Monday, 25 February 2008

Undi BA, jadikan Abdullah Ketua Pembangkang di Parlimen


Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Malaysia (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim menyeru semua rakyat memberikan undi pada Barisan Alternatif (BA) dalam pilihan raya kali ini untuk memastikan Presiden Umno menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat selepas pilihan raya umum pada 8 Mac nanti.

Bukan sahaja Dato' Seri Abdullah rakyat juga disaran menghukum Timbalannya, Dato' Seri Najib supaya mengalami nasib yang sama agar memudahkan Kerajaan BA menghantarnya menjadi Duta di Monggolia.

Jelasnya, itupun kalau rakyat di Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang dan Pekan, Pahang mahukan khidmat mereka sebagai Ahli Parlimen dilanjutkan.

"Jika mereka menang pun biar sekadar menjadi Ketua Pembangkang manakala Najib kita hantar sebagai Duta di Monggolia," tegasnya ketika memberikan amanat pada pengundi sempena mengumumkan nama-nama calon KeAdiLan di Taman Kelasah, Permatang Pauh semalam.

Menurut Dato' Seri Anwar, pemuda yang mahu bekerja untuk Umno sila jalankan kerja seperti biasa kerana mungkin takut diugut kerana berkhidmat dengan kerajaan tetapi ingat bila undi nanti biar memangkah BA.

Beliau memberitahu, jika sekiranya mereka mendapat habuan kurang daripada RM400.00 untuk laksanakan kerja BN bermakna mereka telah ditipu kerana sejak dulu BN tidak pernah membayar kurang daripada itu.

"Kita tahu jika mereka nak kerja untuk BN kerjalah tapi kena ingat pembayaran mesti beres jangan ditipu. Lazimnya pembayaran lebih dari RM400.00 semalam jika dapat kurang dari itu bermakna ada orang ambil peluang terhadap jentera muda, " tambahnya lagi.

Jika dapat pula kata beliau, jangan lupa bagi sebahagiannya pada BA untuk melawan mereka balik kerana wang itu adalah wang rakyat.

Seandainya diberikan bendera untuk dinaikkan, jentera pemuda Umno usah sangkutkan di tiang tinggi sebaliknya setengah tiang sahaja kerana Umno bakal mati menjelang pilihan raya kali ini.

"Sangkut bendera BN setengah tiang sahaja baru sesuai dengan umur mereka yang tidak panjang, "jelasnya dengan gelak ketawa ribuan hadirin.


Jangan ghairah dengan pergolakan parti lawan


Walaupun menjelang pilihan raya umum ke-12, banyak krisis dalaman dan pergolakan hangat yang berlaku di dalam parti lawan khususnya Umno, rakyat khususnya penyokong Barisan Alternatif (BA) tidak terlalu ghairah dengan situasi tersebut.

Ketua Penerangan PAS Pusat Haji Mahfuz Omar berkata insiden-insiden seperti piket, perubatan kuasa serta keluar parti itu merupakan 'bonus' untuk BA khususnya PAS meraih kemenangan dalam pilihan raya namun itu bukanlah sebagai faktor utama.

"Saya sarankan semua pihak supaya tumpukan juga pada isu-isu penyelewengan dan salah guna kuasa kerajaan Barisan Nasional (BN) selama mereka memerintah rakyat selama 50 tahun bukan hanya syok tengok orang lain bergolak," katanya.

Beliau diminta mengulas pergolakan BN yang berlaku khususnya menjelang pilihan raya ini termasuk isu bekas Adun Derga yang isytihar keluar BN, bertanding atas tiket KeADILan di kawasan Parlimen Pokok Sena.

Kata Mahfuz situasi tersebut merupakan tamparan hebat kepada BN Kedah dan menjadi bukti untuk rakyat menolak parti pemerintah itu yang turut tidak diyakini oleh pemimpinnya sendiri.

Katanya PAS bertanding dan berjuang untuk membela rakyat tetapi Umno bertanding untuk mengaut keuntungan dan kekayaan yang melimpah-ruah. Oleh kerana itulah katanya mereka merebut kuasa dan tidak ikhlas memperjuangkan nasib rakyat.

Sebelum ini Mahfuz menyifatkan tindakan mencalonkan Khairy Jamaluddin di Dun Rembau dalam pilhan raya umum ke-12 ini akan menguatkan lagi tuduhan bahawa Abdullah menjadikan kerajaan yang diterajuinya sebagai kerajaan anak-beranaknya.

"Saya berharap Abdullah tidak memandang ringan ingatan Dr Mahathir. Jangan sampai seperti kata pepatah, datang bersalam, pulang berterajang," katanya

Dr Mahathir sebelum ini pernah berkata: "Mereka akan menanggung padah kerana mengubah kerajaan Malaysia menjadi sebuah kerajaan keluarga... Abdullah Ahmad Badawi"


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59