Wednesday, 16 July 2008

ANWAR DITAHAN


Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah ditahan diluar rumahnya pada jam 12.55 tengahari sebentar tadi.

Laporan Penuh oleh Malaysiakini

Polis menahan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar rumahnya di Segambut Dalam dan dibawa ke ibu pejabat polis Kuala Lumpur tengahari ini.Beliau ditahan sekumpulan anggota polis, termasuk yang bertopeng dan berjaket - dipercayai Bahagian Jenayah Berat, kira-kira sejurus tiba dari Putrajaya selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya.

Menurut peguam R Sivarasa, pihak polis telah menunggu kepulangan Anwar dan sebaik sahaja tiba, mereka membawa mantan timbalan perdana menteri itu, ke dalam kereta polis bercermin gelap dan membawanya ke IPK Kuala Lumpur.Anwar tiba di IPK Kuala Lumpur jam 1.11 tengahari dengan dikawal oleh konvoi 15 kenderaan.Manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan kepada pemberita di Parlimen bahawa Anwar telah ditahan.

Katanya, beliau menerima panggilan telefon dari Anwar yang mengesahkan bahawa beliau telah ditahan.Anwar juga, katanya, memberitahu bahawa beliau dilayan secara kasar oleh anggota polis yang menahannya itu.Wan Azizah berkata, Anwar memintanya pulang ke rumah untuk menenangkan anak-anaknya dan kemudiannya pergi ke pejabat polis terbabit.

Naib presiden PKR, Azmin Ali tiba kira-kira jam 1.26 tengahari, dan menyifatkan tindakan polis itu sebagai "tidak bertamadun" kerana Anwar telah mengesahkan akan datang.Lagi pula, tambahnya, masa yang diberikan oleh polis sehingga jam 2 petang juga belum lagi tamat.Beliau juga menyifatkan tindakan polis sebagai tidak wajar kerana Anwar dikeluarkan dari keretanya di tepi jalan utama.

Kira-kira 40 penyokong Anwar termasuk ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat kini berhimpun di IPK Kuala Lumpur.Mereka termasuk Yusmadi Yusof, Zuraidi Kamaruddin, Dr Zulkifly Ahmad, Dr Hatta Ramli, Tian Chua serta Karpal Singh.Wan Azizah pula tiba dengan anak perempuannya, Nurul Nuha pada jam 1.30 hari.

Difahamkan Anwar akan didakwa mengikut Seksyen 377C, Kanun Keseksaan. Dalam pindaan terbaru, peruntukan ini berbunyi seperti berikut: Di bawah seksyen ini, seseorang melakukan kesalahan jika dia membuat hubungan seks dengan orang lain dengan memasukkan sesuatu benda ke dalam faraj atau dubur orang yang satu lagi itu. Jika sabit kesalahan, orang yang melakukan kesalahan itu boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.

Kelihatan sepasukan anggota polis memantau pergerakan para penyokong yang berhimpun di situ. Turut kelihatan ialah sebuah trak meriam air.Ahli Parlimen PKR, Wee Choo Keong, yang berada di dalam bangunan itu berkata, Wan Azizah dan dua anaknya - Nurul Izzah dan Nurul Nuha - dibenarkan menemui Anwar di tingkat tujuh pada kira-kira jam 2 petang.

Pada jam 2.35 petang, Wan Azizah dan anak-anaknya, serta peguam Sankara Nair muncul dari bangunan tersebut.

Pada jam 2.40 petang, ahli Parlimen DAP termasuk Lim Kit Siang, Tan Kok Wai, Fong Kui Lun dan Anthony Loke juga kelihatan meninggalkan bangunan tersebut. Loke berkata, mereka hanya dibenarkan menunggu di kantin, dan semua ahli Parlimen Pakatan akan balik ke Parlimen untuk "membangkitkan isu tersebut".

Pada jam 2.50 petang, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar berkata, pihak polis sudah mula menyoalsiasat Anwar.Katanya, perhimpunan sokongan kerdipan lilin akan diadakan di luar bangunan tersebut jika Anwar tidak dibebaskan hari ini.Peguam Latheefa Koya pula berkata, Anwar ditahan sebagai suspek, tetapi pihak polis mahu merakamkan kenyataannya sebagai saksi mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah."

Pada kira-kira jam 2.40 petang, peguam Sulaiman Abdullah masuk bersama peguam Param Cumaraswamy. Anwar akan diwakili oleh tiga peguam termasuk Sulaiman. Param berada di situ sebagai tokoh antarabangsa," katanya.

(Param merupakan bekas pelapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi kebebasan hakim dan peguam)


DEBAT ANWAR-SHABERY : MINYAK DAN SHABERY PATUT TURUN


MINYAK DAN SHABERY PATUT TURUN !!

Rakyat Malaysia telah melihat perdebatan harga minyak malam tadi. Siapapun tak boleh menafikan bahawa DSAI bukan lawan Menteri Penerangan. Beberapa perkara yang menjadi persoalan saya dengan debat ini.

Datuk Shabery Chik seperti pihak yang mewakili parti Melayu S46 bukan mewakili Kerajaan. Shabery sepatutnya menguasai data, kerana segala data peningkatan kos yang dibelanjakan, kemana akan disalurkan dari penjimatan, lansung tidak disentuh secara khusus oleh Shabery dalam debat tersebut.

DSAI secara jelas memberikan formula penurunan harga minyak sebanyak 50 sen dengan perbelanjaan sebanyak 5 bilion, beliau turut mengemukakan bagaimana 5 bilion itu boleh didapati hasil dari penjimatan. Beliau juga menghuraikan satu persatu kaedah penjimatan itu, melalui IPP, kawalan kebocoran dan ketirisan dan hanya 1 bilion dari dividen yang diberikan Petronas.

Debat ini juga mengambarkan bahawa kerajaan tidak punya wakil untuk membicarakan isu minyak sedangkan menteri yang berkaitan khusus adalah menteri kewangan atau menteri pengguna (KPDNHEP), yang pasti Paklah, Nor Mohamad Yakob dan Shahril Samad adalah mereka yang GAGAP dalam isu minyak.

Yang menjadi persoalan kenapa Shabery Chik tidak lansung menyentuh insentif yang diberikan Kerajaan kepada pengguna kenderaan melalui bayaran tunai dipejabat POS. Berapa jumlah dan keseluruhan yang dibelanjakan untuk rakyat. Saya jangkakan bahawa Menteri Penerangan telah diingatkan agar jangan menyentuh isu insentif ini kerana ia akan membuka ruang untuk DSAI untuk mengaitkan POS dengan Khazanah Nasional dan ECM Libra….

Kesilapan besar Shabery apabila beliau menyatakan bahawa Petronas berjaya sehingga hari ini adalah kerana UMNO dan BN sedangkan beliau lupa bahawa entiti perniagaan itu berjaya kerana ketelusan dan pengurusan yang cekap. Bayangkan kalau budaya UMNO meresap dalam Petronas…Lingkup…

Yang terakhir saya lihat, Menteri Penerangan mengungkapkan kejayaan Petronas kerana usaha yang dibuat oleh Tun Razak dan Dr Mahathir, Menteri Penerangan lupa bahawa dia sedang menggali kubur sendiri, Khairy dan Kamaludin pantang dengar ayat ini.

Adly Zahari
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka


PROJEK MANGGA KERAJAAN NEGERI HANYA MELEPASKAN BATUK DITANGGA


Lebih Sedekad Kerajaan Negeri Melaka memperkenalkan tanaman pokok mangga yang dikenali Melaka Delite. Hari ini kita lihat banyak sawah terbiar telah ditukar statusnya menjadi ladang mangga. Persoalannya adakah projek yang diusahakan ini benar-benar menjadi sumber pendapatan atau ianya sekadar projek bagi melepaskan batuk ditangga.

Kebanyakan pengusaha Mangga Melaka Delite telah diberikan benih pada kadar RM1.00 setiap pokok, kayu pagar percuma, baja percuma. Agihan yang dibuat oleh Jabatan Pertaniaan Negeri adalah melalui JKKK. Kebiasaannya, sekiranya terdapat projek ini disesebuah kampung maka mudah dikenalpasti rumah JKKK, rumah yang bertimbun baja dihalamannya.

Hari ini kita dapat melihat bagaimana banyak sawah terbiar telah menjadi kawasan tanaman mangga terbiar, tiada bezanya. Kerajaan negeri sering menjadikan projek di Kampung Gelam sebagai model tapi bagaimana projek yang diusahakan ditempat-tempat lain.

Bagi mereka yang punya pengalaman mengusahakan projek magga ini faktor-faktor berikut sering menghantui pekebun ;

Pohon mangga yang mudah rosak

Kadar bunga menjadi putik adalah rendah, sering dipengaruhi faktor cuaca.

Buah yang dihasilkan bersaiz kecil

Rasa yang masam

Buah mudah busuk (tempoh masak yang singkat) menyebabkan ia sukar dijual/dieksport.

Yang menjadi persoalan, Ketua Menteri kerap keluar negara diatas nama Bioteknologi (Seminar atau lawatan sambil belajar) tetapi masih gagal memanfaatkan pengetahuan Bioteknologi pada projek diatas. Sepatutnya untuk tempoh 10 tahun keraaan negeri telah memperkenalkan benih Melaka Delite generasi kedua atau ketiga yang sifatnya seperti berikut ;

Pokok mempunyai imunisasi yang tinggi, tahan dari ancaman serangga perosak, penggunaan racun pada kadar yang minima.

Kadar bunga menjadi putik lebih tinggi.

Saiz buah yang lebih besar

Rasa yang manis

Tempoh masak yang lama bagi tujuan pemasaran/eksport.

5. Kesan kegagalan ini dapat kita lihat bila harga pasaran mangga Melaka Delite adalah serendah RM2.50 sekilogram. Bagaimana dengan harga serendah ini ianya boleh memberi pendapatan kepada masyarakat kampung yang mengusahakan secara kecil-kecilan. Jalan mudah bagi pekebun adalah menjadikan mangga ini sebagai jeruk.

Persoalannya adakah sesuai Melaka Delite dijadikan Jeruk ? Komersial kah ia untuk 10 tahun akan datang ? Berapa banyakkah insentif yang dihabiskan berbanding dengan hasil yang dipungut ?.

Adly Zahari
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka


KOMEN TENTANG DEBAT ANWAR-SHABERY


"Orang kata jangan teruskan, dia teruskan juga degil, akhirnya soalan tak dijawab,nampak keburukan dan kelemahan sendiri" sms dari 019681XXXX

"Menteri Penerangan Bangang, Serang Peribadi,tak jawab soalan dan pertahan kerajaan " dari 013452XXXX

"Tahniah Anwar, sangat cool, karismatik dan berjaya KO kan seorang menteri" dari 019552XXXX

"Satu budaya yang baik yang patut diteruskan, rakyat akan dapat menilai hujah siapa yang logik dan betul" dari 019-981XXXX

"Anwar relaks je, Shabery hentam peribadi, tak jawab soalan, lepas Shabery kena letak jawatan" dari 013667XXXX


ANWAR BERI KETERANGAN DI BPR


Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di ibupejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya pada jam 10.05 pagi tadi untuk memberi keterangan berhubung laporannya terhadap Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan sri Abdul Gani Patail.

Anwar tiba dengan ditemani oleh dua peguamnnya, Sivarasa dan Sankaran Nair.

Sebelum ini, Anwar yang juga ketua umum PKR membuat laporan polis terhadap Musa dan Abdul Gani yang didakwanya mereka bukti dalam perbicaraannya 10 tahun yang lalu.Pada masa itu, Musa adalah pegawai penyiasat manakala Abdul Gani pula merupaka ketua pendakwaraya kes terhadap Anwar.Apabila Anwar ditahan pada 20 September 1999, beliau dibawa ke ibupejabat di Bukit Aman di mana mantan timbalan perdana menteri itu dipukul oleh KPN ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor, menyebabkan matanya lebam dan mengalami kecederaan lain di badannya.Anwar berkata, laporan asal perubatan yang disediakan oleh beberapa orang doktor telah diketepikan.

Dalam laporannya itu, Anwar berkata, laporan perubatan menyimpulkan bahawa kecederaan yang dialaminya adalah akibat dipukul.Bagaimanapun, Anwar berkata, laporan tersebut tidak diterima dan mereka yang memukulnya tidak didakwa, sebaliknya Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mokhtar Abdullah - yang didakwanya berpakat dengan Abdul Gani - meminta doktor lain, Dr Abdul Rahman Yusof, mereka laporan perubatan kedua.Anwar berkata, beliau percaya, Musa dan Abdul Gani berada di Bukit Aman pada malam beliau dipukul oleh Abdul Rahim dan kedua-duanya "merahsiakan" kejadian tersebut.

Sehubungan itu, Anwar mendesak supaya satu siasatan baru dijalankan terhadap dakwaan mereka bukti, yang boleh dihukum sehingga tujuh tahun penjara.BPR menjalankan tugas menyiasat dakwaan tersebut memandangkan ia membabitkan pihak polis dan pejabat peguam negara.

Musa dan Gani telah dipanggil memberi keterangan berhubung laporan Anwar pada 11 Julai lalu.

Musa memberi keterangan lebih empat jam, manakala Gani pula memberi keterangan selama kira-kira 40 minit.

Malaysiakini


NAIKKAN ELAUN GURU JAIM - KINTAN


Saya ingin mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya menaikkan elaun guru-guru yang berkhidmat di Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (SRA Jaim) kerana tangga gaji sekarang sudah tidak sesuai dengan keadaan semasa.

Kerajaan negeri hendaklah lebih prihatin dan memberikan pembelaan yang sewajarnya ke atas nasib mereka berikutan peningkatan kos hidup yang semakin meningkat akibat kenaikan harga minyak dan barangan keperluan.Menurut laporan media baru-baru ini seramai 150 guru besar hanya menerima skim gaji S11 yang berjumlah di antara RM800 hingga RM1,500 bergantung kepada tempoh perkhidmatan dan mereka mencadangkan supaya dinaikkan ke skim S17 bagi menikmati kenaikan RM300.

Ada diantara mereka yang sudah mengajar sejak 10 tahun lalu dan skim gaji S11 yang mereka terima sekarang tidak pernah berubah sejak dari dahulu lagi. Ini merupakan suatu pengkhianatan kepada guru-guru terbabit sedangkan guru-guru yang mengajar di sekolah biasa di bawah Kementerian Pelajaran setiap tahun mendapat kenaikan gaji malah tahun lepas mereka menerima pelarasan gaji yang sangat besar sehingga ada yang menerima kenaikan 25 %.

Saya mengharapkan kerajaan bersedia membantu guru-guru agama ini kerana peranan mereka sangat besar dalam mendidik anak-anak kita dengan pelajaran agama yang sangat penting yang dapat menjadi benteng diri daripada maksiat. Sudah sampai masanya kerajaan menyamaratakan guru-guru agama ini dengan kakitangan kerajaan negeri yang lain yang sering menikmati kenaikan gaji dan insetif lain.

Saya juga menyokong saranan Ketua Pemuda PAS Negeri, Ustaz Kamaruddin Sidek baru-baru ini yang menggesa kerajaan negeri memulangkan kembali elaun KAFA sebanyak Rm280 yang ditarik dahulu bagi meringankan bebanan yang dihadapi oleh para guru. Malah bukan sahaja jumlah yang ditarik perlu dikembalikan bahkan jumlah itu mesti dinaikkan.

Hajjah Kintan Man
Setiausaha Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59