanya. Saya teruskan perjalanan ke surau dengan segera.

Selepas solat berjemaah di surau, saya berjalan perlahan-lahan pulang ke rumah. Kelihatan kumpulan anak muda tadi masih berada di taman. Tiba-tiba saya teringat kepada sebuah cerita, bagaimana seorang pelajar Malaysia di Jepun telah di soal oleh seorang pelajar Jepun, “mengapa orang islam membuang masa mereka dengan sembahyang?”. Soalan ini boleh dilihat dari beberapa sudut pandang, mungkin dalam agama mereka tidak memerlukan masa yang lama untuk ritual keagamaan atau mungkin juga pelajar jepun tadi tidak faham akan maksud dan peranan solat kepada orang islam. Tetapi saya melihat bahawa soalan tadi timbul kerana budaya masyarakat Jepun yang sangat menghargai dan menepati masa. Justeru bagi mereka masa 10 hingga 15 minit untuk sembahyang adalah suatu pembaziran. Terfikir saya betapa bagi masyarakat Jepun yang amat menghargai masa, 10 minit untuk sembahyang adalah sangat lama. Tetapi, bagi masyarakat kita yang sudah terbiasa dengan budaya membuang masa apalah sangat masa 10 hingga 15 minit untuk dibuang begitu sahaja. Sehinggakan telah wujud satu peribahasa iaitu “janji melayu” dek kerana masyarakat kita terlalu mengambil mudah akan masa.

Sedari alam kampus saya sudah membiasakan diri untuk sentiasa datang awal ke program-program atau mesyuarat persatuan, namun apakan daya kita tidak akan mampu untuk mengubah orang lain. Budaya membuang masa dan tidak menepati masa ini terbawa-bawa ke alam luar kampus dan alam pekerjaan. Di tempat kerja, saya melihat mereka yang gah apabila bercakap soal tarbiyah dan dakwah sekalipun masih mencuri masa kerja dengan berbual kosong dan berlengah-lengah. Dalam mesyuarat dan usrah juga para daie ini tidak mampu untuk menepati waktu. Justeru, bagaimana mungkin kita mahu bercakap soal kemenagan islam?

Indahnya, Allah mendatangkan perintah solat itu sangat berkait rapat dengan waktu. Orang yang menjaga solat pasti akan sangat menghargai dan menepati waktu. Ini kerana, setiap waktu solat mempunyai senggang masanya sendiri dan tidak boleh dilakukan dalam waktu yang lain, bahkan solat subuh untuk hari ini tidak akan sama jika dilakukan pada waktu subuh keesokkan harinya. Ada peribahasa arab menyatakan “masa umpama pedang, jika kita tidak memotongnya, maka ia akan memotong kita”. Moga kita tergolong dari kalangan orang yang menjaga solat sekaligus menjadi orang yang menepati waktu.


{ .: abu uwais :. }

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59