Tuesday, 31 August 2010



Monday, 30 August 2010

Pakatan Rakyat DUN Bachang Dilancarkan


Bermula dengan perjumpaan ringkas di sebuah kedai makan milik ahli PAS di Bachang Kawasan Bukit Katil selepas solat terawih pada 15 Ramadhan 1431 ( Rabu 25 Ogos 2010 ), Jawatankuasa Pakatan Rakyat peringkat Dun Bachang telah berjaya dibentuk dengan keanggotaan penuh dari parti DAP, PAS dan KeAdilan. Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Cikgu Samad Hj Mamat, Ketua Cawangan PAS Bukit Piatu, dibantu oleh Naib Pengerusi dari KeAdilan Cabang Bukit Piatu, saudara Md Said Abu.


Barisan Jawatankuasa Pakatan Rakyat Dun Bachang


Jawatan Bendahari dilantik dari DAP, saudara Tham Seng Enn, manakala saudara Sufian Abu Bakar dari PAS Cawangan Bukit Piatu telah dilantik sebagai Setiausaha dan saudara Ezan Ahmad sebagai Ketua Penerangan. Penasihat Undang-Undang dipegang oleh Chin Chong Seong dari DAP dan Jawatan Penasihat Jawatankuasa ini disandang oleh YB Lim Jak Wong ( DAP ), selaku ADUN Bachang.




Sidang Akhbar bersama wartawan daripada akhbar Cina

Susulan kepada pembentukan Jawatankuasa ini, satu sidang akhbar telah diadakan di Pejabat DAP Melaka di Lorong Pandan pada hari Sabtu 28 Ogos. Pengumuman telah dibuat oleh ADUN Bachang sendiri kepada wakil akhbar harian berbahasa Cina yang hadir. Menurut beliau, dengan tertubuhnya Jawatankuasa Pakatan Rakyat peringkat DUN Bachang ini menandakan kesepakatan yang amat erat di kalangan 3 parti politik pembangkang di Melaka, khususnya di peringkat DUN dan Parlimen Bukit Katil.

YB Lim Jak Wong sedang menyampaikan ucapan

Dalam masa yang singkat, Jawatankuasa ini telah berjaya mengadakan program Penyampaian Sumbangan Hari Raya kepada keluarga – keluarga susah sekitar Bukit Piatu, Bachang dan Bukit Baru. Lebih daripada 40 buah keluarga telah memberi nama kepada Cikgu Samad selaku penganjur utama mewakili PAS Cawangan Bukit Piatu dan Pakatan Rakyat DUN Bachang.

Program yang berlangsung pada hari Ahad, 29 Ogos di rumah Cikgu Samad sendiri telah berjalan dengan jayanya. Sambutan daripada masyarakat setempat amat menggalakkan, dan penyertaan yang baik daripada keluarga – keluarga yang terlibat menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat khususnya PAS tidak lagi ‘ditakuti’ untuk dihampiri oleh rakyat kebanyakan. Malahan boleh dikatakan, PAS sudah menjadi harapan baru bagi masyarakat untuk memperjuangkan nasib mereka yang selama ini gagal dibela oleh Umno dan Barisan Nasional.

Sebahagian keluarga yang hadir untuk menerima sumbangan

Wakil AJK PAS Kawasan Bukit Katil yang turut sama dalam majlis penyampaian sumbangan


Laporan oleh Pondok Parit Ismail


Wednesday, 25 August 2010

Program Munaqasyah Ucapan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat


Tarikh : 21 Ogos 2010 / 11 Ramadhan 1431
Tempat : Markaz PAS Pt. Pechah, Muar

Program ini berjaya membentangkan 2 kertas kerja dan kertas kerja pertama dibentangkan oleh Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dan kertas kerja kedua dibentangkan oleh Saudara Ahmad Sabki bin Yusof, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. Ringkasan di bawah adalah daripada kertas kerja pertama, manakala ringkasan kertas kerja kedua tidak dilaporkan di sini di atas sebab-sebab tertentu.

Kertas Kerja Pertama
Tajuk : “Murnikan Perjuangan, Maknakan Kemenangan”
Masa : 2.30 petang – 4.10 petang
Pembentang: Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

Ringkasan pembentangan kertas kerja pertama:

1. PAS mesti kekal dengan wajah asalnya berpolitik dan berjuang untuk membebaskan manusia dari neraka Allah.
2. Menyelamatkan mereka dari perhambaan sesama hamba dan menolak ideologi ciptaan manusia yang bertentangan dengan syariat Allah.
3. PAS Mesti tetap berada di atas manhaj perjuangan Islam yang tulen dan mesti dilihat tulen dalam pengambilan manhajnya.
4. Perincian daripada surah as-Soff, ayat 14. 10 kriteria ansooruLlaah:
- Pemuda yg bersiap siaga untuk menyahut seruan perjuangan tanpa sebarang ragu untuk menegakkan syariat.
- Pemuda yg menjunjung segala peraturan & arahan jemaah serta berdiri teguh bersama kepimpinannya.
- Pemuda yang memiliki kualiti dan tahap piawaian yang dikehendaki oleh DPPP melalui pelbagai aktiviti.
- Pemuda yang mewarisi kemuliaan akhlak RasuluLlaah saw dalam mengurus perjuangan mendepani tahdhiyyat.
- Pemuda yang memiliki aqidah yang mantap, pemikiran Islam yang syumul dan keperibadian muslim yang unggul.
- Rijaalut taghyir yang menggerakkan perubahan dan membebaskan negara dari sistem ciptaan manusia korup.
- Pemuda yang aktif menyertai amal Islami kebajikan dan sosial. Menghubungkan Jamaah dengan Ummah.
- Pemuda yang tidak membazirkan masa dan tenaga untuk bertelagah serta saling tuding menuding mencari salah.
- Pemuda yang senantiasa peka dan sensitif terhadap keperluan jamaah dan tuntutan ummah. Fikir dan rancang kukuhkan jamaah.
- Pemuda yang berlapang dada, merendah diri dan berjiwa besar. Sedia memberi arah dan diarah. Memimpin dan dipimpin.


Laporan oleh Shahrin Azam Hj Ismaon
Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan
Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil


Friday, 20 August 2010

Sembang Santai


Assalamu’laikum w.b.t…

Sebaik sahaja kedengaran laungan azan oleh muezzin, saya bersegera mempersiapkan diri dan menuju ke surau berdekatan untuk menunaikan solat fardu asar secara berjemaah. Dalam perjalanan menuju ke surau tersebut, saya melihat beberapa orang anak muda sedang duduk di taman sambil berbual-bual. Kelihatan asyik mereka berbincang, terlintas di kepala “perkara apa agaknya yang mereka bincangkan sehingga melebihi kepentingan solat berjemaah diawal waktu?”. Salah seorang daripada anak muda tadi berpaling kepada saya sambil tersenyum, lalu saya membalas senyumannya sambil mengangkat tangan kepadanya. Saya teruskan perjalanan ke surau dengan segera.

Selepas solat berjemaah di surau, saya berjalan perlahan-lahan pulang ke rumah. Kelihatan kumpulan anak muda tadi masih berada di taman. Tiba-tiba saya teringat kepada sebuah cerita, bagaimana seorang pelajar Malaysia di Jepun telah di soal oleh seorang pelajar Jepun, “mengapa orang islam membuang masa mereka dengan sembahyang?”. Soalan ini boleh dilihat dari beberapa sudut pandang, mungkin dalam agama mereka tidak memerlukan masa yang lama untuk ritual keagamaan atau mungkin juga pelajar jepun tadi tidak faham akan maksud dan peranan solat kepada orang islam. Tetapi saya melihat bahawa soalan tadi timbul kerana budaya masyarakat Jepun yang sangat menghargai dan menepati masa. Justeru bagi mereka masa 10 hingga 15 minit untuk sembahyang adalah suatu pembaziran. Terfikir saya betapa bagi masyarakat Jepun yang amat menghargai masa, 10 minit untuk sembahyang adalah sangat lama. Tetapi, bagi masyarakat kita yang sudah terbiasa dengan budaya membuang masa apalah sangat masa 10 hingga 15 minit untuk dibuang begitu sahaja. Sehinggakan telah wujud satu peribahasa iaitu “janji melayu” dek kerana masyarakat kita terlalu mengambil mudah akan masa.

Sedari alam kampus saya sudah membiasakan diri untuk sentiasa datang awal ke program-program atau mesyuarat persatuan, namun apakan daya kita tidak akan mampu untuk mengubah orang lain. Budaya membuang masa dan tidak menepati masa ini terbawa-bawa ke alam luar kampus dan alam pekerjaan. Di tempat kerja, saya melihat mereka yang gah apabila bercakap soal tarbiyah dan dakwah sekalipun masih mencuri masa kerja dengan berbual kosong dan berlengah-lengah. Dalam mesyuarat dan usrah juga para daie ini tidak mampu untuk menepati waktu. Justeru, bagaimana mungkin kita mahu bercakap soal kemenagan islam?

Indahnya, Allah mendatangkan perintah solat itu sangat berkait rapat dengan waktu. Orang yang menjaga solat pasti akan sangat menghargai dan menepati waktu. Ini kerana, setiap waktu solat mempunyai senggang masanya sendiri dan tidak boleh dilakukan dalam waktu yang lain, bahkan solat subuh untuk hari ini tidak akan sama jika dilakukan pada waktu subuh keesokkan harinya. Ada peribahasa arab menyatakan “masa umpama pedang, jika kita tidak memotongnya, maka ia akan memotong kita”. Moga kita tergolong dari kalangan orang yang menjaga solat sekaligus menjadi orang yang menepati waktu.


{ .: abu uwais :. }


Monday, 16 August 2010

Kepentingan Tarbiyyah dan Dakwah


“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.” ~ (al-I’mran : 110).

Tarbiyyah dan dakwah tidak dapat dipisahkan dalam islam. Tarbiyyah membawa maksud latihan pendidikan berterusan untuk melengkapkan individu muslim dengan segala aspek rohani, jasmani, emosi, sosial, intelek dan kemahiran. Dakwah adalah usha menyeru ke jalan Allah dengan mengamalkan segala seruan dan meninggalkan segala larangannya.

Pentingkah Tarbiyyah?

Tarbiyyah umpama bahan bakar bagi diri individu yang akan melaksanakan dakwah. Tanpa bahan bakar yang sesuai, cukup dan boleh bertahan lama, ia akan menyebabkan nafas perjalanan dakwah seseorang individu itu tidak tahan lama dan akan berhenti pada bila-bila masa sahaja.

Pentingkah Dakwah?

Sumber hidayah ada dua:
1. hidayah tidak mutlak dari rasul dan pendakwah.
2. hidayah mutlak dari Allah.

Dalam surah Al-Fatihah ayat 6, bermaksud “ tunjukkan kami jalan yang lurus”. Menurut Quraish Shihab, penggunaan kami di sini menjelaskan dua sebab:

1. Hidayah tidak cukup jika ia hanya dimiliki oleh seorang sahaja. Satu firkah atau kumpulan perlu diberikan hidayah supaya untuk memastikan individu lain berada di atas jalan yang lurus. Jika A mendapat hidayah tetapi orang sekelilingnya tidak, ia akan mengancam hidayah keimanan yang ada dalam diri A.

2. Hidayah tidak mutlak ini diperolehi daripadausaha sesame manusia dan ia akan menjadi asas hidayah mutlak yang hadir daripada Allah.

Tidak lain dan tidak bukan untuk merealisasikan fakta kedua di atas, maka usaha dakwah amat diperlukan. Dakwah adalah usaha sesame manusia untuk memiliki hidayah mutlak disisi Allah. Tidak mungkin Allah memberi hidayah begitu sahaja tanpa usaha daripada manusia sendiri. Dakwah juga adalah tugas para rasul yang menunjukkan nilai pengorbanan yang tinggi. Individu yang masih belum melaksanakan dakwah masih belum cukup pengorbanan dan tidak layak untuk mengaku sebagai ummat nabi Muhammad s.a.w.

Tarbiyyah dan Dakwah Berasingan?

Tarbiyyah dan dakwah perlu seiringan dan tidak patut dipisahakan. Mengapa? Walaupun nabi berdakwah secara “rasmi” pada usia 40 tahun, namun baginda telah menyediakan “modal” dakwah sebelum itu lagi. Salah satu modal tersebut ialah sifat amanah dan mulia akhlaknya yang “disusun oleh Allah” sehingga digelar Al-amin. Ini adalah modal setelah baginda mendapat wahyu pertama. Usaha dakwah rasulullah bukan bermula pada usia 40 tahun bahkan baginda telah membina karier dakwah seawall kehidupan remaja baginda. Rasul mendapat tarbiyyah terus dari Allah dengan perantaraan jibril sehingga baginda wafat.

Tarbiyyah menjadi sangat penting apabila seseorang berada dalam lapangan dakwah yang memerlukan persediaan dan kekadang “minyak” habis secara tiba-tiba menjadikan perjalanan dakwah ini sukar dan terasa amat jauh.

Inilah yang dinyatakan oleh Allah dalam surah At-taubah[9:42] “kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah dan mudah didapati, dan suatu perjalanan yang dekat(tidak terlalu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu, tetapi tempat yang hendak dituju itu terasa amat jauh dan sukar bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata; “kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu”. (Dengan sumpah itu)mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).”

Apakah Kesan Tarbiyyah Tanpa Dakwah?

Tarbiyyah berperanan seperti air dalam badan manusia. Air ini perlu bergerak dan dijelmakan dalam pelbagai bentuk seperti darah, plasma, bendalir sel dan pelbagai lagi. Jika air tersebut tidak bergerak dan terperam dalam badan kelak ia akan membusuk dan bias mengundang pelbagai penyakit. Begitu juga segala ilmu dan potensi yang dibina dalam tarbiyyah tetapi tidak diterjemahkan dalam bentuk aplikasi dakwah akan menyebabkan seseorang itu dihinggapi pelbagai penyakit hati sehingga dia lebih suka menjadi hakim yang menghukum daripada penyeru kearah kebenaran. Tanpa dakwah tarbiyyah akan merosakkan diri seseorang kerana merasakan dirinya sahaja yang betul dan individu lain salah.

Apakah Kesan Dakwah Tanpa Tarbiyyah?

Seperti perumpamaan tadi, tarbiyyah adalah air yang memberi tenaga dan modal buat si pendakwah untuk terus bergerak. Jika pada awalnya si pendakwah bersemangat untuk menyeru manusia kepada kebaikan, tetapi tanpa bekalan tarbiyyah yang dibekalkan secara terus-menerus maka dia akan semakin lemah dan tidak berdaya. Apabila ketandusan air, bukan sahaja dakwah tidak dapat dilaksanakan dengan baik malah kekadang si pendakwah itu sendiri merasa letih dan tidak mampu untuk meneruskan usaha dakwahnya. Inilah asas kepada gejala keciciran yang berlaku kepada para dai’e dalam medan dakwah. Tanpa tarbiyyah seseorang itu tidak akan bertahan lama di medan dakwah yang penuh mehnah dan tribulasi ini.

Tarbiyyah Menjamin Kelestarian Dakwah

Jika tarbiyyah yang diperoleh menepati syarat yang digariskan oleh Allah, maka ia pasti mampu menyediakan individu yang mapan dalaman dan luaran agar istiqamah dalam melaksanakan misi dakwah. Elemen tarbiyyah jasadiyyah dan ruhiyyah yang dimiliki setiap dai’e akan menyediakan mereka bagi menghadapi ujian dan cabaran sepanjang jalan yang dakwah ini.

Ummah Perlu Dibangunkan Mengikut Kehendak Allah

Kita tidak boleh memahami islam dengan sekadar melihat sepintas lalu amaln hidup mereka yang mengaku islam pada hari ini. Sekarang, ummat islam telah dikelirukan. Masyarakat arab 14 abad dahulu juga tidak dapat melihat kebenaran itu kerana kebenaran telah ditutup dan dikelirukan oleh sifat-sifat fujur (melampau) yang menguasai diri manusia itu sendiri.
Rasulullah telah diutuskan oleh Allah dengan membawa risalah kebenaran bagi memandu hidup manusia dengan iman menuju kepada Allah S.W.T. Melalui imanlah kita akan mampu menilai alam, manusia dan kehidupan ini dengan betul.
Perlu diyakini mana-mana ummat yang dilahirkan tanpa melalui proses mengikut saluran sepertimana yang Allah kehendakipasti tidak akan dapat melahirkan natijah hidup islam.


Kita tidak gemar unutk bercakap banyak dalam hal ini, tetapi oleh kerana ketiadaan ummat yang benar-benar menghayati islam, maka kita perlu tampil memberikan kesedatan serta kefahaman islam sebenar. Kita tidak menafikan disana-sini terdapat individu-individu yang melaksanakan amalan islam tetapi tidak dengan ilmu dan kefahaman.
Unutk mendapatkan kesedaran dan kefahaman itu kembali maka perlulah kita kembali kepada proses tarbiyyah yang pernah berjalan di bawah pimpinan Rasulullah S.A.W atau yang disebut sebagai madrasah tarbiyyah.
Justeru itu, kita selaku ummat nabi Muhammad memikul tanggungjawab agung untuk membangunkan individu muslim agar dapat melaksanakan islam dalam segenap aspek kehidupan.

Wallahu A’alam.

Abu Uwais


Thursday, 12 August 2010

Persidangan DUN Melaka 27 Julai 2010


Berikut adalah catatan seorang pemerhati persidangan DUN Melaka pada 27/7/2010 (Selasa) mengenai isu-isu & usul-usul yang dibangkitkan semasa persidangan :

i) Isu Monorel berhampiran Sg. Melaka
- kos dianggarkan RM 1.9 juta utk 3 gerabak (muatan 8 org/ 1 gerabak)
- kelewatan operasi, sepatutnya 31 Mei 2010 tetapi ditangguh 31 Ogos 2010
- panjang perjalanan monorel 1.6km, akan ditambah 1.6 km lagi.
- wakil DAP mengatakan projek ini akan gagal sepertimana projek river cruise yg mana, kerajaan Melaka &MBMB menyuntik modal +- RM1 juta.

ii) Cadangan penubuhan syarikat penerbangan Melaka Air yg dimiliki oleh kerajaan Melaka
- DAP mengatakan cadangan ini di buat kerana tiada komersial airlines yg mendarat di International Air Port Bt. Berendam.
- pada sidang DUN pada Ogos 2009, Ali Rustam mengatakan Air Asia dikatakan bersetuju utk mendarat di Batu Berendam tetapi ini tidak berlaku
- difahamkan Air Asia tidak bersetuju mendarat di Batu Berendam kerana tidak kos efektif, kerana terlalu hampir dengan LCCT Sepang.
- buat masa ini hanya 3 airlines yang mendarat di Batu Berendam; Riau Airlines, Firefly, West Air (mungkin chartered flight)
- buat masa ini hanya 'flight school' hanya aktif di Batu Berendam (dijangkakan 102 penerbangan/hari)

iii)Bukit sampah di Krubong (usul yg dibawa oleh wakil DAP dari Bachang)
- tempat pelupusan sampah terbesar di Melaka sudah lama & padat, tidak mampu untuk tampung sampah lagi.
- sampai tahap membahayakan masyarakat setempat seperti, pencemaran bau, debu, lalat dan sebagainya
- difahamkan kerajaan Melaka telah meluluskan tapak baru di Sg. Udang tetapi sekarang tidak digunakan lagi.
- wakil DAP cadang supaya pusat sampah ini dipindahkan serta merta.
- berlaku pertengkaran semasa sesi ini, yang dimulakan oleh ADUN BN yang menyuruh ADUN Ayer Keroh berhenti membuat ucapan tetapi dibantah oleh beliau.
- beberapa ADUN BN campur tangan sehinggakan dewan gamat, YB Speaker menyuruh ADUN Ayer Keroh berhenti & menyuruh EXCO menjawab tetapi ADUN Ayer Keroh ingin meminta laluan untuk menghabiskan ucapan terakhirnya.
- akhirnya berlaku pertengkaran dgn Speaker, lalu ADUN Ayer Keroh digantung pada persidangan esok oleh speaker (28/07/2010)
- persidangan tamat pd 1.15 tengahari

* ada beberapa isu yg dibangkitkan tidak berapa jelas kerana dewan gamat disebabkan pertengkaran antara wakil BN & PR.

Maklumat di atas disampaikan melalui emel kepada Ketua Lajnah Perpaduan Nasional, Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil


Monday, 9 August 2010

Sembang Santai


Hari yang sungguh memenatkan, saban hari kerja-kerja di tempat saya bekerja semakin bertambah lantaran tarikh akhir bagi projek yang dijalankan oleh syarikat kami semakin hampir. Maka seluruh tenaga kerja di syarikat kami berhempas pulas menyiapkan tugasan masing-masing. Walaupun penat, melihat keletah sahabat-sahabat dan rakan sekerja yang lain menjadikan saya gembira hingga terlupa pada kepenatan bekerja.

Teringat saya kepada satu ungkapan kata-kata inggeris yang pernah diucapkan oleh seorang sahabat pimpinan ketika di kampus dahulu, “actions speaks louder than talks”. Pernah anda dengar kata-kata ini? Ayat ini menyatakan bahawa biarlah tindakan kita didengar lebih jelas daripada kata-kata kita. Saya melihat, sesetengah pendakwah tidak mengamalkan intipati ayat ini. Sebagai seorang daie, di antara elemen penting yang perlu dimiliki adalah ilmu, kebijaksanaan dalam menyampaikan ilmu dan akhlak daie itu sendiri. Berapa banyak kisah-kisah yang boleh kita ambil iktibar daripada sirah Rasulullah SAW, berapa ramai sahabat-sahabat yang tertarik kepada islam dengan hanya melihat kepada keperibadian yang ditonjolkan oleh baginda rasul. Bahkan dalam banyak situasi mereka dengan rela hati mengucapkan syahadah dengan hanya melihat kepada kemuliaan akhlak Rasulullah tanpa perlu Rasulullah menyakinkan mereka akan kebenaran islam. Jika dilihat dari sudut persediaan, sejak kecil Allah telah mendidik dan mempersiapkan Rasulullah dengan akhlak yang mulia sebelum baginda dilantik menjadi rasul.

Allah juga mengajarkan kepada kita bagaimana perlunya kita berdakwah secara berhikmah dan menunjukkan contoh tauladan yang baik. Memangnya, secara fitrah manusia lebih mudah diajar jika si pengajar yang lebih dahulu menunjukkan contoh yang baik. Kita akan lebih tertarik kepada orang yang melakukan apa yang diucapkannya berbanding mereka yang tidak berbuat apa yang diucapkannya, atau biasa kita dengar cakap tak serupa bikin. Seringkali kedengaran cerita berkaitan individu-individu yang niat mereka mulia iaitu mahu memperbaiki keadaan ummat hari ini dan menyampaikan risalah islam. Namun, apa yang diucapkan oleh mereka tidak selari dengan apa yang mereka tunjukkan. Amatlah ditakuti jika mereka ini menjadi sumber fitnah kepada agama islam tercinta.

Justeru, kepada para daie diluar sana ayuh kita sama-sama berusaha untuk memperelokkan akhlak kita. Mudah-mudahan, dengan baiknya akhlak kita bisa menjadi asbab hidayah bagi mereka yang melihat kepada kita. Bersama-sama kita meneladani contoh teladan Rasulullah sebagai idola kita dan mengamalkan apa yang diajarkan Allah kepada kita untuk mengajak ummat manusia kepada Allah dengan menunjukkan contoh akhlak yang baik.


{.: abu uwais :.}


Saturday, 7 August 2010

Ringkasan Isi Ijtimak Ulamak PAS Kawasan Bukit Katil, Ahad 18 Julai, Markas Paya Dalam


Uwais Al Qarni, adalah seorang muqadram, yakni seorang yang hidup pada zaman nabi tetapi tidak bertemu dengan nabi. Beliau amat dikenali di kalangan penduduk langit tetapi kurang dikenali di dunia. Nabi berpesan kepada para sahabat supaya jika bertemu dengannya, seorang yang bermata hijau dan berambut merah, mintalah beliau supaya berdoa kerana makbulnya doa beliau. Malah Abu Bakar pernah menyuruh Uwais Al Qarni berdoa. Kalau hendak diikutkan, tinggi lagi martabat Abu Bakar, ( salah seorang yang berstatus sahabat nabi SAW ) jika dibandingkan dengan beliau. Tetapi doa Uwais Al Qarani mustajab kerana hati beliau, tasauf beliau.

Beliau adalah pengembala kambing sahaja, yang mana orang kampung tidak berapa kenal, apatah lagi JKKK pada masa itu juga tidak mengenali beliau. Suci dan bersihnya hati beliau, sehinggakan di suatu ketika,sewaktu beliau yang tidak dapat pergi berperang tetapi apabila mendengar berita bahawa nabi patah gigi ketika bertempur dengan pihak musuh, beliau turut mematahkan giginya sendiri. Itulah tanda bersih dan kasihnya hati beliau kepada kekasih Allah. Akhirnya beliau syahid di medan peperangan.

Inilah antara tokoh tasauf yang hidup di zaman nabi. Sebutlah siapa pun tokoh tasauf, semua mereka berada di saf hadapan perjuangan. Mereka inilah yang berdepan dengan pemimpin zalim, suara merekalah yang keluar dari mulut menegur pemimpin – pemimpin ini. Hati mereka bersih.

Begitu juga dengan kita yang berada dalam perjuangan. Hati mestilah bersih sebersihnya. Solat mesti khusyuk, jika hati kita merayau – merayau, meliar ke sana ke sini, banyak lagi usaha kita kena lakukan ke arah membersihkan hati. Memanglah susah untuk kita khusyuk 100 peratus, tetapi kalau langsung tidak ingat Allah sejak dari angkat takbir hingga bagi salam, berat benar nampaknya. Hati kita sepatutnya ketika lima minit bersolat itu hendaklah khusyuk kepada Allah, tiada yang lain hanya Allah semata – mata.

Allah mencintai mereka yang bertaqwa, lagi ‘low profile’. Kata nabi, kalau mereka yang bertaqwa lagi ‘low profile’ ini tidak ada, orang tidak cari, kalau mereka hadir dalam satu – satu majlis, orang tidak kenal pun. Pengerusi majlis tidak sebut pun nama mereka. Lain pula dengan ulama yang berjuang dengan ikhlasnya di jalan Allah. Kalau para ulama ini dikenali orang, itu bukannya bermakna ulama itu minta dikenali. Mereka tidak menonjol-nonjolkan diri untuk dikenali. Hati mereka seperti cahaya yang membawa hidayah. Mereka terselamat dari segala debu-debu yang menyebabkan kegelapan hati. Jawatan, mereka tidak minta. Kalau masyarakat melantik, itu adalah pilihan masyarakat, bukannya mereka meminta – minta. Mereka tidak melobi untuk jawatan. Mereka tidak menonjolkan diri. Orang tidak kenal pun tidak apa, tapi kerja – kerja jemaah tetap berjalan.

Kuliah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Faisol Abdul Rahman, Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka. Majlis Itjimak Ulamak PAS Kawasan Bukit Katil ini diadakan setiap bulan minggu ketiga, hari Ahad di Markas PAS Paya Dalam bermula pukul 9 pagi

Pondok Parit Ismail


Wednesday, 4 August 2010

Polis Dengar Ceramah PAS


Sekatan jalan raya kampung

FRU dan polis telah hadir ke ceramah PAS dan tidak menghadiri ceramah UMNO. Apakah sebabnya? Seramai 100 orang anggota polis telah bersedia di Bukit Beruang dengan menghantar trak dan anggotanya untuk menjaga keselamatan untuk mengelakkan berlaku sebarang kemungkinan.

Anggota keselamatan yang dikerah

Tetapi yang peliknya, anggota polis ini mengawal ceramah PAS tetapi tidak ceramah UMNO. Pihak polis juga menekan petugas PAS untuk tidak membenarkan ceramah diadakan kerana ceramah pada malam itu dibatalkan sedangkan UMNO boleh berceramah.

Orang ramai di cermah PAS

Kehadiran yang menggalakkan walau dihalang pada mulanya

Kali ini ceramah seperti di dalam kotak kerana pihak PAS di arahkan berceramah di dalam markaz dan tidak dibenarkan untuk memasang pembesar suara tetapi sebaliknya berlaku kepada UMNO apabila ceramah mereka dibenarkan ditempat terbuka.

Akhbar keadilan turut dijual

Bukti polis dengan trak "black maria"

Jarak antara ceramah PAS dan UMNO hanyalah 50 meter sahaja dan berlaku ketidak adilan pihak berkuasa dalam menjalankan tugas. Gambar di atas menunjukkan situasi yang berbeza dengan ceramah UMNO. Sila layari link ini untuk melihat gambar [klik]


Ceramah YB Hatta Ramli di Bukit Beruang - Tindakan Polis Melaka dipersoalkan.


1. Pada mulanya, den tidak jelas tujuan diadakan sekatan jalan raya di setiap pintu masuk ke tempat ceramah. Berikut kisahnya; semasa terserempak dengan seorang AJK PAS Kawasan Bukit Katil di satu sekatan berhampiran tempat ceramah PAS, beliau telah ditahan oleh seorang anggota polis. Anggota polis tersebut menyatakan bahawa ceramah pada malam tersebut dibatalkan kerana ketiadaan permit. Tapi AJK tersebut dibenarkan juga masuk ke kawasan ceramah setelah kad pengenalan diambil untuk tujuan rekod polis.

2. Beberapa lama kemudian, den dengar dari seorang pengunjung ceramah yang lain pula, di satu sekatan yang lain, pihak polis langsung sama sekali tidak membenarkan sesiapa masuk untuk mendengar ceramah. Tetapi apabila beliau cuba untuk masuk ke tempat ceramah melalui jalan lain, tanpa sebarang soalan dan sekatan, pihak polis membenarkannya.

3. Den ‘berjaya menembusi’ sekatan polis dengan hanya beralasan untuk ‘makan malam’ di dalam kawasan ceramah, tanpa menyerahkan sebarang dokumen pengenalan diri. Namun den berkongsi kekecewaan dengan seorang peniaga sup apabila beliau memberitahu bahawa pihak polis melarang beliau berniaga di situ pada malam tersebut. Sedangkan di sebelah van beliau telah didirikan 3 gerai lain yang menjual makanan dan minuman ringan. Maka pulanglah den dengan zaujah dengan perut lapar dan kecewa. Tambah menghairankan, di sekatan yang sama, anggota polis lain meminta pula kad pengenalan jika ingin masuk seperti yang berlaku ke atas AJK Kawasan di atas.

4. Tetapi apabila program ceramah bermula, berbondong-bondong pengunjung yang masuk melalui jalan yang sama di atas langsung tidak dikenakan apa-apa sekatan. Para anggota polis yang ‘mengawal’ hanya berdiri, menjawab salam mana yang diberi oleh pengunjung, membalas senyuman mana yang ‘bersedekah’senyuman. Hairan betul dengan apa yang berlaku. Sekejap tidak benar masuk, sekejap ambil kad pengenalan, sekejap kemudian semua boleh masuk.

5. Maka tidak salahlah jika den beranggapan bahawa tindakan pihak polis amat dipersoalkan, malah boleh dikatakan tindakan – tindakan malam tersebut hanyalah bertujuan untuk menakut-nakutkan pengunjung yang hadir ke ceramah PAS. Berpuluh-puluh anggota polis bersedia di luar markas PAS ketika ceramah berlangsung, seolah-olah akan berlakunya kacau bilau di situ.

6. Pembesar suara diarahkan supaya diletakkan di dalam bangunan markas. Kita akur dengan arahan tersebut tetapi yang dipersoalkan kenapa pembesar suara di program Umno 50 meter dari tempat ceramah PAS dibenarkan diletak di luar kawasan khemah ? Kenapa perlu ada double standard di sini?

7. Namun, den berterima kasih juga dengan pihak polis, kerana pada malam yang sama, berpuluh-puluh pemuda Umno ( anggota Pekida, dakwa seorang rakan. Wallahua’lam bissawab ) bersedia di satu kawasan tidak jauh daripada kawasan ceramah PAS. Den yang berada di satu pintu masuk, kebetulan menyaksikan ‘ perarakan ‘ puluhan pemuda ini ke tempat program Umno, melalui satu jalan masuk yang tidak ada kehadiran petugas PAS di situ. Pada den, dengan ‘road block’ pihak polis di jalan – jalan yang ada petugas PAS, telah dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku akibat ‘pertembungan’ pemuda Umno dan petugas PAS, yang rata-ratanya terdiri daripada Pemuda PAS Bukit Katil dibantu Pemuda PAS Kawasan Kota.

8. Ada kemungkinan, ‘gerombolan’ pemuda Umno pada malam itu dikumpulkan dengan tujuan untuk membuat provokasi. Namun usaha mereka terbantut disebabkan kehadiran ‘gerombolan’ anggota FRU, polis dan trafik. Tu pasal la den berterima kasih jugak dengan polis, walaupun tindakan mereka ‘menakut-nakutkan’ pengunjung ceramah PAS pada malam itu amat dipersoalkan. Den rasa pihak polis negeri Melaka menyahut seruan Abang Mat ( Mat Sabu yang berceramah di Bukit Baru pada minggu sebelumnya) yang meminta polis bertindak di program PAS dan Umno sebegini.

9. Penutup kalam, boleh kata akhirnya den fahamlah kenapa sekatan – sekatan didirikan di program ceramah PAS malam tersebut. Tulisan di atas menerangkan segalanya.

Pondok Parit Ismail


Tuesday, 3 August 2010

Terkini: 100 FRU di Bukit Beruang


Jam 7.00 malam tadi, seramai 100 orang FRU telah berkumpul berhadapan dengan Markaz PAS Bukit Beruang. Malam ini juga akan berlangsung ceramah yang akan disampaikan oleh Dr Hatta Ramli. Tidak jauh dari markaz juga, UMNO cuba membuat ceramah tetapi pada hakikatnya untuk menggangu ceramah PAS.

Polis turut membuat sekatan jalan. Bukan jalan raya sebaliknya jalan kampung yang hanya boleh dilalui oleh sebuah kereta. Tujuan utama adalah memeriksa pengenalan diri mereka yang melalui jalan tersebut. Peniaga juga tidak dibenarkan memasuki kawasan ceramah.

Selain kawasan jalan ke markaz, pihak polis turut membuat sekatan di jalan berhampiran tanah perkuburan. Situasi bagaikan akan tercetus rusuhan. Apa tidaknya, kawasan tempat peniaga dijadikan sebagai tempat trak FRU meletakkan kenderaan.

Betapa kejamnya sehinggakan ada peniaga tidak dibenarkan masuk. Polis juga mengatakan kedua-dua ceramah dibatalkan sedangkan ada remaja yng sedang memasang bendera UMNO/BN. 

Seorang peniaga memberitahu bagaimana polis meminta dan menanyakan dari mana dia datang serta mengambil maklumat dari dokumen pengenalan. Beginikah sikap polis? Sekatan jalan raya yang tidak munasabah.

Untuk mengetahui situasi sebenar, sila hadir ke markaz PAS Bukit Beruang berdekatan dengn MAsjid Bukit Beruang. Dijangka akan ada situasi panas dan provokasi


Majlis meraikan wakil PASTI negeri Melaka di PASTI Seri Jati


2 buah bas dan 11 buah kereta telah digunakan untuk mengangkut kontijen PASTI Melaka ke Temasya Sukan PASTI Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Pulau Pinang, baru – baru ini. Bilangan kenderaan yang banyak tersebut, adalah untuk mengangkut peserta, guru pengiring, penyokong dan ibu bapa seramai lebih 100 orang, yang merupakan kontijen negeri terbesar ke pesta sukan peringkat kebangsaan tersebut.

PASTI negeri Melaka telah berjaya sampai ke peringkat suku akhir untuk sukan bola sepak dan bola jaring. Walaupun pasukan bola sepak tidak mencapai sasaran ke peringkat separuh akhir, ianya dianggap satu kebanggaan kepada PASTI negeri Melaka, kerana pasukan bola sepak telah tewas kepada pasukan yang agak kuat dari negeri Selangor, yang juga merupakan Juara Bola Sepak di peringkat kebangsaan pada kali ini.


Perlawanan peringkat suku akhir tersebut adalah satu perlawanan yang sengit. Melaka hanya tewas 0-1 di tangan Selangor, itupun gol tunggal dijaringkan di saat-saat akhir perlawanan. Menurut Pengarah PASTI Negeri Melaka, saudara Abdul Kadir b. Dewa, pasukan bola sepak negeri Melaka mempunyai harapan yang cerah untuk sampai sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir memandangkan barisan pemain mempunyai kekuatan dari segi tendangan bola yang kuat dan larian yang kencang. Begitu juga dengan pasukan bola jaring yang mempunyai tahap kecerdasan yang tinggi, juga tewas di tangan pasukan negeri Selangor di peringkat suku akhir.

Beliau yang berucap di majlis meraikan wakil PASTI negeri Melaka di PASTI Seri Jati pada malam hari Isnin, 11 Julai 2010 turut menyentuh tentang tahap kecemerlangan akademik yang ditekankan di PASTI. Silibus pelajaran yang dinaiktaraf secara berkala menunjukkan pihak PASTI memastikan para pelajar mendapat pendidikan yang terkini, seiring dengan peredaran masa. Subjek Sains dan Matematik tidak lepas daripada mendapat perhatian pengurusan PASTI, selain daripada aspek kerohanian yang ditekankan. Lebih daripada 10 hadis ringkas diajar dan dihafal oleh pelajar PASTI, tidak termasuk doa-doa amalan harian yang antaranya menurut saudara , PASTI juga mengajar pelajar – pelajarnya untuk menjadi ‘kaya’ dengan cara mengajar dan mengamalkan Ayat Seribu Dinar.

Majlis sambutan yang diadakan pada malam tersebut menyaksikan kehadiran ramai ibu bapa, guru – guru, penyokong dan adik beradik peserta Sukan PASTI. Pengarah PASTI Negeri Melaka juga mengambil kesempatan pada majlis tersebut dengan mengumumkan rancangan PASTI Negeri Melaka memiliki bangunan sendiri, yang akan menempatkan pejabat, bilik mesyuarat dan dewan latihan kepada guru-guru PASTI negeri Melaka. Akaun bank untuk mengumpul dana telah disediakan dan setakat ini sambutan bagi mengisi tabung tersebut adalah amat menggalakkan.

Laporan oleh Pondok Parit Ismail


Sunday, 1 August 2010

UMNO Tumbang Di Bukit Baru


Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution

Isu apa lagi yang cuba dimainkan oleh Ali Rustam dalam mempertahankan DUN Bukit Baru pada pilihan raya akan datan? Semalam telah berlangsungnya ceramah melibatkan pimpinan PAS, DAP dan PKR dalam menyampaikan isu dalam negara dan isu berkaitan dengan negeri Melaka.

 AJK PAS Pusat, Mat Sabu

PAS telah diwakili oleh Saudara Mat Sabu selaku AJK PAS Pusat untuk menyampaikan ceramah beliau mengenai tindakan Ali Rustam menubuhkan Sekolah Mengandung bagi pelajar yang terlanjur. Cadangan Ali Rustam itu seolah-olah membenarkan perbuatan zina itu dilakukan secara berleluasa.

 Ramai x kat ceramah UMNO?

Agak sedih dengan sikap Ali Rustam yang seolah-olah memainkan perasaan wanita dengan mewujudkan Sekolah Mengandung. Sebaliknya beliau seharusnya memikirkan mengenai satu cara untuk menangani masalah sosial dan bukannya menubuhkan sekolah mengandung seperti yang difikirkannya.

Ceramah UMNO - 70 orang

DAP pula diwakili oleh ADUN Ayer Keroh, Khoo Paoy Tiong. YB Khoo menyampaikan mesej mengenai tindakan kerajaan UMNO/BN yang membazir dalam menguruskan kewangan negeri sehinggakan berlaku banyak pembaziran serta rasuah dikalangan pemimpin UMNO.

Ceramah PAS - 700 orang

Pembaziran itu merangkumi lapangan terbang antarabangsa Melaka, Eye On Malaysia, Hentian Bas, jalan raya di taman botanikal yang jaraknya kurang dari satu kilometer adalah berjumlah RM3.5 juta. Itulah tanda-tanda pembaziran kerajaan pimpinan Ali Rustam.

Sesak sehingga ke bahu jalan

PKR pula diwakili oleh Ahli Parlimen Machang, YB Saifuddin Nasution. Saifuddin cuba menjelaskan isu yang melanda Selangor berkaitan pasir serta menyentuh isu-isu yang cuba dimainkan oleh UMNO/BN di negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat seperti Selangor mengenai isu pasir, Pulau Pinang mengenai ketuanan melayu da sebagainya demi meraih isu murahan yang ditabur UMNO/BN.

Pimpinan Pakatan Rakyat turut membidas sikap pimpinan UMNO Melaka yang tidak menunjukkan seperti anak jantan dan sering mengganggu ceramah yang cuba diadakan oleh Pakatan Rakyat. Diajak berdebat namun mereka saling mengelak kerana bimbang jika berdebat, mereka tidak boleh mengemukakan fakta yang sahih sebaliknya akan terpalit ke muka sendiri.

Ceramah tersebut telah membuktikan bahawa rakyat Bukit Baru menolak kepimpinan Ali Rustam dan perbezaan kedua-dua tempat ceramah yang hanya dibezakan 50 meter sahaja. Ceramah PAS dihadiri seramai lebih 700 orang manakala ceramah UMNO hanya dihadiri kurang daripada 70 orang.

Gambar juga boleh dilihat di kijang59 dan suaramelaka


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59