Tuesday, 8 January 2008

SEBENARNYA RADZI YANG INGIN REBUT JAWATAN MB PERLIS


Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad bersedia menjadi menteri besar Perlis jika parti mahu beliau memegang jawatan tersebut selepas pilihanraya umum akan datang.

Ahli Parlimen Kangar itu berkata demikian dalam majlis taklimat dan perasmian gerak kerja pilihanraya Umno bahagian Padang Besar baru-baru ini.

Hadir sama ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid yang juga Ahli Parlimen Padang Besar dan Ketua Umno bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainol Abidin.

Ketika dihubungi semalam, Zahidi mengesahkan bahawa Radzi ada menyebut perkara tersebut ketika bercakap dalam majlis tersebut.

"Radzi menyebut, beliau akan menerima jawatan Menteri Besar jika parti mahukan beliau berbuat demikian," kata Zahidi.

Katanya, Radzi membangkitkan perkara tersebut ketika menjawab menjawab pertanyaan ahli Umno bahagian yang menghadiri majlis penerangan tersebut.

Ketika menjawab pertanyaan hadirin, Zahidi berkata, Radzi menyebut Azmi juga layak untuk jawatan Menteri Besar Perlis.

Perlu ada perubahan

Zahidi yang juga bekas ahli Exco Kerajaan Negeri Perlis berkata, isu kepimpinan di negeri itu sudah lama diperkatakan tetapi semakin rancak sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, Umno bahagian Padang Besar tidak terbabit dengan isu kedua-dua pemimpin itu.

Katanya, dalam majlis tersebut juga, Radzi telah mengeluarkan satu pandangan mengenai kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim.

"Majlis tersebut diadakan oleh Umno bahagian bagi mendapatkan senarai daftar pemilih terbaru dari Radzi, selaku setiausaha agung Umno," katanya.

Radzi, katanya, turut memberi taklimat kepada peserta mengenai perpaduan ahli-ahli Umno Perlis terutama sejak kebelakangan ini.

"Beliau menyebut perlu ada perubahan dalam kepimpinan kerajaan negeri Perlis yang menurutnya kepimpinan sekarang sudah lama.

Orang lama

"Radzi berkata pandangan itu merupakan pendapat peribadi beliau dan bukannya atas sifat sebagai setiausaha agung Umno," kata Zahidi.

Menurut Zahidi lagi, Radzi turut mengulangi kenyataan yang sama apabila ditanya oleh wartawan yang membuat liputan program tersebut.

Zahidi berkata, Radzi mengeluarkan kenyatan tersebut berdasarkan pengalamannya sebagai orang lama dalam politik negeri.

Radzi, kata Zahidi berdasarkan dokumen-dokumen yang ada padanya, kepimpinan kerajaan negeri Perlis perlu diganti.

Ditanya jalan penyelesaiannya, Zahidi berkata, Shahidan, Radzi dan Azmi perlu berbincang dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana mereka dilantik oleh perdana menteri.

"Kedua-dua mereka (Radzi dan Shahidan) dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga presiden Umno," katanya.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59