Tuesday, 29 September 2009

Ali Rustam Dungu Membuat Kenyataan


Kenyataan balas dari kenyataan akhbar Dato’ Ali Rustam, Sinar Harian MNS2 bertarikh 28/09/09

Dari Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka,Kenyataan dibuat oleh Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Khairul Che Salleh.

Pemuda PAS Melaka mengecam kenyataan Mohd Ali Rustam sebagai menangguk di air yang keruh ekoran daripada kenyataan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat terhadap Ibrahim Ali. Ekoran daripada kenyataan yang dibuat oleh Mohd Ali adalah amat jelas sekali bahawa tuduhan itu hanya menonjolkan lagi kelemahan beliau sekaligus membuktikan UMNO memang berminat kepada pemimpin yang korup.

“ Soal pembangunan yang dinyatakan oleh Mohd Ali sebenarnya itulah yang bersifat retorik , apa makna pembangunan ketika disaat ini rakyat terpaksa berhadapan dengan tekanan perbelanjaan yang tinggi sehinggakan mengheret rakyat menjadi hamba dunia tanpa memikirkan kesejahteraan hidup bersama keluarga dan bermasyarakat dan saya hairan melihat disaat beliau memperlekeh kenyatan Mursyidul Am beliau seolah terlupa bahawa beliau sendiri memiliki kredibiliti yang teruk dengan isu rasuahnya , salah laku pengurusan pentadbiran serta terlampau banyak pembaziran dana kerajaan yang diperolehi dari rakyat untuk ‘projek’ yang’ diprojekkan’ oleh syarikat yang berkepentingan .”

Oleh yang demikian Pemuda PAS Melaka amat menyokong dengan kenyataan Tuan Guru yang menyifatkan "Tua apa salahnya, kalau muda pun hanya sampah apa guna?" dan sekaligus mengingatkan bahawa yang sepatutnya melepaskan jawatan bukan Tn Guru Nik Aziz sebagai menteri besar sebaliknya beliau (Mohd Ali) yang mesti mengosongkan kerusi ketua menteri Melaka dengan segera bagi membolehkan kerajaan negeri ditadbir oleh orang yang lebih berintegriti .

Pemuda PAS Melaka juga menasihatkan dan mencabar Ibrahim Ali supaya melepaskan segera jawatan Ahli Parlimen Pasir Mas berikutan sikap beliau yang menonjolkan berlawanan dari dasar-dasar yang telah galas oleh PAS dalam urustadbir kerajaan di Negeri Kelantan dan jika beliau merasakan beliau mampu membeli rakyat Pasir Mas dengan retorik pembangunan ayuh silakan untuk memasuki pentas Pilihan Raya bagi membolehkan rakyat menentukan yang mana ikhlas untuk mewakili rakyat.

Sumber: http://kijang59.blogspot.com


Saturday, 19 September 2009

Ucapan Raya



Kami dari Pemuda PAS Bukit Katil Megucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin


Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin dari:

Ketua Pemuda, Puhat B Bedol
Timbalan Ketua Pemuda, Nazri Arifin
Naib Ketua Pemuda, Ustaz Hj.Abu Bakar Ramle
Setiausaha, Nur Amin Abd Wahid
Bendahari, Sazalin Bin Abd Muttalib
Ketua Penerangan, Jauhar Bin Mohd Dawi
Ketua Lajnah Perpaduan Nasional, Ust.khairul Bin Che Salleh
Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Ahmad Rafa'i Hassan
Ketua Lajnah Kerajaan dan Swasta, Sufian Bin Sahat
Ketua Lajnah Teknologi Maklumat, Bakhtiar Bin Basar
Timb. Ketua Lajnah Kebajikan dan Masyarakat, Ahmad Fauzi Bin Mohd Yatim
Ketua Lajnah Sukan Dan Seni Budaya, Aizuddin Bin Hj. Karim
Ketua Jab.Pembangunan Remaja dan Mahasiswa, Mohd firdaus Bin Abd.Hadi
Timb. Ketua Jab.Sukan Dan Seni Budaya, Ghazali Bin Othman
Ketua Lajnah Tarbiyyah, Ustaz Nor Khairi
Timb. Ketua Lajnah Tarbiyyah, Ustz Taufik Rizal
Ketua Lajnah Dakwah, Tuan Haji Reezal Idris
Timb. Ketua Jabatan PASTI, Abu Khir Abu Bakar
dan
Unit Media, kijang59 dan Single Breath

oleh: kijang59


Pemuda PAS Melaka Di Melaka Sentral




Semalam 17 September 2009, saff kepimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka turun padang bersempena dengan kehadiran aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi. Kehadiran mereka di terminal bas di Melaka Sentral disambut baik oleh penumpang dan perantau yang ingin balik ke kampung untuk meraikan hari raya.

Pengagihan dilakukan setelah waktu berbuka puasa yang mana melibatkan hampir 40 orang pemuda PAS dari kawasan Bukit Katil, Alor Gajah dan Jasin. Antara mereka yang turut hadir adalah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, Yuhaizad Abdullah, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, Zakhwan dan Setiausaha, Yuzi Azhar. Selain itu turut hadir exco Dewan Pemuda PAS, Khairul Che Salleh.

Bagi kawasan Bukit Katil diwakili oleh Ketua Pemuda PAS Bukit Katil, Puhat Bedol bersama dengan timbalannya, Nazri Ariffin serta turut dibantu oleh Setiausaha, Nur Amin Wahid dan Bendahari, Sazalin. Bagi kawasan Jasin diketuai oleh Ketu Pemuda Jasin, Aminuddin dan bagi Alor Gajah diketuai oleh Nazim.

Pengagihan dilakukan bagi perjalanan ke Pantai Timur dan Utara yang mensasarkan kepada 9 buah bas ekspress. Disamping itu, perutusan aidilfitri disampaikan kepada perantau sebagai peringatan sebelum menjelmanya perayaan aidilfitri.

Program tersebut berakhir jam 10 malam setelah pengagihan dilakukan kepada penumpang bas yang menuju ke utara dan pengagihan kepada bas yang menuju ke pantai timur jam 8 malam. Rata-rata penumpang dan pemandu bas menyambut baik dengan aktiviti yang dilakukan oleh pihak PAS dan mereka berharap agar program yang murni ini dapat diteruskan sampai bila-bila.

sumber: http://kijang59.blogspot.com


Monday, 14 September 2009

Dewan Pemuda Bukit Katil Meraikan Anak - anak Yatim


D
ewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil meraikan kira-kira 35 orang anak yatim dan keluarga mereka pada majlis penyampaian sumbangan hari raya Sabtu lalu.

Program anjuran bersama dengan PAS Cawangan Taman Cempaka tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Selain dari sumbangan dari Dewan Pemuda, anak-anak yatim juga menerima sumbangan ikhlas dari orang perseorangan dan pihak swasta yang sudi menyumbangkan infak melalui Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan, Puhat Bedol berkata sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban anak-anak yatim dan keluarga mereka bagi menyambut Hari Raya Aidil Fitri beberapa hari lagi.

“Anak-anak yatim diberikan sumbangan berupa duit raya yang berjumlah kira-kira RM100 seorang, kuih-kuih dan lain-lain barangan”.

“Bagi pihak Dewan Pemuda saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang moga-moga mereka semua akan mendapat balasan dari Allah S.W.T dan segalanya dikira sebagai amalan mulia khususnya di bulan Ramadhan ini” kata Puhat.

Puhat berkata program ini akan diteruskan dari masa ke semasa tidak mengira masa dan keadaan.
“Kita akan hulurkan bantuan jika kita mempunyai dana dan sumbangan dari orang ramai. Kita faham anak-anak yatim dan rakyat yang susah mesti sentiasa di bela oleh semua pihak”

“Tidak ada gunanya kita hidup senang lenang dan penuh nikmat tetapi orang-orang susah dan bernasib malang disekeliling kita diabaikan”.

Sementara itu Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil, Haji Ali Sharif dalam kenyataannya memgucapkan tahniah diatas keprihatinan dan kesungguhan Dewan Pemuda menggerakkan program kebajikan seumpama ini.

“Program sebegini mesti diteruskan dari masa ke semasa kerana kita yakin masih ramai lagi rakyat di negeri Melaka dan kawasan BUkit Katil ini yang susah dan perlukan bantuan”.

“PAS mesti berusaha sedaya upaya dengan sedikit kemampuan yang ada bagi meringankan beban mereka ini” ujar Haji Ali ketika ditemui pada majlis tersebut.

Program meraikan anak yatim tersebut dimulakan dengan tazkirah dan ucapan pimpinan PAS Kawasan. Seterusnya anak-anak yatim menerima sumbangan dan berbuka puasa dan diakhiri dengan solat tarawikh. Program tersebut diserikan lagi dengan kehadiran ADUN Ayer Keroh, YB Khoo Poay Tiong dan pimpinan PAS Kawasan dan dewan-dewan.


sumber : http://mutaligat.blogspot.com/


Thursday, 10 September 2009

Memorandum Bantahan Terhadap Aktiviti Penyembelihan Babi di Pusat Penyembelihan Haiwan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kompleks Abatoir, Ayer Keroh


B
erhubung dengan artikel di dalam akhbar Harakah bertarikh 17 – 20 Ramadan 1430 / 7 – 10 September 2009 di bawah tajuk ‘ Melaka Sembelih Lembu dan Babi di Satu Tempat ‘ , Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil ( DPPBK ) dengan penuh rasa tanggungjawab menggesa pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Melaka segera bertindak menghentikan aktiviti menyembelih babi di Kompleks Abatoir Ayer Keroh.

Antara laporan di dalam akhbar Harakah tersebut menyebut :

- Pusat penyembelihan itu menjalankan kerja – kerja penyembelihan lembu dan babi di tempat yang cuma dipisahkan oleh tembok yang rendah. Babi dibawa masuk melalui kawasan lembu yang dikumpulkan dan melalui pintu yang sama.
- Kelihatan seorang pekerja sedang memandikan babi yang kemungkinan besar tempias atau apa sahaja bahan bawaan daripada babi boleh terkena lembu.
- Pintu pagar hadapan ditutup dan urusan rumah penyembelihan menggunakan laluan dari pintu pagar belakang yang agak sunyi. Keadaan pintu pagarnya yang ditutupi dengan semak samun mengundang kepada keraguan dan persoalan tentang aktiviti yang dijalankan di dalam kompleks tersebut.

DPPBK dengan ini menyeru supaya pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar tampil untuk membuat penjelasan tentang status rumah penyembelihan di kompleks tersebut, yang didakwa tidak mendapat sijil kelulusan halal kerana beberapa sebab yang meragukan. DPPBK dengan kesedaran yang tinggi terhadap sensitiviti umat Islam khususnya di Negeri Melaka memandang berat pendedahan yang dibuat oleh Harakah baru – baru ini dan mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengatasi isu yang dibangkitkan ini.



20 Ramadan 1430 / 10 September 2009

Muhamat Puhat Bedol

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil


Melaka sembelih lembu dan babi di satu tempat


M
ELAKA : ‘ 1 Malaysia, satu pusat penyembelihan’ agaknya cogan kata yang paling sesuai bagi menggambarkan situasi sebenar yang terjadi di pusat penyembelihan utama negeri Melaka sejak puluhan tahun lalu.

Pusat penyembelihan itu menjalankan kerja – kerja penyembelihan lembu dan babi di tempat yang sama. Pusat penyembelihan bagi haiwan ruminan iaitu lembu atau kambing di Jabatan Perkhidmatan Veterinar , Kompleks Abatoir,Ayer Keroh,dekat sini juga dimaklumkan tidak mendapat kelulusan sijil halal kerana beberapa faktor meragukan


Haiwan tersebut dibawa masuk melalui pintu yang sama dan tempat penyembelihannya cuma dipisahkan oleh satu tembok yang rendah. Setiap kali babi dibawa keluar atau masuk ianya akan melalui kawasan kandang lembu yang dikumpulkan untuk disembelih.

Lokasi penyembeliha babi itu betul-betul terletak di tepi jalan Ayer Keroh Lama di mana ianya dianggarkan dalam jarak kurang 20 meter daripada jalan raya. Ia terletak berhadapan pintu masuk pusat tahanan Dusun Dato’ Murad serta pagarnya ditutupi dengan semak-samun supaya tidak kelihatan daripada luar.

Tinjauan Harakah juga mendapati pintu pagar hadapan ditutup dan urusan rumah penyembelihan itu menggunakan laluan dari pintu pagar belakang yang agak sunyi. Terdapat kawasan penternakan burung unta di depan Jabatan Veterinar berhadapan Kota Fesyen Melaka International Trade Centre ( MITC ).

Ketika tinjauan dibuat, kelihatan seorang pekerja sedang memandikan babi dan memandangkan tempat penyembelihan babi agak tinggi berbanding tempat penyembelihan lembu, tempias atau apa sahaja bahan bawaan daripada babi akan mengenai lembu serta kawasan sekitarnya.

Menurut sumber yang tidak mahu dikenali, perkara tersebut telah dibangkitkan bebeapa kali tetapi dihalang oleh pemimpin kerajaan negeri kononnya untuk menjaga sensitiviti kaum.

“ Saya rasa bersalah sekiranya tidak menghebahkan kepada rakyat Melaka khususnya orang Islam kerana lembu yang disembelih itu dipasarkan kepada mereka sedangkan status halal dan tahap kebersihannya diragui,” kata beliau.

*artikel dipetik daripada HARAKAH keluaran 17 – 20 Ramadan 1430 / 7 – 10 September 2009


Kerosakan Pasar Melaka Sentral Serius


M
ELAKA : “ Rumah siap, pahat berbunyi…” itulah keadaan yang menimpa Pasar Besar Melaka Sentral yang mengalami pelbagai masalah kerosakan dan keretakan di sana – sini disebabkan struktur bangunan yang tidak seragam akibat kerja tanah dan penanaman cerucuk yang kurang memuaskan.

Adun Bachang, Lim Jak Wong, mempertikaikan mengapa kos baik pulih pasar tersebut ditanggung oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah ( BMBM ) sedangkan pemaju pembinaan yang sepatutnya menanggung segala kos tersebut.

Malah katanya, MBMB juga terpaksa menanggung kos penyelenggaraan elektrik dan infrastruktur yang tinggi iaitu sebanyak RM 161,045 bai 2007 dan RM 127,362 dari Januari hingga September 2008 apabila ianya diserahkan oleh Pengurusan Melaka Sentral kepada MBMB bermula 1 Mac 2007.

Dan “ Saya dimaklumkan di dalam persidangan Dun bahawa kos baik pulihnya sebanyak RM3.9 juta dan dijangka siap pada Julai 2009 tapi saya lihat kerja – kerja telah dihentikan Julai lalu dan dimulakan semula baru-baru ini.

“ Persoalannya sekarang adakah kerja yang baru itu berlainan daripada kerja baik pulih asal? Sekirana lain, apakah kosnya juga lain?” katanya kepada media semasa melawat lokasi terbabit sambil ditemani Exco Pemuda PAS Melaka, Khiru Che Salleh.

Beliau kesal kerana MBMB menanggung kos baik pulih itu melalui wang pembayar cukai yang sepatutnya digunakan untuk menjaga kebajikan rakyat yang kurang berkemampuan khususnya di negeri Melaka.

Menurut beliau, kerja – kerja pembaikan yang dilakukan itu hanyalah baik pulih kosmetik di bahagian luar bangunan tanpa menumpukan kepada punca sebenar kerosakan yang dialami.

Tambahnya, perhatian perlu diberikan kepada cerucuk bangunan pasar itu kerana jika sekiranya tidak dibaiki dengan segera masalah keretakan akan berulang dan menjadi lebih serius lagi.

Pasar itu mula dibina pada 16 Disember 2002 dan siap pada 30 April 204 dengan harga RM19.5 juta oleh Syarikat Technochase Sdn. Bhd.

Mula beroperasi pada 15 Mei 2004 setelah pasar besar lama di Jalan Tun Ali ditutup dan para peniaganya diarah berpindah ke sini. Sebelum ini, kajian dijalankan Institut Kerja Raya Malaysia ( IKRAM ) mendapati tanah tapak pembinaan pasar itu tidak padat dan mendap sebanyak 3 sentimeter selama lima tahun dan akan mencapai kepadatan sehingga tahun 2032.

IKRAM juga mencadangkan sama ada pasar itu dibina semula dengan kos RM17 juta atau dibaiki dengan kos RM10 juta.

*artikel dipetik daripada HARAKAH keluaran 17 – 20 Ramadan 1430 / 7 – 10 September 2009


Sunday, 6 September 2009

Tazkirah Ramadan


K

uliah Dhuha Al Fadhil Ustaz Haji Zulkifli Ismail, Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Melaka

Tempat : Baitul Qura', Paya Rumput, Sungai Udang, Melaka
Tarikh : 16 Ramadan 1430, Ahad 6 September 2009
Masa : 10.00 - 11.30 pagi


Antara isi kandungan kuliah ( yang diolah semula secara bebas ) :

1. Umat islam wajib menjunjung syariat dan perintah Allah, tetapi sebaliknya apabila datang undang-undang daripada barat, peraturan yang tidak menepati dengan apa yang dinyatakan oleh Allah dalam Al-Quran, umat islam tidak menentangnya dengan bersungguh-sungguh. Akhirnya peraturan itu dilaksanakan, arak dihalalkan, ramai manusia menjadi mabuk, menyebabkan ramai yang terkorban, terbunuh dengan sebab arak yang dihalalkan itu tadi. Susulan daripada ini pelbagai-bagai jenis maksiat berleluasa dan menggalakkan lagi berlakunya jenayah yang keji dan kejam yang adakalanya berakhir dengan pembunuhan.

2. Daripada dadahnya, ecstacynya, pil kudanya dan macam-macam lagi yang menjerumuskan orang islam di tanah air kita kepada suatu jenayah yang juga ianya merupakan suatu perbuatan yang mengakibatkan pertumpahan darah, kehancuran dan kemusnahan rumah tangga. Kenapa menjadi begini? Kerana kita tidak tegah penularan arak yang akhirnya ia menyelinap dalam masyarakat, mendapat tempat dan akhirnya menjadi duri dalam daging. Begitu juga judi dihalalkan, maka judi menjadi punca pembunuhan; gejala along, rompakan dan macam-macam lagi dengan sebab ketagihan judi. Orang berjudi ini keseronokannya pada bukan lagi kemenangan dalam perjudian, tetapi keseronokannya dirasai apabila setiap kali berjudi. Sebab itu kita dapat melihat ramai orang kalah berjudi tetapi tetap berhutang demi meneruskan niatnya untuk berjudi.

3. Allah Taala berfirman agar kita tegah perkara ini, dan tegas dalam persoalan menegakkan hukum dan syariatNya. Perintah ini tidak kita patuhi. Sejak kita merdeka, kita mengambil jalan untuk menggunakan perundangan barat yang menghalalkan apa yang diharamkan Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah. Walaupun tidak semua, tetapi cukup dengan sebahagian itu sahaja perbuatan itu membawa kebinasaan yang besar di dalam masyarakat pada hari ini. Apabila kita menyokong perundangan yang datang daripada barat yang menghalalkan judi dan arak serta pelbagai perkara lain yang ditegah antaranya mendekati zina, semakin lama kita akan semakin jauh dengan hukum hakam dan ajaran Al Quran. Kalau kita ketika waktu merdeka yang lalu mengambil sikap yang tegas, menentang penyimpangan dalam perundangan yang membawa kepada menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah itu, sudah tentu kejadian buruk pada hari ini tidak akan berlaku.

4. Apabila ada sebahagian daripada umat islam mempertahankan dasar perundangan Inggeris, ianya menyebabkan umat Islam menjadi berpecah yang akhirnya golongan asing mengambil kesempatan. Perkara ini tidak dapat diselesaikan melainkan umat Islam mesti bersatu padu di bawah panji-panji Al Quran tetapi tidak boleh kita bersatu melainkan golongan yang menghalalkan judi dan arak tadi kembali kepada syariat Allah. Punca kepada masalah dalam negara kita pada masa ini adalah golongan yang menegakkan dasar sekular inilah yang menyebabkan umat islam terjurumus dalam lembah dosa yang besar.

5. Kita lihat dalam masalah Kartika; sebatan yang dikenakan bukan banyak pun, 6 sebatan sahaja walhal ada ibu bapa yang 'menyebat' anak-anak mereka yang nakal lebih daripada itu. Sebatan itu adalah berdasarkan syariat Islam, bukan berdasarkan peraturan barat yang menghendaki tangan yang menghayun sebat itu diangkat tinggi sehingga atas kepala. Mengikut peraturan barat, rotan yang digunakan pula direndam sehingga menjadi basah dan keras yang apabila kena pada kita, kulit akan tercabut. Tetapi dalam islam, sebatan itu bukan semata-mata sebagai denda tetapi juga sebagai pengajaran. Oleh kerana itu Islam mengajar sebat itu dihayun tidak lebih daripada bahu, tidak nampak ketiak, dan pukulan itu dibuat bukan di satu tempat semata-mata tetapi di pelbagai tempat agar pukulan itu tidak mencederakan. Berlainan dengan hukuman berdasarkan peraturan barat yang memukul di satu tempat sehingga meluka dan mencederakan.

6. Undang - undang Islam yang begitu mudah, peraturan Islam yang begitu ringan, mengapa tidak dilaksanakan sehingga hari ini? Kartika meminta supaya hukuman itu dijalankan ke atasnya, yang mana hukuman sebat ini tidak pernah berjalan dalam negara kita walaupun sudah 2 perintah mahkamah dalam 2 kes dijatuhkan hukuman sebat tetapi tidak pernah dilaksanakan oleh kerajaan. Sesungguhnya dengan pendirian Kartika ini akan menyebabkan hukuman sebat dilaksanakan di seluruh negara melalui mahkamah syariah yang juga membuka jalan kepada penyempurnaan hukum hudud. Kartika ini mengerti dan bersama-sama dengan bapa beliau mempertahankan penerimaan hukum sebat ini tetapi mengapa sampai hari ini mahkamah tidak melaksanakannya? Mengapa kerajaan tidak menyokong perlaksanaan hukuman ini? Mengapa menyekat dan menghalang hukum sebat ini sedangkan hukum gantung sampai mati yang jauh lebih kejam boleh dibuat tetapi hukum Islam yang begini ringan tidak dilaksanakan. Orang islam dalam negara ini mesti bertanya soalan ini jika tidak Allah akan mempersoalkannya di akhirat kelak.

7. Jawapannya mudah; ini adalah kerana dasar perundangan negara kita adalah dasar sekular yang menolak undang - undang agama menjadi sebagai panduan dalam melaksanakan hukum. Apabila ia bertembung dengan undang - undang sivil, maka dalam negara sekular, undang - undang agama akan ditolak dan undang - undang sivil akan diterima. Pemerintah negara kita berbolak balik, bermain silap mata dalam melaksanakan syariat Allah kerana mereka setia dengan sekutu sekutu barat mereka.

* Kuliah Dhuha Al Fadhil Ustaz Zulkifli diadakan secara berkala setiap hari Ahad di tempat dan masa yang sama. Semua dijemput hadir.


Program Bersama Mahasiswa


15 Ramadan 1430, Sabtu 4 Julai 2009 - Bertempat di Balai Islam Taman Cempaka, Dewan Pemuda PAS Bukit Katil ( DPPBK ) melalui Jabatan Pembangunan Remaja dan Mahasiswa
telah berjaya mengadakan program bersama mahasiswa bermula pada 3.30 petang sehingga waktu berbuka puasa . Program yang bertujuan untuk merapatkan hubungan dengan adik - adik mahasiswa dan mahasiswi yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Institusi Pendidikan Tinggi ( IPT ) di sekitar negeri Melaka ini telah berjaya mengumpulkan wakil mahasiswa dan mahasiswi seramai 20 orang. Bermula dengan ucapan alu - aluan oleh Ketua Jabatan Pembangunan Remaja dan Mahasiswa DPPBK saudara Aizat, program disusuli kemudian dengan ucapan oleh saudara Puhat Bedol merangkap Ketua DPPBK. Pengisian utama program ini adalah sesi pembentangan kertas kerja oleh saudara Abdullah dan Ustaz Khairul Che Salleh. Diharap dengan adanya program seperti ini, hubungan baik yang terjalin antara DPPBK dengan mahasiswa di negeri Melaka ini akan terus berkekalan, dan kefahaman mahasiswa terhadap isu - isu semasa terutamanya berkaitan politik tempatan dan tanahair akan lebih jelas dan mendalam. .




Friday, 4 September 2009

Usrah Pemuda Bukit Katil disertai YB DAP


sumber : http://mutaligat.blogspot.com/


ADUN Ayer Keroh, YB Khoo Poay Tiong bukan sahaja menghadiri program kemasyarakatan bersama rakyat malah turut juga menghadiri majlis usrah anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil.
Minggu lalu beliau telah menghadiri program usrah dwimingguan Dewan Pemuda PAS bertempat di rumah Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil, Puhat Bedol di Taman Jati, Batu Berendam.

Ketika ditemui YB Khoo berkata beliau ingin mendalami ilmu Islam yang sememangnya sesuai untuk semua kaum tanpa mengira agama dan tempat.


"Saya memang minat untuk mengetahui serba sedikit tentang agama Islam kerana ia adalah agama rasmi negara kita, kawan-kawan saya memang ramai orang Melayu tetapi sebelum ini saya tidak ada kesempatan untuk mendalaminya".

"Dengan kesempatan berkawan bersama orang PAS saya kira ini peluang terbaik untuk saya mempelajari serba sedikit tentang Islam lebih-lebih lagi saya sebagai Wakil Rakyat memang patut tahu kerana dalam Dewan Undangan Negeri banyak isu Islam di bahaskan" ujar Khoo.


Khoo berkata acapkali Sidang DUN Melaka membahaskan isu berkaitan dengan Islam tetapi beliau tidak dapat mengambil bahagian kerana tidak memahami asas-asas Islam. "Kalau saya ada sedikit ilmu tentang Islam sudah tentu saya senang untuk faham dan mungkin boleh sama-sama berbahas dalam isu tersebut" tambah Khoo.

Sementara itu Ketua Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil, Khairul Che Salleh menyambut baik kesedian YB Khoo Poay Tiong untuk bersama-sama menyertai Usrah Dewan Pemuda PAS Bukit Katil.

"Kita tiada halangan kerana Islam memang sesuai untuk semua itu sebab slogan kita 'PAS FOR ALL".

"Kita memang mengalu-alukan kehadiran beliau dan memberikan peluang sepenuhnya kepada beliau memberikan pandangan dan idea dalam usrah kita" tambah Khairul.

Pendapat Khairul dipersetujui oleh Ketuanya Puhat Bedol yang turut sama menjemput YB Khoo pada setiap kali usrah dan program-program lain.

"Pemuda akan sentiasa menjemput YB Khoo untuk bersama-sama dengan kita dalam apa juga program kemasyarakatan dan seumpamanya bagi menggerakkan jentera Pakatan Rakyat Melaka dalam usaha kita mendekati rakyat".

"PAS, DAP dan PKR mempunyai matlamat perjuangan yang sama iaitu menegakkan keadilan dan kebajikan di samping matlamat utama parti masing-masing, jadi tidak ada sebab untuk kita tidak boleh menggerakkan program bersama dengan lebih serius dan bersungguh-sungguh" ujar Puhat.


Berhiburlah Tapi Jangan Berlebihan



A
ntara peranan Dewan Pemuda PAS khususnya Pemuda PAS Bukit Katil ( DPPBK ) dalam arena dakwah adalah menggalakkan hiburan yang tidak melalaikan, yang pada asasnya tidak dapat mestilah tidak mengambil kira faktor yang pelbagai seperti senikata, rentak lagu dan lirik. Masa dan tempat berhibur juga harus dipertimbangkan supaya sesuai dengan keadaan.

Hiburan yang mempunyai unsur 'lagha' yang mempunyai penerapan elemen tidak sihat antaranya pergaulan bebas lelaki dan wanita tanpa batasan, tidak mengira masa dan tempat serta menyalahi adat dan adab yang dianjurkan oleh islam dan budaya ketimuran akan mengakibatkan keruntuhan moral di kalangan umat terutamanya golongan belia. Oleh kerana ini DPPBK menyokong penuh gesaan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka dan Dewan Pemuda PAS Pusat yang membantah konsert Micheal Learn To Rock yang akan diadakan di dalam bulan Ramadan yang penuh barakah ini. Penjelasan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat di dalam blognya amat munasabah serta menarik untuk direnungi dan harus dipandang serius terutamanya oleh pihak berkuasa. Ikuti tulisan beliau di link ini

http://episodeperjuangan.blogspot.com

Berita berkaitan di Harakahdaily http://www.harakahdaily.net


Wednesday, 2 September 2009


B
ersempena dengan kedatangan Ramadan Al-Mubarak tahun ini Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil ( DPPBK )menyusun pelbagai program untuk mendekati masyarakat sebagai satu aktiviti berterusan dalam usaha dakwah dan siasah. Ini berikutan kata sepakat yang telah diambil secara berjemaah di kalangan saf pimpinan yang mahukan sedikit pembaharuan di mana berbanding dengan Ramadan pada tahun - tahun sebelum ini, aktiviti DPPBK tidak akan turut 'berpuasa' di bulan Ramadan, malah akan terus - menerus mengadakan program seperti biasa. Kedatangan bulan yang mulia ini tidak akan menjadi penyebab kepada DPPBK untuk berhenti daripada menjalankan aktiviti, malah ianya akan menyemarakkan semangat juang dan jihad dalam menegakkan kalimah Allah di bumi Melaka tercinta ini.

Antara aktiviti yang diatur adalah :

Program Mengedarkan Jalur Gemilang & Risalah percuma bersama Pakatan Rakyat.
Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak - anak Yatim.
Program beramah mesra dengan Mahasiswa.
Menjadi Tuan Rumah kepada Majlis Berbuka Puasa bersama Dewan Pemuda PAS Pusat dan bersama memberi sumbangan kepada beberapa keluarga daif sekitar Bukit Katil
Menjadi penganjur bersama Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka dalam program Secangkir Kopi Setulus Ingatan


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59