Thursday, 10 September 2009

Memorandum Bantahan Terhadap Aktiviti Penyembelihan Babi di Pusat Penyembelihan Haiwan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kompleks Abatoir, Ayer Keroh


B
erhubung dengan artikel di dalam akhbar Harakah bertarikh 17 – 20 Ramadan 1430 / 7 – 10 September 2009 di bawah tajuk ‘ Melaka Sembelih Lembu dan Babi di Satu Tempat ‘ , Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil ( DPPBK ) dengan penuh rasa tanggungjawab menggesa pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Melaka segera bertindak menghentikan aktiviti menyembelih babi di Kompleks Abatoir Ayer Keroh.

Antara laporan di dalam akhbar Harakah tersebut menyebut :

- Pusat penyembelihan itu menjalankan kerja – kerja penyembelihan lembu dan babi di tempat yang cuma dipisahkan oleh tembok yang rendah. Babi dibawa masuk melalui kawasan lembu yang dikumpulkan dan melalui pintu yang sama.
- Kelihatan seorang pekerja sedang memandikan babi yang kemungkinan besar tempias atau apa sahaja bahan bawaan daripada babi boleh terkena lembu.
- Pintu pagar hadapan ditutup dan urusan rumah penyembelihan menggunakan laluan dari pintu pagar belakang yang agak sunyi. Keadaan pintu pagarnya yang ditutupi dengan semak samun mengundang kepada keraguan dan persoalan tentang aktiviti yang dijalankan di dalam kompleks tersebut.

DPPBK dengan ini menyeru supaya pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar tampil untuk membuat penjelasan tentang status rumah penyembelihan di kompleks tersebut, yang didakwa tidak mendapat sijil kelulusan halal kerana beberapa sebab yang meragukan. DPPBK dengan kesedaran yang tinggi terhadap sensitiviti umat Islam khususnya di Negeri Melaka memandang berat pendedahan yang dibuat oleh Harakah baru – baru ini dan mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengatasi isu yang dibangkitkan ini.



20 Ramadan 1430 / 10 September 2009

Muhamat Puhat Bedol

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil


Melaka sembelih lembu dan babi di satu tempat


M
ELAKA : ‘ 1 Malaysia, satu pusat penyembelihan’ agaknya cogan kata yang paling sesuai bagi menggambarkan situasi sebenar yang terjadi di pusat penyembelihan utama negeri Melaka sejak puluhan tahun lalu.

Pusat penyembelihan itu menjalankan kerja – kerja penyembelihan lembu dan babi di tempat yang sama. Pusat penyembelihan bagi haiwan ruminan iaitu lembu atau kambing di Jabatan Perkhidmatan Veterinar , Kompleks Abatoir,Ayer Keroh,dekat sini juga dimaklumkan tidak mendapat kelulusan sijil halal kerana beberapa faktor meragukan


Haiwan tersebut dibawa masuk melalui pintu yang sama dan tempat penyembelihannya cuma dipisahkan oleh satu tembok yang rendah. Setiap kali babi dibawa keluar atau masuk ianya akan melalui kawasan kandang lembu yang dikumpulkan untuk disembelih.

Lokasi penyembeliha babi itu betul-betul terletak di tepi jalan Ayer Keroh Lama di mana ianya dianggarkan dalam jarak kurang 20 meter daripada jalan raya. Ia terletak berhadapan pintu masuk pusat tahanan Dusun Dato’ Murad serta pagarnya ditutupi dengan semak-samun supaya tidak kelihatan daripada luar.

Tinjauan Harakah juga mendapati pintu pagar hadapan ditutup dan urusan rumah penyembelihan itu menggunakan laluan dari pintu pagar belakang yang agak sunyi. Terdapat kawasan penternakan burung unta di depan Jabatan Veterinar berhadapan Kota Fesyen Melaka International Trade Centre ( MITC ).

Ketika tinjauan dibuat, kelihatan seorang pekerja sedang memandikan babi dan memandangkan tempat penyembelihan babi agak tinggi berbanding tempat penyembelihan lembu, tempias atau apa sahaja bahan bawaan daripada babi akan mengenai lembu serta kawasan sekitarnya.

Menurut sumber yang tidak mahu dikenali, perkara tersebut telah dibangkitkan bebeapa kali tetapi dihalang oleh pemimpin kerajaan negeri kononnya untuk menjaga sensitiviti kaum.

“ Saya rasa bersalah sekiranya tidak menghebahkan kepada rakyat Melaka khususnya orang Islam kerana lembu yang disembelih itu dipasarkan kepada mereka sedangkan status halal dan tahap kebersihannya diragui,” kata beliau.

*artikel dipetik daripada HARAKAH keluaran 17 – 20 Ramadan 1430 / 7 – 10 September 2009


Kerosakan Pasar Melaka Sentral Serius


M
ELAKA : “ Rumah siap, pahat berbunyi…” itulah keadaan yang menimpa Pasar Besar Melaka Sentral yang mengalami pelbagai masalah kerosakan dan keretakan di sana – sini disebabkan struktur bangunan yang tidak seragam akibat kerja tanah dan penanaman cerucuk yang kurang memuaskan.

Adun Bachang, Lim Jak Wong, mempertikaikan mengapa kos baik pulih pasar tersebut ditanggung oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah ( BMBM ) sedangkan pemaju pembinaan yang sepatutnya menanggung segala kos tersebut.

Malah katanya, MBMB juga terpaksa menanggung kos penyelenggaraan elektrik dan infrastruktur yang tinggi iaitu sebanyak RM 161,045 bai 2007 dan RM 127,362 dari Januari hingga September 2008 apabila ianya diserahkan oleh Pengurusan Melaka Sentral kepada MBMB bermula 1 Mac 2007.

Dan “ Saya dimaklumkan di dalam persidangan Dun bahawa kos baik pulihnya sebanyak RM3.9 juta dan dijangka siap pada Julai 2009 tapi saya lihat kerja – kerja telah dihentikan Julai lalu dan dimulakan semula baru-baru ini.

“ Persoalannya sekarang adakah kerja yang baru itu berlainan daripada kerja baik pulih asal? Sekirana lain, apakah kosnya juga lain?” katanya kepada media semasa melawat lokasi terbabit sambil ditemani Exco Pemuda PAS Melaka, Khiru Che Salleh.

Beliau kesal kerana MBMB menanggung kos baik pulih itu melalui wang pembayar cukai yang sepatutnya digunakan untuk menjaga kebajikan rakyat yang kurang berkemampuan khususnya di negeri Melaka.

Menurut beliau, kerja – kerja pembaikan yang dilakukan itu hanyalah baik pulih kosmetik di bahagian luar bangunan tanpa menumpukan kepada punca sebenar kerosakan yang dialami.

Tambahnya, perhatian perlu diberikan kepada cerucuk bangunan pasar itu kerana jika sekiranya tidak dibaiki dengan segera masalah keretakan akan berulang dan menjadi lebih serius lagi.

Pasar itu mula dibina pada 16 Disember 2002 dan siap pada 30 April 204 dengan harga RM19.5 juta oleh Syarikat Technochase Sdn. Bhd.

Mula beroperasi pada 15 Mei 2004 setelah pasar besar lama di Jalan Tun Ali ditutup dan para peniaganya diarah berpindah ke sini. Sebelum ini, kajian dijalankan Institut Kerja Raya Malaysia ( IKRAM ) mendapati tanah tapak pembinaan pasar itu tidak padat dan mendap sebanyak 3 sentimeter selama lima tahun dan akan mencapai kepadatan sehingga tahun 2032.

IKRAM juga mencadangkan sama ada pasar itu dibina semula dengan kos RM17 juta atau dibaiki dengan kos RM10 juta.

*artikel dipetik daripada HARAKAH keluaran 17 – 20 Ramadan 1430 / 7 – 10 September 2009


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59