Sunday, 10 January 2010

Hutang Eye On Malaysia dan kaitannya dengan kerajaan negeri pimpinan Ali Rustam


Artikel asal di Hasbullah.pit.my

Eye On Malaysia tidak membazir bahkan dapat membantu merancakkan kegiatan ekonomi Negeri Melaka dan ramai rakyat akan dapat faedahnya. Kos RM 40 juta akan dikeluarkan oleh sektor swasta sebanyak 60 peratus bersamaan RM 24 juta dan anak syarikat Kerajaan Negeri RM 16 juta berbentuk tanah dan bakinya RM 11 juta berbentuk pinjaman.

RM 11 juta berbentuk pinjaman itu tidak pula dinyatakan siapa yang meminjam, dan pinjaman itu daripada siapa.
Kerajaan Negerikah? Atau Syarikat Kerajaan negeri?

Diberitakan pula syarikat Belgium, Fitraco NV nak ambil balik buaiannya kerana ada pihak pengurusan yang terdiri daripada MSt Ad & Kumpulan Melaka Berhad tak bayar RM 17 juta.

Sebelum ini, indah sungguh perkhabaran, kos 24 juta ditanggung swasta, tidak melibatkan wang rakyat. Seolah-olah ada syarikat swasta yang ada duit lebih, nak tolong tanggung kos buaian itu.

Namun berlaku satu perkara pelik, apabila hutang tidak di bayar oleh peminjam, buaian hendak di ambil balik, Bapa peminjam suruh penjual, "kau lelonglah, nanti aku bayar hutang".

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata beliau berharap syarikat dari Belgium itu segera mendapatkan perintah mahkamah bagi melelong Eye On Malaysia supaya kerajaan Melaka dapat membelinya.

"Jika dilelong, kerajaan negeri bersedia membayar hutang sebanyak RM17 juta itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sistem Pengawasan Bersepadu Melaka (MISSY) di Dewan Taming Sari MBMB di sini hari ini

Bukankah sebelum ini Eye On Malaysia itu dibeli tetapi melalui anak syarikat. Apabila tak bayar, disuruhnya lelong supaya kerajaan negeri boleh beli.

Kalau aku ada basikal buruk pun, tak mahu aku jual kepada Ali Rustam,
Nanti dia suruh orang beli, tak bayar, lepas tu dia suruh kita lelong supaya dia boleh beli.


Saturday, 9 January 2010

Laporan wakil Pemuda PAS Bukit Katil ke Himpunan Bantahan Terhadap Kerajaan Mesir


Laporan oleh Aizatlegendz Klik pautan untuk laporan penuh bergambar.



Syukur Alhamdulillah di panjatkan ke atas ilahi. Tamat sudah perhimpunan aman Palestin pada hari ini. Perhimpunan yang paling aman, bebas dari basahan water-cannon dan kepedihan gas pemedih mata. Perhimpunan ini bukan sekadar di lakukan di Malaysia, malah turut berlangsung di seluruh dunia, ia memberi tamparan hebat terhadap kerajaan Mesir dan Israel khususnya di sebabkan tindakan zalim mereka terhadap rakyat Palestin yang saban hari di tindas begitu teruk.



Bayangkan betapa zalimnya kerajaan mesir pimpinan Hosni Mubarak yang menjadi agen kepada Israel, menjadi anjing kurap yang sanggup tunduk kepada Israel. Apabila di tanya mengapa kerajaan mesir tidak membenarkan aktivis viva Palestina memasukki Palestine, jawab Hosni Mubarak, "kami (kerajaan Mesir) akan membenarkan setelah mendapat keizinan Israel". Moga Allah mengampuni dosa mereka, atau moga Allah melaknat segenap mereka yang menjadi agen dan balaci-balaci Yahudi dan Israel. Khaibar Ya Yahud!!


Thursday, 7 January 2010

Petikan kuliah maghrib Ustaz Zulkifli Ismail, Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Melaka di Balai Islam Taman Cempaka, 4 Januari 2009


A
dalah satu nikmat yang besar kepada kita apabila diziarahi oleh golongan alim ulama dan para solihin kerana mereka membawa keberkatan dan rahmat. Ziarah itu akan mendatangkan dorongan untuk berbuat taat kepada Allah, dan jalan menuju ke syurga akan terbuka dengan seluas – luasnya. Oleh itu, ia merupakan hari yang bersejarah kepada kita.

Apabila pengislaman Parameswara berlaku bermula dengan mimpi melihat Nabi SAW, berlakulah satu sejarah yang amat besar bagi rantau nusantara. Negeri Melaka telah ‘disentuh’ oleh Nabi SAW apabila di dalam mimpi tersebut Nabi SAW telah datang bertemu dengan Parameswara, mengislamkan beliau dengan mengajarnya mengucap kalimah syahadah, lalu beliau mengucap dalam mimpi tersebut, menjadi Islam. Kemudian Nabi SAW memerintahkan beliau pergi belajar dengan Sayid Abdul Aziz, yang merupakan cucu –cicit baginda SAW yang berlabuh di pantai Melaka.


Lalu Parameswara pergi ke pantai bertemu dengan Sayid Abdul Aziz, dibawa ke istana dan dilantik menjadi guru yang pertama mendidik Islam kepada rakyat Melaka. Sebab itu hubungan rakyat Melaka dengan ahlul Bait, hubungan dengan Nabi SAW sangat kuat, tidak boleh dipisahkan umpama kepala dengan badan. Tidak dipanggil rakyat Melaka kalau tidak mencintai anak cucu Rasul SAW. Lantaran mereka inilah yang memperkenalkan Islam kepada rakyat Melaka, ia ibarat ‘nyawa’ yang mesti dipertahankan oleh rakyat Melaka walaupun dijajah selama 500 tahun. Kecintaan rakyat Melaka kepada Nabi SAW dan anak cucu baginda amat mendalam, kerana mereka tidak akan kenal islam dengan tidak kerana anak cucu baginda SAW.

Inilah faktor yang menyebabkan Islam bertahan di Melaka walaupun dijajah selama beberapa ratus tahun. Rakyat Melaka pernah melalui tempoh penjajahan yang amat dasyat. ‘Paku Belanda’ ; terkenal sebagai satu bentuk penyeksaan kepada orang Melaka yang menentang penjajah. Mereka yang menentang dimasukkan ke dalam tong arak yang kosong yang dipaku sekelilingnya lalu ditolak. Ia berguling di dalam tong itu lalu mati.



Begitu dahsyatnya tekanan oleh penjajah. Khazanah Islam 100 tahun di Melaka dipadamkan. Sehingga Melaka yang mempunyai sejarah yang begitu gemilang dalam dakwah Islam di Nusantara habis hilang, tidak dapat diwarisi sejarah itu kepada generasi yang berikutnya. Cerita yang tinggal hanyalah hikayat Hang Tuah lima bersaudara, yang tidak menyebut tentang kehebatan pahlawan Melaka dalam konteks dakwah dan sumbangan dalam menyebarkan Islam.

Walaupun bagitu, Islam di Melaka tetap dipertahankan, kerana orang Melaka tidak mengkhianati anak cucu Nabi, amat cinta kepada anak cucu Nabi SAW. Hubungan mereka dengan anak cucu Nabi sentiasa dipelihara, dengan cara menghidupkan ingatan mereka melalui majlis – majlis marhaban dan berzanji. Kerana keberkatan Nabi dan anak cucu bagindalah, di sebalik penjajahan yang maha dahsyat, Islam bertahan di Melaka sedangkan ada di lain – lain tempat Islam hilang sepenuhnya akibat daripada penjajahan dan kekejaman yang sangat melampau dilakukan kepada pribumi yang beragama Islam.

Inilah kelebihan negeri Melaka. Inilah roh dan jiwa orang – orang Melaka. Dengan inilah Islam berjaya diselamatkan dan terus hidup di sini. Hubbun Nabi wa aali Baitih. Cinta kepada Nabi dan anak keluarga baginda SAW. Harus dipertahankan jatidiri ini di kalangan orang Melaka. Bukan sahaja setakat bermaulid tetapi juga ditingkatkan dengan menuntut ilmu dengan lebih mendalam tentang Islam daripada golongan alim ulama. Mesti belajar daripada ulama waris keturunan Nabi yang datang ke Melaka supaya Islam dipegang dengan kuat dan erat.


HIMPUNAN AMAN BANTAHAN MENYEKAT ROMBONGAN BANTUAN “PALESTINE SOLIDARITY CAMPAIGN” KE KEDUTAAN MESIR


KENYATAAN MEDIA
28 DISEMBER 2009


DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
PARTI ISLAM Se MALAYSIA (PAS)


HIMPUNAN AMAN BANTAHAN MENYEKAT ROMBONGAN BANTUAN “PALESTINE SOLIDARITY CAMPAIGN” KE KEDUTAAN MESIR

Dewan pemuda PAS Pusat membantah sekeras – kerasnya tindakan Kerajaan Mesir yang tidak memberi kebenaran dan laluan kepada Viva Palestina Convoy 3 untuk meneruskan perjalanan bantuan ke Gaza. Malangnya, kini Konvoi yang dikendalikan oleh Palestine Solidarity Campaign tersebut tersekat di Aqaba, Jordan setelah disekat masuk oleh Kerajaan Mesir.

Kerajaan Mesir telah menyekat deligasi sukarelawan tersebut yang diterajui oleh ahli Parlimen Britain, George Galloway yang telah berjaya mengumpulkan lebih dari 240 ambulan dan kenderaan pelbagai jenis untuk menghantar bantuan ubat-ubatan dan lain-lain barang keperluan ke Gaza.

Rombongan ini telah bertolak dari London pada 05 Disember 2009 dan merentasi jalan darat melalui benua Eropah. Mereka sepatutnya dijadualkan sampai ke Gaza pada 27 Disember 2010 sempena ulang tahun serangan biadap dan pembunuhan zalim rakyat Gaza oleh regim zionis, kerajaan haram Isreal.

Bagi membantah tindakan tersebut, Pemuda PAS akan menyerahkan satu memorandum bantahan kepada kedutaan Mesir pada Jumaat, 08 Januari 2010 berkumpul selepas solat Jumaat di Masjid Tabung Haji, jalan Ampang.

Dewan Pemuda PAS Pusat mengharapkan agar semua rakyat Malaysia terdiri dari muslim dan non-muslim serta seluruh NGO – NGO yang cintakan keamanan dapat bersama hadir membantah tindakan Kerajaan Mesir menghalang Viva Palestina Convoy 3 yang dikendalikan oleh Palestine Solidarity Campaign agar dapat meneruskan perjalanan memasuki Gaza.

USTAZ NASRUDIN HASSAN AT-TANTAWI
Ketua
Dewan Pemuda PAS Pusat
http://episodeperjuangan.blogspot.com/


Tuesday, 5 January 2010

Peningkatan KPI PAS Kawasan Bukit Katil


S
atu lagi Key Performance Indicator ( KPI ) atau dalam Bahasa Melayunya Petunjuk Prestasi Utama untuk PAS Kawasan Bukit Katil yang ditetapkan oleh Yang Di Pertua (YDP)nya , saudara Sofi Wahab telah berjaya ditingkatkan dengan tertubuhnya Pusat Asuhan Tunas Islam / PASTI di Cawangan Paya Dalam, DUN Ayer Molek. PASTI yang diberi nama PASTI Al-Hadi ini telah memulakan operasinya pada awal tahun ini dengan pengambilan pertamanya seramai lebih kurang 40 orang pelajar.

Sofi Wahab telah meletakkan penubuhan PASTI ini sebagai salah satu KPI PAS Kawasan Bukit Katil sebaik sahaja dilantik menjawat jawatan YDP Kawasan pada Muktamar PAS Kawasan tahun lepas. Ia boleh dianggap sebagai satu tanda aras sokongan masyarakat setempat kepada perjuangan PAS umumnya, dan satu pengiktirafan kepada PAS dalam mengendalikan hal - hal pendidikan kepada pelajar pra-sekolah.


Pendidikan PASTI merupakan satu usaha bersepadu dan berterusan ke arah melahirkan generasi tunas Islam yang unggul dari aspek Syakhsiyyah, keilmuan dan amalan-amalan yang bertunjangkan kepada ISLAM, IMAN DAN IHSAN. Mengambil kira potensi dan bakat yang sedia ada, pendidikan PASTI berusaha mengembangkan kemahiran kognitif, psikomotor, bahasa sosio emosi dan sosial selain kepelbagaian bakat serta kecerdasan yang sedia terpupuk di dalam diri tunas Islam. Usaha-usaha PASTI menerusi pembentukan peribadi unggul ini bertujuan mempersiapkan diri mereka menjadi warga yang cintakan negara serta berpegang teguh dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian supaya diredhai oleh Allah S.W,T di dunia dan di akhirat.



PASTI, yang mana di peringkat pusat ditubuhkan di bawah Dewan Pemuda PAS ini mendapat dokongan dari pihak pengurusan yang terdiri daripada pelbagai golongan; baik dari PAS Cawangan, Kawasan mahupun Dewan Muslimat.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil dengan ini menghulurkan tangan sebagai tanda ucapan tahniah kepada PAS Cawangan Paya Dalam, khususnya kepada pihak pengurusan PASTI Al-Hadi yang telah membanting tenaga bagi menjayakan penubuhan PASTI tersebut. Pendaftaran masih lagi dibuka dan kepada yang berminat untuk menghantar anak menyertai PASTI Al-Hadi boleh terus membuka laman blog ini.




Sunday, 3 January 2010

Muat Turun Borang Pendaftaran Takaful Penyayang dan Borang Pendaftaran Unit Amal Kawasan


Borang - borang yang terdapat di laman web ini boleh dimuat turun, kemudian isi dan serahkan kepada Ketua Cawangan Pas, Ketua Pemuda PAS Cawangan atau AJK Cawangan / Kawasan PAS Bukit Katil yang berdekatan atau untuk maklumat lanjut sila hubungi o17 - 7744 177 untuk Takaful Penyayang dan o19 681 2096 untuk Unit Amal.



Friday, 1 January 2010

Melaka Darul Maksiat ??


A
pabila membaca artikel keluaran Harakahdaily di bawah tajuk '300 ribu HIV 2015, tutup punca maksiat di Melaka', terus berlalu di kotak fikiran den; Apa nasib anak cucu den kelak tatkala kerajaan yang ketika ini tidak langsung mempedulikan lubuk - lubuk maksiat di negeri Hang Tuah ini. Malah timbul prasangka yang tidak dapat dielakkan, apakah Melaka ini akan muncul sebagai sebuah negeri berindustrikan seks sebagai produk sampingan pelancongan? Perkataan 'pelacuran ' dan 'pelancongan ' yang seakan - akan dekat sebutannya itu apakah tidak akan dipisahkan dengan negeri Melaka ? Ini yang amat dikhuatiri.

Tulisan Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka itu seharus malah sewajibnya dipandang berat oleh semua masyarakat negeri Melaka, bukan sahaja yang beragama Islam malah yang bukan beragama Islam. Gejala "so-sial", ( dibaca - yang sangat "sial" ) ini menjadi barah dalam kehidupan rakyat, tidak mengenal agama, bangsa dan keturunan. Adat resam Melayu, adab susila ketimuran yang didokongi oleh kaun Cina, India dan kaum - kaum lain di Melaka ini semua sedia maklum menolak akan kelakuan sumbang, seks bebas dan segala yang sewaktu dengannya.

Apa yang didedahkan oleh akhbar Sinar Harian versi Melaka & Negeri Sembilan yang mencetuskan tulisan saudara Sofi Wahab itu sebenarnya bukan lagi rahsia bagi kebanyakan penduduk sekitar Bandar Melaka. Malah pada pengamatan den, 'industri seks' ini boleh dikatakan berkembang pesat sejak seabad yang lalu. Bagi den, yang sejak dari bangku sekolah rendah sehinggalah ke sekolah menengah belajar di kawasan berhampiran Bandar Melaka ini berasa tidak ada sebarang penguncupan masalah sosial ini. Jarang sekali kedengaran serbuan pihak berwajib ke tempat - tempat persundalan seperti yang dinyatakan oleh saudara Sofi Wahab dalam tulisannya itu.

Sempena kedatangan awal Muharam ini, dan serentak dengannya kehadiran tahun baru Masihi 2010 den ingin mengajak diri dan semua yang membaca posting ringkas ini agar bersama - sama dengan jemaah Islam memperjuangkan cara hidup sempurna dan unggul. Kepada semua warga Melaka khususnya yang tinggal di Kawasan Bukit Katil, den menyeru agar kita semua bangkit menentang kemaksiatan anjuran kerajaan Umno. Jatuhkan mereka yang memusnahkan masa depan anak cucu kita. Cukuplah, hentikan sokongan kita kepada mereka ini yang hanya mementingkan harta dan nafsu sendiri.

================

300 ribu HIV 2015, tutup punca maksiat di Melaka
Sofi Wahab

Dijangkakan 300,000 akan dijangkiti HIV di negara ini menjelang tahun 2015. Demikian laporan akhbar Sinar Harian edisi Melaka Negeri Sembilan hari ini. Angka ini amat menggerunkan kita semua kerana ianya merupakan bala dari Allah terhadap hambaNya yang melanggar perintahNya.

Semua kita faham bahawa antara punca HIV ini merebak ialah melalui seks bebas, penagihan dadah dan sebagainya.
Oleh itu saya menggesa kerajaan negeri Melaka menutup semua tempat-tempat pelacuran dan maksiat di samping memberikan kesedaran Islam kepada semua rakyat di negeri ini khususnya umat Islam. Hanya dengan menutup punca merebaknya penyakit berbahaya ini Insya Allah ianya dapat dikawal dan dikurangkan.

Pusat-pusat hiburan yang menjadi tempat berlakunya mukaddimah zina dan seks bebas ini tumbuh bagai cendawan lepas hujan di Melaka. Pusat-pusat hiburan seperti Dangdut, Disko, Kelab Malam, Diskotique, Karaoke dan sebagainya menjadi tempat hiburan sementara kononnya untuk menghilangkan kerunsingan dan kekusutan fikiran.

Tempat-tempat hiburan begini menjadi pelabuhan pertama kupu-kupu malam sebelum meneruskan operasi berikutnya. Siapa yang tidak tahu Jalan Melaka Raya yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Melaka. Ianya bagaikan mati di siang hari tetapi hidup dan harum pada malam hari.

Jumlah pusat-pusat hiburan di Jalan Melaka Raya ini sungguh banyak. Jika kita berkunjung ke kawasan ini pada malam hari kita akan dapat menyaksikan pelbagai gelagat manusia yang datang mengunjungi tempat-tempat hiburan ini seolah-olah kita bukannya berdiri di tengah-tengah negeri umat Islam tetapi lebih mirip kepada Hatyaai atau Phuket di Thailand.

Saban hari ada sahaja berita yang tersiar di dada akhbar tentang tertangkapnya orang Islam yang berkhalwat dan berzina di sekitar negeri Melaka.

Rumah urut, Spa, salon kecantikan dan sebagainya juga didakwa menjalankan ‘perniagaan sampingan’ demi untuk mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda. Selain dari itu Bandar Melaka juga memang terkenal dengan pusat maksiat seperti rumah urut dan Pusat Pelacuran yang kian menjadi tarikan kepada pelancong dalam dan luar negeri.

Tidak lama dahulu sebuah stesyen TV pernah membongkar kisah pelacuran yang berleluasa di sekitar Bandaraya Melaka. Sesungguhnya kegiatan jijik tersebut sudah lama berlaku tetapi semacam sengaja di biarkan oleh pihak berkuasa.

Ianya telah berlaku sejak turun temurun. Kawasan-kawasan yang terkenal dengan kegiatan tersebut adalah di Jalan Munshi Abdullah dan Jalan Bunga Raya serta beberapa kawasan lain. Nama-nama seperti Pokok Kelapa, Ekspres Belakang, Rumah Hijau dan sebagainya menjadi siulan para pencinta perempuan murahan tersebut.

Harga perkhidmatan yang istimewa sehingga ke paras semurah RM30.00 menjadi penggalak kepada berkembangnya industri yang dikatakan antara yang tertua di dunia ini. Lebih malang lagi Stesyen TV itu juga mendedahkan bahawa antara pelanggan pelacur-pelacur murahan ini adalah pelajar-pelajar kolej yang rata-ratanya berketurunan melayu.

Mengapa setelah ianya didedahkan oleh Media sejak kesekian kalinya tempat-tempat begini masih beroperasi seolah-olah ianya mendapat perlindungan istimewa dari pihak tertentu. Ini yang menjadi persoalannya?

Saya menggesa pihak kerajaan negeri menutup premis-premis pelacuran, hiburan dan pusat maksiat ini serta merta bagi mengurang wabak Aids yang dijangka terus meningkat sehingga 300,000 pada tahun 2015 nanti.

Amat malang sekali jika kerajaan negeri Melaka terus mendiamkan diri tidak mahu mengambil tindakan ke atas premis-premis ini yang sah menjadi punca maksiat dan akhirnya menyebabkan Aids merebak dengan meluas.

Artikel asal di pautan berikut : Harakahdaily.net


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59