Wednesday, 27 February 2008

Negara Berkebajikan: Tawaran PAS buat rakyat Malaysia


PAS menawarkan sebuah pemerintahan menggunakan falsafah Negara Berkebajikan yang mengutamakan pembangunan untuk kebajikan rakyat awam. Bagi Pilihanraya Umum ke 12, PAS memperteguhkan tawarannya kepada rakyat untuk bersama-sama bersatu dan berjuang menegakkan sebuah Negara Berkebajikan.

Konsep dan definisi

Negara Berkebajikan didefinisikan sebagai:

"Sebuah Negara yang mengutamakan kebajikan dan keselesaan rakyat sebagai agenda utama pembangunan negara". Negara Berkebajikan mementingkan pembangunan, tetapi matlamat nya ialah kesejahteraan rakyat kebanyakan.

Ciri-ciri Negara Berkebajikan

Negara Berkebajikan:

1) Tujuan utama pembangunan adalah bagi manfaat dan kebajikan rakyat awam

2) Kerajaan adalah "guardian" atau Penjaga (ibu-bapa) kepada rakyat

3) Penekanan kepada kecemerlangan moral dan nilai keinsanan (Ethic and human centric)

4) Kebendaan adalah modal, pembangunan insan adalah matlamat

5) Kesaksamaan asas di kalangan semua rakyat dipastikan, kecemerlangan individu di galakkan

6) Kebajikan rakyat adalah tanggungjawab negara

7) Rakyat sejahtera, negara makmur

Negara Berkebajikan PAS selaku "ibu-bapa" kepada rakyat tidak akan menganggap program kebajikan dan subisidi rakyat, yang tidak mempunyai pulangan keuntungan (dalam bentuk wang ringgit) sebagai satu bebanan atau kerugian, bahkan ia merupakan satu tanggungajawab. Kerajaan Umno-BN pula menganggap program kebajikan dan subsidi sebagai satu bebanan yang seboleh mungkin mahu dipertangungkan ke atas bahu rakyat.

Sejarah

Dari segi sejarah, model Negara Berkebajikan sebenar yang menjadi rujukan dan panduan PAS telah dilaksanakan di sepanjang peradaban manusia. Ia termasuklah pemerintahan Mesir dari seerah Nabi Yusuf a.s, kerajaan Nabi Sulaiman a.s, dan pemerintahan Rasulullah saw, sehingga pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz. Kesemua ini menjadi asas kepada Negara Berkebajikan yang diperjuangkan PAS.

Walaupun negara-negara Eropah seperti Jerman, Belanda, Perancis, Sweden, dan United Kingdom mengenengahkan Konsep "Welfare State" selepas Perang Dunia Ke-2, namun ianya hanya bersesuaian dengan sebahagian daripada konsep Negara Berkebajikan PAS.

Konsep Negara Pembangunan yang dibawa oleh UMNO/BN terlalu mengutamakan pembangunan dan kemasyhuran fizikal. Ini dapat disaksikan dengan projek-projek mega seperti Monsoon Cup, Masjid Kristal (bukan tempat ibadah tetapi untuk tarikan pelancong semata-mata), Pertandingan Formula 1, Pesta Philharmonic Malaysia, 4 jet peribadi pemimpin tertinggi, dan Kompleks Bunga Raya di KLIA. Ini adalah antara banyak projek mega kerajaan Umno-BN yang jelas tidak memberi manfaat secara langsung kepada rakyat kebanyakan.

Bagi Negara Berkebajikan PAS, bukannya imej negara tidak penting, tetapi kebajikan semua rakyat lebih diutamakan.

Tawaran PAS menjadikan Malaysia sebuah Negara Berkebajikan

Sebagai memenuhi agenda pemerintahan PAS untuk Malaysia Negara Berkebajikan , PAS menawarkan kepada semua lapisan rakyat Malaysia pelbagai program berkebajikan berkonsepkan perkongsian sumber dengan kaedah perkhidmatan rakyat.

Antaranya ialah:

1. Pendidikan percuma dari peringkat asas sehingga pengajian tinggi (penghapusan semua yuran pengajian)

2. Skim Pembiayaan Kesihatan Nasional bagi setiap rakyat yang tidak mempunya perlindungan kesihatan majikan

3. Mengembalikan semula pemberian biasiswa seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan

4. Menurunkan harga petrol dan gas.

5. Merapatkan jurang agihan kekayaan antara golongan kaya-miskin

6. Melaksanakan akta gaji minima

7. Memperkenalkan cuti bersalin 90 hari dan cuti kebapaan 7 hari

Penegasan dan Gesaan

Berdasarkan fakta-fakta di atas, PAS dengan ini membuat gesaan dan rayuan kepada rakyat Malaysia agar memulakan perubahan daripada pemerintahan Umno yang mengutamakan pembangunan untuk kemegahan imej negara, kepada Pemerintahan PAS yang bercirikan Negara Berkebajikan yang mengutamakan pembangunan bagi kebajikan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Presiden
Parti Islam SeMalaysia (PAS)


PAS MELAKA AKAN BUAT KEJUTAN BESAR


PAS Melaka akan membuat kejutan besar pada pilihanraya umum kali ini. Menurut sumber dalaman parti setakat ini PAS Melaka yakin memenangi sekurang-kurangnya 6 DUN dari 13 DUN yang ditandingi PAS.

Jurucakap PAS Melaka yang enggan disiarkan namanya memberitahu beberapa DUN yang sedang menjadi kawasan hitam bagi Umno dilihat amat berpotensi untuk dimenangi oleh PAS.

Beliau bagaimanapun enggan menamakan DUN-DUN yang akan dimenangi oleh PAS.

"Kita tunggu dan lihat sahaja nanti pada 8 Mac, rakyat sekarang ini sebenarnya tidak sabar-sabar untuk mengajar BN yang angkuh dan zalim ini" kata beliau.

Ditanya kenapa rakyat membuat protes senyap beliau menjelaskan isu kenaikan harga minyak, harga barang dan peningkatan kes jenayah, gejala sosial, songlap duit, kronisme dan sebagainya sebenarnya menjadi pemangkin kepada protes senyap ini.

Selain itu pergolakan dalaman Umno juga hebat sekarang ini, walaupun ianya nampak reda tetapi riaknya belum berakhir. Beberapa tempat seperti di DUN Durian Tunggal, Telok Mas, Taboh Naning, Bukit Baru dan Ayer Molek 'pemberontakan senyap' masih berterusan dan ianya akan diterjemahkan pada hari mengundi.

PAS Melaka bertanding di 1 kerusi Parlimen iaitu Masjid Tanah dan 13 DUN iaitu Kuala Linggi, Lendu, Tanjung Bidara, Taboh Naning, Asahan, Durian Tunggal, Pantai Kundor,Ayer Molek, Bukit Baru, Telok Mas, Merlimau, Serkam dan Sungai Rambai. Pemerhati politik menjangkakan PAS mampu menawan 2 dari 13 DUN tersebut.


Kegagalan Umno/BN dalam bidang ekonomi


Ekonomi adalah merupakan tunggak kemajuan sesebuah negara. Ekonomi yang diuruskan secara efisyen dapat memacu pertumbuhan Malaysia untuk mencapai Wawasan 2020 di samping kemakmuran negara dapat dinikmati bersama oleh rakyat.

Permasalahan

Sejak 1957, di sepanjang pemerintahan kerajaan Umno/BN, telah berlaku pelbagai kepincangan ekonomi. Antara kepincangan yang utama ialah:

1. Gagal mengawal peningkatan harga minyak walaupun Malaysia adalah pengekspot minyak. Dari tahun 2000–2006, harga minyak telah meningkat dari RM1.10/liter hingga RM1.92/liter iaitu peningkatan sebanyak 75% dalam masa 6 tahun.

2. Gagal menyekat harga tol yang meningkat tahun demi tahun. Walaupun kerajaan berjanji tiada peningkatan tol pada tahun 2008, tetapi tahun 2009 akan pasti menyaksikan peningkatan harga tol yang seterusnya. Kerajaan membelanjakan lebih 300 juta ringgit wang rakyat setahun untuk membayar konsesi tol.

3. Gagal menyekat kenaikan harga barangan asas hasil daripada kenaikan harga minyak dan tol. Kenaikan harga barangan ini terpaksa dibayar oleh segenap lapisan rakyat

4. Walaupun sebahagian daripada mereka tidak menggunakan jalan bertol terutamanya mereka yang tinggal di luar bandar.

5. Pengurusan wang rakyat yang tidak cekap menyebabkan pembaziran secara berleluasa telah berlaku. Ini termasuk:

a. Pembatalan pembinaan jambatan bengkok yang menyebabkan kerajaan terpaksa membayar pampasan sebanyak RM257 juta.

b. Kerugian membeli saham Agusta sebanyak RM510 juta.

c. Pembatalan projek Incinerator di Broga yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM500 juta untuk membayar pampasan.

6. Hutang Kerajaan Persekutuan terus meningkat dari RM146 billion kepada RM165 billion.

7. Pengisytiharan pelbagai projek Koridor Ekonomi seperti WPI, NCER, ECER, SDC dan SCORE, yang menelan belanja mencecah 1 trillion ringgit adalah sangat meragukan. Tidak ada sebarang penjelasan yang lengkap bagaimana sumber kewangan yang begitu banyak dapat dijanakan untuk menampung projek-projek berkenaan.

Penegasan dan Gesaan

PAS sentiasa mengambil sikap yang serius dan amat perihatin terhadap perkembangan ekonomi Negara. Dengan ini, PAS secara jelas menegaskan bahawa kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah gagal dalam memacu menigkatkan lagi daya saing ekonomi negara.

Dengan demikian, PAS dan seluruh masyarakat yang prihatin serta mencintai kemajuan dan kesaksamaan ekonomi dengan tegasnya menggesa agar rakyat Malaysia menolak kerajaan UMNO/BN yang gagal mengurus ekonomi Negara dengan berkesan. PAS ingin menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk membuat perubahan ini melalui pilihanraya umum ke-12 ke arah pembentukan sebuah kerajaan berkebajikan yang lebih bertanggungjawab dan perihatin.

26 Febuari 2008

DATO' SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG
Presiden, Parti Islam Se Malaysia (PAS)


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59