Tuesday, 7 April 2009


Bandar Hilir - Muktamar Dewan Pemuda Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil ( DPPBK ) kali ke 5 telah berjaya dijalankan dengan sempurna pada 5 April 2009 bersamaan 9 Rabiulakhir 1430. Mesyuarat ini yang telah dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Al-Fadhil Ustaz Kamaruddin Bin Haji Sedik buat julung-julung kalinya telah diadakan di sebuah hotel bertempat di Bandar Hilir, Melaka.

Di dalam ucapan perasmiannya, Ustaz Kamaruddin Hj. Sedik menyentuh tentang kepentingan para perwakilan pemuda dari cawangan-cawangan seluruh Bukit Katil memilih saf kepimpinan yang benar-benar jitu dan berketerampilan bagi memastikan gerak kerja yang berterusan. Berbanding dengan kawasan – kawasan lain di negeri Melaka ini, DPPBK berdepan dengan suasana bandar di mana kebanyakan elit Umno negeri Melaka dilahirkan. Oleh itu DPPBK tidak mahu tidak harus terkehadapan dan bijak mengambil kesempatan atas kelemahan Umno Bahagian Bukit Katil lebih – lebih lagi setelah kes politik wang semasa Perhimpunan Agong Umno baru – baru ini yang melibatkan 4 orang yang kesemuanya dari Bahagian Bukit Katil.

Ustaz Kamaruddin juga menegaskan tentang kepentingan DPPBK mempunyai kekuatan yang ampuh bagi menghadapi Ketua Menteri Melaka yang juga dari kawasan Bukit Katil. Saingan mesti ditunjukkan, bukan sahaja terhadap seteru politik malah juga kepada kawan di dalam Pakatan Rakyat sendiri. Sambil membuat perbandingan kepada rakan seperjuangan Parti Keadilan Rakyat yang lebih muda penglibatannya dalam politik, beliau menasihati agar faktor umur jangan sesekali dijadikan alasan untuk tidak berjuang. Jangan sesekali menunggu usia melebihi 30 an baru ingin terjun berjuang dalam jemaah pemuda.

Sesi pembentangan Minit Mesyuarat dan Laporan Aktiviti Tahunan serta Laporan kewangan agak hidup dengan soal jawab dan perbahasan dari para perwakilan dan AJK. Pengerusi Tetap telah berjaya memainkan peranan beliau dengan mengendalikan Muktamar dengan licin dan menghiasinya dengan nasihat-nasihat yang amat berharga selaku orang yang pernah terlibat dalam saf kepimpinan pemuda suatu masa dahulu.

Mesyuarat Agong kali ini juga telah melibatkan pembubaran AJK DPPBK sesi 2007/2009 dan pemilihan AJK baru untuk sesi 2009/2011. Hasil daripada undian yang telah dijalankan, para perwakilan secara majoritinya telah melantik saudara Puhat Bin Bedol sebagai Ketua DPPBK yang baru, saudara Nazri Ariffin sebagai Timbalan Ketua DPPBK dan Ustaz Abu Bakar Ramli sebagai Naib Ketua DPPBK. Semoga saf kepimpinan baru ini dapat menjana dan menggarap kekuatan DPPBK sebagai tenaga utama kepada PAS Kawasan Bukit Katil ke arah memenangi pilihanraya yang akan dating.

Laporan oleh Ahli Pondok Parit Ismail,
10.30 malam,
10 Rabiulawal 1430H

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59