Thursday, 7 January 2010

Petikan kuliah maghrib Ustaz Zulkifli Ismail, Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Melaka di Balai Islam Taman Cempaka, 4 Januari 2009


A
dalah satu nikmat yang besar kepada kita apabila diziarahi oleh golongan alim ulama dan para solihin kerana mereka membawa keberkatan dan rahmat. Ziarah itu akan mendatangkan dorongan untuk berbuat taat kepada Allah, dan jalan menuju ke syurga akan terbuka dengan seluas – luasnya. Oleh itu, ia merupakan hari yang bersejarah kepada kita.

Apabila pengislaman Parameswara berlaku bermula dengan mimpi melihat Nabi SAW, berlakulah satu sejarah yang amat besar bagi rantau nusantara. Negeri Melaka telah ‘disentuh’ oleh Nabi SAW apabila di dalam mimpi tersebut Nabi SAW telah datang bertemu dengan Parameswara, mengislamkan beliau dengan mengajarnya mengucap kalimah syahadah, lalu beliau mengucap dalam mimpi tersebut, menjadi Islam. Kemudian Nabi SAW memerintahkan beliau pergi belajar dengan Sayid Abdul Aziz, yang merupakan cucu –cicit baginda SAW yang berlabuh di pantai Melaka.


Lalu Parameswara pergi ke pantai bertemu dengan Sayid Abdul Aziz, dibawa ke istana dan dilantik menjadi guru yang pertama mendidik Islam kepada rakyat Melaka. Sebab itu hubungan rakyat Melaka dengan ahlul Bait, hubungan dengan Nabi SAW sangat kuat, tidak boleh dipisahkan umpama kepala dengan badan. Tidak dipanggil rakyat Melaka kalau tidak mencintai anak cucu Rasul SAW. Lantaran mereka inilah yang memperkenalkan Islam kepada rakyat Melaka, ia ibarat ‘nyawa’ yang mesti dipertahankan oleh rakyat Melaka walaupun dijajah selama 500 tahun. Kecintaan rakyat Melaka kepada Nabi SAW dan anak cucu baginda amat mendalam, kerana mereka tidak akan kenal islam dengan tidak kerana anak cucu baginda SAW.

Inilah faktor yang menyebabkan Islam bertahan di Melaka walaupun dijajah selama beberapa ratus tahun. Rakyat Melaka pernah melalui tempoh penjajahan yang amat dasyat. ‘Paku Belanda’ ; terkenal sebagai satu bentuk penyeksaan kepada orang Melaka yang menentang penjajah. Mereka yang menentang dimasukkan ke dalam tong arak yang kosong yang dipaku sekelilingnya lalu ditolak. Ia berguling di dalam tong itu lalu mati.



Begitu dahsyatnya tekanan oleh penjajah. Khazanah Islam 100 tahun di Melaka dipadamkan. Sehingga Melaka yang mempunyai sejarah yang begitu gemilang dalam dakwah Islam di Nusantara habis hilang, tidak dapat diwarisi sejarah itu kepada generasi yang berikutnya. Cerita yang tinggal hanyalah hikayat Hang Tuah lima bersaudara, yang tidak menyebut tentang kehebatan pahlawan Melaka dalam konteks dakwah dan sumbangan dalam menyebarkan Islam.

Walaupun bagitu, Islam di Melaka tetap dipertahankan, kerana orang Melaka tidak mengkhianati anak cucu Nabi, amat cinta kepada anak cucu Nabi SAW. Hubungan mereka dengan anak cucu Nabi sentiasa dipelihara, dengan cara menghidupkan ingatan mereka melalui majlis – majlis marhaban dan berzanji. Kerana keberkatan Nabi dan anak cucu bagindalah, di sebalik penjajahan yang maha dahsyat, Islam bertahan di Melaka sedangkan ada di lain – lain tempat Islam hilang sepenuhnya akibat daripada penjajahan dan kekejaman yang sangat melampau dilakukan kepada pribumi yang beragama Islam.

Inilah kelebihan negeri Melaka. Inilah roh dan jiwa orang – orang Melaka. Dengan inilah Islam berjaya diselamatkan dan terus hidup di sini. Hubbun Nabi wa aali Baitih. Cinta kepada Nabi dan anak keluarga baginda SAW. Harus dipertahankan jatidiri ini di kalangan orang Melaka. Bukan sahaja setakat bermaulid tetapi juga ditingkatkan dengan menuntut ilmu dengan lebih mendalam tentang Islam daripada golongan alim ulama. Mesti belajar daripada ulama waris keturunan Nabi yang datang ke Melaka supaya Islam dipegang dengan kuat dan erat.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59