Wednesday, 23 June 2010

Kebangkitan PAS Melaka


Program Gotong Royong Perdana yang berlangsung pada hari Sabtu lepas ( 19 Jun 2010 ) anjuran MTD Bukit Baru den rasa telah berjaya menonjolkan PAS sebagai satu parti politik yang mesra rakyat. Apa taknya, penglibatan anak muda yang berkonvoi motosikal dari Temerloh, Pahang ke negeri Melaka dalam program tersebut boleh disifatkan sebagai satu tanda bahawa golongan ini tidak malu untuk turut bersama dalam perjuangan PAS.

Den hadir di majlis perasmian yang bertempat di Taman Saujana, Bukit Katil, yang lokasinya betul – betul berhadapan dengan bangunan yang dulunya dikenali sebagai Melaka Water City, di persimpangan Kg. Tun Razak, Bukit Katil. Amat setujulah den apabila Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek yang mengatakan dalam majlis tersebut bahawa ( YAB ) Ali Rustam tentunya terkejut dengan pacakan bendera – bendera PAS, KeAdilan dan DAP di kawasan beliau, di hari terakhir Sukma di Melaka tatkala bahang temasya sukan ini berada di puncaknya.

Berbanggalah kiranya jikalau kita berkonvoi dari Temerloh ke Melaka dengan duit sendiri, kalau kita ini dari golongan Umno alamat tak boleh start enjin lah nampaknya akibat tiada sponsor. Semoga kehadiran sahabat – sahabat dari Temerloh ini mengukuhkan tali silaturahim di antara kita, lain kali kami dari Melaka pula bertandang ke tempat kalian, jika diizinkan Allah.

Gotong royong tersebut yang mendapat sambutan daripada penduduk setempat berlangsung di Taman Tun Rahah dengan disokong oleh Unit Peti Undi di situ.
Turut bersama dengan majlis tersebut adalah ADUN Ayer Keroh, YB Khoo Poay Tiong dan Ketua Angkatan Muda KeAdilan Pusat, saudara Shamsul Iskandar. Majlis telah dipengerusikan oleh Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil, Cikgu Yusof Wahab yang juga Penyelia DUN Bukit Baru.

Kesepakatan Pakatan Rakyat negeri Melaka amat terserlah dengan kehadiran pemimpin dari Keadilan dan DAP ini. Sebagai bakal - bakal Yang Berhormat di peringkat Parlimen dan DUN, kehadiran konsisten mereka di majlis anjuran PAS diharapkan memberi impak yang besar kepada sokongan masyarakat tempatan kepada perjuangan PAS.

Menyentuh tentang Sukma, den dapat tahu dari sumber yang boleh dipercayai; ramai peniaga di Stadium Hang Jebat yang menjalankan perniagaan di sepanjang sukan tersebut berlangsung berkata; pengalaman berniaga di Melaka adalah yang paling teruk sepanjang pengalaman mereka berniaga di siri -siri Sukma sebelum ini. Sudahlah sewa tempat mahal, ditekan pula dengan perbuatan samseng yang menindas.

Malah ada seorang peniaga mengadu, beliau yang berniaga di MITC telah mengambil keputusan berhenti seketika setelah berniaga 2 hari pertama akibat untung yang kurang. Sewa tempat sudah habis dibayar, jadi beliau bercadang untuk menyambung kembali berniaga di hari – hari terakhir. Namun terperanjat ‘beruk’ apabila mendapati khemah tempat beliau berniaga telah dicabut oleh pihak pengurusan.

Inilah dia, ditipu bulat-bulat. Ingatkan peniaga Melayu dibela oleh Umno, tetapi apa yang terjadi? Den sebagai orang Melaka amat malu dengan apa yang terjadi. Entah betul ke tidak apa yang didakwa oleh Ali Rustam - seramai 2 juta penonton telah berkunjung ke Sukma baru – baru ini. 200 ribu pun tak tentu, menurut sumber den tadi.


Tahniah dan terima kasih kepada pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat Melaka kerana menyedarkan semua tentang apa yang berlaku.

Pondok Parit Ismail


Saturday, 19 June 2010

Kenyataan Media


Dewan Pemuda PAS Bukit Katil ( DPPBK ) memandang serius kepada berita yang disiarkan di laman web Suara Melaka http://suaramelaka.blogspot.com/2010/06/samseng-sukma-ke-13-mengganas.html ( yang juga dikendalikan oleh AJK DPPBK ) yang memaparkan kisah peniaga - peniaga yang berniaga di tapak Stadium Hang Jebat dan MITC diperas ugut dan menjadi mangsa keganasan pihak - pihak tertentu.

Kerajaan negeri dan pihak polis digesa mengambil tindakan serius bagi memastikan budaya samseng ini tidak menular. Budaya samseng ini yang dipercayai didalangi oleh juak - juak Umno dibimbangi akan terus menerus 'menghiasi' suasana perniagaan bandar Melaka termasuklah bazar - bazar Ramadan yang tidak lama lagi akan muncul sempena kedatangan bulan mulia Al Mubarak.

DPPBK merasa amat terkilan dengan budaya tidak sihat ini berlaku dalam suasana Sukan Malaysia di mana negeri Melaka menjadi tuan rumah yang tentunya akan menjadi perhatian masyarakat seluruh negara. DPPBK merasa amat kecewa dengan perkara yang telah terjadi dan mendesak agar ia dibendung dengan segera.

Sebagai respon kepada artikel di laman blog MTD Bukit Katil http://mtdbukitbaru.blogspot.com/ yang memaparkan posting tentang 'arahan' seorang pembesar negeri Melaka yang menyuruh supaya MTD ditutup, DPPBK juga dengan ini menyatakan pendirian kukuh kami bahawa kamilah yang akan menjadi barisan pertama mempertahankan bukan sahaja MTD Bukit Baru, malahan MTD Ayer Molek dan setiap UPU yang berada di Kawasan Bukit Katil sehingga titisan keringat dan darah kami yang terakhir.

Adakah ini yang dinamakan Juara Rakyat; berpolitik secara emosional dan tidak secara waras dengan cara 'memancung' seteru politik melalui salah guna kuasa pemerintah yang tidak demokratik?

Al hukum fil Islam,

Puhat bin Bedol
Ketua Dewan Pemuda PAS
Kawasan Bukit Katil
19 Jun 2010


Thursday, 10 June 2010

Kibar Bendera PAS Sempena Sukma XIII


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mendirikan solat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu hingga ke siku dan sapulah kepalamu dan (basuh) kakimu hingga ke kedua-dua mata kaki dan jika kamu junub, maka mandilah, dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan kembali daripada tempat buang air (tandas) atau menyentuh perempuan, lalu kamu tidak memperolehi air, maka bertayamum dengan tanah yang baik (bersih), sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu. Allah SWT tidak menyukarkan kamu, tetapi dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, supaya kamu bersyukur." (Al-Maidah: 6)***

MENDEKATI ahli parti peringkat akal umbi memberi peluang kepada seseorang menyelami nuraini mereka. Kebanyakan perkara yang luahkan adalah daripada isi hati mereka yang benar-benar mahu melihat kesinambungan perjuangan parti atau pakatannya terus berbunga sehinggalah kepada kejayaan mentadbir negeri dan negara.

Baru-baru ini penulis berpeluang berbincang dengan beberapa ahli PAS Melaka yang begitu bersemangat mahu melihat PAS dan sekutunya dalam Pakatan Rakyat mentadbir negeri Melaka yang udara dan cuacanya kini membahang tidak kira siang atau malam, dipercayai akibat pelbagai gejala kurang sihat yang bermaharajalela di negeri ini. Pelbagai kejutan berlaku, sehinggakan dilaporkan ada buaya dikesan di perairan negeri manakala Ketua Menteri mengizinkan sebuah syarikat melakukan uji kaji ke atas binatang.

Sekutu PAS dalam Pakatan misalnya DAP sudah mempunyai kerusi dalam Dun Melaka, namun parti Islam itu masih terbenam dengan impian melahirkan anak sulungnya. Demikian juga dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang masih tertunggu-tunggu buah pertamanya, tetapi insya-Allah, berdasarkan perkembangan semasa, hasrat itu akan tertunai jua.

Namun, impian tidak sewajarnya dibiarkan dengan angan-angan. Kerja keras perlu dilakukan mulai sekarang. Yang lepas itu sudah lepas, tak usah dikenang-kenang. Kritikan bukan untuk menjatuh, tetapi untuk memuhasabah diri seterusnya melakukan langkah-langkah pembaikan.

Salah seorang ahli akar umbi yang hanya mahu dikenali sebagai Wak mendakwa kerja-kerja PAS Melaka adalah pada peringkat sederhana saja, malah boleh disifatkan sebagai lesu. Kata beliau kelas pengajian dalaman jarang diadakan manakala majlis ceramah yang dulunya cukup popular kini ibarat hidup segan mati tak mahu.

“Kalau ada pun ceramah, saya perhatikan pengerusi majlis banyak membebel, sepatutnya berilah masa yang lebih panjang kepada pencemarah undangan yang datang dari jauh. Bayangkan pada satu-satu majlis (malam) ada tiga penceramah, apabila pengerusi banyak mengulas, berapa banyak masa penceramah boleh bercakap sedangkan majlis perlu berakhir jam 12.00 tengah malam?” tanyanya.

Beliau mahu kepimpinan PAS Melaka memikirkan strategi untuk menyemarakkan kembali majlis ceramah yang semasa era reformasi dulu dapat menarik begitu ramai hadirin. “Orang sekarang, malahan anak-anak muda sendiri pun tidak berminat mengikuti ceramah, mungkin kita kena fikirkan pendekatan baru untuk menarik minat mereka,” katanya.

Seterusnya, beliau mengkritik kepimpinan dan ahli PAS Melaka yang dakwanya sudah berpuak-puak (ada klik); mereka suka menjadi orang itu dan orang ini. “Perkembangan ini sangat bahaya,” katanya sambil menambah penyakit orang Umno ini sedang menular hebat dalam PAS.

“Kenapa ini berlaku dalam parti, pemimpin itu disenangi, pemimpin ini tidak disukai. Saya cukup bimbang, jika hal ini tidak diperbaiki segera, tautan sesama pemimpin akan hancur, ahli akan hilang pedoman dan kepercayaan,” katanya.

Beliau berpendapat selagi ahli termasuk pemimpin PAS negeri tidak berpadu sukar bagi mereka mendapatkan ‘anak sulung’ apatah lagi menegakkan kerajaan Pakatan Rakyat, sekali gus mengakhiri dominan Umno-BN yang sudah lebih 50 tahun membelenggu pemikiran rakyat, kononnya hanya mereka yang berupaya mentadbir.

Hakikatnya, di negeri ini ada banyak masalah tidak beres sehinggakan Allah SWT datangkan suasana panas, siang dan malam seseorang itu terpaksa berkipas atau memasang penghawa dingin, jika tidak berpeluh-peluhlah dia.

Wak berkata bagi menunjuk dan membuktikan perpaduan, ahli PAS boleh mengusahakan pelbagai cara, yang terdekat mereka boleh berpakat memasang dan mengibarkan bendera PAS di premis niaga dan kediaman mereka sempena penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) XIII di Melaka pada 10-19 Jun ini.

“Saya perhatikan sekarang ini (wawancara ini dilakukan pada Rabu, 26 Mei), di ibu pejabat PAS di Semabok pun tidak dipasang bendera parti. Bendera PAS tidak berkibar, jadi mana orang tahu kehadiran apatah lagi kekuatan kita. Kalau di ibu pejabat parti pun tak dikibarkan bendera, di markas dan tempat lain tentulah sukar kita melihat bendera parti,” katanya.

Beliau berpendapat ketika Sukma XIII inilah peluang bagi aktivis menunjukkan ‘kewujudan’ PAS dengan mengibarkan bendera parti. “Tidak kiralah bendera PAS, PKR dan DAP, yang penting kita mesti tunjukkan ‘kehadiran’ kita kepada peserta sukan dan orang ramai yang berkunjung ke negeri ini,” katanya.

“Jika gambar Ali Rustam (Ketua Menteri) yang besar boleh dipasang di tiang-tiang lampu jalan-jalan utama di negeri ini, tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh kibarkan bendera parti di premis kita sendiri,” katanya.

Sementara itu seorang lagi ahli PAS peringkat akar umbi yang hanya mahu dikenali sebagai Haji Z yang ditemui di sebuah masjid, berkata tarbiyah di kalangan anak-anak muda tersangat lemah dan perkembangan ini membahayakan perjuangan parti pada masa hadapan.

Katanya, sekalipun mempunyai semangat berkorbar-korbar memperjuangkan parti termasuk mengarak bendera, tidak ramai anak muda berupaya meluangkan masa untuk meningkatkan ilmu mereka.

“Kamu lihatlah sendiri majlis ilmu ini,” katanya. “Ada kamu nampak anak muda? Seorang pun tidak ada, ini sangat bahaya kerana dalam perjuangan menegakkan Islam pembabitan anak muda adalah perlu. Ia hanya boleh dilakukan dengan kefahaman iaitu ilmu,” katanya.

Beliau berkata untuk menghadapi musuh, pejuang Islam perlu memperkasa diri termasuk memperhebatkan munajat, berdoa kepada Allah SWT yang boleh dilakukan dengan bersembahyang, berzikir dan membaca al-Quran.

Katanya, doa adalah senjata ampuh orang mukmin, jadi kalau anak-anak muda hanya kuat dari segi semangat saja tetapi pengisian dari segi ilmu dan amal kurang, dikhuatiri perjuangan menegakkan Islam akan bermasalah.

Sehubungan itu, beliau meminta pemimpin parti mempertingkatkan program tarbiyah dan dakwah agar anak-anak muda dapat disiapkan mental (batin) dan fizikal mereka bagi menghadapi perjuangan yang semakin getir.

Katanya, sudah sampai masanya untuk PAS benar-benar menyerap dalam segenap program masyarakat dan tidak semata-mata bergerak secara berasingan di markas dan pusat kegiatan mereka saja kerana interaksi adalah perlu bagi menambat hati orang ramai sekali gus mencerahkan peluangnya pada pilihan raya.

sumber : http://lanh14.blogspot.com/2010/06/kibar-bendera-pas-sempena-sukma-xiii.html


Monday, 7 June 2010

Gara - gara Piala Dunia


Kehadapan isteriku yang disayangi,

1. Di antara 11 Jun dan 11 Julai 2010, awak hendaklah membaca bahagian sukan di dalam surat khabar supaya awak tahu tentang apa yang berlaku di dalam Dunia Sukan, dengan cara itu awak akan boleh berbual dengan saya. Jika awak gagal, awak akan diabaikan sepenuhnya. Jangan komplen mengenai saya tidak memberi perhatian kepada awak.

2. Semasa Piala Dunia, tv adalah milik saya, setiap masa, tiada pengecualian. Jika awak menjeling sekalipun pada alat kawalan jauh tv, awak akan kehilangannya ( mata awak ).
Jika awak terpaksa melalui depan tv semasa satu-satu perlawanan Piala Dunia, saya tidak kisah, selagi awak merangkak di atas lantai tanpa mengganggu penglihatan saya.


3.Semasa perlawanan Piala Dunia, saya akan menjadi buta, pekak dan bisu, melainkan saya memerlukan awak untuk menyediakan air atau makanan untuk saya. Awak sudah gila jika awak mengharapkan saya mendengar percakapan awak, membuka pintu depan, menjawab telefon, ataupun mengambil bayi kita yang jatuh di atas lantai ….. Ia tidak akan berlaku.

4. Adalah satu idea yang bagus untuk awak menyimpan sekurang-kurangnya 2 bungkus biskut kegemaran saya pada setiap masa, dan menyediakan sebanyak-banyaknya keropok, kacang dll untuk dikunyah, dan tolong jangan membuat muka kelakar ( = masam ) kepada kawan – kawan saya bila mereka datang ke rumah untuk menonton perlawanan Piala Dunia. Sebagai balasan, awak dibenarkan untuk menonton tv pada waktu selain waktu perlawanan siaran langsung / ulangan ( yang mana saya akan bagitahu masanya kelak ).

5. Tolong, tolong, tolong …. Jika awak nampak saya bermuka masam kerana salah satu daripada pasukan saya kalah, JANGAN sesekali mengatakan “ Alah, bukan ada pape pon, lawan bola je”, atau “ Jangan risau, pasukan awak tu menang le lain kali”. Jika awak berkata sesuatu seumpamanya, awak akan hanya membuat saya bertambah marah, dan saya akan menjadi kurang menyayangi awak. Ingat, awak tidak akan tahu lebih mengenai bola daripada apa yang saya tahu, dan ayat – ayat ‘ perangsang ‘ awak itu hanya akan membawa kepada mudarat.

6. Awak dialu-alukan untuk duduk bersama saya untuk melihat perlawanan Piala Dunia dan awak boleh bercakap dengan saya semasa masa rehat separuh masa tetapi hanya apabila iklan ditayangkan, dan hanya jika separuh masa pertama memuaskan hati saya.

7. Sila ambil maklum bahawa tayangan ulangan jaringan gol adalah sangat penting. Saya tidak kira jika saya telah melihatnya, atau tidak, yang saya tahu saya nak tengok sekali lagi, banyak kali.

8. Berita Piala Dunia yang ditayang setiap malam di kaca tv adalah sama pentingnya dengan perlawanan Piala Dunia itu sendiri. Jangan terfikir untuk berkata kepada saya “ Awak kan dah tengok perlawanan tu ? Kenapa tidak awak tukar kepada Drama Swasta yang kita selalu tengok”.

9. Dan sebagai akhirnya, tolong simpan kenyataan bahawa “ Syukur lah Piala Dunia 4 tahun sekali saja”, kerana selepas ini akan tiba Liga Juara-juara, Liga Perdana Inggeris, Liga Itali, Liga Sepanyol, KPA, Piala FA, Piala Eropah dan lain – lain.

Terima kasih di atas kerjasama yang diberikan.

Yang Benar,

Suamimu

( Diterjemah secara bebas dari lampiran emel dalam bahasa Inggeris yang den terima beberapa hari yang lepas ).



Wednesday, 2 June 2010

Pas Kawasan Bukit Katil Cadang Sidang DUN Tergempar


PAS Kawasan Bukit Katil mencadangkan kerajaan negeri Melaka memanggil Sidang DUN tergempar bagi mengutuk tindakan Israeil membunuh dan mencederakan flotila aman Mavi Marmara semalam. Serangan kejam tersebut menyebabkan 19 terbunuh dan lebih 70 orang anggota rombongan tersebut tercedera.

Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil, Yusof Wahab dalam kenyataannya kepada blog ini ( mutaligat.blogspot ) berkata Sidang Khas tergempar DUN Melaka ini penting bagi menggambarkan penentangan dan rasa kesal rakyat negeri ini di atas tindakan kejam Yahudi Zionis yang menyerang rombongan tersebut yang tidak mempunyai senjata.

"Pimpinan dan rakyat negeri Melaka mesti menyampaikan mesej bantahan ini melalui usul khas yang boleh dibincangkan di dalam Sidang DUN tersebut.PAS Kawasan yakin semua ADUN tidak kira kerajaan atau pembangkang akan menyokong penuh usul mengutuk Yahudi Zionis ini", tegas Yusof. Yusof juga memohon campurtangan kerajaan Malaysia dalam hal ini.

Kerajaan Malaysia juga mesti memanggil Sidang Parlimen khas bagi membincangkan usul penting kepada seluruh umat dunia. 'Serangan terhadap kapal induk misi tersebut jelas menunjukkan kebiadapan Yahudi Zionis yang membelakangkan batas kemanusiaan

''Mereka menyerang konvoi tersebut yang tidak mempunyai senjata dan tidak berniat untuk berperang dan mencari musuh", ujar Yusof. "Sesungguhnya tindakan tersebut tidak boleh dimaafkan dan umat manusia seluruh dunia mesti bangkit mengutuk serangan tersebut dan berusaha untuk mengajar Israel supaya tidak bertindak sedemikian rupa pada masa akan datang", sambungnya lagi.

Menurut beliau PBB jangan hanya menjadi tunggul kayu memerhatikan apa sahaja tindakan Yahudi Israel tanpa langkah yang drastik untuk mengajar Israel yang merupakan manusia berhati binatang.

sumber : http://mutaligat.blogspot.com/2010/06/pas-kawasan-bukit-katil-cadang-sidang.html


Kroni Ali Rustam ambil tanah rezab sekolah


Tanah rezab sekolah diselewengkan

Melaka : Penduduk Taman Sri Krubong, di sini, membantah sekeras – kerasnya penyelewengan terhadap tanah yang pada awalnya direzabkan bagi pembinaan sekolah rendah kebangsaan oleh pemaju tetapi telah dipindah milik kepada enam orang kroni terdekat Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam.

Mereka adalah bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Dato’ Wira Ismail Saleh; bekas Pegawai Kewangan Negeri Melaka; Dato’ Kamarul Zaman bin Md Isa; Ketua Setiausaha Sulit Ketua Menteri Melaka; Rusnani Abd Latip; Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Putra; Radhuana Salleh; Pegawai Protokol dan Istiadat Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, Abdullah Mohd Taha dan bekas Pegawai Daerah Melaka Tengah, Abd Kadir Yaakup.

Pemaju telah memberikan tanah empat ekar lebih bagi kemudahan lebih 2,000 penduduk taman serta diluluskan sebagai ‘Rezab Sekolah Rendah’ pada tahun 2000 tetapi telah dipindah milik pada 2007, malahan mereka dijanjikan dengan pembinaan sekolah tersebut pada Pilihan Raya Umum 2008 dan ini membuatkan mereka rasa ditip hidup-hidup.

Menurut Ahli Jawatankuasa KeADILan Cabang Tangga Batu, Sham Kamat, 42, mereka telah membuat laporan kepada SPRM Melaka pada Jun 2009 tetapi selepas hampir setahun diberitahu kes itu telah ditutup dan kerajaan negeri mengatakan ianya telah selesai.

“Saya tanya pada 3 Mei lalu, SPRM kata kes membabitkan lot 3077 Mukim Krubong itu telah ditutup dan dipindah milik kembali sebagai rezab sekolah tapi bila saya semak di pejabat tanah 4 Mri, nama enam orang ini masih ada lagi lalu kita buat laporan polis pula.

“ Kami benar-benar tidak puas hati dan merasa ditipu hidup-hidup kerana setelah ke pejabat tanah mendapati tanah itu masih lagi menjadi milik mereka,” katanya ketika mendedahkan nama individu tersebut.

Beliau turut kesal dengan kejadian itu yang sepatutnya tidak berlaku kerana status tanah adalah untuk pembangunan yang tidak boleh dipindahmilik kepada individu dan mengatakan berlakunya salah guna kuasa serta penyelewengan.

Seorang penduduk, Ya’acob Hamid, 57, pesara, yang telah tinggah di situ hampir 13 tahun membantah tindakan tersebut yang hanya menguntungkan beberapa individu sahaja sedangkan penduduk taman yang begitu memerlukan kemudahan seperti sekolah dan dewan serbaguna dinafikan.

Laporan dipetik daripada Harakah keluaran 10 – 13 Jamadilakhir 1432 / 24 – 27 Mei 2010.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59