Friday, 4 April 2008

UMNO HAMPIR PUPUS


Sedutan ucapan Tengku Razaleigh Hamzah di mesyuarat khas perwakilan bahagian Gua Musang yang bermula pagi ini bagi menilai sikap ahli akar umbi selepas ketewasan Umno dalam pilihanraya umum ke-12:

Sampai saat ini, setelah hampir sebulan Umno dan BN mengalami ‘malapetaka’ politik yang dahsyat itu, tidak ada apa-apa tindakan yang diambil oleh pucuk pimpinan parti untuk membincangkan sebab-sebab mengapa ‘malapetaka’ itu berlaku pada Umno dan BN.

Tidak ada usaha untuk mengajak para perwakilan Umno dari semua peringkat–peringkat bahagian dan cawangan – untuk mengadakan proses muhasabah secara terbuka, secara kritis tetapi tenang. Matang dan rasional, tidak beremosi, dari hati ke hati sesama anggota parti sendiri, membincangkan ‘masalah rumah’ sendiri ini, dan mencari jalan yang baik dan benar dengan tujuan untuk memperbaiki diri dan menghindari berlakunya kejadian yang lebih buruk lagi baik sekarang mahu pun dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Kita mendengar bermacam-macam reaksi, pandangan dan keluhan, kritik dan tuduh-menuduh dari orang-orang perseorangan Umno, yang paling banyak ialah dari beberapa orang pemimpin dan menteri Umno. Ada yang mengatakan bahawa kita sebenarnya tidak kalah, kita masih menang; ada yang berkata, "BN akan bangkit semula untuk menebus kekalahannya"; ada yang menyalahkan orang Melayu yang memilih parti lain, dan berkata orang Melayu itu "tidak mengenang jasa" (tidak tahu saya ‘jasa siapa dan apa’); ada yang menyalahkan generasi muda Melayu kerana kononnya mereka "tidak faham perjuangan Umno" atau kerana mereka tidak mendapat berita, maklumat dan cerita yang sebenar tentang kerajaan, Umno dan BN yang disiarkan dalam surat khabar arus perdana, tetapi membacanya dari blog-blog ‘anti kerajaan’ dan ‘anti Umno’ dalam Internet.

Jadi, nampaknya, kita masih mengekalkan fiil dan budaya lama, fiil tidak mahu memeriksa kesalahan dan kelemahan kita secara kolektif, secara rasional, bijak dan cerdik. Kita mencari kesalahan orang lain, kesalahan pengundi, kesalahan parti lawan. Para pemimpin parti – walaupun tidak semuanya – cuba menutup suara rakyat akar umbi Umno, tidak mahu mendengar pandangan dan kritikan dan teguran mereka. Kita pergi ke sana ke mari menyebarkan propaganda dan dongeng bahawa parti akan rosak jikalau ahli akar umbi Umno tidak menyerahkan segala masalah yang dihadapi oleh Umno sekarang kepada pucuk pimpinan untuk ditangani dengan sebaik-baiknya – mereka diseru supaya memberikan kepercayaan kepada pucuk pimpinan.

Apakah mereka tidak sedar bahawa yang menjadi punca besar kelemahan Umno yang membawa kepada malapetaka yang tersebut itu bukan rakyat akar umbi Umno tetapi ialah kelemahan kepimpinan Umno, ini termasuk para menteri Umno, yang setengah-setengahnya tidak mempunyai rekod peribadi, moral dan budaya yang baik.Merekalah yang tidak mahu Umno berubah; merekalah yang mahu kepimpinan Umno yang ada dikekalkan, jangan digantikan, jangan ditandingi.

Masalah Umno bukan masalah beberapa orang yang berkepentingan sahaja, tetapi masalah bersama semua ahli Umno. Umno bukan kelab golongan elit, golongan hartawan dan peniaga, kelab ‘eksklusif’. Umno ialah parti politik kebangsaan Melayu. Tugasnya bukan untuk menjaga periuk nasi anggota atasannya tetapi untuk memperjuang, menegakkan, dan memperkukuh tiga tiang kekuatan bangsa Melayu, yang saya sebut tiang Alif, Ba, Ta: Alif bererti Agama, Ba bererti Bahasa, Budaya dan Bangsa, dan Ta bererti ‘Tanah Air’.

Apabila Umno tidak lagi mempedulikan perjuangan Alif, Ba, Ta ini, yang merupakan perjuangan Melayu yang asas, yang fundamental, alamat Umno akan kehilangan pedoman dan petunjuk daripada Allah dan akan ditinggalkan oleh bangsa Melayu.Masalah kita sekarang ialah, bagaimanakah anggota Umno sebahagian besarnya tidak akan lari meninggalkan kapal yang sedang rosak dan bila-bila masa boleh tenggelam kerana nakhodanya lemah, dan seringkali meninggalkan kemudi atau menyerahkannya kepada anak-anak kapalnya.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59