Tuesday, 12 August 2008

ISU HANGAT BAKAL GEGARKAN MUKTAMAR PAS - Ref Malaysiakini


Muktamar PAS Pusat kali ke 54 bakal bermula malam esok dengan dimulakan oleh Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat. Setiap kali muktamar sudah tentu akan ada isu-isu hangat yang akan diperdebatkan oleh para perwakilan negeri-negeri dan dewan-dewan.
Kali ini Ipoh akan menjadi medan 'pijar' membakar semangat perwakilan lebih-lebih semangat kemenangan 8 Mac masih hijau didalam minda para perwakilan dan pemerhati.
Namun ada isu lain yang mungkin memanaskan muktamar ini. Antaranya isu muzakarah mungkin mendapat perhatian perwakilan kali ini. Walaupun isu ini sudah selesai dengan pengumuman Presiden bahawa tidak akan muzakarah yang telah dan sedang dijalankan namun dijangkakan masih ada perwakilan yang membahaskannya demi untuk mendapat penjelasan dari saf kepimpinan.
Isu kedua yang dijangka hangat ialah masalah peminggiran kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat. Ada ahli dan perwakilan yang pasti membangkitkan isu tentang layanan kerajaan Pakatan Rakyat terhadap PAS dinegeri-negeri tertentu. Di mana contohnya PAS tidak diberi jawatan Exco di Pulau Pinang, PAS dikatakan diketepikan di dalam kabinet bayangan Pakatan Rakyat dan sebagainya. Atas anggapan itu kemungkinan besar akan ada para perwakilan yang 'melompat' ketika membahaskan isu ini.
Menurut Presiden PAS lagi, pucuk pimpinan parti sedia menjelaskan mengenai kontroversi yang timbul daripada perbincangan dengan Umno itu jika dibangkitkan oleh perwakilan.

Sentimen bahawa isu muqabalah UmnoPAS bakal menghangatkan muktamar kali ini dikongsi oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Ipoh Timur Salman Salleh dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Perak Ahmad Sabki Yusof.

Salman yang juga Penolong Setiausaha Urusetia muktamar tahun ini berkata selain muqabalah, isu tentang keanggotaan orang bukan Islam terdiri penyokong bukan Islam PAS, akan turut dibahaskan dalam muktamar kali ini.

Ahmad Sabki pula menjangka kenaikan harga minyak dan pilihan raya kecil Permatang Pauh turut akan mewarnai perbahasan.

Namun, seorang anggota perwakilan yang enggan dikenali, berkata isu pertemuan PAS-Umno akan menjadi topik panas kerana mutktamar itu menjadi pentas terbaik kepada kepimpinan parti memberi penjelasan kepada akar umbi.

"Wakil dari seluruh negeri akan berhimpun bersama dengan barisan kepimpinan dan ini peluang untuk mendengar penjelasan pemimpin dan juga bagi perwakilan menyuarakan pandangan," katanya.
Pesuruhjaya PAS Perak Ahmad Awang berkata 3,000 anggota perwakilan dan pemerhati daripada 175 bahagian akan menghadiri muktamar itu, yang julung kalinya dianjurkan di Perak, negeri kelahiran PAS.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah timbalan pesuruhjaya PAS Perak.

Setiausaha Urusetia muktamar Syed Mohamad Syed Hassan pula berkata PAS Perak telah meminta agar muktamar kali ini diadakan di negeri itu bagi mengembalikan nostalgia ketika ia ditubuhkan di Gunung Semanggol, Perak.

Walaupun Abdul Hadi dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah membuat beberapa kenyataan yang meredakan sedikit isu muqabalah itu namun bahangnya masih dirasai di peringkat bawahan manakala laman blog penyokong dan pendokong PAS masih hangat membincangkan pertemuan itu.

Isunya ialah "pertemuan sulit" antara pimpinan PAS dan Umno sejurus selepas pilihan raya umum lalu.

Menurut beliau, satu perkara yang terserlah daripada isu itu ialah wujudnya dua "kumpulan" iaitu kalangan yang menganggap pertemuan itu wajar dan kumpulan yang menolak terus sebarang perbincangan dengan Umno.

Antara pandangan yang sering tersiar dalam blog tertentu penyokong PAS ialah mereka lebih rela bekerjasama dengan DAP atau mana parti politik lain dan bukannya Umno.

Sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat pendedahan tentang pertemuan beliau dengan beberapa pemimpin PAS selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas, beberapa laman blog telah menulis mengenainya sehinggakan ada pemimpin atasan PAS membuat penafian.

Ketua Penerangan PAS Mahfuz Omar memohon maaf secara terbuka terhadap penafian beliau tentang pertemuan antara PAS dan Umno itu.

Menurut Mahfuz, kenyataan itu berpunca daripada kesilapan maklumat oleh beberapa individu kepada pimpinan PAS.

Anggota Jawatankuasa PAS pusat Mohamed Hanipa Maidin dalam blognya turut menyuarakan kekecewaan terhadap pertemuan itu kerana tindakan itu boleh menyebabkan PAS menjadi sebuah parti yang sukar dipercayai pada masa hadapan.

Beliau berpendapat penyokong DAP dan PKR khususnya pengundi bukan Melayu mungkin hilang kepercayaan terhadap PAS kerana mengkhianati mereka.

Perak pula dikatakan antara negeri yang "tertekan" apabila isu kerjasama dengan Umno itu timbul, khususnya selepas Umno negeri membuat tawaran untuk membentuk kerajaan negeri Perak dengan PAS.

Namun, Mohammad Nizar menolak dengan lantang tawaran itu dan menegaskan bahawa PAS akan tetap bersama dengan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat.

"Ini melegakan ramai penyokong," kata seorang pemimpin PAS Perak.

Pilihan raya umum lepas membuktikan betapa PAS mendapat habuan besar daripada sokongan pengundi bukan Melayu, dan seperti dikatakan oleh Mohammad Nizar, kemenangan beliau di kawasan Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang adalah atas sokongan pengundi Cina dan India.
Enam kerusi yang dimenangi PAS di Perak adalah kerusi yang mempunyai 30 hingga 40 peratus pengundi bukan Melayu, dan berdasarkan sejarah pilihan raya sebelum ini, semuanya adalah kerusi selamat bagi Barisan Nasional.

Nik Abdul Aziz sendiri telah mengatakan PAS tidak akan mengecewakan sokongan yang diberikan oleh pengundi bukan Islam dan beliau telah memberi lampu hijau kepada perwakilan untuk membincangkan isu itu.

Pengumuman PAS pada 31 Julai lepas bahawa ia menolak sebarang kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan campuran, sama ada di peringkat pusat atau negeri, tetapi bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan semua pihak termasuk Umno demi kepentingan negara dan ummah, telah meredakan sedikit keadaan.

Abdul Hadi berkata PAS berpendirian untuk kekal berada dalam pakatan pembangkang dengan memainkan peranan lebih aktif dan positif selaras dengan matlamat perjuangan untuk menukar kerajaan sedia ada.

Pengumuman itu menyusul selepas Nik Abdul Aziz meredakan suasana apabila mencadangkan supaya Umno dan PAS dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam.

Seorang pemerhati merumuskan seandainya muktamar kali ini panas, suhunya tidak akan setinggi mana kerana muktamar kali ini tidak menyaksikan pemilihan parti.

Muktamar ini akan dirasmikan oleh Abdul Hadi pada Jumaat di Stadium Indera Mulia di sini manakala tiga sayap parti iaitu Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat akan mengadakan muktamar mereka secara berasingan pada Rabu dan Khamis.
Namun kami yakin ahli dan pimpinan PAS sudah matang untuk menghadapi isu ini. Jadi tidak ada yang perlu dirisaukan.
Sementara itu Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Negeri Melaka, Ustaz Khirul Che Salleh bekata mukatamar kali ini dijangka lebih hangat lebih-lebih lagi apabila Presiden PAS dipetik dari Sinar Harian sebagai berkata, PAS mungkin akan keluar dari Pakatan Rakyat jika PAS dipinggirkan di dalam kabinet kerajaan Pakatan Rakyat yang bakal ditubuhkan sebelum 16 September ini.
Ini merupakan sesuatu yang perlu diperdebatkan di kalangan pemimpin dan ahli PAS bagi mencapai satu keputusan terbaik untuk kesinambungan perjuangan Islam di negara kita.

Selamat Bermuktamar. Robohkan Rangkaian Penindas dan Penzalim.
Sumber Mstar.


KEMANA MENGHILANGNYA ZULKIFLI NORDIN - Ref Malaysiakini


Ke mana menghilang Peguam sensasi dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin. Ada yang berkata beliau bercuti, ada yang kata beliau bersembunyi malah ada yang menyatakan beliau ditahan.
Mana satu yang benar? Hanya Allah dan Zulkifli serta mungkin juga keluarga beliau yang terdekat sahaja yang mengetahuinya.
Kalau betul beliau bersembunyi atau ditahan, apa alasannya. Beliau malukah atau melakukan kesalahan. Sebelum ini tidak timbul langsung ura-ura beliau akan ditahan atau ingin bersembunyi kerana rasanya tidak apa-apa kesalahan yang beliau lakukan.
Zulkifli rasanya bukan seorang yang penakut atau pengecut. Beliau adalah antara peguam yang lantang menentang gejala murtad dan penubuhan IFC di negara ini. Beliau juga merupakan antar Peguam yang membela Anwar dalam kes liwat 1.
Hingga kini (tengahari 12 Ogos) tiada pihak dapat memastikan sejauh mana kebenaran khabar angin yang mula tersebar sejak malam kelmarin itu.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul ketika dihubungi sekali lagi kira-kira jam 6.30 petang tadi bagi mendapatkan perkembangan terbaru mengenai Zulkifli tetap menafikan khabar angin yang mengatakan Zulkifli ditahan polis.

“Dia tak ditahan (polis). Khabarnya dia (Zulkifli) kini sedang bercuti bersendirian tanpa keluarga.

“Saya tak tahu kemana dia menghilangkan diri. Tapi mungkin keluarganya tahu kemana dia pergi,” katanya.

Tambah beliau dalam hal ini beliau berharap semua pihak berlaku adil kepada polis agar tidak berterusan membuat spekulasi mengenai 'kehilangan' Zulkifli.

"Jangan kita menuduh polis tentang sesuatu perkara yang tidak tepat. Percayalah beliau tidak ditahan polis," katanya.

Johari memberitahu beliau mendapat maklumat tersebut daripada keluarga Zulkifli sendiri dan berharap agar media tidak ‘mengganggu’ mereka sekeluarga.

Tambah Johari, keluarga Zulkifli tidak membuat sebarang laporan polis mengenai misteri ‘kehilangannya’ kerana mereka tahu kemana beliau ‘bercuti’.

Bagi Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika dihubungi turut buntu dengan situasi ketika ini.

“Masih tiada perkembangan yang diperolehi. Khabar angin makin berterusan hingga ke hari ini,” katanya.

Beliau juga gagal untuk menghubungi Zulkifli dan ahli keluarganya bagi mengetahui kedudukan sebenar.

Usaha sebuah akhbar Online untuk menjejaki Zulkifli juga masih gagal kerana telefon bimbitnya tidak diaktifkan sejak dua hari lalu.

Kali terakhir beliau muncul di khalayak ramai ialah pagi kelmarin di ibu negara ketika menyertai perhimpunan membantah forum anjuran Majlis Peguam.

Sementara itu semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menyifatkan berita itu sebagai khabar angin semata-mata.

Beliau menafikan berita yang tersiar dalam beberapa laman blog mengenai penahanan Zulkifli di bawah ISA.
"Mana ada beliau ditahan? Ini semua khabar angin dan ini merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab oleh segelintir pihak yang sengaja buat spekulasi.

"Polis akan siasat laman blog yang menyiarkan berita berkenaan dan harap orang ramai tidak terpengaruh dengan khabar angin sedemikian," katanya.

Blog berkenaan memberitahu Zulkifli dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditahan di Kulim kira-kira jam 10 malam kelmarin dan tiada maklumat lanjut mengenai ke mana beliau dibawa polis.

Pada 29 September 1998, Zulkifli, 46, pernah ditahan di bawah ISA selama 60 hari kerana terlibat dalam gerakan reformasi bersama Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59