Sunday, 27 January 2008

Ketua Muslimat PAS bebas jam 1 pagi, 47 masih ditahan


KUALA LUMPUR, 27 Jan (Hrkh) - Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh adalah antara 11 individu awal yang dibebaskan jam 1 pagi tadi dari Ibu Pejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur (IPKKL), manakala 47 yang lain masih lagi dalam tahanan.

Turut dibebaskan bersama Ustazah Nuridah ialah suami beliau Mohd Azmi Azman dan mereka adalah antara 58 orang yang ditahan semalam atas dakwaan menghadiri satu perhimpunan aman anjuran Protes bagi membantah kenaikan harga barangan di KLCC dan sekitar Jalan Ampang, dekat sini.

Antara yang masih ditahan ialah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad dan Ketua Penerangan parti KeADILan, Tian Chua, penyelaras Parti Sosialis Malaysia (PSM), Aruchelvan dan Dr Osman Nasir dan Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Dr Badrul Amin Bahrun.

Demikian menurut Ustazah Nuridah ketika dihubungi Harakahdaily bagi mengetahui perkembangan terkini kesemua tahanan terbabit.

"Saya dan suami dibebaskan tanpa sebarang dakwaan. Bagi saya penangkapan semalam adalah salah kerana saya tidak berhimpun sama sekali malah saya sedang membantu seorang wanita berketurunan India yang cedera akibat dikasari Polis.

"Apabila polis arahkan bersurai, saya patuh tetapi mereka mengekori dan mengepung saya seterusnya menangkap saya dan lain-lain," katanya yang sedang bersiap untuk ke IPKKL tengah hari ini bagi mengetahui perkembangan lanjut rakan-rakan seperjuangan yang lain.

Sementera itu, Nuridah turut menjelaskan kepada Harakahdaily, bahawa beliau tidak dapat mengenal pasti nama 9 individu yang dibebaskan pagi tadi namun menyatakan tujuh daripadanya berketurunan India mankala dua lagi berbangsa Cina.

"Ada yang ditangkap sekitar Wisma Central Jalan Ampang, dan bukannya di lokasi himpunan sepatutnya di adakan malah turut ditangkap individu yang memakai baju warna kuning," katanya.

"Nampaknya kerajaan Barisan Nasional (BN) semakin takut dengan kebangkitan rakyat yang mahu memprotes kenaikan harga minyak dan barang yang 'menindas' hidup mereka. Oleh itu mereka melakukan pelbagai halangan untuk menyekat daripada mendengar suara hati rakyat," katanya.

Beliau dalam pada itu turut memberi semangat kepada semua pendokong, pejuang, aktivis dan pemimpin politik agar meneruskan perjuangan membela nasib hidup rakyat di samping mendedahkan segala kepincangan yang dilakukan oleh BN tanpa rasa gentar.
"Jangat takut. Ini adalah lumrah perjuangan, pasti ada pelbagai halangan dan insya-Allah kita akan berjaya," katanya mengakhiri perbualan telefon sebentar tadi.

p/s: lawan TETAP lawan...


PAS selar tindakan polis menangkap rakyat demo Protes di KLCC


KUALA LUMPUR, 27 Jan (Hrkh) - PAS menyelar dan membantah tindakan polis menangkap rakyat yang menyertai perhimpunan aman Protes bagi membantah kenaikan harga barang di KLCC petang semalam.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa mendakwa tangkapan tersebut sekali menggambarkan rakyat diperlakukan dengan cara tidak demokratik oleh kerajaan dengan menggunakan kuasa polis.

"PAS membantah tangkapan tersebut dan meminta mereka segera dibebaskan," katanya semasa di hubungi di Tawau, Sabah.

Malah katanya sekali lagi tangkapan tersebut membuktikan negara ini negara polis.

"Saya dimaklum ada yang ditangkap di Stesen LRT Ampang Park sedangkan mereka tidak berhimpun pun," katanya.

Dakwanya ini menunjukkan kebebasan dan pergerakan rakyat disekat sebegitu sekali.

"Jika berada di Stesen LRT dan KLCC pun ditangkap ia merupakan satu tangkapan yang luar biasa.

"Ini kerana sebagai rakyat Malaysia mereka bebas untuk bergerak dan tidak ada gunanya membina KLCC secantik begitu," bidasnya.

Sementara itu lebih 50 orang termasuk beberapa pimpinan PAS, KeADILan dan Parti Sosialis Rakyat ditahan di Ibu Pejabat Kontijen Polis (IPK) Kuala Lumpur petang tadi ekoran perhimpunan tersebut.

Antara yang ditahan, Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh, Nuridah Saleh, Dr Md Hatta Mohd Ramli dan Ketua Penerangan parti KeADILan, Tian Chua.

Dalam pada Nasharudin berkata, beliau dan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang serta Ustaz Misbahul Munir ke Sabah untuk program Jelajah Bersama Presiden PAS.

"Bermula hari ini kami berada di Tawau dan besok ke Kota Kinabalu.
"Di Tawau kami berceramah Di Merotai dan sambutan rakyat Sabah amat menggalakkan," katanya yang berada di sana selama dua hari.

p/s: ini bukannya negara "demokrasi" tetapi telah menjadi negara "demonazi"...


58 ditahan polis di perhimpunan aman Protes Kenaikan Harga Barang






KUALA LUMPUR, 26 Jan (Hrkh) - Seramai 58 orang ditahan termasuk Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli, Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad dan Ketua Penerangan parti KeADILan, Tian Chua ekoran satu perhimpunan aman anjuran Protes bagi membantah kenaikan harga barangan di KLCC dan sekitar Jalan Ampang.

Turut ditahan ialah penyelaras Parti Sosialis Malaysia (PSM), Aruchelvan dan Dr Osman Nasir dan Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Dr Badrul Amin Bahrun.

Daripada keseluruhan yang ditahan, sepuluh adalah wanita.

Kesemua mereka kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur.

Tangkapan bermula kira-kira jam 2.45 petang apabila enam orang ditahan di hadapan Suria KLCC biarpun belum berlaku perhimpunan.

Enam orang yang ditahan ialah anggota Unit Amal Wangsa Maju. Sementara itu Dr Hatta, Tian Chua dan seorang peguam, Johnson Chong ditahan semasa mengada satu sidang media di sebuah restoran berhadapan Kedutaan Australia, Jalan Yap Kwan Seng, tidak berapa jauh dari bangunan KLCC.

Semasa tangkapan tersebut Dr Hatta kelihatan terjatuh dari meja makan.

Dalam pada itu, walaupun tiada perhimpunan di kawasan KLCC, ia dikawal rapi anggota polis termasuk pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan pasukan Rela. Tangkapan berakhir kira-kira 4.30 petang.

Sementara itu Dr Hatta semasa mengadakan sidang media di restoran itu tidak dapat menyatakan sama ada perhimpunan itu berjaya ataupun tidak.

Bagaimanapun katanya, melihat kepada situasi di sekitar KLCC ia menampak keadaan yang agak kecoh dan tidak teratur.

"Bagaimanapun ia tidak membahayakan keselamatan orang ramai, sebenarnya Protes kecewa kerana pihak polis bertindak melampau; kami difaham kira-kira 1000 anggota polis ditugaskan hari ini dan ia menyebabkan suasana tidak selesa dan tanda tanya kepada orang ramai" katanya.

Walhal beliau berkata perhimpunan yang dirancang itu akan berjalan dengan aman dan tidak menimbulkan kesan negatif kepada orang awam.

Malah dakwanya tindakan tersebut membazirkan sumber kerajaan.

"Jika sumber hebat sebegini dikerah untuk mengesan penjenayah atau mencari kanak-kanak yang hilang, saya rasa ia boleh menyelesaikan beberapa kes jenayah yang berlaku di sekitar Kuala Lumpur," katanya.
Mereka yang ditahan melaungkan slogan "reformasi" dan "hidup rakyat" ketika dibawa ke IPK Kuala Lumpur dengan trak polis.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59