Wednesday, 13 May 2009

Kerinduan Jelas Terbayang Dalam Menyambut Ketibaan MB



YAB Dato'Seri Muhammad Nizar Jamaluddin sempat duduk dimejanya yang kosong dengan dokumen sambil menulis satu memo. Inilah tempat MB halal yang kembali dirampas oleh MB haram.

Enam jam berada di Pejabat MB semalam sangat-sangat dirasai kehadiran kami oleh beberapa pegawai dan staf pejabat di bangunan SUK yang sempat ditemui, lebih-lebih lagi staf di pejabat MB. Kerinduan kepada MB, EXCO dan pegawai-pegawai MB jelas terbayang.

Pegawai-pegawai MB yang lain, Hj Anuar Hashim (Setiausaha Akhbar), Amran Harun, K.Y. Tiang, Ust. Zulkifli Ibrahim dan Nadarajan hadir sama di pejabat. Hj Wan Junaidi (Bekas Setiausaha Sulit Dato' Seri) juga turut hadir. Jelas terbayang keceriaan mereka.Setelah berada kira-kira 15 minit di pejabat MB, Dato' Seri terpaksa meninggalkan majlis untuk ke Istana Iskandariyyah bagi menghadiri Majlis Anugerah Pingat dan Bintang bersama Tuanku Raja Muda Perak.

Sepeninggalan beliau, semua EXCO dan pegawai-pegawai MB berada di pejabat MB. pejabat EXCO masih berkunci tak boleh dikunjungi. Beberapa pegawai kanan kerajaan turut berada di pejabat MB, antaranya En. Shamsuzaman Sulaiamn (Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan, En. Asri Saad (Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Sumber Manusia), En. Abdullah Antong (yang digantung sebagai Setiausaha DUN oleh Speaker) juga hadir sama.

Tidak ada kerja-kerja pentadbiran yang kami buat, kami sekadar melihat-lihat dan bertanya khabar. Ramai juga yang datang mengucapkan tahniah, mereka terharu sehingga ada yang menitis air mata menyambut ketibaan kami. Mereka sangat merindui Dato' Seri untuk mengimami Solat Zohor berjamaah dan tazkirah. Saya juga diberitahu, kehadiran solat berjamaah di surau SUK sangat berkurangan berbanding dulu.

Saya juga sempat berbual dengan beberapa orang, mereka bercerita ketika berita di TV3 mengumumkan kemenangan Hj Nizar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, ramai pelanggan yang sedang makan tengahari sambil menonton berita di kantin pejabat bersorak menyambut gembira.

Saya sempat berbincang dengan beberapa pegawai dari pejabat SUK untuk melaksanakan beberapa arahan dari YAB MB. Jelas mereka tidak keberatan melaksanakannya malahan memberi kerjasama yang cukup baik.

Menjelang Zohor, kami mendapat mesej dan maklumat dari Kuala Lumpur oleh peguam Hj Nizar bahawa permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi diterima oleh Mahkamah Rayuan. Mendengar keputusan tersebut, pejabat MB menjadi sunyi dan hening buat seketika. Ketika itulah Dato' Seri tiba dari Istana.

Kami Solat Zohor berjamaah di surau dengan diimami oleh Dato' Seri Hj Nizar. Selepas solat, kami kembali ke pejabat untuk berbincang mengenai keputusan Mahkamah Rayuan tadi. Setelah berbincang, semuanya sepakat bersetuju untuk keluar pejabat sebagai menghormati keputusan Mahkamah Rayuan.

Lebih kurang jam 2.30 petang, MB, EXCO dan seluruh pegawai-pegawainya meninggalkan pejabat dengan penuh hormat dan tenang. Kami bersalam-salaman semula dengan staf dan pegawai keselamatan. Polis masih ramai di sekitar Banguanan SUK. Kami mimum petang di Kedai Kopi berhampiran pejabat SUK, MB dikerumuni oleh para wartawan dan sidang akhbar terus diadakan di pejabat DAP yang berada di atas kedai kopi tersebut.
: Sumber dipetik dari blog Misbahul Munir


Bila Yang Haram Cuba Menghalalkan Diri


Saya percaya ramai ingin mengetahui sama ada keputusan Hakim Mahkamah Rayuan , Dato Ramly Ali menggantung pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi bermakna Zambry adalah Menteri Besar Perak yang sah ?

Sebelum saya menjawab soalan tersebut, elok rasanya saya berkongsi dengan pembaca tentang perintah-perintah yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi pada 11 hb Mei yang lalu. Mahkamah Tinggi ketika mana membenarkan permohonan Dato Seri Nizar Jamaluddin memerintahkan seperti berikut :-


a. Berkenaan tafsiran Fasal 16 ( 6 ) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak bahawa dalam keadaan di mana :

(i) Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan ingin, dan telah member nasihat, untuk pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

(ii) tidak terdapat pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

(iii) tidak terdapat usul tidak percaya yang diambil dan diterimapakai dalam dan oleh Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak terhadap Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan; dan

(iv) tidak terdapat perletakan jawatan mentri besar Negeri Perak Darul Ridzuan;
Mahkamah mengisytiharkan jawatan Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan ( yang dipegang secara sah oleh Nizar ) tidak boleh dan/atau tidak dikosongkan.

b. Perintah “quo warranto” dikeluarkan kepada Zambry ( Responden ) memerintahkan beliau untuk tunjuk sebab dan memberi maklumat bagaimana dan di bawah dasar atau kuasa atau authoriti mana beliau berhak kononnya memegang jawatan Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan dan kononnya bertindak dan/atau menjalankan dan/atau melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab, fungsi-fungsi dan tugas-tugas Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan.

c. Perintah deklarasi bahawa Zambry TIDAK BERHAK untuk dan/atau TIDAK MENJAWAT jawatan Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan dan BUKANNYA Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan pada bila-bila masa yang material.

d. Perintah injunksi untuk menghalang Zambry dan/atau agen-agen beliau dan/atau pengkhidmat-pengkhidmat beliau ( seperti Setiausaha Kerajaan Negeri ( SUK ) dari bertindak dan/atau menjalankan dan/atau melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab, fungsi-fungsi dan tugas-tugas Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan.
Itulah perintah-perintah yang Mahkamah Tinggi keluarkan pada 11 hb Mei yang lalu yang sekaligus menunjukkan secara jelas dan terang bahawa Dato Nizar ( bukannya Zambry ) adalah Menteri Besar Negeri Perak yang sah.

Pada asalnya selain daripada perintah-perintah tersebut , Nizar juga memohon perintah gantirugi . Namun di atas kesedaran bahawa wang bukanlah matlamat tindakan Mahkamah ini, maka Nizar telah menarik balik tuntutan gantirugi . Jika tidak ditarik terdapat kemungkinan besar Mahkamah Tinggi juga akan menganugerahkan gantirugi kepada Nizar yang mungkin jika ditaksirkan akan mencecah jumlah yang agak tinggi.

Nizar juga tidak memohon agar Zambry perlu membayar kos kepada beliau meskipun menjadi satu prinsip undang-undang pihak yang kalah seperti Zambry perlu membayar kos kepada pihak yang menang ( iaitu Nizar ). Jika Nizar tidak menarik balik perintah kos tersebut saya boleh bayangkan ratusan ribu ringgit yang mungkin Zambry perlu membayar kepada Nizar. Sekali lagi matlamat kewangan bukan faktor yang mendorong Nizar mencabar Zambry di Mahkamah.

Sekarang saya akan menjawab persoalan yang timbul di awal artikel ini. Permohonan untuk penggantungan pelaksanaan penghakiman ( stay of execution of judgment ) selalunya dipohon oleh pihak yang kalah dalam mana-mana prosiding Mahkamah. Permohonan tersebut selalunya dibuat bagi mengekalkan status quo iaitu supaya pihak yang menang tidak boleh menikmati perintah yang diberikan oleh Mahkamah.

Dalam kes ini sebenarnya peguam Zambry telah pada 11 hb Mei memohon secara lisan perintah penggantungan pelaksaanaan tersebut di Mahkamah Tinggi tetapi Mahkamah telah menolak permohonan Zambry tersebut.

Maka Zambry telah pada hari ini ( 12 Mei ) memohon perintah tersebut di Mahkamah Rayuan dan peguam Nizar telah membantah permohonan tersebut. Dari segi undang-undang prinsip yang terpakai bagi permohonan penggantungan pelaksanaan adalah pihak yang memohon tersebut perlu menunjukkan dan meyakinkan Mahkamah bahawa terdapat keadaan yang istimewa atau unik ( special circumstances ) yang menwajarkan perintah yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi tidak boleh dinikmati oleh Nizar.

Dalam kes ini nampaknya Mahkamah Rayuan berpendapat wujudnya keadaan istimewa tersebut tetapi kita masih kabur apakah yang keadaan istimewa tersebut kerana saya difahamkan Mahkamah masih belum mengeluarkan alasan penghakiman ( dan mungkin tidak akan mengeluarkan alasan ).

Selalunya jika pun Mahkamah membenarkan perintah penggantungan pelaksanaan Mahkamah akan juga dalam masa yang sama mengenakan syarat-syarat tertentu. Peguam Nizar meminta Mahkamah mengenakan beberapa syarat kepada Zambry namun meskipun peguam Zambry iaitu Dato’ Cecil Abraham pada dasarnya bersetuju syarat dikenakan ke atas Zambry, Peguam Negara pula menentang syarat dikenakan ke atas Zambry.

Adalah jelas dan nyata sejak dari awal Peguam Negara iaitu Ghani Patail tidak pernah menunjukkan sikap neutral di dalam kes ini. Beliau sejak awal menunjukan sikap memihak kepada Zambry meskipun berselindung di sebalik topeng penjaga kepentingan awam. Sikap beliau dari awal menunjukkan beliau adalah penjaga kepentingan Umno.

Peguam Negara sejak awal bersungguh ingin mematikan kes Nizar. Beliaulah yang memohon merujuk kes ini ke Mahkamah Persekutuan di bawah seksyen 84 Akta Mahkamah Keadilan. Di Mahkamah Persekutuan beliau kalah dan kes Nizar masih hidup. Selepas itu beliau sekali lagi menentang bermati-matian agar Mahkamah tidak membenarkan Nizar meneruskan permohonan semakan kehakiman dengan alasan kononnya Nizar mencabar kuasa Sultan Perak. Sekali lagi , Mahkamah tolak hujah beliau dan kes Nizar diteruskan.

Semasa kes Nizar berjalan, beliau sekali lagi berhujah dan memohon Mahkamah menolak permohonan semakan kehakiman ( judicial review ) Nizar. Sekali lagi Mahkamah Tinggi menolak bulat-bulat keseluruhan hujah beliau. Tiada satu pun hujah Peguam Negara yang diterima oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi.

Akhirnya saya ingin jelaskan di sini perintah penggantungan pelaksanaan BUKAN perintah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi . Keputusan Mahkamah Tinggi masih sah dan mengesahkan bahawa Nizar adalah Menteri Besar yang sah dan Zamry adalah Menteri besar yang haram.

Oleh kerana menteri besar haram merayu mungkin Mahkamah rayuan berpendapat bagilah peluang menteri besar haram tersebut pegang jawatan tersebut sehingga rayuan beliau diputuskan sebab bukankah sejak dari awal beliau telah ketagih dan mabuk dengan kuasa sehingga sanggup membenarkan partinya merompak Kerajaan sah yang diterajui oleh Menteri Besar yang sah dan dipilih secara sah oleh rakyat Perak.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59