Sunday, 6 September 2009

Tazkirah Ramadan


K

uliah Dhuha Al Fadhil Ustaz Haji Zulkifli Ismail, Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Melaka

Tempat : Baitul Qura', Paya Rumput, Sungai Udang, Melaka
Tarikh : 16 Ramadan 1430, Ahad 6 September 2009
Masa : 10.00 - 11.30 pagi


Antara isi kandungan kuliah ( yang diolah semula secara bebas ) :

1. Umat islam wajib menjunjung syariat dan perintah Allah, tetapi sebaliknya apabila datang undang-undang daripada barat, peraturan yang tidak menepati dengan apa yang dinyatakan oleh Allah dalam Al-Quran, umat islam tidak menentangnya dengan bersungguh-sungguh. Akhirnya peraturan itu dilaksanakan, arak dihalalkan, ramai manusia menjadi mabuk, menyebabkan ramai yang terkorban, terbunuh dengan sebab arak yang dihalalkan itu tadi. Susulan daripada ini pelbagai-bagai jenis maksiat berleluasa dan menggalakkan lagi berlakunya jenayah yang keji dan kejam yang adakalanya berakhir dengan pembunuhan.

2. Daripada dadahnya, ecstacynya, pil kudanya dan macam-macam lagi yang menjerumuskan orang islam di tanah air kita kepada suatu jenayah yang juga ianya merupakan suatu perbuatan yang mengakibatkan pertumpahan darah, kehancuran dan kemusnahan rumah tangga. Kenapa menjadi begini? Kerana kita tidak tegah penularan arak yang akhirnya ia menyelinap dalam masyarakat, mendapat tempat dan akhirnya menjadi duri dalam daging. Begitu juga judi dihalalkan, maka judi menjadi punca pembunuhan; gejala along, rompakan dan macam-macam lagi dengan sebab ketagihan judi. Orang berjudi ini keseronokannya pada bukan lagi kemenangan dalam perjudian, tetapi keseronokannya dirasai apabila setiap kali berjudi. Sebab itu kita dapat melihat ramai orang kalah berjudi tetapi tetap berhutang demi meneruskan niatnya untuk berjudi.

3. Allah Taala berfirman agar kita tegah perkara ini, dan tegas dalam persoalan menegakkan hukum dan syariatNya. Perintah ini tidak kita patuhi. Sejak kita merdeka, kita mengambil jalan untuk menggunakan perundangan barat yang menghalalkan apa yang diharamkan Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah. Walaupun tidak semua, tetapi cukup dengan sebahagian itu sahaja perbuatan itu membawa kebinasaan yang besar di dalam masyarakat pada hari ini. Apabila kita menyokong perundangan yang datang daripada barat yang menghalalkan judi dan arak serta pelbagai perkara lain yang ditegah antaranya mendekati zina, semakin lama kita akan semakin jauh dengan hukum hakam dan ajaran Al Quran. Kalau kita ketika waktu merdeka yang lalu mengambil sikap yang tegas, menentang penyimpangan dalam perundangan yang membawa kepada menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah itu, sudah tentu kejadian buruk pada hari ini tidak akan berlaku.

4. Apabila ada sebahagian daripada umat islam mempertahankan dasar perundangan Inggeris, ianya menyebabkan umat Islam menjadi berpecah yang akhirnya golongan asing mengambil kesempatan. Perkara ini tidak dapat diselesaikan melainkan umat Islam mesti bersatu padu di bawah panji-panji Al Quran tetapi tidak boleh kita bersatu melainkan golongan yang menghalalkan judi dan arak tadi kembali kepada syariat Allah. Punca kepada masalah dalam negara kita pada masa ini adalah golongan yang menegakkan dasar sekular inilah yang menyebabkan umat islam terjurumus dalam lembah dosa yang besar.

5. Kita lihat dalam masalah Kartika; sebatan yang dikenakan bukan banyak pun, 6 sebatan sahaja walhal ada ibu bapa yang 'menyebat' anak-anak mereka yang nakal lebih daripada itu. Sebatan itu adalah berdasarkan syariat Islam, bukan berdasarkan peraturan barat yang menghendaki tangan yang menghayun sebat itu diangkat tinggi sehingga atas kepala. Mengikut peraturan barat, rotan yang digunakan pula direndam sehingga menjadi basah dan keras yang apabila kena pada kita, kulit akan tercabut. Tetapi dalam islam, sebatan itu bukan semata-mata sebagai denda tetapi juga sebagai pengajaran. Oleh kerana itu Islam mengajar sebat itu dihayun tidak lebih daripada bahu, tidak nampak ketiak, dan pukulan itu dibuat bukan di satu tempat semata-mata tetapi di pelbagai tempat agar pukulan itu tidak mencederakan. Berlainan dengan hukuman berdasarkan peraturan barat yang memukul di satu tempat sehingga meluka dan mencederakan.

6. Undang - undang Islam yang begitu mudah, peraturan Islam yang begitu ringan, mengapa tidak dilaksanakan sehingga hari ini? Kartika meminta supaya hukuman itu dijalankan ke atasnya, yang mana hukuman sebat ini tidak pernah berjalan dalam negara kita walaupun sudah 2 perintah mahkamah dalam 2 kes dijatuhkan hukuman sebat tetapi tidak pernah dilaksanakan oleh kerajaan. Sesungguhnya dengan pendirian Kartika ini akan menyebabkan hukuman sebat dilaksanakan di seluruh negara melalui mahkamah syariah yang juga membuka jalan kepada penyempurnaan hukum hudud. Kartika ini mengerti dan bersama-sama dengan bapa beliau mempertahankan penerimaan hukum sebat ini tetapi mengapa sampai hari ini mahkamah tidak melaksanakannya? Mengapa kerajaan tidak menyokong perlaksanaan hukuman ini? Mengapa menyekat dan menghalang hukum sebat ini sedangkan hukum gantung sampai mati yang jauh lebih kejam boleh dibuat tetapi hukum Islam yang begini ringan tidak dilaksanakan. Orang islam dalam negara ini mesti bertanya soalan ini jika tidak Allah akan mempersoalkannya di akhirat kelak.

7. Jawapannya mudah; ini adalah kerana dasar perundangan negara kita adalah dasar sekular yang menolak undang - undang agama menjadi sebagai panduan dalam melaksanakan hukum. Apabila ia bertembung dengan undang - undang sivil, maka dalam negara sekular, undang - undang agama akan ditolak dan undang - undang sivil akan diterima. Pemerintah negara kita berbolak balik, bermain silap mata dalam melaksanakan syariat Allah kerana mereka setia dengan sekutu sekutu barat mereka.

* Kuliah Dhuha Al Fadhil Ustaz Zulkifli diadakan secara berkala setiap hari Ahad di tempat dan masa yang sama. Semua dijemput hadir.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59