Thursday, 31 January 2008

MAHATHIR TERUS 'TEMBAK' IMAM HADHARI



Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak pernah terniat untuk penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri lebih dari sepenggal dan menyarankan beliau melepaskan jawatannya.

Abdullah akan bertanding untuk penggal keduanya dalam pilihanraya umum yang dijangka diadakan Mac ini.

Mahathir sebelum ini berkata, beliau telah membuat kesilapan apabila memilih Abdullah untuk menggantikannya sebagai perdana Menteri.

Sebaliknya, kata Dr Mahathir, beliau sepatutnya melantik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang lebih berpengaruh, untuk menggantikannya.

Pada masa ini, katanya, beliau terfikir memandangkan Abdullah lebih tua dari Najib "maka beliau patut menjadi PM untuk satu penggal dan kemudian Najib mengambil alih."

Bercakap dalam sidang akhbar, Dr Mahathir berkata, beliau faham bahawa ianya mengambil masa untuk melaksanakan rancangan dan projek.

Tetapi, tambahnya, jika itu yang dijadikan alasan untuk kekal berkuasa selama 18 tahun, maka ia tidak dapat diterima.

Abdullah menang besar dalam pilihanraya umum 2004 apabila para pengundi menyokong ikrarnya untuk memerangi rasuah.

Bagaimanapun, sejak itu beliau dikritik hebat kerana didakwa gagal memenuhi janjinya itu.

Dalam bulan-bulan kebelakangan ini, beliau berdepan dengan perhimpunan rakyat yang menuntut pilihanraya yang bersih dan adil, membantah kenaikan harga minyak dan menuntut hak masyarakat India.


DR MAHATHIR AKUI UMNO PARTI KORUP


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai satu misi menjelang pilihanraya umum yang diramalkan Mac ini - masanya sudah tiba untuk 'membersihkan' kerajaan Barisan Nasional (BN), khususnya parti tulang belakangnya, Umno.

Sehubungan itu, beliau berharap penyokong BN tidak akan mengundi pemimpin yang "korup dan kayu mati" dalam pilihanraya umum akan datang.

Menjawab soalan pemberita, Dr Mahathir berkata beliau cuba berbuat demikian kerana nampaknya BN tidak mungkin dapat membersihkan dirinya sendiri.

Untuk itu, katanya, jika terdapat calon-calon yang korup dan tidak cekap, maka penyokong BN tidak patut mengundi mereka dan "inilah cara kita dapat bersihkan... BN dan Umno".

Dr Mahathir berkata, tiada harapan untuk Umno membersihkan parti itu dari dalam kerana sebarang pandangan yang bertentangan dari ahli parti, akan dikekang.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan buku terbarunya dalam bahasa Inggeris bertajuk ‘Dr Mahathir’s Selected Letters to World Leaders’, Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau tidak menyokong pembangkang dan beliau yakin BN akan menang selesa dalam pilihanraya umum akan datang.

Bagaimanapun, beliau meramalkan keputusannya akan hampir sama dengan pilihanraya 1999, berbanding dengan 2004 di mana BN mendapat mendapat terbesar dari rakyat. Pada 1999, BN kalah teruk serta kehilangan Kelantan dan Terengganu kepada parti PAS.

"Isu-isu sekarang berbeza (berbanding dengan tahun 1999). Terdapat (sekarang) masalah inflasi. Lebih penting lagi kualiti kepimpinan (dalam Umno) tidak ada," kata Dr Mahathir.

Guna "cara-cara haram"

Menjawab soalan pemberita, Dr Mahathir berkata, pilihanraya umum akan datang "boleh jadi" yang paling kotor dan menyuarakan kebimbangnnya terhadap penggunaan "cara-cara haram" untuk mempengaruhi pengundi.

Apabila diminta membuktikan dakwaannya mungkin berlaku pembelian undi, Dr Mahathir menjawab, kebimbangannya itu berdasarkan pengalamannya dalam pemilihan Umno bahagian Kubang Pasu pada 2006 serta sewaktu pilihanraya kecil tahun lalu.

"Dalam kes saya (pemilihan Umno Kubang Pasu), saya telah membuktikan bahawa mereka (perwakilan) dirasuah. Saya menjangka amalam ini akan berterusan sewaktu pilihanraya umum," katanya.

Pada 2006, Dr Mahathir mendakwa berlaku rasuah dalam pemilihan Umno bahagian Kubang Pasu untuk menghalang beliau daripada dipilih sebagai perwakilan ke perhimpunan agung Umno. Jawatankuasa disiplin Umno bagaimanapun, telah membersihkan bahagian tersebut dari sebarang salahlaku.

Dr Mahathir juga mengesahkan khabar angin yang sudah lama diperkatakan bahawa kerajaan pimpinannya sebelum ini sengaja mengelak memajukan negeri Kelantan yang ditadbir oleh PAS atas sebab-sebab politik.

Beliau berkata, Umno merasakan kerajaan pusat tidak seharusnya memajukan negeri itu kerana PAS akan kesempatan daripada keadaan tersebut.

"PAS akan beritahu rakyat - walaupun tidak mengundi BN, anda masih dapat pembangunan. Jadi, mengapa perlu mengundi BN? Ini merupakan masalah yang sering dihadapi dengan PAS. Malah di kawasan pilihanraya saya... Kerana itu kita tidak memajukannya," jelas beliau.

Beliau turut mengulas mengenai isu-isu agama, ekonomi dan dakwaan rasuah sewaktu 22 tahun pentadbirannya

Malaysiakini


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59